August 28, 2011

Masalah MyKad perlu disegerakan

SERIAN: Masalah MyKad di kalangan penduduk tempatan perlu diselesaikan dengan segera sebelum ia dipolitikkan oleh pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan berkata, perkara seperti ini bukan satu isu yang besar.

Ia katanya, boleh diselesaikan oleh pihak yang berkaitan dengan adanya budi bicara mengikut prosedur dan polisi yang sewajarnya.

Snowdan berkata demikian sebagai mengulas mengenai masalah MyKad yang membelenggu Grace Flavianus, 18, dari Kampung Ensebang Pelaie dan tiga ahli keluarganya yang lain.

Menurut Snowdan, kerajaan dan jabatan yang berkaitan boleh membantu menyelesaikan masalah seperti ini dalam tempoh yang lebih singkat.

“Justeru sebelum ia menjadi isu yang lebih besar dan diambil kesempatan oleh pihak pembangkang adalah lebih baik jika ia diselesaikan dengan segera,” ujarnya.

Terdahulu, Snowdan mengadakan kunjungan ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Serian bersama Grace dan ahli keluarganya termasuk ketua masyarakat dari kampungnya untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung perkara itu.

Hasil daripada perbincangan singkat itu, difahamkan terdapat percanggahan maklumat yang dinyatakan antara ahli keluarga mengenai asal usul serta latar belakang keluarga ini.

Berikutan itu, proses permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan dikatakan menjadi rumit dan menemui kebuntuan sehingga kini.

Bagaimanapun, pihak JPN difahamkan telah mengambil tindakan sewajarnya ke atas masalah ini dan memberi tempoh selama sebulan untuk Grace mendapat MyKad setelah 18 tahun hidup tanpa dokumen penting itu

Terminal Bas Puduraya kini dikenali Pudu Sentral

KUALA LUMPUR: Terminal Bas Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semalam.

Perdana Menteri berkata, penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut Twitternya, selepas beliau tweet setelah bersahur awal pagi semalam bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.

“Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini semalam.

“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tadi, kita telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral,” katanya. Terminal Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lepas, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan ubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambil kira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.

Ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.

Najib turut meluangkan masa melawat sekitar terminal baru tersebut dan berinteraksi dengan para pengguna serta memberikan sumbangan kuih raya kepada penumpang bas eskpres yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Ini merupakan lawatan kali ketiganya ke terminal bas tersebut sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, di mana tiga minggu selepas itu, Najib turun padang melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, termasuk Hentian Puduraya.

Berikutan dengan lawatan itu beliau mengarahkan supaya Hentian Puduraya dinaik taraf dengan segera, memandangkan keadaan bangunannya yang daif serta tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna.

Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa dengan kos RM52 juta.

Najib berkata, beliau amat berpuas hati dengan kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan yang telah mencapai taraf kualiti yang tinggi. “Kebetulan saya berjumpa dengan dua orang pelancong dari Jerman dan saya telah bertanyakan reaksi mereka. Mereka cakap ia seperti sebuah lapangan terbang, begitu juga dengan reaksi daripada pengguna lain.

“Saya sangat bangga dengan pembangunan ini. Ini apa yang ada di fikiran saya untuk rakyat. Saya suka bahawa rakyat menikmati kemudahan seperti itu,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menggesa pengguna Pudu Sentral untuk turut membantu menjaga kebersihan terminal itu bagi keselesaan bersama.

Sementara itu, tinjauan Bernama di terminal bas turut mendapati para pengguna sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan yang sangat mesra pengguna.

Seorang warga emas, K.P Lim, 66, berkata, persekitaran di Pudu Sentral sekarang sangat berbeza berbanding dahulu memandangkan ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa dan tidak bising.

“Dahulu (Puduraya) sangat panas, sangat bising. Macam Pak Cik, orang tua sangat tidak selesa keadaan seperti itu. Pak Cik sangat berpuas hati dengan penambahbaikan kemudahan di sini. Memang sangat berbeza kalau dibandingkan dengan yang dulu,” katanya. Bagi Maimunah Ahmad Pardi, 55, kini persekitarannya yang bersih dan nyaman membolehkan orang ramai menunggu bas dalam keadaan yang selesa walaupun terpaksa menunggu lama.

Sementara itu, Nurul Huda Helmy, 22, yang membantu ibunya berniaga di terminal bas itu berkata, wajah baru Puduraya sedikit sebanyak membantu meningkatkan perniagaan ibunya yang telah beroperasi di terminal itu sejak 26 tahun lepas.

“Kalau dulu hendak dapat RM200 sehari pun susah. Sekarang dalam satu hari saya boleh mendapat RM500. Dengan persekitaran yang baru ini, terminal ini lebih dikunjungi dan mereka akan datang membeli di kedai, dan kami pun seronok berniaga,” katanya.

Turut sama pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Nur Jazlan Mohamed. — Bernama

Dr Tony Tan Keng Yam presiden baru S'pura

Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam menjadi presiden ketujuh republik tersebut, selepas memenangi pertandingan empat penjuru, dengan memperolehi 7,269 undi atau perbezaan 0.34 peratus selepas kiraan semula undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yam Ah Mee mengumumkan keputusan itu pada awal pagi Ahad selepas beliau membenarkan kiraan semula undi berikutan perbezaan jumlah undi antara dua calon utama adalah kurang 2 peratus daripada jumlah undi yang sah.

