October 25, 2009

Intipati bajet sulung Najib

Berikut ialah intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':

1. Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion (72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus) untuk belanja pembangunan.

2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini.

3. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.

5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.

6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.

7. Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.

8. Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15 juta).

9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.

10. Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.

11. Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

12. Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.

13. Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.

14. Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.

15. Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.

16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.

17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.

18. Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.

19. Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.

20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.

21. Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000.

22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.

23. Peruntukan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.

25. Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.

26. Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.

27. Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1 Jan 2010.

28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.

29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

30. Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah.

Sumber : BERNAMA

Intipati sektor niaga bajet 2010

Berikut ialah intipati Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat hari ini.

* Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 2-3 peratus pada 2010

* Perlombongan dijangka meningkat 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus, pembinaan 3.2 peratus dan perkhidmatan 3.6 peratus.

* penggunaan swasta berkembang 2.9 peratus manakala pelaburan swasta 3.4 peratus

* pendapatan per kapita meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661

* TNB akan membelanjakan RM5 bilion untuk melaksanakan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik pada 2010.

* Usaha sama awam-swasta akan meliputi kompleks imigresen, kastam dan kuarantin bersepadu di Bukit Kayu Hitam, pembinaan enam kampus UiTM dan pusat MATRADE

* 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti masyarakat.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM899 juta untuk meningkatkan industri pelancongan

* Kerajaan akan meningkatkan insentif cukai kepada para penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong kesihatan rakyat asing, dengan pengecualian cukai pendapatan ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus.

* Pembayar cukai pendapatan individu diberikan pengecualikan cukai ke atas langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012

* Penjawat awam dibenar membuat pinjaman untuk membeli komputer setiap tiga tahun sehingga maksimum RM5,000 berbanding sekali setiap lima tahun

* Merangka Akta Halal dengan usaha sama Majlis Agama Islam negeri-negeri

* Memperbadankan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai agensi di bawah MITI

* Menyegerakan Pensijilan Halal oleh JAKIM menerusi usaha sama dengan institusi antarabanga bagi memperoleh pensijilan standard seperti HACCP dan GMP.

* Menyediakan RM24 juta untuk membangunkan produk sistem antipenyeludupan produk Halal di tiga pintu masuk utama dan tiga pelabuhan utama.

* Memperuntukkan RM137 juta untuk meningkatkan dan memperbaiki infrastruktur saliran dan perparitan di jelapang padu membabitkan 180,000 petani

* Memperuntukkan RM70 juta untuk melaksanakan Projek Empangan Paya Peda di Terengganu bagi meningkatkan keupayaan bekalan air untuk Skim Pengairan Padi di Besut

* Memperuntukkan RM82 juta untuk memodenkan industri akuakultur dan pelaksaan skim latihan keusahawanan bagi ternakan akuakultur, dengan tumpuan terhadap pengeluaran benih ikan dan ikan hiasan.

* Peruntukan RM149 juta untuk untuk bangunkan industri perladangan makanan seperti makanan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung layang-layang

* Peruntukan RM58 juta untuk bangunkan infrastruktur asas ladang ternakan dan mewujudkan rangkaian bekalan untuk pengeluaran daging dan kambing.

* Konsortium FELDA, FELCRA dan RISDA akan diwujudkan menjelang akhir tahun 2009, dengan modal berbayar RM300 juta dengan setiap agensi menyumbang RM100 juta

* Kerajaan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM2 bilion untuk petani dan nelayan untuk menjaga kepentingan mereka

* Peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, dengan RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan, RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk perkhidmatan pelabuhan dan laut serta RM276 juta untuk projek lapangan terbang

* Menyepadukan 79 dana PKS kepada 33 untuk memudahkan akses kepada pembiayaan PKS. Akan diselaraskan oleh SME Corp.

* Memperuntuk RM350 juta kepada SME Corp, dengan RM200 juta untuk pinjaman mudah PKS, RM100 juta peningkatan keupayaan dan bankinya untuk penjenaman dan promosi

* Institusi kewangan meluluskan pembiayaan makro pada purata enam hari dan penyerahan dalam tempoh empat hari

* Memperuntuk RM538 juta untuk pelaksanaan pelbagai program PKS dengan RM281 juta kepada perbadanan kemajuan ekonomi negeri, RM200 juta untuk TEKUN dan RM57 juta untuk membeli premis perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.

* Memperuntukkan RM20 juta untuk mempergiatkan aktiviti kesedaran hijau dan amalan mesra alam sekitar

* Menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai Bandar Teknologi Hijau yang akan menjadi pelopor kepada pembangunan bandar lain

* Mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion bagi membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka, dengan RM50 juta untuk syarikat pengeluar dan RM10 juta untuk syarikat pengguna. Permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini dijangka memberi faedah kepada lebih 140 syarikat dan dimulakan pada 1 Jan 2010

*Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Dis, 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan

*Pengecualian duti setem kepada pembeli yang membeli bangunan dengan sijil GBI mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Disember 2014.

* Mempekenal insurans asas dan skim takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010

* Memperluas liputan takaful dan insurans mikro kepada peniaga kecil, dengan manfaat perlindungan daripada RM10,000 kepada RM20,000, pada premium serendah RM20 sebulan.

* Pasaran saham akan diliberalisasikan lagi untuk meningkatkan kecekapan.

* Meliberalisasi aturan perkongsian komisyen antara broker saham dan
remisier dengan membenarkan perkongsian pembrokeran fleksibel pada kadar minimum 40 peratus dan meliberalisasikan sepenuhnya perkongsian komisten berkuat kuasa 1 Januari, 2011

* Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat perancangan kewangan dan kewangan korporat

* Semua syarikat senaraian awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat pemerokeran saham menyediakan opsyen e-pembayaran

* Insentif cukai sedia ada untuk perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015

* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen pembangunan kewangan Islam

* Pengecualian cukai ke aras keuntungan bank dariapda operasi luar negara.

* Potongan berganda perbelanjaan yang ditanggung untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan antarabangsa

* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penubuhan syarikat-syarikat pembrokeran Islam

* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penerbitan sekuriti

* Kerajaan akan menggalakkan semua institusi perbankan dan kewangan yang mematuhi syariah seperti Bank Muamalat dan Bank Islam untuk menawarkan skim Ar-Rahnu

* Kerajaan akan memastikan koridor pembangunan serantau dimajukan mengikut jadual. Setakat ini 126 daripada 195 projek perancangan di pelbagai peringkat pelaksanaan. Pelaburan yang dirancang berjumlah RM221 bilion sudah mengatasi sasaran perbelanjaan Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak RM145 bilion

* Kerajaan akan memperuntukkan RM3.5 bilion untuk kemudahan asas dan infrastruktur serta program latihan dan projek sosio ekonomi untuk menyokong pelaksaan projek sektor swasta

* Kerajaan kini dalam peringkat awal menyiapkan kajian pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Kadar itu akan dikurangan berbanding cukai perkhidmatan dan jualan semasa.

