October 27, 2012

Jangan biar pihak luar campur tangan hal negara

KUCHING: Rakyat Malaysia harus bangkit dan bersatu menolak tindakan pihak luar yang cuba campur tangan urusan dalaman negara, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.Katanya, tujuan pihak itu hanya untuk memporak-peranda keamanan dan ke­makmuran yang dinikmati sekarang.
“Sebagai rakyat, jangan kita biarkan pihak luar memperkotak-katikkan ke­hidupan, keamanan serta kemakmuran yang sedia ada,” katanya pada sambutan Aidiladha di Masjid Daruss’adah, Kam­pung Tabuan Hilir, di sini semalam.
Katanya, rakyat harus melihat situasi di beberapa negara Timur Tengah yang bergolak angkara campur tangan luar.
“Tindakan pihak luar itu tidak mem­beri sebarang faedah sebaliknya hanya satu usaha untuk memecahbelahkan rakyat,” katanya. — Bernama

Pemasangan CCTV berbaloi

BUKTI KUKUH: Lau memeriksa rakaman CCTV yang menunjukkan suspek sedang membawa pendingin hawa menuruni tangga utama hotel tersebut pagi semalam.
Rakaman membawa kepada penangkapan lelaki mencuri pendingin hawa hotel
SIBU: Pemasangan kam­era litar tertutup (CCTV) ternyata berbaloi kepada seorang pemilik hotel di sini selepas rakaman kecurian pendingin hawa membawa kepada penangkapan se­orang penginap di hotel berkenaan, semalam.
Dalam kejadian di sebuah hotel murah di Jalan Foochow di sini pada jam 5.29 pagi semalam, seorang lelaki dili­hat cuba mengalihkan sudut rakaman sebuah CCTV yang terletak di hadapan kaunter hotel berkenaan.
Namun tanpa disedarinya, sebuah lagi kamera yang di­pasang oleh pihak pengurusan hotel itu di sudut lain berjaya merakam gelagat suspek.
Selang seminit kemudian, suspek dilihat sedang men­gangkat sebuah pendingin hawa keluar dari hotel tersebut.
Pemilik hotel yang hanya dikenali sebagai Lau, 77, ber­kata, suspek telah mendaftar sebagai penginap di sebuah bilik di tingkat lima hotel tersebut pada kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Ketika mendaftar di kaunter, suspek dikatakan menawarkan diri untuk mencuci pendingin hawa secara percuma sebagai balasan pengurangan harga sewa biliknya.
“Pekerja saya memang ada terdengar bunyi bising di ting­kat lima hotel pada malam tadi (kelmarin), tetapi mereka tidak menghiraukannya,” ujar Lau.
Suspek dipercayai memasuki sebuah bilik kosong di tingkat lima dengan membengkokkan engsel pintu bilik itu sebelum melarikan pendingin hawa berkenaan.
Semasa memeriksa rakaman CCTV pada jam 8.15 pagi semalam, Lau mendapati se­orang lelaki sedang menuruni tangga utama sambil men­gangkat pendingin hawa.
Beliau kemudiannya men­ghubungi pihak polis yang tiba di hotel tersebut untuk melakukan siasatan.
Mujur seorang pekerja syif malam hotel tersebut berjaya mengenal pasti wajah suspek.
Polis kemudian pergi ke bilik penginapan suspek se­belum menahan dan mem­bawanya ke Balai Polis Sentral untuk disoal siasat.
Menurut Lau, beliau telah mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 25 tahun lalu dan ini bukan kali pertama hotelnya mengalami kecurian.
Justeru, beliau bersyukur kerana pemasangan CCTV di hotel tersebut berjaya mem­bantu polis dalam siasatan mereka.
“Dahulu saya tidak mema­sang CCTV, tetapi sekarang, dengan adanya kelengkapan CCTV, ia banyak membantu dalam menyelesaikan kes dan memudahkan siasatan dilaku­kan,” tambahnya.

