March 25, 2012

Warga emas maut, tiga kenderaan bertembung

SARIKEI: Satu kemalangan maut berlaku di selekoh berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh Sarikei, pagi semalam.

REMUK DAN MAUT: Beginilah keadaan kenderaan mangsa yang terbabit dalam kemalangan semalam.

Kemalangan tersebut membabitkan pertembungan tiga kenderaan iaitu lori kargo, Toyota Vios dan Toyota Avanza.

Kemalangan berlaku pada kira-kira jam 8.40 pagi, ketika lori kargo datang dari arah Kuching menuju ke Sibu manakala Vios dan Avanza dari Miri menuju ke Sri Aman untuk me-lawat keluarga.

Menurut pemandu lori kargo yang berusia sekitar 30-an, pada waktu kejadian jalan di kawasan terbabit berada dalam keadaan basah dan berkemungkinan licin akibat hujan yang telah turun sejak awal pagi.

“Ketika saya memandu melalui selekoh itu, secara tiba-tiba saya melihat sebuah kereta (Avanza) berada dalam keadaan hilang kawalan dan memasuki lorong laluan saya.

“Melihat keadaan itu saya cuba mengelak dari berlakunya pertembungan, namun kejadian yang begitu pantas itu tidak mampu saya elakkan, menyebabkan berlakunya pertembungan di antara lori saya dan Avanza itu.

“Akibat pertembungan tersebut dan dalam usaha untuk mengelak, lori saya terbabas ke tepi jalan,” katanya.

Pada masa yang sama juga, Avanza telah terpelanting semula ke laluan asalnya, berputar dengan keadaan bahagian hadapan kenderaan terbabit berada dalam situasi bertentangan dengan kereta Vios yang datang dari laluan yang sama dengannya.

Akibatnya, berlaku satu lagi perlanggaran antara kedua-dua kenderaan terbabit.

Difahamkan bahawa penumpang kereta Vios dan Avanza adalah dari satu keluarga yang sedang dalam perjalanan untuk melawat keluarga mereka di Sri Aman.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Limpa Mani berusia dalam lingkungan usia 70-an dan merupakan penumpang di bahagian belakang Avanza manakala pemandunya, Siti Sigan, 30, dan seorang penumpang di bahagian depan kereta terbabit mengalami cedera parah.

Terdapat lima orang dalam Avanza pada waktu kejadian manakala lima lagi berada dalam Vios dan masing-masing turut mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjutan.

Mangsa yang cedera parah pula dirujuk ke Hospital Sibu.

Bagi pemandu dan kelindan lori kargo pula, mereka hanya mengalami cedera ringan sahaja.

Namun begitu punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

Sokongan rakyat di Selangor terhadap BN semakin memuncak

HULU LANGAT 25 Mac — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin sokongan rakyat di Selangor terhadap Barisan Nasional (BN) semakin memuncak ekoran kegagalan kerajaaan negeri yang diterajui pakatan pembangkang melaksanakan janji-janjinya semasa pilihan raya umum 2008.

"Kita nak tanya pada pembangkang, janji pada pilihan raya umum (PRU) 2008 banyak mana sudah mereka tunaikan...? "Cukai pintu turun 20 peratus dah tunai...? cukai premis perniagaan turun 10 peratus dah tunai...? perkhidmatan kesihatan percuma warga emas Selangor dah tunai?...semua belum (ditunaikan) lagi.

"Sebab itu hari ini rakyat lebih yakin kepada BN, kita dah kena tipu sekali cukup, kita tak mahu ditipu sekali lagi,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh daripada lebih 5,000 orang pada majlis bantuan kepada mangsa banjir bagi kawasan Parlimen Hulu Langat dan Ampang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, di sini, hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, beliau sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat di negeri ini.

"Saya sepatutnya berada di Sepang untuk mengikuti perlumbaan F1, tetapi Hamilton (pelumba F1 Lewis Hamilton) boleh tunggu, rakyat Hulu Langat lebih penting dan dapat keutamaan.— BERNAMA

Sarawak paling banyak PBR

MILIKMU: Len (empat kiri) melakukan penyerahan kunci dan sijil rumah Program Bantuan Rumah kepada Azmi Seman dan isterinya, sambil disaksikan oleh Zaki (tiga kiri), Stephen (dua kanan) dan tetamu kehormat yang lain.

SARIKEI: Sebanyak 376 rumah di Sarawak menerima bantuan dalam Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS 3) bagi tahun 2011.

Ini meliputi bantuan seperti Bina Baharu (BB) serta Baik Pulih (BP) dan telah melibatkan kos berjumlah RM8.6 juta.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh berkata, di bahagian Sarikei sahaja terdapat 148 rumah yang telah menerima bantuan BB dan BP.

