September 29, 2011

7 muka baru barisi kabinet

KUCHING: Rombakan kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam menyaksikan pengekalan seorang Timbalan Ketua Men-teri, pelantikan tiga menteri kanan dan tujuh menteri muda yang baru.

Kabinet yang dirombak susulan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April lepas mengekalkan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai Timbalan Ketua Menteri berbanding sebelum ini Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Taib dalam sidang media di pejabatnya berkata, adalah memadai untuk mempunyai seorang Timbalan Ketua Menteri dan diperkukuhkan dengan 13 kementerian.

Beliau menyifatkan struktur baru kabinet yang berkuat kuasa pada 30 September itu sebagai pendekatan baru kerajaan dalam merapatkan hubungan dengan rakyat.

“Keanggotaan kabinet ini merupakan satu bentuk proses peralihan kuasa menerusi pelantikan beberapa wakil rakyat yang baru dipilih menjadi menteri muda. Tidak banyak perubahan di peringkat menteri penuh,” katanya.

Ditanya mengenai penggantinya, Taib berkata, ia ter-serah kepada parti.

“Ramai yang ada dalam fikiran saya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Hadir sama Jabu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom, Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani.

Tiga menteri kanan dilantik setiap seorang mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri kecuali daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu Masing daripada PRS, Mawan daripada SPDP dan Soon Koh daripada SUPP.

Masing juga mengekalkan jawatan Menteri Kemajuan Tanah, Mawan sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Soon Koh sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat merangkap Menteri Kewangan Kedua.

Tiga menteri muda baru ialah ADUN Sebuyau Julaihi Narawi sebagai Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Muda Pembangunan Belia dan Menteri Muda Perumahan), ADUN Bukit Saban Robert Lawson Chuat (Menteri Muda Kebajikan), ADUN Belawai Datu Len Talif Salleh (Menteri Muda Alam Sekitar dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri), ADUN Bengoh Dr Jerip Susil (Menteri Muda Kesihatan Awam), ADUN Belaga Liwan Lagang (Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan), dan ADUN Bekenu Rosey Yunus (Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga).

Kabinet baru itu turut menyaksikan penubuhan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga yang diketuai Datuk Fatimah Abdullah yang sebelum ini Menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Manakala Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi diberi nama baru iaitu Kementerian Pembangunan Sosial yang diketuai Mawan.

Turut diberi nama baru ialah Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam yang digantikan dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat, diketuai Soon Koh.

Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber dinamakan semula sebagai Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar diketuai Taib sendiri, Menteri Perumahan yang diketuai Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg adalah bagi menggantikan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Kementerian Pelancongan juga diketuai Abang Johari, menggantikan Kementerian Pelancongan dan Warisan.

Rombakan dilakukan berikutan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 yang menyaksikan BN memperoleh mandat untuk memerintah semula.

Keputusan pilihan raya itu turut menyaksikan kekalahan beberapa anggota kabinet yang memerlukan ia dirombak bagi mengisi kekosongan.

Antaranya, Dr Chan yang tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, bekas Menteri Muda Peladang dan Koperasi Datuk Peter Nyarok Entrie di DUN Krian.

Dr Chan merupakan presiden SUPP manakala Nyarok timbalan presiden SPDP.

SUPP turut menyaksikan kekalahan bekas Menteri Muda Industri Makanan Datuk David Teng di DUN Repok manakala bekas Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Perumahan Datuk Dr Soon Choon Teck tidak dicalonkan semula di DUN Dudong.

Bagi PBB pula, bekas Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen tidak berada dalam kabinet selepas pilihan raya tersebut apabila mengundur diri daripada bertanding mempertahankan kerusi DUN Demak Laut.

Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem daripada PBB, yang dahulunya merupakan penasihat di Pejabat Ketua Menteri kini dilantik menjadi Menteri Tugas-tugas Khas.

Bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng juga tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Pelagus kerana beliau bukan ahli PRS.

