June 30, 2012

Pencapaian akademik bukti tahap pendidikan meningkat

KOTA SAMARAHAN: Pencapaian terbaik para pelajar dalam akademik membuktikan bidang pendidikan negeri ini semakin meningkat.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Mohd Naroden Majais berkata dengan pencapaian terbaik pelajar itu sudah tentunya menjaminkan masa depan yang lebih cemerlang dalam pembangunan pendidikan.
Beliau berkata, pencapaian cemerlang bidang pendidikan itu juga membuktikan komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negeri ini.
“Kita cukup bangga dengan kejayaan pelajar-pelajar hari ini yang menunjukkan bahawa Sarawak telah mencapai tahap pendidikan yang membanggakan,” katanya berucap pada majlis Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak 2012 di SMK Muara Tuang, di sini semalam.
Mohd Naroden menarik perhatian kejayaan itu adalah berkat usaha gigih dan kesungguhan para pelajar di samping dorongan dan tunjuk ajar daripada kalangan ibu bapa dan guru-guru.
Justeru, katanya, tanpa bantuan dan sokongan guru-guru dan ibu bapa, para pelajar tidak mungkin akan mencapai kejayaan dalam pendidikan seperti hari ini.
“Saya berharap para ibu bapa dan guru-guru akan terus bekerjasama dalam memastikan kejayaan cemerlang anak-anak berterusan demi masa depan mereka,” katanya.
Hadiah pelajar cemerlang dalam pelbagai peperiksaan awam itu disumbangkan oleh Yayasan Sarawak yang dianugerahkan kepada seramai 867 pelajar seluruh Bahagian Samarahan.
Hadir sama Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Mortadza Alop, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Abdullah Upang, Pegawai Daerah Samarahan Mohd Aini Wahab, Pegawai Pelajaran Daerah Samarahan Mahli Rosli dan Pengetua SMK Muara Tuang, Ali Akhbar.
Mohd Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata, pencapaian cemerlang pelajar-pelajar dalam akademik harus dimantapkan dengan sahsiah mulia serta jati diri yang cemerlang.
Beliau menambah sesuatu kejayaan bukan datang bergolek, sebaliknya kejayaan itu memanifestasikan kemantapan perancangan dalam mengukuhkan kecemerlangan pendidikan.
“Saya percaya anak-anak yang cemerlang akan terus memburu kecemerlangan mereka bagi memastikan dunia pendidikan menjadi agenda utama dalam memajukan negeri ini,” katanya.

Sarawak perlu bina lebih banyak jambatan kompak

KUCHING: Sarawak perlu membina lebih banyak jambatan besi pasang siap (jambatan kompak) bagi mengurangkan kos perkhidmatan feri yang menelan perbelanjaan RM40 juta setahun.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin berkata, terdapat banyak kawasan pedalaman di negeri ini yang tidak dapat dihubungkan dengan sistem jalan raya.
Justeru, katanya, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perkara itu, cara terbaik bagi menghubungkan seluruh kawasan di negeri ini adalah dengan menyediakan jambatan kompak.
“Untuk membina sebuah jambatan konkrit ia memerlukan perbelanjaan antara RM4 juta hingga RM5 juta berbanding dengan jambatan kompak di bawah Projek Jiwa Murni ATM yang menelan kos dalam lingkungan RM1 juta.
“Bagaimanapun, selepas 10 atau 20 tahun, kerajaan akan menggantikan semula jambatan kompak sedia ada kepada jambatan konkrit mengikut peruntukan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian bangunan pejabat baharu Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, Sejingkat di sini semalam.
Bagi mencapai sasaran kerajaan untuk menghubungkan seluruh kawasan di negeri ini dengan jalan raya dan jambatan menjelang tahun 2020, Manyin menggesa agar organisasi seperti Limbungan Brooke terlibat dalam projek pembinaan jambatan.
“Saya mencabar Limbungan Brooke untuk terlibat dalam kerja-kerja pembinaan jambatan kompak di negeri ini seperti yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Projek Jiwa Murni.
“Jika Limbungan Brooke dapat membina jambatan-jambatan ini bersama ATM saya yakin seluruh kawasan Sarawak akan dapat dihubungkan menjelang tahun 2020,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Manyin yang berbangga dengan pencapaian Limbungan Brooke berharap organisasi itu akan terus berkembang maju menjadi kebanggaan Sarawak serta Malaysia.
Katanya, bertepatan dengan Program Transformasi Kerajaan, Limbungan Brooke turut diharap berupaya meningkatkan produktiviti organisasi dan pekerja masing-masing.
“Dalam usaha mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, kadar pendapatan minimum rakyat disasarkan pada RM4,000 sebulan, manakala pendapatan tahunan RM48,000 hingga RM50,000 setahun.
“Hari ini, kita mungkin hanya mampu mencapai sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan dan saya berharap menjelang 2020, Limbungan Brooke akan mampu untuk meningkatkan bilangan pekerja daripada 400 orang kepada 4,000 orang dengan pendapatan yang tinggi,” katanya.

