September 29, 2011

7 muka baru barisi kabinet

KUCHING: Rombakan kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam menyaksikan pengekalan seorang Timbalan Ketua Men-teri, pelantikan tiga menteri kanan dan tujuh menteri muda yang baru.

Kabinet yang dirombak susulan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April lepas mengekalkan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai Timbalan Ketua Menteri berbanding sebelum ini Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Taib dalam sidang media di pejabatnya berkata, adalah memadai untuk mempunyai seorang Timbalan Ketua Menteri dan diperkukuhkan dengan 13 kementerian.

Beliau menyifatkan struktur baru kabinet yang berkuat kuasa pada 30 September itu sebagai pendekatan baru kerajaan dalam merapatkan hubungan dengan rakyat.

“Keanggotaan kabinet ini merupakan satu bentuk proses peralihan kuasa menerusi pelantikan beberapa wakil rakyat yang baru dipilih menjadi menteri muda. Tidak banyak perubahan di peringkat menteri penuh,” katanya.

Ditanya mengenai penggantinya, Taib berkata, ia ter-serah kepada parti.

“Ramai yang ada dalam fikiran saya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Hadir sama Jabu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom, Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani.

Tiga menteri kanan dilantik setiap seorang mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri kecuali daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu Masing daripada PRS, Mawan daripada SPDP dan Soon Koh daripada SUPP.

Masing juga mengekalkan jawatan Menteri Kemajuan Tanah, Mawan sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Soon Koh sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat merangkap Menteri Kewangan Kedua.

Tiga menteri muda baru ialah ADUN Sebuyau Julaihi Narawi sebagai Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Muda Pembangunan Belia dan Menteri Muda Perumahan), ADUN Bukit Saban Robert Lawson Chuat (Menteri Muda Kebajikan), ADUN Belawai Datu Len Talif Salleh (Menteri Muda Alam Sekitar dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri), ADUN Bengoh Dr Jerip Susil (Menteri Muda Kesihatan Awam), ADUN Belaga Liwan Lagang (Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan), dan ADUN Bekenu Rosey Yunus (Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga).

Kabinet baru itu turut menyaksikan penubuhan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga yang diketuai Datuk Fatimah Abdullah yang sebelum ini Menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Manakala Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi diberi nama baru iaitu Kementerian Pembangunan Sosial yang diketuai Mawan.

Turut diberi nama baru ialah Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam yang digantikan dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat, diketuai Soon Koh.

Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber dinamakan semula sebagai Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar diketuai Taib sendiri, Menteri Perumahan yang diketuai Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg adalah bagi menggantikan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Kementerian Pelancongan juga diketuai Abang Johari, menggantikan Kementerian Pelancongan dan Warisan.

Rombakan dilakukan berikutan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 yang menyaksikan BN memperoleh mandat untuk memerintah semula.

Keputusan pilihan raya itu turut menyaksikan kekalahan beberapa anggota kabinet yang memerlukan ia dirombak bagi mengisi kekosongan.

Antaranya, Dr Chan yang tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, bekas Menteri Muda Peladang dan Koperasi Datuk Peter Nyarok Entrie di DUN Krian.

Dr Chan merupakan presiden SUPP manakala Nyarok timbalan presiden SPDP.

SUPP turut menyaksikan kekalahan bekas Menteri Muda Industri Makanan Datuk David Teng di DUN Repok manakala bekas Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Perumahan Datuk Dr Soon Choon Teck tidak dicalonkan semula di DUN Dudong.

Bagi PBB pula, bekas Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen tidak berada dalam kabinet selepas pilihan raya tersebut apabila mengundur diri daripada bertanding mempertahankan kerusi DUN Demak Laut.

Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem daripada PBB, yang dahulunya merupakan penasihat di Pejabat Ketua Menteri kini dilantik menjadi Menteri Tugas-tugas Khas.

Bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng juga tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Pelagus kerana beliau bukan ahli PRS.

Bagaimanapun, Larry kini memegang jawatan penasihat Hal Ehwal Belia di Pejabat Ketua Menteri.

Pendekatan terperinci dalam pilih calon MCA untuk PRU-13

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau menggunakan pendekatan terperinci dalam memilih calon-calon yang boleh menang untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, MCA akan memastikan calon-calonnya untuk kedua-dua kerusi parlimen dan negeri bukan hanya boleh membantu BN menang tetapi juga menolong parti itu memperoleh sokongan berterusan daripada orang ramai.