Bagaimanapun, Larry kini memegang jawatan penasihat Hal Ehwal Belia di Pejabat Ketua Menteri.

Pendekatan terperinci dalam pilih calon MCA untuk PRU-13

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau menggunakan pendekatan terperinci dalam memilih calon-calon yang boleh menang untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, MCA akan memastikan calon-calonnya untuk kedua-dua kerusi parlimen dan negeri bukan hanya boleh membantu BN menang tetapi juga menolong parti itu memperoleh sokongan berterusan daripada orang ramai.

“Saya perlu terperinci me-ngenainya, tanpa mengira sama ada mereka penyokong saya atau tidak,” katanya semasa ditemu bual oleh beberapa pertubuhan media di sini semalam.

Dr Chua berkata, mereka yang telah berkhidmat banyak penggal hendaklah mempertimbangkan untuk memberi laluan kepada pemimpin lebih muda kerana parti itu tidak dilihat sebagai sebuah ‘produk kitar semula’.

“Jika seseorang itu adalah calon yang boleh menang, beliau boleh meneruskan tetapi orang itu hendaklah menggunakan kebijaksanaan politiknya (bila) untuk mengundurkan diri,” kata beliau.

Presiden MCA itu berkata, sesetengah pemimpin mahu terus memegang jawatan dan minta untuk dicalonkan semula bertanding pada pilihan raya umum akan datang, tetapi jumlahnya adalah kecil.

“Ada juga sesetengah wakil rakyat yang telah memberitahu saya mereka tidak mahu berkhidmat atau bertanding lagi,” katanya dengan memberikan contoh, pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew, Tan Kok Hong (anggota exco Johor), bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting (Ahli Parlimen Kulai) dan Teng Boon Soon (kini Ahli Parlimen Tebrau).

Dr Chua berkata, MCA menjalankan kajian di 10 kawasan pilihan raya baru-baru ini untuk menentukan faktor yang akan mengalih keputusan pengundi, dalam memilih calon.

Maklum balas daripada kajian itu menunjukkan bahawa faktor calon akan memainkan peranan utama berkaitan pengundi.

“Akhirnya sama ada calon itu boleh memberikan khidmat, mesra orang ramai atau tidak, dan sama ada seseorang itu sebenarnya boleh memberikan khidmat kepada rakyat. Ini penting,” kata beliau sambil menambah tahap sokongan untuk seseorang calon itu juga penting.

Dr Chua berkata, kajian itu juga tidak menunjukkan bahawa hanya calon dari bahagian di kawasan pilihan raya yang sama akan menang.

Beliau berkata, menghantar pemimpin untuk bertanding di kawasan pilihan raya yang berlainan bukan sesuatu yang baru bagi MCA.

Semasa temu bual itu, beliau mengulangi bahawa jika keputusan MCA sangat teruk pada pilihan raya umum akan datang, parti itu tidak akan menerima pelbagai jawatan awam, seperti dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Ke-selamatan Kampung (JKKK) sehinggalah anggota Dewan Negara dan menteri.

“Kita telah membuat keputusan ini selepas banyak run-dingan. Ia bukan bermakna untuk mengugut masyarakat Cina tetapi lebih ke arah menghormati keputusan ramai. Jika kita tidak dapat sokongan daripada orang ramai, kita tidak sah,” kata beliau. — Bernama

Tiada unsur sabotaj, pengganas dalam letupan di Empire Gallery

PETALING JAYA: Siasatan awal mendapati letupan yang berlaku di pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya dekat sini semalam tiada kaitan dengan sabotaj dan kegiatan pengganas, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaivegan.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan kecuaian.

“Berdasarkan siasatan awal, tiada apa-apa bukti menunjukkan kejadian berlaku akibat sabotaj atau ada kaitan dengan terrorisme.

