Tiga pilihanraya kecil berjalan serentak hari ini bagi kawasan-kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak.
Penamaan calon yang bermula jam 9 pagi tadi telah disahkan selepas lima bantahan ditolak di ketiga-tiga kawasan tersebut.
Di
Bukit Gantang, calon BN Ismail Safian (Umno) berdepan dengan calon PAS Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris.
Seramai 55,562 pemilih akan menentukan pertarungan sengit antara BN dan PAS - yang dianggap "pungutan suara" terhadap kepemimpinan baru kerajaan bawah Datuk Seri Najib Razak, yang terlibat dalam rampasan kuasa kontroversi di Perak sewaktu Mohamad Nizar mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat.
Kekosongan kerusi PAS ini akibat kematian wakil rakyatnya Roslan Shaharum tidak lama selepas kemuncak krisis politik tersebut awal bulan lalu.
Di
Batang Ai, calon BN Malcolm Mussen Lamoh (PRS) dicabar calon PKR Jawah Gerang.
Calon bebas Johnny Chuat menarik diri daripada penamaan calon dan didakwa menyokong calon PKR.
Seramai 8,006 pemilih akan menentukan nasib kedua-dua calon ini. Kerusi Batang Ai dikuasai BN sebelum penyandangnya Datuk Dublin Unting meninggal dunia.
Di
Bukit Selambau, calon-calon BN Datuk S Ganesan (MIC) dan PKR S Manikumar dihimpit 13 calon bebas yang telah menyerahkan borang pencalonan.
Calon-calon bebas: L Sarala, T Chandrarajan, R Loganathan, A Jayagopal, S Moganakumar, Vaneson Michael, Tan Hock Huat, Mohd Fazil Abdul Wahab, Anuar Abdul Hamid, Husaini Yaacob, Abdul Rahim Abu, Radzi Md Lazim dan Khamis Awang.
Kerusi DUN ini kosong susulan peletakan jawatan wakil rakyat PKR V Arumugam, yang juga exco kerajaan Kedah.
Arumugam asalnya menang atas tiket bebas tetapi kemudian memilih parti itu sebelum dilantik menyertai majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Tempoh penyerahan borang selama sejam tamat jam 10 pagi dan tempoh bantahan tamat sejam kemudian.
Tiada bantahan dibuat di pusat penamaan calon Bukit Selambau di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani - menjadikan 15 calon semuanya cuba memenangi hati lebih 35,000 pengundi DUN tersebut.
Naib Presiden PKR Azmin Ali yakin kehadiran begitu ramai calon bebas tidak akan menggugat partinya dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut.
Ketiga-tiga pilihanraya ini diadakan serentak pada 7 April ini.
No comments:
Post a Comment