“Saya perlu terperinci me-ngenainya, tanpa mengira sama ada mereka penyokong saya atau tidak,” katanya semasa ditemu bual oleh beberapa pertubuhan media di sini semalam.

Dr Chua berkata, mereka yang telah berkhidmat banyak penggal hendaklah mempertimbangkan untuk memberi laluan kepada pemimpin lebih muda kerana parti itu tidak dilihat sebagai sebuah ‘produk kitar semula’.

“Jika seseorang itu adalah calon yang boleh menang, beliau boleh meneruskan tetapi orang itu hendaklah menggunakan kebijaksanaan politiknya (bila) untuk mengundurkan diri,” kata beliau.

Presiden MCA itu berkata, sesetengah pemimpin mahu terus memegang jawatan dan minta untuk dicalonkan semula bertanding pada pilihan raya umum akan datang, tetapi jumlahnya adalah kecil.

“Ada juga sesetengah wakil rakyat yang telah memberitahu saya mereka tidak mahu berkhidmat atau bertanding lagi,” katanya dengan memberikan contoh, pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew, Tan Kok Hong (anggota exco Johor), bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting (Ahli Parlimen Kulai) dan Teng Boon Soon (kini Ahli Parlimen Tebrau).

Dr Chua berkata, MCA menjalankan kajian di 10 kawasan pilihan raya baru-baru ini untuk menentukan faktor yang akan mengalih keputusan pengundi, dalam memilih calon.

Maklum balas daripada kajian itu menunjukkan bahawa faktor calon akan memainkan peranan utama berkaitan pengundi.

“Akhirnya sama ada calon itu boleh memberikan khidmat, mesra orang ramai atau tidak, dan sama ada seseorang itu sebenarnya boleh memberikan khidmat kepada rakyat. Ini penting,” kata beliau sambil menambah tahap sokongan untuk seseorang calon itu juga penting.

Dr Chua berkata, kajian itu juga tidak menunjukkan bahawa hanya calon dari bahagian di kawasan pilihan raya yang sama akan menang.

Beliau berkata, menghantar pemimpin untuk bertanding di kawasan pilihan raya yang berlainan bukan sesuatu yang baru bagi MCA.

Semasa temu bual itu, beliau mengulangi bahawa jika keputusan MCA sangat teruk pada pilihan raya umum akan datang, parti itu tidak akan menerima pelbagai jawatan awam, seperti dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Ke-selamatan Kampung (JKKK) sehinggalah anggota Dewan Negara dan menteri.

“Kita telah membuat keputusan ini selepas banyak run-dingan. Ia bukan bermakna untuk mengugut masyarakat Cina tetapi lebih ke arah menghormati keputusan ramai. Jika kita tidak dapat sokongan daripada orang ramai, kita tidak sah,” kata beliau. — Bernama

Tiada unsur sabotaj, pengganas dalam letupan di Empire Gallery

PETALING JAYA: Siasatan awal mendapati letupan yang berlaku di pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya dekat sini semalam tiada kaitan dengan sabotaj dan kegiatan pengganas, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaivegan.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan kecuaian.

“Berdasarkan siasatan awal, tiada apa-apa bukti menunjukkan kejadian berlaku akibat sabotaj atau ada kaitan dengan terrorisme.

“Kita anggap ini adalah satu kemalangan, yang mana kita tahu ia disebabkan kebocoran gas. Tapi kita mahu tahu apa punca sebenar letupan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan akan mengambil kira kertas siasatan daripada pihak bomba dan Suruhanjaya Tenaga.

“Unit Forensik Polis akan siasat perkara ini dengan mengambil kira pelbagai sudut sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Letupan kira-kira jam 3.30 pagi dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas itu menyebabkan empat orang cedera ringan.

Ia berlaku di aras bawah yang menempatkan kedai-kedai makan. — Bernama

September 25, 2011

Generasi muda diiktiraf

KUCHING: Sarawak bakal memperlihatkan penyusunan semula jentera pentadbiran kerajaan tempatannya dengan penyertaan daripada generasi muda.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata tindakan itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun depan.

“Sudah tiba masanya untuk kita memberi nafas baru kepada kerajaan tempatan kita dengan penyertaan daripada golongan muda.

“Namun proses penyusunan semula pentadbiran ini akan kita jalankan selepas rombakan kabinet negeri, yang saya umumkan pada minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Jadi Ke-90 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah di Padang Merdeka di sini, semalam.