“Kita anggap ini adalah satu kemalangan, yang mana kita tahu ia disebabkan kebocoran gas. Tapi kita mahu tahu apa punca sebenar letupan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan akan mengambil kira kertas siasatan daripada pihak bomba dan Suruhanjaya Tenaga.

“Unit Forensik Polis akan siasat perkara ini dengan mengambil kira pelbagai sudut sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Letupan kira-kira jam 3.30 pagi dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas itu menyebabkan empat orang cedera ringan.

Ia berlaku di aras bawah yang menempatkan kedai-kedai makan. — Bernama

September 25, 2011

Generasi muda diiktiraf

KUCHING: Sarawak bakal memperlihatkan penyusunan semula jentera pentadbiran kerajaan tempatannya dengan penyertaan daripada generasi muda.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata tindakan itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun depan.

“Sudah tiba masanya untuk kita memberi nafas baru kepada kerajaan tempatan kita dengan penyertaan daripada golongan muda.

“Namun proses penyusunan semula pentadbiran ini akan kita jalankan selepas rombakan kabinet negeri, yang saya umumkan pada minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Jadi Ke-90 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah di Padang Merdeka di sini, semalam.

Perbarisan berwarna-warni itu disertai 90 kontinjen terdiri daripada 1,500 peserta sektor awam dan swasta, serta pelajar sekolah dan kumpulan belia. Turut diadakan persembahan kebudayaan.

Menurut Taib, Sarawak mempunyai ramai pemimpin muda berpotensi di peringkat akar umbi yang bersedia untuk membantu dalam mentadbir negeri ini.

Bagaimanapun ujarnya, mereka perlu menampilkan diri dan bukan hanya dengan menyuarakan pendapat atau mengkritik kerajaan sedia ada.

“Mungkin ada antara mereka lebih memilih untuk menyuarakan kritikan sahaja tetapi ia tidak mencukupi.

“Apa yang penting adalah untuk berkhidmat kepada rakyat kerana kita memerlukan ‘warrior’ atau individu yang berpotensi untuk melaksanakan apa yang kita mahukan,” tegasnya.

Dalam pada itu Taib menyeru rakyat negeri ini terutamanya ibu bapa agar menyediakan anak-anak mereka bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi kemahiran teknikal.

Ia jelas beliau bagi memenuhi peluang pekerjaan terutamanya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang amat memerlukan bidang berkenaan.

“Memang kita perlukan graduan daripada universiti dalam usaha membangunan negeri ini namun ia tertumpu kepada golongan kecil sahaja.

“Golongan besar adalah mereka yang menjalankan kemahiran berasaskan teknikal kerana peluang pekerjaan akan datang cenderung kepada kemahiran itu,” tegasnya.

Majlis turut dihadiri isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua yang juga menteri bertanggungjawab terhadap majlis itu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pengerusi pengelola yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, menteri-menteri kabinet dan wakil-wakil rakyat.

Sambutan Hari Jadi TYT meriah, harmoni

KUCHING: Sambutan Hari Jadi Ke-90 Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin diadakan dalam suasana meriah dan harmoni.

Kehadiran ribuan rakyat Sarawak berbilang kaum memenuhi Padang Merdeka sejak jam 6.30 pagi lagi untuk meraikan sambutan itu semalam menunjukkan cinta rakyat terhadap pemimpin tertinggi negeri itu.

Sambutan itu dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri sebaik sahaja ketibaan beliau dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Sambutan itu diteruskan dengan istiadat perbarisan dan rapat raksasa sejurus selepas ucapan daripada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sebanyak 90 kontinjen terdiri daripada organisasi kerajaan dan swasta terlibat dalam rapat raksasa tersebut.

Sambutan lebih meriah lagi dengan acara persembahan padang yang disertai oleh pelbagai agensi termasuk institut pengajian tinggi dan beberapa sekolah menengah di sekitar bandar Kuching.