NONEKeng Yam memperoleh 744,397 atau 35.19 peratus daripada jumlah undi yang sah manakala Dr Tan Cheng Bock mendapat 737,128 undi atau 34.85 peratus.

Tan Jee Say meraih 529,732 undi atau 25.04 peratus dan Tan Kin Lian mendapat 103,931 undi atau 4.91 peratus.

Ini merupakan kali pertama Singapura menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan presiden. Ia juga julung kalinya menyaksikan pertandingan dalam Pilihan Raya Presiden sejak 1993.

Presiden ialah ketua negara dan memegang jawatan itu bagi tempoh penggal enam tahun.

Pilihan raya Presiden ini disifatkan sebagai 'bersejarah' kerana ia julung kali diadakan sejak 1993 apabila Ong Teng Cheong menang dalam pertembungan satu lawan satu, dan buat pertama kali menyaksikan saingan membabitkan ramai calon yang bertanding.

Rakyat Singapura mula mengundi pada Sabtu untuk memilih Presiden baru di 781 pusat mengundi yang dibuka sejak 8 pagi.

Empat 'Tan' bertanding jawatan itu untuk menggantikan SR Nathan selaku penyandang, yang akan tamat penggal memegang jawatan pada 31 Ogos selepas berkhidmat selama dua penggal.

Mereka mengundi di pusat mengundi masing-masing. Terdapat kira-kira 2.27 juta calon yang layak mengundi di negara bandar raya ini.

August 14, 2011

Jangan naik harga barang sesuka hati

KUCHING: Persatuan dan peniaga di negeri ini diingatkan agar tidak menaikkan harga barang secara tidak munasabah meskipun Skim Kawalan Harga musim perayaan belum dikuatkuasakan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, peniaga yang meletakkan harga tidak munasabah boleh dikenakan tindakan tegas.

“Mungkin ada kalangan peniaga misalnya makanan, menaikkan harga barangan mereka disebabkan kos eksport dan sebagainya.

“Perkara seperti itu kita faham tetapi jangan sampai membebankan pengguna dan tidak munasabah, kalau naik sikit sahaja kita faham,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pemborong, peniaga dan pengeluar serta pasar raya di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, jabatan tidak boleh mengawal harga barang kerana ia ditentukan oleh persatuan dan peniaga kecuali barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

“Sekarang ini, jabatan tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya ada di kalangan peniaga meletakkan harga mereka sendiri sebab ia dikawal oleh mereka melainkan Skim Kawalan Harga digazetkan,” tegas beliau.

Wan Ahmad berkata, jika peniaga didapati menaikkan harga barangan secara tidak munasabah, mereka akan diambil tindakan tegas dengan memberikan Notis 21.

Dalam notis berkenaan ujar beliau, peniaga dikehendaki memberi penjelasan dalam masa tujuh hari.

“Jika mereka tidak beri jawapan yang konkrit dan maklumat yang mengelirukan, kami akan ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya.

Di bawah akta berkenaan mereka yang didapati melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau akui, jabatan menerima banyak aduan berkaitan kenaikan harga barang tetapi setakat ini ia masih tidak membebankan pengguna.

“Cuma kadangkala mereka yang membeli dalam kuantiti yang banyak mungkin terasa kenaikannya.

“Kebanyakan aduan yang kami terima adalah mengenai harga telur yang tinggi,” tegasnya sambil menambah ada peniaga yang cuba menaikkan harga telur sampai RM10

Pasar raya besar Giant pertama di S’wak dirasmi

SIBU: Pasar raya besar Giant yang pertama di Sarawak dan dibina dengan kos kira-kira RM12 juta di Jalan Ling Kai Cheng, telah dirasmikan semalam.

Majlis perasmian dilakukan oleh Pengurus Giant Kawasan Sarawak Andrew Smith bersama Pengurus Besar Pasar Raya Besar Giant Chan Kum Cheong dan Pengurus Kompleks Giant Steven Lim Pah Kin.

Sebaik majlis perasmian bermula jam 8.30 pagi, pasar raya besar ini diserbu orang ramai yang telah menunggu sejak jam 8 pagi lagi bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan yang ditawarkan dengan harga promosi.

Sempena pembukaan rasmi, Giant menawarkan pelbagai jenis barangan dengan harga istimewa yang merangkumi barangan elektrik dan elektronik, barangan dapur, pakaian, perkakas rumah dan sebagainya.

Bagi membolehkan orang ramai membeli-belah, pasar raya ini akan dibuka dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah malam bermula semalam hingga 14 Ogos ini. Pada hari biasa, ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 11 malam.

Pembukaan pasar raya besar Giant ini yang menjual lebih 100,000 jenis barangan, memberi lebih banyak pilihan kepada penduduk Sibu untuk membeli-belah, selain mendapatkan harga yang berpatutan.

Selain pasar raya Giant, kompleks ini turut menempatkan kedai-kedai menjual pakaian, kasut, cermin mata, aksesori komputer, telefon bimbit, kedai makanan segera dan sebagainya.

Selepas ini, Giant akan membuka pasar raya besar kedua di Tabuan Jaya, Kuching pada 25 Ogos ini, diikuti di Kota Padawan.

Sehingga kini, Giant mempunyai dua pasar raya, masing-masing satu di Sibu dan Miri serta sebuah kedai sejuk beku iaitu Cold Storage di Kuching.