October 20, 2012

Jom meriahkan pameran ‘Save Our Earth’ hari ini

MIRI: Orang ramai adalah dipelawa untuk bersama memeriahkan pameran ‘Save Our Earth’ anjuran Jawatankuasa Perkhidmatan Komuniti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Miri dengan kerjasama Local Agenda 21 (LA21) pada hari ini.
Pameran berkenaan berlangsung di pekarangan pusat Membeli-belah Permy Mall Miri bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.
Pelbagai pameran mengenai amalan kitar semula, LA21, kesedaran persekitaran mesra alam, kempen tidak menggunakan plastik atau ‘styrofoam’ dan lain-lain.
Pameran itu bertujuan memberi serta meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kitar semula dan mendidik menghargai alam sekitar.
Pihak penganjur turut mengadakan kuiz kepada para pengunjung dan hadiah menarik disediakan bagi mereka yang terlibat.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai menyokong sepenuhnya aktiviti berkenaan.
Katanya, dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat aktiviti itu selaras dengan usaha untuk menjadikan Miri sebuah bandar raya hijau dan bersih.
“Justeru, kita amat berterima kasih kepada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, bukan kerajaan, badan-badan korporat dan lain-lain yang banyak membantu dan menjayakan serta memberi sokongan terhadap aktiviti sedemikian dalam usaha menghargai persekitaran dan mendidik amalan kitar semula,” katanya dalam sidang media bersama Jawatankuasa Perkhidmatan Komuniti PBSM Cabang Miri, di sini semalam.
Sehubungan itu, tambahnya, kempen tidak menggunakan ‘styrofoam’ sebagai bungkusan makanan dapat mendidik dan mempromosikan masyarakat mengamalkan aktiviti sihat.

Bekalan beras Sarawak cukup

KUCHING: Penduduk negeri ini tidak perlu khuatir akan menghadapi kekurangan beras kerana Sarawak dijamin mem­punyai bekalan mencukupi ter­masuk pada musim tengkujuh.
Pengarah Urusan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Datuk Bakry Hamzah berkata, Sarawak pada setiap masa mem­punyai bekalan yang mencukupi, malah melebihi untuk menam­pung keperluan sehingga enam bulan.
“Bekalan yang kita ada men­cukupi pada setiap masa. Di Sarawak sahaja, kita mempunyai hampir 70,000 tan bekalan beras dan ini cukup bagi bekalan lebih enam bulan,” ujarnya.
Malah, katanya, Sarawak juga tidak akan menghadapi masalah bekalan jika berlaku musim tengkujuh.
Beliau berkata demikian ke­pada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan BERNAS kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang mewakili Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Penyerahan zakat berkenaan merupakan sumbangan zakat tahunan daripada BERNAS dan semalam BERNAS meny­erahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2011 berjumlah RM379,326 kepada TBS.
Sementara itu, Bakry dalam kenyataan akhbarnya semalam memberitahu, pada kewangan 2010, zakat perniagaan yang disampaikan oleh BERNAS ber­jumlah RM366,160.
“Pada tahun ini, pemberian za­kat diteruskan bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada masyarakat di Sarawak,” kata beliau.
Majlis penyerahan itu turut di­hadiri Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen dan Ketua Pegawai Eksekutif Beras Corporation Sdn Bhd (anak syari­kat BERNAS) Mohd Kamaluddin Mohd Effendie.
Kamaluddin ketika ditemui selepas majlis yang sama ber­kata, fasa pertama Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Padiberas Nasional Berhad (BER­NAS) EPP 11 (Projek Penggerak Ekonomi) Batang Lupar, Sri Aman kini dalam proses awal pelaksanaannya.
Menurut beliau, pelaksanaan awal projek penanaman padi di kawasan jelapang itu termasuk melakukan kajian dan analisis di peringkat akar umbi, iaitu bersama petani terlibat.
“Kini kajian sedang dibuat di peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklumat, data dan sebagainya kerana terdapat be­berapa isu di akar umbi antaranya berkaitan tanah, yang sudah men­jadi kebiasaan isu utama dalam projek besar,” katanya.
Kamaluddin berkata, antara lain isu yang dikenal pasti juga adalah dari segi kordinasi antara agensi-agensi kerana ia meli­batkan pelbagai agensi kerajaan bagi menjayakan projek.
Malah, pihak BERNAS sedang berbincang dengan kerajaan bagi menyelesaikan beberapa isu yang dikenal pasti sebelum memulakan projek, kata beliau.
“Kita tidak boleh memulakan sesuatu projek dan tidak akan memulakan sesuatu projek tanpa ada persetujuan daripada kerajaan dan petani khasnya keyakinan mereka mengenai manfaat pro­jek,” tegasnya ketika ditanya mengenai tarikh sebenar permu­laan projek akan dilancarkan.
Beliau menjelaskan, Bahagian Perparitan dan Saliran Pertanian Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) memaklumkan kemungkinan kerja-kerja infras­truktur akan dilaksanakan dalam masa terdekat, yang mungkin me­makan masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan.
Bagi projek fasa pertama yang melibatkan kawasan Seduku, Gran/Stumbin dan Entulang itu, ia dianggarkan mendapat peny­ertaan daripada kira-kira 5,000 isi rumah.
Bagaimanapun, projek yang merangkumi keluasan 2,817 hektar itu mungkin mencapai pembabitan lebih 15,000 peserta apabila ia dijalankan pada skala sepenuhnya.
“Fasa kedua Projek NKEA BERNAS EPP 11 Batang Lupar membabitkan kawasan Lingga/Banting, namun kita belum tahu bila pelaksanaan kerana terserah kepada kerajaan untuk memutuskannya,” kata Kamaluddin.
Beliau menjelaskan, projek penanaman padi berkenaan dilaksanakan berdasarkan projek perintis yang telah dibuat pada tahun 2011 dengan membabitkan dua buah rumah panjang di Sri Aman.
“Projek ini membabitkan keluasan 77 hektar iaitu 20 hektar bagi tanaman padi moden sementara 57 hektar padi tradisional dengan dua musim.
“Musim utama hasil padi kita mencapai lebih 3.4 tan sehektar dan luar musim yang baharu kita tuai pada September lepas, lebih kurang dua tan kerana serangan serangga perosak yang begitu tinggi,” jelas Kamaluddin.

