September 26, 2009

Gertak pemandu secara elektronik untuk kawal kemalangan

Penguatkuasaan dan pemantauan yang lancar menerusi kaedah elektronik secara 24 jam sehari sepanjang 365 hari setahun di kawasan-kawasan strategik mampu mengubah sikap pemandu supaya lebih berhemah dan berhati-hati ketika di jalan raya.

Pakar rujuk Kementerian Pengangkutan mengenai keselamatan jalan raya Prof Dr Khairi Mohd Dimyati berkata kaedah pemantauan elektronik yang ketat akan membuatkan pemandu lebih berjaga-jaga dan takut untuk melakukan kesalahan apabila merasakan setiap pergerakan mereka diawasi pihak berkuasa.

"Tujuan utama kaedah elektronik ini bukan untuk menangkap pemandu yang buat salah tetapi untuk memberitahu pemandu mengenai kehadiran pihak penguatkuasa atau melahirkan konsep yang dipanggil "tanggapan akan ditangkap" (POBC) di kalangan pemandu.

"POBC bermaksud bila kita memandu kereta kita akan rasa seseorang atau sesuatu memerhatikan kita supaya memandu secara berhati-hati dan tidak melanggar peraturan jalan raya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kaedah pemantauan elektronik itu sudah terbukti berkesan dan diguna pakai oleh hampir 90 negara di seluruh dunia terutamanya di negara-negara maju.

"Kaedah ini diharap dapat mengurangkan kemalangan jalan raya sebanyak 80 hingga 90 peratus di negara ini kerana pemandu akan lebih berhemah dan seterusnya mengurangkan kemalangan jalan raya," katanya.

Khairi berkata pelaksanaan sistem itu juga dijangka dapat merealisasikan pelan jangka panjang kerajaan mencapai sasaran dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar menjelang tahun 2010.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof pula mengakui kaedah itu mampu membantu mengurangkan kadar kemalangan tetapi sikap dan mentaliti sesetengah pemandu yang gemar melanggar undang-undang jalan raya itu sendiri perlu diubah.

"Kaedah elektronik ini sebenarnya hanya menggantikan manusia, masalahnya tempat yang ada kawalan tentu pemandu ini akan patuh tetapi bagaimana pula tempat yang tiada kawalan.

"Segala peraturan dan undang-undang untuk mengelak kemalangan di negara ini saya rasakan sudah mencukupi, pokok pangkalnya sikap pemandu itu perlu berubah dan memandu mengikut peraturan lalu lintas.

"Kalau kita naikkan kadar denda (bagi kesalahan memandu laju) melebihi RM300, nanti ramai pula yang tak bayar denda, jadi yang penting ialah pemandu perlu patuh kepada undang-undang," katanya.

Bekas ketua pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata pelaksanaan sistem itu penting jika ia bertujuan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan bukannya semata-mata untuk meraih keuntungan melalui saman yang dikeluarkan.

"Benda ini menjadi salah jika digunakan untuk meraih keuntungan, jika kita lihat di United Kingdom misalnya pengguna jalan raya mengalami masalah dan merasa tiada privasi berikutan terlalu banyak kamera diletakkan sebagai pengawasan," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan itu juga seharusnya berlandaskan konsep 4W 1H iaitu apa, di mana, bila, siapa dan bagaimana untuk dikuatkuasakan.

"Semua benda harus dititikberatkan bukan hanya melaksanakan sistem itu di mana-mana sahaja, contohnya seperti lokasi yang tepat iaitu di kawasan yang padat dengan aktiviti orang ramai, di sekolah dan pasar supaya pemandu tidak memandu laju," katanya.

Radin Umar berkata denda sebanyak RM300 atas kesalahan memandu melebihi had laju pula sudah memadai jika ia dijalankan secara konsisten.

"Kita tak boleh bandingkan dengan negara-negara lain yang saman memandu laju mereka lebih tinggi kerana taraf hidup mereka berbeza namun kita haruslah konsisten dan hapuskan sistem rayuan atau diskaun.

"Saman ini sama seperti bila kita mahu menghukum anak, kalau kita berlembut maka ia tidak akan memberi pengajaran kepada mereka," katanya.

Sementara itu, pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye pula meminta kerajaan merancang kempen keselamatan jalan raya yang lebih inovatif terutamanya pada musim perayaan di samping mewujudkan
satu budaya keselamatan jalan raya.