* Cukai pendapatan bagi 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh mulai 2009 akan dibenar dibayar secara ansuran dalam lima tahun.

* Cukai lima peratus akan dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Jan, 2010.

* Cukai perkhidmatan RM50 dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj serta RM25 setahun bagi setiap kad tambahan mulai 1 Jan, 2010.

* RM100,000 dikenakan untuk setiap AP untuk pemegang kad AP terbuka berkuatkuasa 1 Jan, 2010. Sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada dana pembangunan Bumiputera dalam sektor automatif.

* Akan memperkenal skim insurans asas dan takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010

* Akan memperluas liputan insurans mikro dan takaful untuk peniagaan kecil mendapat manfaat daripada perlindungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan

* Pasaran saham diliberalisasikan untuk kecekapan

* Membenarkan penyertaan ekuiti asing 100 peratus dalam kewangan korporat dan perancangan kewangan.

* Semua syarikat senarai awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat broker saham menyediakan opsyen e-pembayaran

* Insentif cukai semasa untuk majukan perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.

* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen kewangan Islam

* Pengecualian cukai ke atas keuntungan perbankan yang diperoleh menerusi operasi luar negara.

* Mulai 1 Jan 2010, kerajaan bersetuju membenarkan agensi kerajaan mengekalkan 50 peratus sewa yang diterima manakala baki 50 peratus lagi dimasukkan dalam perolehan kerajaan

* Kerajaan akan laksana sistem pengurusan subsidi bahan api pada awal 2010.

* Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan kepada 26 peratus daripada 27 peratus berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010

* Kadar cukai maksimum koperasi akan dikurangkan kepada 26 peratus manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin akan dikurangkan kepada 26 peratus

* Pengecualaian cukan persendirian akan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010

* Kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi pendapatan pekerja Malaysia dan pekerja asing yang menetap dan bekerja di Iskandar Malaysia sebanyak 15 peratus berbanding maksium 26 peratus untuk seluruh negara

* RM14.8 bilion diperuntuk untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik

* Kerajaan akan terbitkan Sukuk 1Malaysia bernilai RM3 bilion.

* Kerajaan akan mewujudkan Skim Persaraan 1Malaysia yang diurus oleh KWSP.

Sumber : BERNAMA

Bajet perangi rasuah, cegah jenayah

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib dalam bajet sulungnya sebagai perdana menteri yang bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion, katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat petang ini.

Najib berkata dalam strategi bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta, mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan, memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus, memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan menggalakkan industri kreatif.

Bagi strategi kedua iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Katanya dalam strategi ketiga pula, kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam.

Menurutnya dalam langkah pertama ke arah meningkatkan pelaburan swasta, kerajaan akan menyediakan persekitaran mesra pelanggan, meningkatkan pelaburan swasta, pelaksanaan inisiatif penswastaan, meningkatkan inisiatif projek awam-swasta dan mempergiatkan kemasukan pelaburan asing.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya pembangunan bidang khusus pula, kerajaan akan merancakkan industri pelancongan, memantapkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mempergiatkan industri halal, tambahnya.

Juga di bawah strategi memacu ekonomi berpendapatan tinggi, Najib berkata kerajaan akan memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan industri hijau yakni menggalakkan pembangunan bangunan hijau, dan menggalakkan industri kreatif.

Perdana menteri berkata bagi mencapai strategi kedua iaitu pembangunan holistik dan mapan, langkah pertama membabitkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang akan ditingkatkan manakala akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan akan diperluaskan.

Seterusnya, kata Najib, kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja, mempergiatkan program Permata, dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.

Bagi langkah kedua strategi itu, kerajaan juga akan memantapkan sistem perbankan dan kewangan dengan cara mencergaskan pasaran saham, memajukan lagi sistem kewangan Islam, memperluaskan program mikro kredit Ar Rahnu.

Najib berkata di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM42.2 bilion adalah bagi emolumen dan RM20.8 bilion bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebanyak RM73.9 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap manakala sejumlah RM524 juta disediakan bagi pembelian aset dan baki RM800 juta untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM25.4 bilion disediakan bagi menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

Perdana Menteri berkata sejumlah RM20.3 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan untuk pembangunan sektor keselamatan, RM1.8 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Najib berkata kutipan hasil kerajaan persekutuan bagi tahun 2010 dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2009.

Bagaimanapun, katanya defisit kerajaan persekutuan bagi tahun 2010 dijangka lebih baik pada paras 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 7.4 peratus pada tahun 2009.

Perdana menteri berkata walaupun bajet 2010 merupakan bajet terakhir bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ia amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Najib berkata sejak menerajui kerajaan kira-kira enam bulan lepas, beliau telah mengambil langkah-langkah bagi merangsangkan ekonomi negara demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Merujuk kepada Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau berkata ia adalah berteraskan nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Maksudnya, dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu setiap langkah diambil memerlukan pengorbanan dan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat," katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi bagi melonjakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Pada penghujung ucapannya yang mengambil masa lebih dua jam, Najib menggesa seluruh rakyat supaya bersama-sama dalam usaha membentuk satu cita untuk Malaysia tercinta.

"Bersama api semangat Bagan Pinang yang masih bergejolak dan membakar sukma, bersama harapan yang marak lagi menyala, marilah kita membuat satu transformasi besar-besaran seraya menjulang Malaysia tercinta ini ke persadanya," katanya merujuk kepada kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil kerusi negeri itu 11 Okt lepas.

"Sesungguhnya, inilah bajet yang menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat.

"Bulatkanlah tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti menjadi nyata. 1Malaysia, Kemakmuran Bersama," kata beliau mengakhiri ucapan disambut gemuruh tepukan meja oleh penyokong-penyokong kerajaan di dalam dewan.

Sumber : BERNAMA

October 20, 2009

16 Sept diisytihar cuti umum

erdana menteri hari ini mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

"Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar.

"Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan perdana menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.