“Sebanyak 100 kampung di bahagian ini telah terlibat dengan kedua-dua program ini, di mana 48 kampung telah menerima bantuan BB manakala 48 yang lain telah menerima bantuan BP.

“Menerusi program NBOS 3 ini, kira-kira 30 peratus yang melibatkan wang berjumlah RM2.6 juta telah pun digunakan untuk tujuan kos pengangkutan dan penghantaran bahan binaan.

“Harga bahan binaan yang lebih tinggi di kawasan pedalaman telah dapat ditampung, tanpa satu rumah pun yang gagal disiapkan mengikut garis panduan ditetapkan dan penjimatan kos telah dapat dicapai.

“Terdapat empat daerah yang terlibat dengan program BB dan BP ini iaitu daerah Sarikei sebanyak 148 buah, Betong (60), Kanowit (135) dan Serian (33),” kata Len.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya di Majlis Penyerahan Rumah PBR Daerah Sarikei di dewan serba guna Kampung Seberang Sarikei, semalam.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluannya, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, Sarawak merupakan negeri yang paling banyak menerima bantuan terbabit melalui program NBOS 3.

“Program ini telah kami lancarkan di Sarawak dan Sabah bermula bulan Ogos 2011 yang melibatkan 406 rumah.

“Pada 15 Januari 2012 iaitu dalam tempoh enam bulan sahaja kita telah berjaya menyiapkan kesemua pembinaan tersebut dan keadaan ini telah memberikan satu rangsangan yang positif kepada pihak kami, tetapi apa yang paling bermakna sekali ialah ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat amnya.

“Pada masa yang sama, kami merasakan bahawa kewujudan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tanggapan masyarakat yang hanya menjurus kepada tanggungjawab sebagai benteng kepada rakyat menghadapi ancaman musuh dapat kami perluaskan lagi dengan usaha menghulurkan bantuan secara terus untuk meningkatkan taraf hidup rak-yat,” kata Zaki.

Dalam majlis tersebut turut dilangsungkan upacara simbolik pe-nyerahan kunci dan sijil rumah PBR kepada beberapa pemilik dari da-erah Sarikei yang disempurnakan oleh Len Talif.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah, Ketua Staf Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia Kolonel Abdullah Mansoor, Penolong Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Sarawak Piee Joheng, Resi-den Bahagian Sarikei Michael Dawi Alli serta sekitar 100 orang yang terdiri daripada wakil jabatan kerajaan dan masyarakat setempat

March 11, 2012

Usah buat spekulasi kenaikan harga barang, kata Ismail Sabri

KUANTAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak tidak membuat spekulasi kenaikan harga barang susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

Katanya, perbuatan sedemikian hanya akan menimbulkan kesan buruk kepada semua pihak termasuk pengguna dan peniaga sendiri.

“Sejak kerajaan umumkan kenaikan gaji kakitangan awam sehingga kini masih belum ada laporan kenaikan harga barang, kalau boleh jangan buat spekulasi (kenaikan harga), itu hanya boleh merosakkan kita.

“Contohnya jika ada spekulasi harga barang tertentu naik, kita bimbang ada peniaga yang percaya dan kemudian menyorokkan barang terbabit. Bila barang keperluan terbabit ber-kurangan sedangkan permintaan tinggi, itu yang ada pihak mula menaikkan harga,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan Koperasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang turut dihadiri Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Ismail Sabri berkata, pengguna perlu memainkan peranan apabila mengetahui ada barang keperluan di kawa-san masing-masing yang dijual pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.

“Pengguna perlu melindungi ke-pentingan mereka sendiri dengan perlu melaporkan kepada kementerian di talian bebas 1 800 886 800 sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga barang. “Pengguna jangan hanya diamkan diri sekiranya perkara ini berlaku di kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Bekerjasama dengan pihak kementerian dan maklumkan masalah kepada kami kerana kadangkala ada kawasan yang tidak sempat dikunju-ngi pegawai pemantau harga,” kata-nya. — Bernama

Pilih kerajaan yang mampu urus tadbir negara - PM

PEKAN 11 Mac — Rakyat perlu memilih sebuah kerajaan yang dilihat mampu untuk mengurus tadbir negara dengan cekap demi kelangsungan kesejahteraan dan kemakmuran kata, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, memilih sebuah kerajaan yang mampu mengurus tadbir negara adalah penting kerana rakyat pada akhirnya juga yang akan menerima manfaatnya.

"(Memilih kerajaan) Bukan setakat pandai bersyarah sahaja atau gantung ”bulan” paling tinggi, tetapi kelebihan urus tadbir negara dan agensi, baru boleh jana kekayaan, bila dah berjaya, wajib bantu rakyat dan orang ramai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Vitamin 1Malaysia dan penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2012 di Dataran Pekan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Program Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Datuk Dr. Shamsul Anuar Sulaiman.