Perbarisan berwarna-warni itu disertai 90 kontinjen terdiri daripada 1,500 peserta sektor awam dan swasta, serta pelajar sekolah dan kumpulan belia. Turut diadakan persembahan kebudayaan.

Menurut Taib, Sarawak mempunyai ramai pemimpin muda berpotensi di peringkat akar umbi yang bersedia untuk membantu dalam mentadbir negeri ini.

Bagaimanapun ujarnya, mereka perlu menampilkan diri dan bukan hanya dengan menyuarakan pendapat atau mengkritik kerajaan sedia ada.

“Mungkin ada antara mereka lebih memilih untuk menyuarakan kritikan sahaja tetapi ia tidak mencukupi.

“Apa yang penting adalah untuk berkhidmat kepada rakyat kerana kita memerlukan ‘warrior’ atau individu yang berpotensi untuk melaksanakan apa yang kita mahukan,” tegasnya.

Dalam pada itu Taib menyeru rakyat negeri ini terutamanya ibu bapa agar menyediakan anak-anak mereka bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi kemahiran teknikal.

Ia jelas beliau bagi memenuhi peluang pekerjaan terutamanya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang amat memerlukan bidang berkenaan.

“Memang kita perlukan graduan daripada universiti dalam usaha membangunan negeri ini namun ia tertumpu kepada golongan kecil sahaja.

“Golongan besar adalah mereka yang menjalankan kemahiran berasaskan teknikal kerana peluang pekerjaan akan datang cenderung kepada kemahiran itu,” tegasnya.

Majlis turut dihadiri isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua yang juga menteri bertanggungjawab terhadap majlis itu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pengerusi pengelola yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, menteri-menteri kabinet dan wakil-wakil rakyat.

Sambutan Hari Jadi TYT meriah, harmoni

KUCHING: Sambutan Hari Jadi Ke-90 Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin diadakan dalam suasana meriah dan harmoni.

Kehadiran ribuan rakyat Sarawak berbilang kaum memenuhi Padang Merdeka sejak jam 6.30 pagi lagi untuk meraikan sambutan itu semalam menunjukkan cinta rakyat terhadap pemimpin tertinggi negeri itu.

Sambutan itu dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri sebaik sahaja ketibaan beliau dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Sambutan itu diteruskan dengan istiadat perbarisan dan rapat raksasa sejurus selepas ucapan daripada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sebanyak 90 kontinjen terdiri daripada organisasi kerajaan dan swasta terlibat dalam rapat raksasa tersebut.

Sambutan lebih meriah lagi dengan acara persembahan padang yang disertai oleh pelbagai agensi termasuk institut pengajian tinggi dan beberapa sekolah menengah di sekitar bandar Kuching.

Turut menceriakan lagi suasana ialah penyertaan kira-kira 200 anak-anak kecil daripada beberapa Taman Bimbingan Kanak-kanak(Tabika) dalam acara simbolik hari jadi itu.

Majlis tersebut diakhiri dengan Hormat Diraja oleh Pasukan Kawalan Kehormatan Utama dan Pancaragam Polis Diraja Malaysia

September 18, 2011

PM terima 7,000 permohonan daripada bekas penyokong pembangkang untuk sertai BN

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menerima 7,000 borang permohonan daripada bekas penyokong pakatan pembangkang untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau menerima borang tersebut yang diserahkan oleh beberapa wakil bekas penyokong pembangkang dari kawasan Sri Muda, Shah Alam, Bukit Kemuning, Puchong, Bukit Jalil, Ijok dan Petaling Jaya pada majlis ramah mesra pemimpin-pemimpin BN ‘Sirih Pulang ke Gagang’ di sini.

Mereka adalah bekas penyokong pakatan PAS-DAP-PKR pada 2008 tetapi kini telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang memerintah Selangor kini serta telah mengambil keputusan menyokong BN.

Najib ketika berucap pada majlis tersebut menyifatkan tindakan mereka sebagai mencerminkan tahap keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan BN dapat dipulihkan sejak pilihan raya umum 2008.

Sambil berterima kasih di atas sokongan mereka terhadap BN, Najib berkata:

“Saya rasa amat terharu atas persetujuan tuan-tuan dan puan-puan untuk menyokong BN kerana kita berhasrat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat lagi utuh kerana kestabilan politik merupakan akar tunjang kepada masa depan negara kita.”

Beliau berkata, sekiranya keadaan politik terumbang-ambing dan tidak menentu serta tiada kestabilan politik, kesannya kepada negara adalah amat buruk.