Perdana menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial seperti di Semenanjung.

"Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting. Maka kita juga mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dirasai oleh rakyat di Semenanjung," katanya.

Mengenai gagasan 1Malaysia, Najib berkata tujuan utama konsep yang menjadi teras pentadbiran beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara adalah untuk terus memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Beliau turut menegaskan, perpaduan antara kaum itu juga merangkumi integrasi nasional antara rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan terus ditingkatkan.

Untuk meningkatkan perhubungan antara tiga wilayah itu, perdana menteri berkata, kekerapan dan kapasiti penerbangan akan terus dipertingkat selain pembinaan prasarana asas bagi dua buah negeri itu seperti jalan, bekalan air dan elektrik, sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi keutamaan dengan menambah lebih banyak peruntukan.

"Dengan adanya perpaduan nasional, negara kita akan menjadi lebih stabil, kukuh dan aman. Negara yang aman damai pula akan menjadi asas terpenting bagi mencapai semua matlamat Wawasan 2020 yakni menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam kesemua aspek," katanya.

Najib berkata sesungguhnya perpaduan yang telah dicapai hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan di dalam negara lebih lima dekad lepas.

"Dan ingatkan bahawa harga keamanan ini adalah terlalu mahal dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bagi sesiapa yang cuba memporak-perandakan perpaduan maka merekalah yang sebenarnya menghancurkan keamanan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Marcus mengenai identiti yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur lain yang dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.

"Kalau kita sorot kembali asas pembinaan negara Malaysia, dari awal kita pilih jalan integrasi dan bukan asimilasi seperti negara-negara yang disebut oleh Yang Berhormat (Putatan) tadi seperti Indonesia, Filipina dan Thailand yang memilih jalan asimilasi.

"Ini menunjukkan pimpinan kita dari awal lagi bersikap amat terbuka.

"Kita lihat dari mula itu jalan terbaik iaitu apabila kita dapat menampilkan satu kekuatan berdasarkan perpaduan dan kepelbagaian... tiada negara lain seperti Malaysia," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Najib berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya.

"Ia perjalanan yang lama, tidak mungkin sampai ke penghujung dalam masa sepenggal dua penggal. Kita anggap ia satu kesinambungan, dan insya Allah apabila kita lakukan satu gagasan 1Malaysia ada nilai yang mendasari gagasan ini dan ia menyokong Wawasan 2020," katanya.

Abdul Hadi bertanya sama ada dengan penerapan gagasan 1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan dasar-dasar terdahulu termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020.

Sumber : BERNAMA

October 17, 2009

Selamat menyambut Deepavali


Jamespineappletown.blogspot mengucapkan kepada semua para pembaca, khususnya yang beragama Hindu, selamat menyambut perayaan Deepavali. Semoga perayaan cahaya ini membawa kemakmuran dan keamanan kepada kita semua.

October 16, 2009

Pembangkang tak jadi boikot DUN Perak

IPOH: Pakatan pembangkang yang sebelum ini berhasrat memboikot Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan pada 28 Oktober ini atas alasan notis dikeluarkan oleh Speaker, Datuk R Ganesan, sebagai tidak sah, semalam mengubah pendiriannya.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata keputusan untuk menghadiri Sidang DUN itu dibuat selepas menerima notis daripada bekas Speaker yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V Sivakumar, kelmarin, memaklumkan persidangan itu akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat sama.

Katanya, pakatan pembangkang masih mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak, justeru akan mematuhi notis yang dikeluarkannya dan pada masa sama meminta Ganesan menarik balik notis dikeluarkannya kerana mendakwa arahan dikeluarkannya tidak sah.


Sumber : Berita Harian

Satu lagi EGM untuk atasi krisis MCA

Presiden MCA hari ini mengumumkan satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menentukan sama ada perlu atau tidak pemilihan parti diadakan sekali lagi bagi keluar daripada krisis kepemimpinan parti.

Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Agungnya Datuk Wong Foon Meng mengadakan EGM seperti peruntukan Perkara 30.1 perlembagaan MCA.

Menulis di blognya selepas mesyuarat petang ini, beliau berkata EGM dipanggil kerana anggota jawatankuasa pusat tidak bersedia mengadakan pemilihan agung parti semula - selepas ia diadakan setahun lalu.

Beliau juga menyifatkan tindakan disiplin terhadap pencabar utamanya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai "usaha kolektif" dan oleh itu harus ditanggung bersama, bukan beliau seorang sahaja.

Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu selama tiga jam mulai 2 petang di Kuala Lumpur, MCA juga mengumumkan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kini naib presiden, dilantik sebagai timbalan presiden - jawatan yang dikosongkan akibat pengguguran Dr Chua.

Pada 10 Oktober lalu, parti itu mengadakan EGM untuk meluluskan lima usul susulan penggantungan Dr Chua daripada parti itu dan sekali gus melucutkan jawatannya sebagai pemimpin nombor dua.

EGM itu bagaimanapun menimbulkan krisis baru apabila hampir 2,400 perwakilan MCA menimbulkan isu undi tidak percaya terhadap Ong dan sekali gus menolak usul agar Dr Chua dikembalikan kepada jawatan lamanya itu.

Dr Chua bagaimanapun dibenarkan menyertai kembali parti tersebut.

Mesyuarat jawatankuasa pusat itu dibuat hari ini bagi membincangkan kedudukan pemimpin atasan MCA susulan keputusan EGM Sabtu lalu.

Ia diadakan di tengah-tengah spekulasi bahawa Ong akan dipaksa meletakkan jawatan atau memanggil semula satu lagi pemilihan agung parti untuk menyelesaikan krisis parti tersebut.

Sumber : Malaysiakini

40 gempa di Malaysia sejak 2007

Dalam tempoh hampir dua tahun, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garis sesar (garisan gempa bumi) Bentong di Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu berlaku di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong itu.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

Bagaimanapun hanya sekali, iaitu pada Mei 2008, jabatan berkenaan mengesan gempa lebih kuat berukuran 3.5 pada skala Richter.

"Apa yang boleh kita katakan ialah walaupun Bukit Tinggi dan Janda Baik berada di atas garisan gempa bumi, ia tidak mungkin melepasi ukuran 5.0 pada skala Richter dan ini bermakna, jika berlakupun gempa bumi, ia tidak akan merosakkan struktur bangunan yang kukuh.

"Kami tegaskan juga bahawa gempa berkenaan berlaku di sesar berkenaan dan bukannya di Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang negara," katanya dalam temu bual dengan Bernama di Petaling Jaya.