June 24, 2012

S’wak berpotensi hasil bahan farmaseutikal dari cuka nipah

KUCHING: Sarawak berpotensi untuk menghasilkan bahan farmaseutikal daripada cuka nipah yang mampu mencecah harga beribu ringgit seliter.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Naroden Majais berkata, Sarawak mempunyai sumber nipah yang banyak dan boleh di-eksploitasi bagi tujuan itu.
Katanya, air daripada nipah atau lebih dikenali sebagai ‘air sadap’ dalam kalangan penduduk tempatan boleh dijadikan sebagai minuman selain berpotensi diproses menjadi cuka serta bahan farmaseutikal.
“Daripada pengalaman saya dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Kuantan, Pahang, saya mendapati ramai dalam kalangan peniaga menjual ‘air sadap’ yang diperolehi daripada pokok nipah.
“Kita di Sarawak ini mempunyai banyak sumber nipah yang tumbuh dengan subur di sepanjang kawasan berpaya dan jika ia dieksploitasi, saya yakin kita mampu menjadi penge-luar utama cuka.
“Justeru, saya menggalakkan penduduk di negeri ini terutama dalam kalangan usahawan tempatan meng-eksploitasi sumber nipah ini untuk diproses menjadi bahan mentah bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan dan Promosi Kraf Malaysia 2012 di Tebingan Kuching di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Naroden melalui Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera dan Kraftangan Malaysia Sarawak sedang ber-usaha untuk mewujudkan kilang kain batik di negeri ini yang akan mengeluarkan kain batik rekaan Sarawak.
Katanya, Sarawak yang banyak menghasilkan rekaan batik untuk pengeluar-pengeluar batik di Semenanjung Malaysia belum mencapai taraf sebagai pengeluar batik dengan rekaan tersendiri.
Justeru, beliau berharap agar pelukis-pelukis batik di negeri ini dapat menghasilkan pelbagai corak yang melambangkan identiti kaum etnik Sarawak setanding dengan hasil rekaan dari Brunei dan Terengganu.
Bercakap mengenai majlis tersebut, Naroden berkata, ia membuktikan adanya kerjasama yang kukuh antara usahawan kraf di negeri ini dengan usahawan di Semenanjung Malaysia, Sabah termasuk Brunei.
Menerusi penganjuran karnival seperti ini, Naroden yakin ia mampu memperluaskan rantaian hubungan perniagaan antara semua usahawan yang terlibat.
Pada majlis itu Naroden turut menyampaikan bantuan kraf kepada empat orang wakil usahawan.
Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan berupa pengubahsuaian bengkel, peralatan sebanyak tujuh set lengkap rumah tenun songket dan bahan mentah benang bernilai RM47,000 kepada kumpulan Songket Kampong Mang Samarahan.
Bantuan dalam bentuk bahan mentah bernilai RM10,000 turut diberikan kepada Kumpulan Songket Kampong Gedong Simunjan melibatkan enam orang usahawan.
Selain itu, Naroden menyampaikan bantuan berupa bahan mentah manik dan peralatan masing-masing untuk usahawan manik 1Azam Bahagian Kapit dan Belaga.