October 6, 2012

Jalin kerjasama dengan hospital kerajaan

SIBU: Komuniti setempat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) disarankan agar menjalinkan kerjasama dengan hospital-hospital kerajaan dalam menyumbangkan bantuan dari segi kemudahan dan kelengkapan hospital.
Temenggung Vincent Lau Lee Ming berkata usaha sama yang terbentuk di antara badan-badan luar dengan pihak hospital dapat membantu memenuhi segala kekurangan yang dihadapi oleh hospital-hospital kerajaan.
“Dengan pertambahan bilangan pesakit di hospital awam ketika ini, sekali gus meningkatkan bilangan pelawat di hospital.
“Kemudahan dan kelengkapan kebanyakan hospital awam yang telah lama dibina pada satu-satu waktu tidak cukup untuk menampung pertambahan ini,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan kerusi kepada Hospital Sibu di sini, semalam.
Justeru, katanya, bantuan dan sumbangan daripada pihak luar khususnya komuniti dan NGO sangat-sangat dialukan untuk memenuhi keperluan dan keselesaan pesakit dan ahli-ahli keluarga yang datang melawat dan bermalam di hospital.
Pada majlis itu, Vincent melakukan acara simbolik penyerahan lebih 300 kerusi pelbagai jenis sumbangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sibu.
Hadir sama Pemangku Pengarah Hospital Sibu, Dr Nolan Teo Yie dan Ketua Penyelia Jururawat, Ling Lei Ping.
Vincent yang juga Ketua Kaum Masyarakat Cina Sibu berkata kerajaan sentiasa memandang kehendak dan keperluan perubatan yang dihadapi oleh rakyat.
“Peruntukan bajet yang besar dalam pembentangan Belanjawan 2013 baru-baru ini membuktikan betapa bidang perubatan khusus kepada golongan yang mendapat rawatan diambil serius oleh kerajaan.
“Namun ekoran jumlah keperluan yang begitu besar, peruntukan tersebut kemungkinan tidak memadai untuk membantu perkhidmatan dan untuk memuaskan hati semua pihak,” katanya.
Oleh itu, beliau ingin melihat komuniti setempat dan NGO dapat berganding bahu dengan pihak hospital supaya kekurangan yang tidak dapat disediakan dengan kadar segera oleh kerajaan dapat dipenuhi secepat mungkin.
“Hasil kerjasama mampu melahirkan keakraban di antara masyarakat dengan pihak hospital, “ katanya.