Dakwa dinding, lantai retak

Penduduk di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang yang sering merasai gegaran setiap kali berlaku gempa bumi bermagnitud besar di negara jiran baru-baru ini meminta kerajaan melakukan kajian terperinci terhadap struktur tanah di kawasan itu.

Desakan mereka dikuatkan dengan dakwaan gegaran yang mereka rasai baru-baru ini ekoran gempa bumi kuat di Sumatera Barat pada 30 Sept bukan sekadar gegaran biasa kerana mereka ada mendengar bunyi letupan dan dapat merasai pergerakan tanah ketika gegaran itu berlaku.

Menurut mereka, walaupun tiada runtuhan bangunan, kebelakangan ini bila berlaku gegaran ada saja harta benda yang rosak dan dinding atau lantai rumah yang retak.

Penduduk bercerita, kawasan Janda Baik dan Bukit Tinggi mencatatkan gegaran pertama pada November 2007 ekoran beberapa siri gempa bumi yang berlaku di sekitar Indonesia dan Filipina.

Dalam hal ini Dr Rosaidi memberi jaminan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Geosains dan beberapa jabatan berkaitan untuk membuat kajian segera ke atas muka dan struktur tanah dan batuan di situ.

"Kami juga akan menemubual penduduk setempat mengenai apa yang dikatakan oleh mereka sebagai pergerakan bumi yang dirasai semasa gempa berlaku.

"Turut menarik minat kami ialah melihat kekuatan gegaran yang didakwa menyebabkan keretakan pada dinding dan lantai," katanya.

Dua kali gempa agak kuat

Dr Rosaidi menjelaskan bahawa setakat ini gempa bumi yang berlaku ialah di antara 1 batu hingga 10 batu di bawah permukaan bumi.

"Hanya dua kali gempa bumi berlaku dengan kekuatan antara 2.8 dan 3.5 pada skala Richter dan kedua-duanya pada kedalaman 10 batu di bawah muka bumi," katanya.

Malaysia kini mempunyai 13 stesen mengesan gempa di seluruh negara dengan tujuh daripadanya di Semenanjung, antaranya di Kulim Kedah dan yang terbaru di Jerantut Pahang, manakala enam stesen di Sabah dan Sarawak.

"Pegawai-pegawai kami bertugas 24 jam sehari. Mereka akan memaklumkan kepada pihak berwajib dan setiap apa yang mereka rekodkan adalah mengikut masa sebenar gempa berlaku," katanya.

Terdapat empat garis sesar (garisan gempa bumi) di negara ini iaitu di Jerantut, Bentong, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Manjong Perak.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Dr Yap Kok Seng berkata gempa bumi berskala kecil iaitu kurang daripada 2.8 pada skala Richter tidak menyebabkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa.

"Kejadian gempa bumi yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi merupakan satu proses penstabilan semula struktur batu-batan di sekitar Zon Garis Sesar Bukit Tinggi.

"Proses penstabilan ini dipercayai berlaku ekoran daripada himpitan batu-batan akibat beberapa kejadian gempa bumi bermagnitud besar yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Gempa bumi bermagnitud besar itu ialah pada 26 Dis 2004 di Aceh, Nias (28 Mac 2005) dan yang terbaru di Padang (30 Sept lalu, foto kanan) dan Bengkulu (1 Okt lalu), semuanya di Indonesia.

Panduan rakyat hadapi gempa

Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan mesin seismograf dan direkodkan ukurannya dalam skala Richter di antara 1.0 hingga 10.0.

Gempa bumi pada ukuran 1.0 skala Richter memang terlalu kecil yang boleh berlaku setiap hari dan biasanya tidak dirasai manusia.

Ukuran dari 7.0 hingga 10.0 pada skala Richter ialah gempa bumi paling kuat yang berlaku dalam masa 10 hingga 20 tahun, menurut Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Jabatan Penerangan Malaysia.

PMR yang boleh diakses dalam talian itu turut memasukkan maklumat mengenai bagaimana kita harus bersedia untuk gempa bumi dan apa yang harus kita lakukan semasa berlaku gempa bumi.

Secara terperinci ia menyenaraikan tindakan yang boleh diambil sekiranya anda berada di dalam bangunan ketika gempa bumi berlaku, sekiranya anda di dalam bangunan tinggi, di laluan dekat bangunan, di dalam kereta yang bergerak dan apa yang harus dilakukan selepas gempa bumi.

Setakat ini Jabatan Meteorologi memberi jaminan tiada ancaman gempa bumi bermagnitud tinggi yang dijangka berlaku di negara ini, namun tidak salah membaca panduan itu untuk pedoman dan menambah pengetahuan.

Sumber : BERNAMA

October 11, 2009

Isa Samad tebus maruah BN


8pm Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN berjaya mengalahkan PAS dengan majoriti lebih besar, 5,435 undi.

Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula meriah hanya 2,578 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, rekod terburuk BN, parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Kejayaan BN menggandakan jumlah majoriti kali ini berjaya menebus maruah parti itu yang selama ini tercalar akibat kegagalan memenangi sebarang pilihan raya kecil di Semenanjung sejak sembilan kali ia diadakan.

BN berjaya menebus ketewasannya di tiga daerah mengundi pada Mac tahun lalu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong.

Kemenangan mantan menteri besar Negeri Sembilan itu, selain membuktikan ketokohannya masih kukuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.

7.15pm Tidak rasmi, BN mendahului PAS dengan 5,435 undi. Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula 2,578 undi. Undi rosak 222.

Kira-kira 300 lagi undi daripada 11,157 undi belum dihitung.

7pm Rasmi, BN mendahului PAS dengan 3,436 undi. Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 4,377 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula 941 undi.

6.59pm Rasmi, BN juga mendahului PAS dengan jumlah yang besar bagi undi pos. Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 3,521 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula 601 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, BN memperolehi 1,891 undi, sementara PAS pula 1,189 undi pos.

6.52pm Tidak rasmi, BN mendahului PAS dengan majoriti 5,331 undi. Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 7,821 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula 2,490 undi. Undi rosak 218.

Setakat ini, 10,395 daripada 11,157 undi atau 93.2 peratus undi telah dihitung.

6.40pm Tidak rasmi, BN mendahului PAS dengan majoriti 4,702 undi. Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 6,705 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula 2,003 undi.