Penerbangan cukup penting

MASWings harus timbang tambah kekerapan penerbangan semasa perayaan, pesta
MIRI:Penerbangan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) MASWings perlu mempertimbangkan permohonan untuk menambah ke-kerapan penerbangan ke luar bandar terutama menjelang musim perayaan dan pesta.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, penerbangan yang mencukupi amat penting dalam usaha kerajaan mempromosikan sektor pelancongan di luar bandar seperti tanah tinggi Bario, Ba’ Kelalan dan Taman Negara Gunung Mulu.
“Justeru, kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan di peringkat persekutuan untuk membincang dan meneliti perkara ini lebih lanjut,” katanya berucap merasmikan Jualan Makanan bagi mengutip dana untuk Pesta Nukenen Bario 2012 di Dewan Suarah Miri, semalam.
Buat masa ini, pesawat MASWings jenis Twin Otter DHC-6 yang membawa 19 penum-pang melakukan penerbangan sekali sehari ke Bario.
“Kita berharap kekerapan ini dapat ditambah terutama semasa musim perayaan atau pesta. Kita faham, penerbangan sekali dengan hanya membawa 19 penumpang adalah tidak memadai,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kementerian turut bercadang mengadakan perbincangan dengan Royal Brunei Airlines (RBA) dan MASWings untuk mewujudkan kerjasama penyambungan penerbangan ke tiga kawasan utama pelancongan di utara Sarawak iaitu Bario, Ba’ Kelalan dan Mulu.
“Kita boleh memperkenalkan Pakej Tanah Tinggi dan melalui pakej ini, pelancong bukan hanya dapat melihat tarikan di Brunei, namun me-reka dapat menyaksikan ke-indahan dan hospitaliti yang ditawarkan di ketiga-tiga tempat tersebut,” katanya.
Katanya, Mulu begitu ter-kenal dengan keunikan gua dan batu kapur, manakala di Bario kawasan pergunungan yang cantik dan telaga air panas Merarap di Ba’ Kelalan.
Mengenai penganjuran Pesta Nukenen Bario 2012, Abang Johari memuji usaha Rurum Kelabit Sarawak (RKS) yang terus komited menganjurkan acara tersebut sejak tujuh tahun lalu.
Beliau turut menggesa penduduk Kelabit di Bario terus mempelbagaikan produk serta kreatif bagi menambah nilai sektor pelancongan di sana sekali gus memantapkan eko-nomi mereka.
Pada majlis yang sama, Abang Johari mengumum- kan peruntukan sebanyak RM15,000 dan RM5,000 lagi daripada Lembaga Pelancong-an Sarawak (STB) untuk mengisi tabung dana bagi meng- anjurkan Pesta Nukenen Bario 2012.
Terdahulu, pengerusi peng-anjur Pesta Nukenen Bario 2012, Esther Balan berkata, mereka sukar untuk membawa pelancong terutama semasa musim perayaan dan festival berikutan kekerapan penerbangan yang tidak mencukupi.
“Kami sudah beberapa kali menulis surat kepada pihak re-levan bagi menyelesaikan masalah ini, namun sehingga sekarang tiada penyelesaian. Kami berharap, perkara ini dapat di-selesaikan,” katanya.
Sementara itu, jualan amal semalam menyasarkan kutipan sebanyak RM40,000 dan akan digunakan untuk membiayai Pesta Nukenen Bario 2012 yang diadakan di Bario pada 26 hingga 28 Julai depan.
Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Ahli Dewan Unda-ngan Negeri (ADUN) Se-mariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai, Setiausaha Politik ke-pada Menteri Tenaga, Tek-nologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Presiden Rurum Kelabit Sarawak Gerawat Gala dan pengerusi penganjur jualan amal Kaunselor Kijan Toynbee.

NGO Sepang berhimpun minta Anwar disiasat berhubung wang RM3 bilion

SEPANG: Lebih 100 wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) Sepang hari ini berkumpul secara aman di Perhentian Bas dan Teksi Bandar Baru Salak Tinggi di sini bagi meminta siasatan dilakukan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan memiliki akaun berjumlah RM3 bilion.