Turut menceriakan lagi suasana ialah penyertaan kira-kira 200 anak-anak kecil daripada beberapa Taman Bimbingan Kanak-kanak(Tabika) dalam acara simbolik hari jadi itu.

Majlis tersebut diakhiri dengan Hormat Diraja oleh Pasukan Kawalan Kehormatan Utama dan Pancaragam Polis Diraja Malaysia

September 18, 2011

PM terima 7,000 permohonan daripada bekas penyokong pembangkang untuk sertai BN

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menerima 7,000 borang permohonan daripada bekas penyokong pakatan pembangkang untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau menerima borang tersebut yang diserahkan oleh beberapa wakil bekas penyokong pembangkang dari kawasan Sri Muda, Shah Alam, Bukit Kemuning, Puchong, Bukit Jalil, Ijok dan Petaling Jaya pada majlis ramah mesra pemimpin-pemimpin BN ‘Sirih Pulang ke Gagang’ di sini.

Mereka adalah bekas penyokong pakatan PAS-DAP-PKR pada 2008 tetapi kini telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang memerintah Selangor kini serta telah mengambil keputusan menyokong BN.

Najib ketika berucap pada majlis tersebut menyifatkan tindakan mereka sebagai mencerminkan tahap keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan BN dapat dipulihkan sejak pilihan raya umum 2008.

Sambil berterima kasih di atas sokongan mereka terhadap BN, Najib berkata:

“Saya rasa amat terharu atas persetujuan tuan-tuan dan puan-puan untuk menyokong BN kerana kita berhasrat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat lagi utuh kerana kestabilan politik merupakan akar tunjang kepada masa depan negara kita.”

Beliau berkata, sekiranya keadaan politik terumbang-ambing dan tidak menentu serta tiada kestabilan politik, kesannya kepada negara adalah amat buruk.

Katanya, pelabur luar dan dalam negara akan bertanya sama ada wujud kestabilan politik di Malaysia sebelum membuat keputusan melabur.

“Jika kita dapat tunjukkan rakyat di Malaysia majoritinya menyokong BN saya percaya kesan pada ekonomi negara kita akan begitu memberangsangkan sekali dan kita akan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih tinggi lagi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, aliran modal ke Malaysia akan membuka peluang pekerjaan dan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

“Tentu tuan-tuan puan-puan mempunyai anak yang memerlukan pekerjaan dan ini akan jadi kenyataan jika kita boleh menambahkan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Najib berkata, kerajaan BN menyusun langkah untuk menolong semua kaum di negara ini termasuk golongan miskin dan berpendapatan rendah.

BN juga akan membantu menyelesaikan masalah yang khususnya dihadapi oleh kaum India seperti ketiadaan MyKad, sijil kelahiran di mana kerajaan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan masalah ini, katanya.

“Saya percaya banyak masalah sudah diselesaikan dan dalam masa terdekat banyak lagi masalah seperti ini akan diselesaikan oleh kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu, salah seorang wakil bekas penyokong pembangkang memberitahu pemberita bahawa mereka menyokong BN kerana ada pemimpin pakatan tersebut yang tidak menunaikan janji kepada mereka dan liat untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

K.Vijayakumar, 29, bekas Anggota Jawatankuasa PKR Cabang Bukit Kemuning berkata, beliau berasa tertipu apabila mengadukan masalah rakyat seperti masalah banjir dan jawapan yang diterima mengecewakan iaitu masalah itu perlu dirujuk kepada kerajaan pusat. — Bernama

Letupan bom: 4 rakyat Malaysia maut

SUNGAI GOLOK, Selatan Thailand 17 Sept. – Empat rakyat Malaysia termasuk seorang kanak-kanak antara lima yang maut apabila tiga butir bom meletup di kawasan hiburan di Jalan Charoen Khet di sini, lewat petang semalam.

Letupan itu juga menyebabkan 19 rakyat Malaysia cedera yang mana dua daripadanya iaitu Yau Win dan Heng Chin Goa parah serta dirawat di Hospital Yala, Thailand.