Setakat ini, 8,708 daripada 11,157 undi atau 78 peratus undi telah dihitung. Jika trend ini berterusan, BN akan menang dengan majoriti undi lebih besar.

Pada pilihan raya umum lalu, BN memperolehi 2,333 undi.

6.25pm Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendahulu di empat daripada lapan daerah mengundi di DUN Bagan Pinang. Malah BN menang di ketiga-tiga daerah mengundi yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum tahun lalu.

Tiga kawasan tersebut ialah Pekan Siliau (BN 349 dan PAS 113 undi); Ladang Atherton (BN 218 dan PAS 115); dan Sua Betong (BN 371 dan PAS 149). Manakala BN mengekalkan penguasaannya di Ladang Bradwall dengan memperolehi 215 undi dan PAS mendapat 90 undi.

Dalam pilihanraya umum 2008, PAS menang di Pekan Siliau dengan mendapat 275 undi dan BN 194 undi (majoriti 81 undi); menang di Ladang Atherton dengan mendapat 208 undi dan BN 124 undi (majoriti 84 undi); dan menang di Sua Betong dengan mendapat 290 undi dan BN 244 undi (majoriti 46 undi).

BN pula menang di Ladang Bradwall dengan mendapat 172 undi dan PAS memperolehi 131 undi (majoriti 41 undi).

5pm Semua lapan pusat pembuangan undi untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ditutup. Proses pengiraan di semua saluran di pusat-pusat tersebut bermula tidak lama lagi. Seramai 11,157 atau 81.65 peratus pemilih, termasuk pengundi pos, mengundi dalam pilihanraya kecil ini.

5pm Semua lapan pusat pembuangan undi untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ditutup.

Proses pengiraan di semua saluran di pusat-pusat tersebut bermula tidak lama lagi.

Seramai 11,157 atau 81.65 peratus pemilih, termasuk pengundi pos, mengundi dalam pilihanraya kecil ini.

4.55pm Persaingan BN dan PAS dijangka sengit - majoriti calon yang menang dijangka tipis.

"Kalau (PAS) menang, tidak menang banyak. Kalau kalah, tidak kalah banyak," kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, yang menyifatkan kedua-dua parti saling "kejar-mengejar."

Bagaimanapun BN yakin menang dan mempertahankan kerusi DUN tersebut.

"Pada jangkaan awal kita, 70 peratus daripada jumlah undi memihak kepada kita," kata Ketua Pemuda Umno Telok Kemang, Mohd Faizal Ramli.

4.45pm Masa untuk membuang undi bagi menentukan ADUN baru Bagan Pinang tinggal lagi 15 minit sebelum ditutup rasmi.

4.23pm Seramai 6,301 pemilih, atau 69.5 peratus, di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga pukul 4 petang - sejam lagi sebelum tempoh membuang undi bagi pilihan raya kecil DUN tersebut ditutup.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan peratus keluar mengundi mencecah 80 peratus.

3.30pm Seramai 5,892 atau 65 peratus pemilih telah keluar mengundi sehingga jam 3 petang ini - dua jam sebelum pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang ditutup pada jam 5 petang.

2.53pm Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan mengejut berhubung pemakaian lambang-lambang parti di badan para penyokong di luar lapan pusat pembuangan undi.

Atas arahan suruhanjaya itu, polis mengarahkan semua petugas dan penyokong PAS serta BN menanggalkan sebarang simbol - termasuk pada pakaian seperti topi atau jaket.

Penggunaan kipas tangan dan payung yang bersimbolkan parti bertanding juga dilarang.

2.24pm Seramai 5,371 pemilih, atau 59.2 peratus, di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga pukul 2 petang - tiga jam sebelum tempoh membuang undi bagi pilihan raya kecil DUN tersebut ditutup.

2.15pm Wakil calon PAS, Ramli Ismail, membuat aduan polis tengah malam tadi, mendakwa 70 kertas undi untuk pemilih pos yang tidak membuang undi diserahkan pihak tentera.

Jumlah kertas ini - yang dicurigai oleh PAS - sepatutnya disimpan di pejabat pegawai pengurus pilihan raya DUN Bagan Pinang, katanya kepada Malaysiakini.

1.33pm Seramai 4,905 pemilih, atau 54.1 peratus, di Bagan Pinang membuat penentuan antara calon BN atau PAS sehingga jam 1 tengah hari ini dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.

1.27pm Pasukan peguam PAS mendakwa kes replika duit palsu RM100 yang ditabur di Taman Desa Sirusa semalam menjelang hari pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang satu bentuk provokasi BN, lapor media rasmi parti itu Harakahdaily.

Isu tiga keping duit RM100 yang bernombor siri sama telah diadukan kepada polis.

12.54pm Lapan pusat pembuangan undi di DUN Bagan Pinang mulai lengang menjelang tengah hari, dipercayai penyokong dan pemilih berehat makan tengah hari.

12.25pm Seramai 4,220 pemilih, atau 46.5 peratus, di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 12 tengah hari ini dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.

12.10pm: Beberapa penyokong parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang dilaporkan ditahan selepas berlaku satu pergaduhan di luar SK Teluk Kemang.

11.35am Insiden membaling batu dan botol air mineral berlaku di pusat pengundian di SK Teluk Kemang pada kira-kira jam 11.20 tadi. Bagaimanapun, anggota polis berjaya mengawal dan meredakan keadaan antara penyokong BN dan PAS.

11.20am Sebanyak 35.7 peratus pemilih biasa di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 11 pagi ini dalam pilihanraya kecil DUN tersebut. Pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

11am Calon BN, Tan Sri Isa Samad beredar dari Sekolah Bradwall di tengah laungan 'rasuah' oleh pemimpin PAS.

Isa berkata, peluang untuk beliau menang adalah cerah.

Ketika menemui seorang pengundi India, Isa berkata: "Jangan lupa dacing".

10.20am Seramai 2,168 atau 23.9 peratus pemilih biasa di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 10 pagi ini dalam pilihanraya kecil DUN tersebut. Pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

10.15am Calon BN, Tan Sri Isa Samad tiba di Ladang Siliau dan berjalan sejauh kira-kira 150 meter dari jalan utama ke pusat pengundian. Penyokong PAS di situ mula melaung menyindirnya berhubung isu politik wang.

10.10am Keadaan pusat pengundian di SK Panglima Adnan riuh rendah dengan penyokong BN dan PAS melaung antara satu sama lain. Kira-kira 5,000 orang berhimpun di situ. Beberapa penyokong sebuah parti kelihatan membaling botol air mineral melintasi jalan ke arah tempat penyokong PAS berhimpun.