Mereka adalah wakil 15 NGO di sini termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Persatuan Silat Sepang, Kelab Sahabat, Persatuan Belia Tamil dan Kelab Veteran MAYC Sepang.
Mereka yang mula berkumpul seawal jam 9 pagi dilihat membawa sepanduk yang antaranya mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Anwar, malah lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Suara Keadilan turut dibakar pada perhimpunan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Pengerusi PEKIDA Sepang dan Badan Badan Sukarela Daerah Sepang, Mohamed Jaman berkata, tujuan perhimpunan itu adalah bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM menjalankan penyiasatan terhadap kes tersebut, sepertimana yang didedahkan media baru-baru ini.

Mohamed turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang selepas perhimpunan itu.

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid dilaporkan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion dalam pendedahannya kira-kira 13 tahun lalu. - BERNAMA

June 8, 2012

Teknologi, inovasi galak belajar BI

KUCHING: Guru, pendidik, pereka kurikulum dan pembuat keputusan perlu memberi keutamaan dengan menggunakan teknologi dan inovasi terkini dalam bilik darjah bagi membantu memberi motivasi kepada pelajar belajar Bahasa Inggeris (BI).
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, para guru kini tidak lagi harus menggunakan pendekatan yang sama seperti ketika dahulu memandangkan kini pelajar atau generasi baharu merupakan individu yang arif dalam teknologi terkini.
“Dari pemerhatian saya, kini tidak ada lagi generasi yang hanya duduk pasif dan memberi perhatian kepada apa yang guru nyatakan dan menulis di papan tulis. Mereka adalah generasi yang mindanya diprogram oleh teknologi untuk aktif serta secara visual.
“Saya percaya bahawa kita kini perlu memikirkan dengan serius tentang langkah untuk mengajar pelajar supaya mampu menampung gaya dan sentuhan pembelajaran visual mereka,” katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) Ke-21 di sini, semalam.
Khair berkata, para guru juga perlu mengubah sikap mereka yang sering kali sentiasa mengekalkan kaedah pembelajaran tanpa pernah menukar gaya atau langkah dalam kerja mereka.
Beliau berkata, ramai dalam kalangan individu sentiasa gembira dan kekal dengan melakukan kerja itu tanpa mengubah cara-cara yang digunakan.
“Kita sering kali bersikap ‘kita sentiasa melakukan kerja ini, ia berkesan dan akan terus berkesan,’ bagaimanapun sikap sedemikian tidak meng-ambil kira pelajar atau murid yang kita ajar.
“Apa yang kita telah lakukan pada masa lalu, mungkin tidak sesuai untuk kita gunakan bersama generasi muda masa kini dan sebab itu kita perlu meneliti pendekatan dan kaedah baharu dalam mengajar,” tegasnya.
Khair percaya dengan pelbagai perubahan teknologi komunikasi ini ia mampu memberi impak kepada penggunaan bahasa termasuk BI, di mana teknologi baharu bermakna perkataan baharu turut dibentuk.
Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada para pemikir dan pengamal Pendidikan BI berkumpul bersama untuk berbincang, bertukar pendapat, berdebat serta berkongsi mengenai kebimbangan, isu, masalah, penyelesaian dan cadangan bagi memartabatkan Guru Pendidikan BI (ELT) ke tahap lebih tinggi.
Sementara itu, Presiden MELTA Profesor Madya Dr Ganakumaran Subramaniam dalam ucapannya berkata, MELTA berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan dengan serius bagi menghubungkan pakar ELT di Malaysia bersama organisasi bagi tujuan intelektual, kepakaran serta sokongan.
“Ini bagi memastikan perkembangan pertumbuhan berterusan dalam keupayaan dan pengetahuan pendidikan negara melalui penyelidikan berterusan dalam pengetahuan, pembangunan dan teknologi serta perkongsian strategik,” tegas beliau.
Gunakumaran berkata, bagi memenuhi perminta-an baharu, profesion ELT bukan sahaja perlu terus membangunkan pengetahuan profesional, kemahiran serta penghakiman tetapi memperoleh, mengemaskini dan mengasah kemahiran pedagogi (pedagogical) yang berkesan.
Persidangan yang bertemakan ‘Reframing English Language Education: New Enviroments, New Needs, New Solutions’ disertai kira-kira 350 orang peserta.