Najib berkata, ungkapan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan perlu diterjemahkan dalam bentuk realiti supaya boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat.

"Kerajaan melalui Pelan Transformasi Ekonomi dan kerajaan serta pentadbiran yang berasaskan kepada KPI (indeks prestasi utama) maka kita berjaya merangsang dan memacu ekonomi yang baik iaitu pada kadar pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu perlu dilihat sebagai satu pencapaian yang amat baik ketika negara dan dunia berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.— BERNAMA

Kerajaan tidak bantah rakyat guna nama, logo 1Malaysia secara bebas

JULAU: Kerajaan pusat tidak membantah penggunaan nama atau logo 1Malaysia oleh ma-syarakat secara bebas terma-suk dalam perniagaan selagi mereka tidak mencemuh atau mempersendakan maksudnya.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebuda-yaan Datuk Joseph Salang berkata gagasan 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatupadukan ma-syarakat majmuk di negara ini.

Gagasan 1Malaysia semakin dihormati dan diterima rakyat berbilang kaum di negara ini, katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke rumah panjang 20 pintu, Rumah Kaing Usit, di Merurun, dekat sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Salang berkata kerajaan sentiasa terbuka kepada sebarang teknologi komunikasi yang boleh membantu merapatkan jurang digital di antara kawa-san bandar dan luar bandar di negara ini.

Katanya, ia termasuk per-khidmatan Nano GSM VSAT yang dicadangkan oleh penyedia perkhidmatan komuni-kasi, Maxis.

“Maxis mendakwa teknologi itu telah digunakan sejak tiga tahun lepas di kawasan pedalaman tanpa sebarang liputan di Sabah dan Sarawak.

“Aplikasi berdasarkan sate-lit yang menekankan per-khidmatan telefon telah di-gunakan di lebih 100 lokasi khususnya di ladang-ladang besar, kilang papan dan kilang,” katanya. — Bernama



March 4, 2012

Negara masih perlu 23 peratus tenaga kerja mahir: Fatimah

MENARIK: Fatimah diiringi Dorge (dua kanan) melawat ruang pameran fotografi pada BPIEF 2012 di BCCK, semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, statistik semasa menunjukkan pada masa kini, terdapat hanya 25 peratus pekerja mahir di Malaysia.

“Kita cuma ada 25 peratus pekerja mahir berbanding dengan Taiwan 33 peratus, Korea Selatan (36 peratus) dan Singapura (49 peratus) sementara kerajaan menyasarkan untuk mencapai 48 peratus tenaga kerja mahir pada tahun 2020.

“Maka itu, salah satu daripada transformasi pendidikan yang diberi perhatian tinggi oleh kerajaan ialah pendidikan vokasional dan teknik, dan Sarawak khususnya perlu me-ningkatkan peratus pekerja mahir dalam konteks meme-nuhi tenaga kerja di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Borneo Post International Fair (BPIEF) 2012 yang dihadiri Pengerusinya Dorge Rajah, Pengurus Sumber Manusia KTS Holdings juga Penasihat BPIEF, Adeline Lau dan wakil Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, Bapak Gondosoemarto Wibisono di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Fatimah yang juga Penaung BPIEF berkata, penganjuran pameran berkenaan merupakan pelengkap kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di negeri ini dan membantu pembangunan sumber manusia.

“Baik dari segi akademik mahupun latihan kemahiran, ia pasti akan membantu ke-rajaan ke arah memenuhi keperluan tenaga kerja di SCORE nanti.

“Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah, tetapi juga ibu bapa serta guru kaunseling sekolah untuk mendapatkan maklumat pendidikan yang diperlukan selain bantuan kewang-an,” ujarnya.

Jelasnya, SCORE yang dijangka menawarkan 1.3 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030, merupakan cabaran dalam usaha kerajaan menyediakan tenaga kerja.

“Kita perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap peluang kerjaya bidang kemahiran ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, selain menjadikan latihan kemahiran sebagai pilihan utama kepada lepasa sekolah,” kata beliau.

Fatimah berkata, sistem pendidikan teknik dan vokasional yang baik akan menjana pembangunan sumber manusia yang berkualiti dan seterusnya memacu negara maju berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, katanya, satu transformasi dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional merangkumi Program Asas Vokasional (PAV) akan dilaksanakan pada tahun 2012 di 15 buah sekolah menengah.

“Saya menyeru ibu bapa, pengetua dan Jabatan Pelajaran supaya dapat memastikan golongan pelajar yang cenderung belajar secara ‘hands on’ agar mengikuti PAV di sekolah-sekolah menengah pada 2013 nanti.