Beliau berkata keberkesanan Ops Sikap juga harus dikaji semula untuk mengenal pasti sama ada kempen itu benar-benar mampu mengubah sikap pengguna jalan raya.

Lee turut mencadangkan penganjuran kursus pemanduan cekap, selamat dan berhati-hati oleh setiap majikan bagi memastikan keselamatan pekerja mereka.

"Sehingga akhir tahun lepas daripada 50,000 kes kemalangan di tempat kerja, 25 peratus daripadanya melibatkan kemalangan penunggang motosikal yang berulang-alik ke tempat kerja," katanya.

Sumber:BERNAMA

Waspada gelombang kedua H1N1

Kerajaan akan memastikan persiapan dan rawatan influenza A (H1N1) ditingkatkan bagi menghadapi gelombang kedua virus itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tekankan kemungkinan gelombang kedua akan datang dan WHO menyeru agar semua negara buat persiapan hadapi gelombang kedua H1N1," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri kesihatan dari lebih 40 negara di Hong Kong baru-baru ini yang membincangkan tentang isu semasa termasuk pandemik H1N1.

Sehubungan itu, kementerian akan memastikan semua hospital menyediakan cukup peralatan termasuk katil di unit rawatan rapi (ICU) dan memastikan agar rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat.

"Kita juga perlu kesan pesakit H1N1 dengan cepat dan awal kerana kalau lambat, ia boleh membawa mudarat dan maut.

"Orang ramai jangan ambil remeh mengenai penyakit ini," katanya.

Hanya satu dos vaksin

Liow juga berpuas hati dengan tahap kesedaran orang awam di negara ini yang semakin meningkat kerana dengan sokongan media yang melaporkan setiap hari, orang ramai lebih faham mengenai wabak itu.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus meningkatkan rawatan antivirus dan immunoglobin untuk meningkatkan ketahanan pesakit terhadap bakteria dan virus.

"Kita akan lihat pelbagai kaedah rawatan di negara lain juga. Di China dan Hong Kong, mereka menggunakan plasma atau serum daripada orang yang sembuh daripada H1N1 untuk merawat pesakit yang tenat di ICU dan Malaysia juga mempunyai kaedah rawatan tersendiri," katanya


Beliau berkata WHO akan terus melihat sifat-sifat virus influenza A (H1N1) jika ada apa-apa pertukaran dan akan memaklumkan kepada negara lain dengan segera.

Mengenai vaksin, Liow berkata ia akan berada di pasaran hujung Oktober ini dan WHO juga telah mengatakan bahawa hanya satu dos vaksin diperlukan berbanding dua dos sebelum ini. Sumber : BERNAMA

September 20, 2009

Jamespineappletown mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri


Kepada semua pembaca, khususnya umat Islam, Jamespineappletown mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.Blog Jamespineappletown turut bercuti dan mengunjungi rakan-rakan yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

September 18, 2009

RMK-10: Sarawak dapat peruntukan besar


KUCHING 17 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Perdana Menteri berkata, peruntukan yang besar itu bertujuan melaksanakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik supaya pembangunan di negeri ini selari dengan pembangunan di Semenanjung.

''Kita mahu lihat pembangunan prasarana yang lebih luas supaya jurang pembangunan di Sarawak dan Sabah dirapatkan dengan pembangunan prasarana di Semenanjung.

''Kita mahu lakukan pembaharuan yang lebih besar supaya negeri-negeri di Malaysia yang penduduknya Islam dan bukan Islam dapat menikmati kemajuan secara bersama-sama," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri Kabinet negeri, ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Najib berkata, kerajaan akan melaksanakan pembangunan yang lebih adil dan saksama kerana ajaran Islam menuntut keadilan kepada bukan sahaja umat Islam tetapi juga bukan Islam.

''Dalam surah al-Maidah, ayat kelapan, Allah memerintahkan kita berlaku adil pada semua sebab itulah ia merupakan landasan utama di bawah Konsep dan Gagasan 1Malaysia.

''1Malaysia merupakan konsep yang mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat ketika ini dan perpaduan inilah yang dapat kita zahirkan kepada satu impian, satu bangsa dan satu negara," tegas Perdana Menteri.