Projek mikro hidro akan diperluas

LUBOK ANTU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia mengemukakan cadangan kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan projek mikro hidro jana tenaga elektrik percuma kepada rumah-rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman Sarawak dan Sabah.
Timbalan Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, beliau sedia mengemukakan cadangan terbabit bagi memastikan bekalan elektrik 24 jam dapat disalurkan ke rumah-rumah panjang yang jauh di pedalaman kedua-dua negeri.
Sehubungan itu, kata Fadillah, sekiranya konsep itu baik dan boleh menjimatkan kos, maka pihaknya sedia meluaskan projek terbabit ke rumah-rumah panjang yang belum menerima bekalan elektrik 24 jam pada masa depan.
“Projek ini bukan sahaja mesra alam, malah ia dapat mewujudkan kemesraan rakyat sendiri kerana kebanyakan kerja dilakukan secara gotong-royong antara penduduk setempat dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya.
“Saya akan mengusulkan cadangan ini semasa mesyuarat kabinet kepada Kementerian Luar Bandar yang diadakan setiap bulan dengan mengambil contoh kejayaan mikro hidro Rumah Sunok, Nanga Stamang, Ulu Engkari.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sejurus selesai Majlis Penyerahan Projek Mikro Hidro Kepada Penduduk Rumah Sunok, Nanga Stamang, Ulu Engkari, semalam.
Projek mikro hidro Nanga Stamang yang bernilai kira-kira RM1 juta ini dibiayai menerusi Dana Inovasi Komuniti di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Projek mikro hidro yang beroperasi di Sungai Ubo, Nanga Stamang ini dikendalikan SIRIM Berhad dengan bantuan daripada rakan teknologinya, Cihanjuang Inti Technik Indonesia.
Projek yang hanya menggunakan kuasa pukulan air ini sudah beroperasi enam bulan lepas dan mampu memberi faedah kepada 206 penghuni dari 41 keluarga Rumah Sunok, Nanga Stamang.
Pada majlis itu, Fadilah mengumumkan peruntukan RM41,000 kepada Rumah Sunok bagi kegunaan penyambungan pendawaian di bahagian ruai rumah panjang itu.
Sebanyak 16 rumah panjang berada di sepanjang Sungai Ulu Engkari dan tiga daripadanya sudah ada bekalan elektrik 24 jam hasil pelaksanaan projek mikro hidro.
Tiga rumah panjang itu ialah Rumah Panjang Sunok, Nanga Stamang, Rh Ujan, Spaya dan Rh Liam Rantau Kemayau Manis.
Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcom Mussen Lamoh dan kakitangan kerajaan.