9.30am Calon PAS, Zulkefly Mohd Omar tiba di SK Panglima Adnan, dengan diiringi ahli-ahli parti itu yang memakai baju dengan logo PAS. Beliau yakin mampu menang dan menggesa pengundi supaya keluar mengundi.

Sebelum itu, proses pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula sebaik sahaja pusat-pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi ini.

Hujan turun awal pagi tetapi berhenti sejurus selepas jam 8 pagi. Bagaimanapun, hujan renyai turun semula kira-kira 40 minit kemudiannya.

Terdapat 13,994 pemilih, termasuk 4,604 pemilih pos, yang layak mengundi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Pengundi pos telah selesai membuang undi dua hari lalu, manakala pengundi biasa seramai 9,060 orang, akan membuat pilihan mereka hari ini di lapan pusat pengundian yang melibatkan 18 saluran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 80 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Sabtu meminta petugas BN supaya menanggalkan jaket dan menutup payung mereka yang mempunyai logo parti.

Menurutnya, tempoh kempen tamat tengah malam tadi, maka tiada lagi bahan kempen seperti baju dan payung boleh digunakan hari ini.

Pilihan raya DUN Bagan Pinang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tan Sri Isa Samad dengan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor, pada 4 September lalu. Azman mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Polis telah menasihatkan pengundi khususnya supaya mematuhi arahan anggota pasukan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas, yang dijangka sesak berikutan kehadiran pelawat yang berkunjung ke pantai peranginan di situ pada hujung minggu.

Pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua lapan pusat mengundi terbabit.

Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan MPPD dan keputusannya
dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

8.51am Sekumpulan Pemuda Umno melaung kepada Pemuda PAS, sesiapa yang mahu arak, pergi ke Selangor.

8.50am
Hujan renyai-renyai mulai turun di Teluk Kemang.

840am Hujan turun renyai-renyai semula di pusat mengundi SJK (T) ladang siliau.

8:25am Kira-kira 150 penyokong PAS berkumpul di luar sekolah kebangsaan Teluk Kemang untuk merayu undi. Beberapa orang pemandu kereta menunjukkan "tanda bagus" kepada penyokong PAS, dan penyokong membalas dengan laungan "Allahu Akbar".

8.20am Pemuda Kg Bagan Pinang menjerit "Anwar Rasuah" "Take Beer" dan "bapa rasuah". Ia sebagai membalas laungan penyokong PAS yang melaungkan "BN Rasuah". Kedua-dua penyokong melaung "Allahu Akhbar".

Kira-kira 100 penyokong PAS dan BN berkumpul di SJK (T) Ladang Siliau. Polis memantau keadaan. Langit kelihatan cerah, selepas hujan gerimis di sebelah pagi berhenti.

Kira-kira 100 penyokong PAS berhimpun di luar SK Telok Kemang dalam usaha terakhir merayu undi. Beberapa kereta yang lalu di situ membunyikan hon dan menunjukkan tanda sokongan. Penyokong PAS membalas balik dengan laungan 'Allahu Akhbar'.

8.05am Penyokong-penyokong PAS berdoa di luar pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ladang Siliau dalam Pekan Siliau.

8.00am Pengundian di Bagan Pinang bermula. Kira-kira 300 penyokong BN dan Pakatan Rakyat berkumpul di sepanjang jalan di pusat mengundi di Kg Bagan Pinang. Hujan yang turun sebentar tadi menyebabkan, ramai penyokong membuka payung masing-masing.

7.25am
Polis mulai membuat sekatan di beberapa kawasan.

7.17am Hujan mulai turun seperti hari penamaan calon. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff berkata ramalan cuaca hari ini dijangka hujan disebelah pagi, tidak seperti dua hari sebelum ini yang kelihatan cerah.

Sumber : Malaysiakini

Hadiah untuk rakyat

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penjualan 44,146 unit rumah awam kerajaan kepada penyewa dengan harga antara RM21,500 hingga RM35,000 seunit bermula November ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan rebat RM2,500 untuk setiap rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan antara RM1,540 hingga RM2,500 seunit bagi Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan pemilik membaik pulih rumah berkenaan.

Pengumuman itu disambut gembira dengan tepukan bergemuruh oleh kira-kira 15,000 penyewa yang hadir pada majlis pelancaran penjualan rumah berkenaan di PPR Kerinchi, Lembah Pantai di sini.

Ia sebagai menunaikan janji yang dibuat beliau pada 11 Julai lalu ketika genap 100 hari menjadi Perdana Menteri, supaya penduduk miskin memiliki rumah sendiri di bawah konsep Satu Keluarga Satu Rumah.

Najib berkata, sebanyak 29,562 unit PPR di bawah seliaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di 20 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dijual pada harga RM35,000 sebuah.

''Bagi 14,584 unit Perumahan Awam DBKL di 17 lokasi pula dijual pada harga antara RM21,500 hingga RM35,000 sebuah mengikut keluasan dan jumlah bilik.

''Borang permohonan akan mula diedarkan Isnin ini dan semua penyewa dijangka menerima surat kelulusan dan dokumen perjanjian jual beli rumah pada November atau Disember ini," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan membantu penyewa terbabit mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan bagi membeli rumah berkenaan yang kini mempunyai nilai pasaran antara RM80,000 hingga RM85,000 seunit.

''Sekiranya terdapat di kalangan penduduk yang tidak mampu membelinya, mereka akan terus dibenarkan menyewa sehinggalah benar-benar mampu.

''Selaras dengan konsep 1Malaysia, rumah ini akan dijual kepada penduduk berbilang kaum yang menepati syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

''Antara syarat ini adalah mesti mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan dan keutamaan akan diberikan kepada penduduk yang telah lama menyewa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, rakyat tidak boleh berbangga hanya semata-mata kerana Kuala Lumpur mempunyai bangunan pencakar langit, lebuh raya dan jalan yang cantik serta gedung beli-belah mewah kerana itu hanya sebagai pelengkap kepada kota raya moden.

''Sesebuah kota raya hanya boleh dijadikan kebanggaan apabila keadaan rakyat biasa diambil kira dan mereka bebas daripada sebarang kesempitan hidup.