Mereka yang maut ialah Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang; Wong Hong Yep, 64, dan cucunya, Wong Kai Sean berusia tiga tahun dari Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan manakala seorang lagi mangsa ialah sukarelawan Thailand yang berusia 38 tahun. Seorang lagi rakyat Malaysia, Chen Yew Soon, 40, meninggal dunia di Hospital Hadyai pukul 8 malam tadi.

Hong Yep dan cucunya berada di Sungai Golok petang semalam bersama tiga lagi ahli keluarga manakala Foo Keah datang bersama abang dan rakannya ke bandar tersebut sebelum maut dalam letupan itu.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rusdi Che Omar berkata, letupan pertama berlaku kira-kira pukul 7.30 petang waktu Malaysia, apabila sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew yang terletak di tengah sepanjang jalan tersebut meletup menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.

“Kira-kira lima minit kemudian, sebutir lagi bom yang diletakkan pada motosikal berhampiran sebuah hotel meletup menyebabkan Foo Keah dan seorang lelaki rakyat Thailand maut.

“Ketika keadaan di sepanjang 500 meter di jalan tersebut kelam-kabut, satu lagi letupan yang lebih kuat berlaku di persimpangan masuk jalan itu berhadapan medan selera sehingga menyebabkan Hong Yep dan cucunya meninggal dunia.

“Letupan terakhir berpunca daripada sebutir bom yang diletakkan dalam sebuah kereta di hadapan medan selera tersebut. Ia juga menyebabkan hotel berhampiran turut mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Hospital Sungai Golok di sini, hari ini.

Hong Yep meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Yala manakala Kai Sean yang mengalami kecederaan serius maut di tempat kejadian. Letupan itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang cedera di mana enam daripadanya parah.

Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di tempat kejadian mendapati, pihak berkuasa telah menutup jalan tersebut untuk kenderaan dan kerja-kerja membersihkan serta menyambung semula bekalan elektrik giat dijalankan.

Rusdi berkata, pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan kumpulan terlibat dengan dadah selain tidak menolak kemungkinan mereka juga adalah ahli kumpulan pemisah.

Tambahnya, siasatan juga mendapati bom yang digunakan dalam kejadian itu adalah jenis bom jangka dan bom kawalan yang dihalakan ke arah kenderaan terbabit.

September 11, 2011

Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik akan ditubuh di UiTM Sarawak

KUCHING: Sarawak dijangka mempunyai sebuah lagi institut penyelidikan yang berpangkalan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak pada masa akan datang.

Cadangan penubuhan institut yang dinamakan Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik itu merupakan hasil kerjasama antara UiTM Sarawak bersama Century Foundation Bangalore, India.

Presiden Century Foundation Bangalore daripada Universiti Bangalore Profesor Madya Dr Sivaram berkata, agenda mengenai perkara telah dibincangkan bersama pihak UiTM.

“Namun ia perlu mendapat pertimbangan daripada kerajaan Malaysia amnya dan Sarawak khasnya dan kemudian barulah kita memulakan usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kongres Biodiversiti Sedunia Kedua yang disempurnakan Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian Ngusie di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Sivaram satu mesyuarat yang mungkin akan diadakan di Bangalore, India bersama kerajaan Sarawak, yang menjemput wakil UiTM serta kerajaan sendiri.

Ia ujar beliau mengenai mobiliti serta logistik untuk menubuhkan institut penyelidikan itu.

Kata Sivaram, inisiatif pusat itu nanti akan memperlihatkan semua aspek flora dan fauna di Sarawak yang bakal memberi manfaat kepada negeri ini.

Sementara itu Nansian berkata, bagi mengekalkan kelestarian alam semula jadi di negeri ini, ia memerlukan pendekatan yang disusun dengan baik serta profesional.