Politik BN transformasi negeri

BAU: Politik pembangunan bagi mensejahtera dan men­ingkatkan taraf hidup rakyat merupakan keutamaan serta komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya membawa kepada transformasi di negeri ini.
Menteri Perancangan Sum­ber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, malahan melalui dasar dan perjuangan politik pembangunan, kera­jaan juga mampu memberi peluang kepada rakyat terlibat dalam ekonomi serta industri kecil.
“Kita sepatutnya bangga se­jak merdeka dan membentuk Malaysia selama 49 tahun, kita dapat melihat perubahan di negeri kita bukan sahaja secara fizikal tetapi juga ekonomi, pendidikan, kesihatan serta sikap rakyat kita yang beru­bah dan lebih berkeyakinan tinggi.
“Ini juga disebabkan kepimpinan kita dan kerajaan (BN) yang berjaya menyatu­padukan masyarakat menerusi kepimpinan Yang Amat Ber­hormat Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) kita menerusi politik pemban­gunan yang diperjuangkan selama ini,” katanya.
Berucap merasmikan Ma­jlis Pelancaran Projek Beka­lan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Dewan Masyarakat Krokong di sini semalam, Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam menjelaskan, kerajaan BN sen­tiasa menitikberatkan politik pembangunan mensejahter­akan rakyat, bukan sebaliknya seperti segelintir pihak yang lebih membawa kemunduran kepada rakyat.
Beliau menegaskan, golon­gan sedemikian hanya mahu mengutuk pembangunan yang dibawakan kerajaan dan bu­kannya membawa kemajuan kepada rakyat.
“Kita sedar tidak semua projek pembangunan yang dilaksanakan dapat dilakukan sekali gus di semua tempat kerana Sarawak berbeza dari segi taburan penduduk dan sehingga hari ini, kita mempu­nyai hampir 6,000 kampung serta rumah panjang bert­aburan seluruh Sarawak.
“Kita sedar masih ada di antara masyarakat kita belum menikmati Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB), namun kita harus in­gat bahawa keadaan kini jauh berubah jika dibandingkan 49 tahun lalu,” ujar beliau.
Di Sarawak, katanya, kera­jaan memberi keutamaan kepada keperluan asas luar bandar seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bagi meningkatkan taraf hidup rak­yat di kawasan luar bandar.
Misalnya, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dalam tempoh dua tahun Sarawak menerima peruntukan bagi BALB seban­yak RM1.5 juta dan RM1.7 juta bagi BELB, jelasnya.
“Ini selari dengan matlamat kita untuk mencapai sasaran 95 peratus penduduk Sarawak mendapat bekalan elektrik daripada 74 peratus buat masa ini,” kata beliau.
Berhubung projek BELB di kawasan Parlimen Mambong sejak 2009 hingga tahun ini, kerajaan telah memperun­tukkan lebih RM80 juta bagi pelaksanaannya.
Sementara semalam, projek BELB bagi kontrak (2012-2013) di kawasan Krokong yang merangkumi lapan buah kampung termasuk Kampung Batu Spit, Kampung Pisa, Kampung Peros, Kampung Pengkalan Tebang, Kampung Ledan Gumbang dan tiga lagi kampung lain menelan kos RM8.5 juta.
Hadir sama Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Syl­vester Entri Muran, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dr Jerip Susil, Timbalan Speaker DUN Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/10/06/politik-bn-transformasi-negeri/#ixzz28WKEcmID