''Mudah-mudahan mereka yang mendapat rumah ini tidak lupa jasa serta budi kerajaan dan kalau boleh, kenang sampai bila-bila," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Perwakilan tolak Ong, Chua terlepas jawatan timbalan

Para perwakilan MCA hari ini mengundi menyokong usul undi tidak percayai terhadap Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, manakala Datuk Seri Chua Soi Lek gagal mendapat sokongan perwakilan untuk dilantik semula ke jawatan timbalan presiden.

Seramai 1,155 perwakilan mengundi menyokong usul tidak percaya terhadap Tee Keat, manakala 1,141 satu lagi menolaknya. Terdapat lapan undi rosak.

Manakala 1,184 perwakilan mengundi menolak Soi Lek dilantik semula ke jawatan timbalan presiden, manakala 1,110 perwakilan menyokongnya. Terdapat 10 undi rosak.

Bagi usul kedua, 1,204 perwakilan mengundi menolak pemecatan/penggantungan keahlian Soi Lek, manakala 1,095 menyokongnya. Terdapat 5 undi rosak.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA, Datuk Yip Phooi Hong.

Dalam reaksinya selepas itu, Tee Keat berkata beliau menerima keputusan EGM.

Menurutnya, tindakan lanjut akan dibincangkan oleh majlis presiden dan jawatankuasa pusat parti.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan, Tee Keat berkata ia akan dibincangkan dalam majlis presiden dan jawatankuasa pusat.

Sebelum itu, Tee Keat dan anggota jawatankuasa pusat MCA masuk ke dewan sejurus sebelum keputusan diumumkan.

Selepas keputusan diumumkan, beliau naik ke bilik mesyuarat di tingkat sembilan bangunan MCA untuk mengadakan sidang akhbar.

Tee keat kelihatan kecewa tetapi tenang. Ditanya sama ada beliau terperanjat dengan keputusan tersebut, Tee Keat berkata:

"Saya tetap saya, anda nampak saya terperanjat?

"Dari hari pertama kita mahu menyelesaikan krisis parti melalui EGM, inilah dia dan kami menerima keputusannya."

Sementara itu, Soi Lek mengeluarkan kenyataan dua perenggan lewat petang ini sebagai mengulas keputusan pengundian para perwakilan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, beliau berterima kasih kepada para perwakilan yang menyokong usul membatalkan penggantungan keahliannya sebagai ahli MCA.

"Saya menerima keputusan para perwakilan dan saya berharap pucuk pimpinan MCA akan menghormati keputusan perwakilan dalam EGM ini," katanya.

Sebelum itu, keadaan tegang apabila kiraan semula dibuat untuk undian bagi usul tidak percaya kepada Tee Keat kerana majoritnya majoritinya hanya 20 undi atau 1 peratus.

Yip memberitahu para perwakilan, sekiranya jumlah undi sama banyak, mengikut perlembagaan parti, beliau akan mengundi bagi menentukan pemenangnya.

Beliau kemudiannya meminta perwakilan menunggu dan kedengaran bunyi laungan 'boo' dari para hadiran.

Bagaimanapun, sejurus kemudian, diumumkan oleh pengiraan undi telah tamat dan pengumuman akan dibuat pada bila-bila masa.

Seramai 2,307 perwakilan MCA mengundi dalam EGM hari ini untuk menentukan nasib dan masa depan politik Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan Soi Lek.

Sebelum EGM bermula pada kira-kira 10.30 pagi tadi, pengerusi mesyuarat agung luar biasa itu, Datuk Yip Phooi Hong, mengumumkan bahawa dua daripada tiga usul telah ditarik balik.

Dua usul tersebut ialah usul membatalkan sebarang pelantikan termasuk timbalan presiden yang dibuat sebelum EGM dan tidak dikenakan tindakan disiplin terhadap penuntut EGM itu.

Yip berkata, dua usul tersebut diketepikan kerana ia tidak lagi menjadi isu.

Berikutan itu, 2,307 perwakilan MCA yang menghadiri EGM pagi ini akan mengundi tiga usul utama, iaitu usul tidak percaya terhadap Tee Keat, membatalkan keputusan majlis presiden memecat dan keputusan jawatankuasa pusat parti menggantung keahlian Soi Lek dan menerima semula Soi Lek sebagai timbalan presiden MCA.

Proses pendaftaran perwakilan selesai pada jam 10.30 pagi di mana 96.93 peratus perwakilan hadir. Seramai 73 lagi perwakilan tidak hadir.

Sehingga jam 11.08 pagi, kira-kira 70 peratus perwakilan telah selesai mengundi. Pada jam 11.44 pagi, sebahagian besar perwakilan telah selesai mengundi. Manakala Tee Keat pula mengundi pada jam 11.50 pagi.

Keseluruhan proses pengundian selesai pada jam 11.55 pagi. Proses pengiraan pengundi akan bermula selepas ini, keputusannya dijangka diketahui selepas jam 2 petang.

Lapan wakil - masing-masing dari puak Tee Keat dan Soi Lek - dilantik untuk memantau perjalanan proses pengundian pagi ini.

Tee Keat and Soi Lek tiba di ibupejabat MCA di Jalan Ampang, awal pagi untuk bersarapan bersama para perwakilan di bawah kemah yang dipasang di depan bangunan tersebut.

Kedua-dua tidak bertegur sapa. Apabila pihak media meminta mereka bergambar bersama, Tee Keat dan Soi Lek bersikap seolah-olah tidak mendengarnya.

Tiada masa ditetapkan oleh proses pengundian tiga usul berkenaan pagi ini.

Sementara itu, apabila diberitahu yang majlis makan malam anjuran Soi Lek malam tadi, lebih mendapat sambutan, Tee Keat enggan mengulas.

Bagaimanapun, para pemerhati berkata, majlis makan malam anjuran Tee Keat dan Soi Lek masing-masing mendapat sambutan.

Menurut mereka, jumlah yang menghadiri majlis makan malam Tee Keat dianggarkan seramai 1,700 orang manakala 1,500 orang menghadiri majlis makan malam Soi Lek.

Sebaliknya, penyokong Soi Lek mendakwa 1,500 orang yang menghadiri majlis makannya kesemua adalah para perwakilan.

Ekoran pemecatannya, Soi Lek tidak boleh masuk ke dewan dan hanya dilihat berlegar di luar bangunan ibupejabat MCA itu.

Sementara itu EGM kali berlangsung dengan tiga-10: bermula pada jam 10 pagi hari ke-10 bulan kesepuluh. Namun ramai pemerhati politik dalaman percaya para perwakilan telah membuat keputusan mereka.