“Justeru kita menyambut baik hasrat penubuhan pusat yang kita jangkakan memberi manfaat untuk biodiversiti kita dan pada masa yang sama memeliharanya,” tegas beliau.

Nansian berharap dalam usaha itu nanti, ia turut menjadikan UiTM Sarawak sebagai salah satu daripada pengasas institut pusat terbabit.

Terdahulu Rektor UiTM Sarawak Profesor Dr Jamil Hamali dalam ucapannya berkata, UiTM berhasrat menjalin hubungan yang lebih kukuh dan berkekalan dengan Century Foundation Bangalore, India.

Beliau berkata, ia melalui rancangan menubuhan Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik berpangkalan di UiTM Sarawak.

“Ia sebagai satu platform mewujudkan hubungan di kalangan saintis dan kepakaran antarabangsa melalui rakan kongsi dan usaha sama penyelidikan menggunakan geran antarabangsa bagi meningkatkan kekuatan maklumat penyelidikan global,” katanya.

Kongres selama tiga hari bermula semalam itu disertai kira-kira 200 peserta dari 31 negara yang menyaksikan India peserta terbanyak iaitu 60 orang diikuti Iran seramai 19 orang delegasi.

Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik akan ditubuh di UiTM Sarawak

KUCHING: Sarawak dijangka mempunyai sebuah lagi institut penyelidikan yang berpangkalan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak pada masa akan datang.

Cadangan penubuhan institut yang dinamakan Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik itu merupakan hasil kerjasama antara UiTM Sarawak bersama Century Foundation Bangalore, India.

Presiden Century Foundation Bangalore daripada Universiti Bangalore Profesor Madya Dr Sivaram berkata, agenda mengenai perkara telah dibincangkan bersama pihak UiTM.

“Namun ia perlu mendapat pertimbangan daripada kerajaan Malaysia amnya dan Sarawak khasnya dan kemudian barulah kita memulakan usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kongres Biodiversiti Sedunia Kedua yang disempurnakan Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian Ngusie di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Sivaram satu mesyuarat yang mungkin akan diadakan di Bangalore, India bersama kerajaan Sarawak, yang menjemput wakil UiTM serta kerajaan sendiri.

Ia ujar beliau mengenai mobiliti serta logistik untuk menubuhkan institut penyelidikan itu.

Kata Sivaram, inisiatif pusat itu nanti akan memperlihatkan semua aspek flora dan fauna di Sarawak yang bakal memberi manfaat kepada negeri ini.

Sementara itu Nansian berkata, bagi mengekalkan kelestarian alam semula jadi di negeri ini, ia memerlukan pendekatan yang disusun dengan baik serta profesional.

“Justeru kita menyambut baik hasrat penubuhan pusat yang kita jangkakan memberi manfaat untuk biodiversiti kita dan pada masa yang sama memeliharanya,” tegas beliau.

Nansian berharap dalam usaha itu nanti, ia turut menjadikan UiTM Sarawak sebagai salah satu daripada pengasas institut pusat terbabit.

Terdahulu Rektor UiTM Sarawak Profesor Dr Jamil Hamali dalam ucapannya berkata, UiTM berhasrat menjalin hubungan yang lebih kukuh dan berkekalan dengan Century Foundation Bangalore, India.

Beliau berkata, ia melalui rancangan menubuhan Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik berpangkalan di UiTM Sarawak.

“Ia sebagai satu platform mewujudkan hubungan di kalangan saintis dan kepakaran antarabangsa melalui rakan kongsi dan usaha sama penyelidikan menggunakan geran antarabangsa bagi meningkatkan kekuatan maklumat penyelidikan global,” katanya.

Kongres selama tiga hari bermula semalam itu disertai kira-kira 200 peserta dari 31 negara yang menyaksikan India peserta terbanyak iaitu 60 orang diikuti Iran seramai 19 orang delegasi.