“Bukan itu sahaja, mereka juga boleh mengikuti PAV di kolej vokasional ataupun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta, yang menawarkan latihan kemahiran,” tegas beliau lagi.

Pada majlis itu, Fatimah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Ruang Pameran Terbaik pada BPIEF 2011, yang menyaksikan ACCA Malaysia muncul juara diikuti Baking Industry Training Centre (Singapore) Pte Ltd di tempat kedua dan Universiti UCSI, ketiga.

Mohon maaf tunjuk sikap rendah diri: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memohon maaf bagi pihak Barisan Nasional (BN) atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri pada pilihan raya umum 2008, menunjukkan sikap merendah diri parti itu, kata timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata apa yang penting pada masa ini adalah untuk melihat ke hadapan terutama dalam tempoh lapan tahun akan datang, tentang bagaimana mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.
"Apa yang Perdana Menteri nyatakan itu tunjukkan sikap merendah diri. Kita sebagai manusia memang ada kelemahan, kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional juga kita tahu ada kelemahan kita dan mungkin beberapa kesilapan.
"Secara umumnya dalam tempoh 54 tahun tidak ada sesiapa boleh menolak hakikat bahawa walaupun ada kelemahan, kita sudah berjaya capai kemajuan besar dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, pendidikan, hubungan antarabangsa dan pelbagai lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Semalam, Najib memohon maaf bagi pihak BN atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) 2008, tetapi berjanji akan membetulkannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Muhyiddin berkata, beliau percaya rakyat sudah mula faham dengan langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi serta konsep gagasan 1Malaysia yang bertujuan memperbaiki kelemahan serta menambah baik segala usaha yang dilakukan selama ini.

"Macam transformasi nasional, ia mencakupi semua perkara...ekonomi, kerajaan, politik, luar bandar dan pendekatan baru yang diambil perdana menteri dan kerajaan BN pada hari ini. Semuanya masyarakat sudah dapat lihat impak yang agak begitu berkesan dan ini beri satu harapan baru," katanya.
Beliau berkata, kefahaman dan penerimaan rakyat tentang semua perkara tersebut memperlihatkan keyakinan baru di kalangan mereka tentang keupayaan kerajaan BN.
Katanya kekalahan pada PRU-12 telah memberi keinsafan kepada BN tentang apa yang perlu dilakukan dan diperbaiki, termasuk oleh wakil-wakil parti di seluruh negara. - BERNAMA

Demi keutuhan bersama: KM

KUCHING: Jentera Barisan Nasional (BN) tidak akan mengabaikan tanggungjawab ke atas wakil masya-rakat Cina di negeri ini meskipun prestasi mereka dalam BN bertambah lemah berbanding masa lalu.

Pengerusi BN Negeri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang merujuk kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, sudah menjadi tanggungjawab BN untuk membantu antara satu sama lain terutama yang lemah.

Katanya, meskipun berlaku kegagalan dalam parti, namun berbekalkan semangat ber-bilang bangsa dan kerjasama yang kuat, BN akan meletak-kan jentera bersama untuk keutuhan sepanjang masa.

“Dalam politik sentiasa ada turun dan naik bagi setiap parti. Kadangkala, satu kum-pulan mungkin menanggung kerumitan dan kumpulan lain kekal kuat.

“Tetapi disebabkan kerja-sama, kita dalam BN akan terus membantu antara satu sama lain meskipun berlakunya kegagalan yang teruk dalam sesetengah parti,” katanya.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika ditemui selepas Me-syuarat BN Negeri di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Parti Demokratik Progresif Sara-wak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing dan Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Taib berkata, meskipun prestasi wakil Cina dalam BN semakin lemah berbanding masa lalu, namun ia tidak bermaksud mereka akan melupakan kekecewaan yang ditanggung oleh wakil Cina.

“Seperti yang kita dapat lihat, parti dalam BN tetap mahu bekerjasama dengan wakil Cina dan kita berharap perpaduan di kalangan me-reka tidak akan bertambah teruk disebabkan Pilihan Raya Negeri lepas,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat semalam, Taib ber-kata, mereka mahu meletakkan semua jentera bersama dan be-kerjasama antara empat parti demi keutuhan sepanjang masa.

Menurut beliau, koordinasi antara parti BN berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa, dan sebahagian daripada kawasan Bumiputera tidak berhadapan dengan masalah.

Taib berkata, PBB bukan parti yang terbaik untuk membantu di kawasan Cina disebabkan halangan dari segi bahasa, namun BN amnya akan tetap menghulurkan bantuan mengikut keupayaan demi mendekati rakyat di kawasan Cina.

Ditanya sama ada pihaknya akan melakukan penyingkiran atau penggantian calon-calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, Taib berkata mereka belum lagi membincangkan perkara itu sehingga berjumpa Perdana Menteri.