June 3, 2012

Pelbagai program menarik diadakan sempena Pesta Gudi Tertutup Sarawak

BINTULU: Pelbagai program menarik akan diadakan sempena Pesta Gudi Tertutup Sarawak pada 23 dan 24 Jun ini dengan venue utamanya di tapak lapangan terbang lama di sini.
Antara program tersebut yang mula berlangsung pada 20 Jun adalah Pertandingan Badang Bintulu yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran (BINDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), diikuti acara explore race anjuran MLNG pada 24 Jun bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari di sekitar kawasan bandar Bintulu.
Explore race ini melibatkan penyertaan kumpulan dengan sebuah kumpulan akan disertai tiga peserta dan terhad hanya 50 kumpulan sahaja.
Di samping itu acara Sukan Rakyat pula akan dikendalikan oleh Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) untuk kategori kanak-kanak, individu dan dewasa. Antara permainan yang akan diadakan ialah mengisi air ke dalam botol, menganyam ketupat, belon berair, mengupas buah pinang dan mencari gula-gula.
Manakala karnival permotoran pula akan diadakan pada 15 Jun melibatkan kategori skuter, motosikal, motosikal mini dan basikal dengan hadiah yang ditawarkan berupa wang tunai dan piala.
Pertandingan dart pula pada 20 Jun, dibahagikan kepada kategori terbuka berpasangan.
Dalam pada itu pertandingan tarik tali yang dikendalikan oleh Pejabat Residen Bintulu serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu pula akan diadakan pada 14 Jun, dibahagikan kepada empat kategori iaitu untuk jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun dan persatuan, untuk jawatankuasa kemajuan dan keselamat kampung (JKKK), kampung dan rumah panjang, institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah serta untuk terbuka.
Persembahan pentas juga akan turut diadakan melibatkan acara senaman kenyalang, persembahan nyanyian, pakaian beragam kanak-kanak dan dewasa, melukis muka kanak-kanak serta pertandingan pemakaian tudung dan solekan bergaya.
Selain itu turut dianjurkan pertandingan futsal lima sebelah dan bola sepak sembilan sebelah.
Keterangan lanjut mengenai pertandingan futsal boleh menghubungi Benfuadzen Bujang di talian 086-332662 atau 019-4992929, pertandingan bola sepak sembilan sebelah hubungi Ibrahim Tahir (013-8404677), Amir Abdullah (013-8186901) dan Shapie Ahmad (013-5762129), pertandingan badang Bintulu hubungi Ahmad Sahari (013-8368636), Edwin Ugap (019-8656316) dan Siri Anding (019-8155747).
Pertandingan explore race hubungi Samsuddin Abdul Razak (019-8553575); sukan rakyat hubungi Mokhtar Ismail (019-8741510); karnival permotoran hubungi Awang Mohadir Awang Bujang (013-8011110), Brian Sie (016-5760896), Ariffudin (014-5967697) dan Abdul Kabir (014-5950969), pertandingan dart hubungi Abdul Halem Medani (086-332662 atau 017-8587101) dan pertandingan tarik tali hubungi Bibi Hamisa (019-8058592 atau 086-339017).
Manakala ekspo mini, hari bertemu pelanggan BDA, jom terbang beramai-ramai, peraduan mewarna, Upin dan Ipin hubungi Donita Abdullah, Hasinah dan Shapie Ahmad di talian 086-332277; gerai jualan hubungi Suhaili Mod (086-332662 atau 019-8348809), persembahan pentas hubungi Azizi Nawawi (086-332011 atau 013-8439498) dan pertandingan gudi putus tali pula hubungi Azman Drahman (012-8763359) atau Othman Drahman (019-8550154).

Tumpu program transformasi kerajaan

KUCHING: Dalam suasana penuh keamanan seperti yang kita semua nikmati sekarang, tumpuan harus diberikan kepada program-program transformasi kerajaan.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata program transformasi yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu direalisasikan semua rakyat.
Dalam konteks Sarawak katanya, program transformasi pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) mampu menjamin rakyat negeri ini merealisasikan impian Sarawak sebagai sebuah negeri maju.
“Justeru, kerajaan akan sentiasa memastikan generasi muda dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran teknikal,” katanya dalam perutusan dalam buku cenderamata sempena sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XIV di sini semalam.
Taib menjelaskan bahawa inisiatif kerajaan itu adalah bagi memastikan anak jati Sarawak bersama-sama menyumbang dan memacu kemajuan dalam bidang industri di negeri ini.
Beliau berkata sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, rakyat Sarawak juga menjunjung kasih dan melafazkan taat setia kepada baginda tuanku.
“Walaupun era berubah, namun tautan antara raja dan rakyat tetap relevan ibarat kata pepatah ‘raja dan rakyat terpisah tiada,” katanya.
Taib juga berkata payung kedaulatan Yang di-Pertuan Agong terbukti berjaya mewujudkan suasana kondusif untuk menyemai dan menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
“Sistem raja berpelembagaan negara kita yang unik menjaga kepentingan dan hak semua kaum harus menjadi kebanggaan semua rakyat,” katanya.
Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Peringkat Negeri Sarawak diadakan secara sederhana dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek, Petra Jaya pada 1 Jun.
Manakala semalam (2 Jun) berlangsung Majlis Jamuan Teh di Dewan Santapan, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.
Hadir sama Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Majlis itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian serta penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak, orang kurang upaya, ibu/bapa tunggal dan warga emas.
Turut memeriahkan sambutan ialah Pameran Raja Kita di Bangunan DUN yang dirasmikan oleh Tun Salahuddin.