30,000 naik pangkat

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Lebih 30,000 anggota polis berpangkat lans koperal bakal dinaikkan pangkat kepada koperal secara berperingkat mulai esok.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar malam ini selepas mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Ismail, daripada jumlah tersebut, seramai 16,010 dinaikkan pangkat serta-merta, manakala 14,716 lagi akan dinaikkan kepada koperal secara berperingkat selepas ini.

"Kenaikan pangkat anggota yang ramai dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melibatkan lans koperal tetap, sokongan dan lans koperal Orang Asli.

"Perdana Menteri selain itu turut meluluskan proses kenaikan tanpa temuduga tetapi anggota perlu mengikut syarat lain, termasuk tempoh tetap berkhidmat sebagai lans koperal iaitu selama lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Maktab PDRM Cheras, di sini.

Ismail memberitahu, kelulusan tersebut juga satu kejutan buat PDRM kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

Katanya, berikutan itu, anggota-anggota yang telah dan akan dinaikkan pangkat perlu bekerja keras dalam menjaga keselamatan negara.

Menurutnya, pada Julai lalu, seramai 1,294 anggota polis berpangkat lans koperal telah dinaikkan kepada koperal.

Berita baik untuk anggota PDRM itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pelarasan kenaikan gaji dan elaun pada Februari lalu.

Dalam pengumuman tersebut, seramai 98,747 anggota dan pegawai telah menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) antara RM1,500 hingga RM6,000 berkuat kuasa 1 Januari 2009.

September 4, 2011

Ukiran patung buaya kuno tarikan pelancong ke S’wak

MIRI: Ukiran patung-patung buaya kuno bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan berasaskan ekologi di Sarawak untuk menarik kedatangan pelancong.

Diukir daripada tanah dan digunakan sebagai sebahagian ritual masyarakat kaum Iban dan Lun Bawang, patung berusia 3,000 tahun itu melambangkan semangat buaya yang kental.

Reptilia tropika itu yang boleh hidup dalam air dan daratan telah wujud lebih awal daripada dinosaur yang menguasai dunia berjuta-juta tahun dahulu.

Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan berkata, patung berkenaan yang melambangkan semangat juang buaya, ditemui di lebih 70 lokasi antara Bahagian Betong di selatan negeri ini dan Lawas, daerah di hujung utara Sarawak.

“Kami telah menjalankan kajian di tapak-tapak patung berkenaan pada 2004 dan kerja itu dipergiatkan lagi tiga tahun kemudiannya.

“Penemuan terbesar setakat ini ialah ukiran patung sepanjang 53 kaki (16.2 meter),” katanya di sini baru-baru ini.

Daripada kaji selidik yang dijalankan, beliau berkata ,lebih 40 tapak milik masyarakat Iban ditemui antara Bahagian Betong dan Balingian di Bahagian Mukah.

Katanya, masyarakat Iban yang menjalankan pertanian padi bukit mempunyai kepercayaan tradisi bahawa patung itu memainkan peranan dalam melindungi tanaman mereka.

“Patung itu akan digunakan dalam ritual ‘Malik Umai’, di mana masyarakat petani tradisional Iban percaya ia (patung) memiliki semangat buaya untuk menakutkan dan menghalau haiwan perosak yang cuba memusnahkan tanaman mereka,” kata Ipoi.

Dalam kes masyarakat kuno Lun Bawang, beliau berkata, patung buaya diukir untuk menjadi lambang pada perayaan meraikan kejayaan memburu kepala.

Beliau berkata, patung tanah yang mengeras selepas beberapa tahun juga dijadikan sebagai penanda sempadan tanah.

Dengan penghijrahan anggota masyarakat Lun Bawang ke luar negeri ini, katanya ,mereka turut membawa bersama tradisi mereka yang telah membawa kepada penemuan patung-patung buaya di negeri jiran, Sabah.