Beliau berkata, pada zaman ini kerajaan bukan hanya melihat kemiskinan pendapatan tetapi juga kemiskinan dari segi teknologi, ilmu, kemahiran dan semangat rohani serta jasmani.

Tambahnya, semua elemen tersebut akan terus diperjuang serta menjadi agenda kerajaan bagi memastikan rakyat di negara ini terus aman dan makmur.

''Sebab itulah sempena kita menyambut Hari Malaysia, maka sekali lagi saya sebagai ketua kerajaan ingin menyatakan bahawa kita akan membawa lebih banyak kemajuan di Sarawak ini, insya-Allah," katanya.

September 14, 2009

11 Okt pilihan raya Bagan Pinang


Hari mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan ditetapkan pada 11 Oktober, sementara hari penamaan calon pula jatuhnya pada 3 Oktober ini.

Tarikh itu dimumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mesyuaratnya hari ini bagi membincangkan persiapan pengendalian pilihan raya kerusi itu di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Seramai 13,664 pemilih layak menentukan calon parti yang bertanding - kemungkinan besar menyaksikan persaingan Mengit antara BN dan PAS - termasuk 4,604 pemilih pos.

Sumber : Malaysiakini

September 13, 2009

Satu lagi kematian H1N1, total 74

Setelah tujuh hari tiada kematian direkodkan akibat jangkitan influenza A (H1N1), hari ini satu kematian baru didaftarkan menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 74.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mangsa merupakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur 19 tahun dari Gerik, Perak.

"Beliau telah dimasukkan ke Hospital Gerik pada 19 Ogos kerana demam, batuk, sakit tekak dan muntah selama empat hari.

"Pada 20 Ogos, kes dirujuk ke Hospital Ipoh untuk rawatan pakar dan rawatan antivirus telah dimulakan.

"Bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 23 Ogos kerana komplikasi paru-paru atas sebab 'acute pulmonary oedema with underlying influenza A H1N1 infection' dan kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 28 Ogos," katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, sejumlah 198 pesakit baru dengan gejala seakan-akan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital sehingga hari ini untuk rawatan manakala sebanyak 190 kes telah didiscaj.

"Ini menjadikan baki seramai 1,104 ILI sedang dirawat di 101 buah hospital termasuk lapan hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 261 pesakit (23.6 peratus) telah disahkan positif H1N1," katanya.

Beliau berkata daripada 261 kes yang telah disahkan H1N1, sebanyak 41 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana lapan kes merupakan kemasukan baru manakala enam lagi kes telah keluar dari ICU.

"Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, sebanyak 32 (78 peratus) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (13), penyakit respiratori kronik (satu), obesiti (sembilan), kanak-kanak bawah lima tahun (lapan) dan hamil (satu)," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata sehingga kini belum lagi ada vaksin di pasaran untuk melindungi seseorang daripada influenza A (H1N1) kerana vaksin itu masih di peringkat ujian klinikal dan Malaysia akan mendapatkan bekalan pertama vaksin sebaik sahaja ia dipasarkan.

Beliau berkata kini sesiapa yang ingin mengerjakan haji dan umrah diwajibkan mengambil vaksin selesema dan radang otak bermusim (seasonal flu and meningitis).

Berkaitan antivirus pula, Dr Mohd Ismail berkata golongan yang berisiko tinggi boleh memperolehinya di mana-mana klinik atau hospital dan mereka digalakkan untuk mengunjungi Klinik Cegah dan Rawat Influenza A (H1N1) yang boleh menawarkan antivirus pada harga berpatutan.

Sumber : BERNAMA

September 9, 2009

Cuepacs Thanks Government For Goodwill Payment

KUALA LUMPUR, Sept 9 (Bernama) -- The Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Services (CUEPACS) thanked the government for the RM500 special assistance for support group civil servants announced by the government Wednesday.

"We thank the government for the goodwill gesture but we are also disappointed because we had expected one month bonus for all civil servants," secretary-general Ahmad Shah Mohd Zin said when contacted.

He said Cuepacs hoped that the government would compensate by giving a higher bonus next year.

Some 860,000 civil staff will receive the assistance in two payments before Hari Raya and in December, to reduce their burden for the coming festival celebration and to prepare for the new school term.

It will cost the government RM430 million.

Sumber -- BERNAMA