Katanya, pelabur luar dan dalam negara akan bertanya sama ada wujud kestabilan politik di Malaysia sebelum membuat keputusan melabur.

“Jika kita dapat tunjukkan rakyat di Malaysia majoritinya menyokong BN saya percaya kesan pada ekonomi negara kita akan begitu memberangsangkan sekali dan kita akan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih tinggi lagi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, aliran modal ke Malaysia akan membuka peluang pekerjaan dan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

“Tentu tuan-tuan puan-puan mempunyai anak yang memerlukan pekerjaan dan ini akan jadi kenyataan jika kita boleh menambahkan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Najib berkata, kerajaan BN menyusun langkah untuk menolong semua kaum di negara ini termasuk golongan miskin dan berpendapatan rendah.

BN juga akan membantu menyelesaikan masalah yang khususnya dihadapi oleh kaum India seperti ketiadaan MyKad, sijil kelahiran di mana kerajaan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan masalah ini, katanya.

“Saya percaya banyak masalah sudah diselesaikan dan dalam masa terdekat banyak lagi masalah seperti ini akan diselesaikan oleh kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu, salah seorang wakil bekas penyokong pembangkang memberitahu pemberita bahawa mereka menyokong BN kerana ada pemimpin pakatan tersebut yang tidak menunaikan janji kepada mereka dan liat untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

K.Vijayakumar, 29, bekas Anggota Jawatankuasa PKR Cabang Bukit Kemuning berkata, beliau berasa tertipu apabila mengadukan masalah rakyat seperti masalah banjir dan jawapan yang diterima mengecewakan iaitu masalah itu perlu dirujuk kepada kerajaan pusat. — Bernama

Letupan bom: 4 rakyat Malaysia maut

SUNGAI GOLOK, Selatan Thailand 17 Sept. – Empat rakyat Malaysia termasuk seorang kanak-kanak antara lima yang maut apabila tiga butir bom meletup di kawasan hiburan di Jalan Charoen Khet di sini, lewat petang semalam.

Letupan itu juga menyebabkan 19 rakyat Malaysia cedera yang mana dua daripadanya iaitu Yau Win dan Heng Chin Goa parah serta dirawat di Hospital Yala, Thailand.

Mereka yang maut ialah Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang; Wong Hong Yep, 64, dan cucunya, Wong Kai Sean berusia tiga tahun dari Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan manakala seorang lagi mangsa ialah sukarelawan Thailand yang berusia 38 tahun. Seorang lagi rakyat Malaysia, Chen Yew Soon, 40, meninggal dunia di Hospital Hadyai pukul 8 malam tadi.

Hong Yep dan cucunya berada di Sungai Golok petang semalam bersama tiga lagi ahli keluarga manakala Foo Keah datang bersama abang dan rakannya ke bandar tersebut sebelum maut dalam letupan itu.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rusdi Che Omar berkata, letupan pertama berlaku kira-kira pukul 7.30 petang waktu Malaysia, apabila sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew yang terletak di tengah sepanjang jalan tersebut meletup menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.

“Kira-kira lima minit kemudian, sebutir lagi bom yang diletakkan pada motosikal berhampiran sebuah hotel meletup menyebabkan Foo Keah dan seorang lelaki rakyat Thailand maut.

“Ketika keadaan di sepanjang 500 meter di jalan tersebut kelam-kabut, satu lagi letupan yang lebih kuat berlaku di persimpangan masuk jalan itu berhadapan medan selera sehingga menyebabkan Hong Yep dan cucunya meninggal dunia.

“Letupan terakhir berpunca daripada sebutir bom yang diletakkan dalam sebuah kereta di hadapan medan selera tersebut. Ia juga menyebabkan hotel berhampiran turut mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Hospital Sungai Golok di sini, hari ini.

Hong Yep meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Yala manakala Kai Sean yang mengalami kecederaan serius maut di tempat kejadian. Letupan itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang cedera di mana enam daripadanya parah.

Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di tempat kejadian mendapati, pihak berkuasa telah menutup jalan tersebut untuk kenderaan dan kerja-kerja membersihkan serta menyambung semula bekalan elektrik giat dijalankan.

Rusdi berkata, pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan kumpulan terlibat dengan dadah selain tidak menolak kemungkinan mereka juga adalah ahli kumpulan pemisah.

Tambahnya, siasatan juga mendapati bom yang digunakan dalam kejadian itu adalah jenis bom jangka dan bom kawalan yang dihalakan ke arah kenderaan terbabit.