Beliau berkata, nilai arkeologi patung-patung berkenaan adalah setanding dengan megalit atau struktur batu yang ditemui di Sarawak. — Bernama

BN tidak pernah berbelah bagi agih pembangunan

SARIKEI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengamalkan sikap berbelah bagi dalam mengagih-kan pembangunan kepada rakyat di negara ini.

Sebaliknya masyarakat Cina di negara ini harus sedar bahawa banyak pembangunan yang dijalankan oleh pihak kerajaan memberi banyak kelebihan kepada mereka dan semua masyarakat tanpa mengira perbezaan bangsa dan kaum, demikian menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk David Teng Lung Chi.

“Justeru tiada alasan bagi masyarakat Cina untuk ti-dak memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN dan bukannya terpengaruh dengan propaganda pihak pembangkang yang mengata-kan bahawa mereka sering diabaikan daripada sebarang kemajuan.

“Jangan mudah cepat terpengaruh dan tertarik dengan janji-janji manis yang sering dilaung-laungkan oleh pihak pembangkang kerana mereka (pembangkang) lakukan semua itu semata-mata untuk meraih undi daripada masyarakat dan apa yang lebih nyata bahawa perjuangan mereka tiada masa depan jika dibandingkan dengan perjuangan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) atau lain-lain parti komponen BN.

“Dalam tempoh masa selama berpuluh-puluh tahun kerajaan BN mentadbir negara dan negeri ini, banyak sekali kejayaan dan pembangunan telah dicapai dan ini boleh dibuktikan dengan kekukuhan ekonomi negara yang berada pada tahap memberangsangkan dan memberi impak positif kepada semua peringkat rakyat Malaysia,” kata Teng.

Tambahnya, selain dari-pada kekukuhan ekonomi-nya, satu perkara yang amat penting dalam merintis kejayaan negara hingga disegani oleh negara lain di dunia ini ialah semangat perpaduan pelbagai kaumnya yang amat kuat dalam diri masyarakat.

Ia merupakan kunci utama negara maju terus ke hadapan dan berjaya menghadapi segala cabaran yang datang kerana rakyatnya bersatu hati dan kelebihan tersebut harus dikekalkan sampai bila-bila, katanya lagi.

Beliau berkata demikian di salah sebuah restoran dekat sini semalam, pada majlis Dialog Bersama Ahli SUPP Sarikei.

“SUPP Sarikei tidak seharusnya terlalu bergantung kepada SUPP di lain bahagian untuk bergerak tetapi apa yang paling penting sekarang ialah cuba untuk berdikari tanpa membebankan lain-lain pihak, terutama dengan masalah remeh-temeh yang secara dasar mampu diselesaikan pada peringkat rendah sahaja.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli parti agar jangan mengamalkan sikap ‘talam dua muka’ dan hanya mementingkan kepentingan diri sendiri apabila bergiat dalam bidang politik kerana ini boleh memberikan kesan yang negatif kepada semua pihak, khususnya bagi parti politik itu sendiri,” katanya.

“Jika kita melihat kepada persediaan dan perancangan kerajaan BN dalam tempoh masa yang akan datang, ba-nyak aktiviti pembangunan akan berlaku dan ia bakal memberi kesan yang positif kepada semua peringkat, jadi gunakan peluang yang ada itu dengan sebaiknya untuk manfaat bersama,” tegas Teng.

Menurut beliau lagi, antara tumpuan pembangunan ke-rajaan BN pada tempoh masa tersebut ialah menyediakan kemudahan infrastruktur terutamanya jalan raya sebagai penghubung Sarikei dengan kawasan Tenaga kerja Diperbaharui Sarawak (SCORE), mempergiatkan industri pertanian dan pen-ternakan dalam menjadi bandar agropolitan, menaik taraf perkhidmatan kesihatan dan banyak lagi perancangan yang lain.

Turut hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen P206 Sarikei, Ding Kuong Hiing, Kaunselor Teng Ung Woo serta lebih 300 penduduk yang kebanyakannya ialah ahli SUPP.