Pertembungan antara penyokong Tee Keat dan Soi Lek ini bakal menentukan masa depan kepimpinan parti komponen kedua terbesar BN itu, yang dilanda krisis kepimpinan sejak tindakan diambil terhadap Soi Lek berkaitan skandal klip video seks.

Lembaga disiplin MCA mencadangkan Soi Lek dipecat, yang kemudiannya disahkan oleh Majlis Presiden. Ekoran keributan yang tercetus ekoran tindakan tersebut, maka jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Soi Lek, dan sebaliknya penggantung keahliannya.

Turut menarik perhatian ialah kewujudan apa yang dipanggil "pasukan ketiga" yang mahukan perwakilan menolak kedua-duanya - Tee Keat dan Soi Lek dalam EGM hari ini.

Jika ini menjadi kenyataan, maka akan berulang sejarah penukaran kepimpinan MCA - di mana presiden dan timbalan presiden - melepas jawatan dan kompromi dicapai untuk melantik calon lain, bagi mengelak perpecahan yang berterusan dalam parti itu.

Sumber :Maslaysiakini

Bagan Pinang: Amaran polis, jangan sebar berita palsu

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini memberi amaran kepada pihak-pihak yang menyebarkan berita palsu melalui SMS mengenai kekecohan yang kononnya akan berlaku di Bagan Pinang esok supaya segera menghentikan perbuatan itu.

Beliau berkata polis telah menyiasat semua berita itu secara terperinci dan mendapati semua maklumat dalam berita itu adalah tidak benar.

"Perbuatan ini salah dari segi undang-undang dan memberi gambaran yang tidak tepat yang boleh mengeruhkan ketenteraman awam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh.

Beliau berkata mereka yang melakukan perbuatan itu mempunyai motif untuk mengganggu pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan esok.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

"Kami akan terus memantau keadaan ini bagi tempoh 24 jam yang akan datang ini untuk menentukan supaya perkara ini tidak terus berlaku," kata Ismail.

Timbalan ketua polis negara itu juga memberi jaminan bahawa pasukan polis sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi apa juga keadaan pada hari pengundian esok.

Semua anggota polis yang berada di Bagan Pinang telah diberi tugasan tertentu dari sudut kawalan lalu lintas dan keselamatan di tempat mengundi dan tempat-tempat lain di mana orang ramai akan berkumpul.

"Saya dapati elemen polis telah disusun atur untuk menentukan keadaan terkawal, aman dan saya ingin memaklumkan bahawa keadaan adalah baik untuk pilihan raya kecil dijalankan dengan kerjasama semua pihak yang berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang luar yang tidak terlibat dalam proses pengundian supaya tidak mengambil kesempatan untuk mengganggu proses pengundian esok dan polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang engkar.

"Kita sedar kawasan Bagan Pinang ini jalan rayanya agak sempit. Oleh itu saya meminta kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan polis untuk menentukan supaya mereka yang layak mengundi saja dapat keluar melaksanakan tanggunjawab mereka untuk memilih calon mereka.

"Saya mohon kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan polis. Kita kena bekerjasama, bukan saja pihak berkuasa undang-undang tapi rakyat juga bertanggungjawab untuk menentukan proses pilihan raya kecil ini berjalan lancar," katanya.

Sumber - Bernama

October 4, 2009

Malaysia hantar tiga bantuan ke Padang

PEKAN 3 Okt. - Malaysia menghantar tiga bentuk bantuan kemanusiaan kepada mangsa musibah gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera Barat yang sehingga kini mengorbankan hampir 1,000 nyawa dan memusnahkan harta benda.

P erdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan tersebut adalah penghantaran 39 anggota pasukan mencari dan menyelamat Malaysia SMART ke Padang pagi ini.

Kata beliau, bantuan kedua pula penghantaran pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

''Selain itu, bantuan berupa barangan keperluan harian dan kewangan akan disalurkan yang mana ia dihantar secara berperingkat,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 190 bakal haji dalam Parlimen Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Sehingga semalam, kira-kira 770 orang terkorban dan 295 parah akibat kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda Padang, Rabu lalu.

Menurut Najib, penyaluran bantuan tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menerusi perbualan telefon dengan beliau lewat malam tadi.

''Saya telah bercakap dengan Presiden SBY (Susilo) sambil menyampaikan rasa terharu dan sedih serta takziah rakyat dan kerajaan Malaysia terhadap tragedi serta musibah yang menimpa Indonesia.

''Saya juga menyatakan Malaysia menawarkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang dan SBY telah menyambut baik dan dengan spontan menyatakan bersedia menerima apa juga bantuan daripada Malaysia," katanya.

Najib memberitahu, beliau meminta ATM mewujudkan sebuah hospital sementara di kawasan gempa bumi itu bagi menempatkan satu unit pembedahan bagi membantu mangsa bencana alam tersebut.

''Saya minta ATM sediakan hospital sementara kerana difahamkan banyak pembedahan seperti memotong tangan, kaki dan sebagainya perlu dilakukan terhadap mangsa.

''Mungkin kita akan hantar pegawai dan kakitangan hospital sementara itu ke Padang esok," katanya.

Malaysia juga akan membekalkan air bersih dan vaksin yang amat diperlukan oleh mangsa bencana alam tersebut.

Sumber : Utusan Online

Bagan Pinang: Pertandingan satu lawan satu BN-PAS


PORT DICKSON 3 Okt. - Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada pilihan raya kecil kawasan itu 11 Oktober ini akan dicabar oleh Pas.

Pada pertembungan dua penjuru itu, calon BN Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad akan dicabar oleh calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar.

Sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini hanya dua calon tersebut mengemukakan pencalonan bagi bertanding merebut kerusi tersebut.

Sementara calon bebas Shahruddin gagal berbuat demikian selepas borang pencalonannya ditolak ekoran gagal mengemukakan penyokong dari kalangan pengundi berdaftar di kawasan ini.

Selepas tempoh bantahan tamat pada pukul 11 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil berkenaan, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan Mohd. Isa, 60, dan Zulkefly, 45, sebagai calon yang akan bertanding.

''Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima dua borang pencalonan iaitu dari BN dan Pas sehingga ia ditutup pada pukul 10 pagi.

''Kita juga telah menerima kedua-dua borang pencalonan tersebut dan selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi ini, hanya terdapat dua bantahan yang dibuat kedua-dua parti," kata beliau di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini hari ini.

Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor pada 4 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Proses hari ini berjalan lancar dengan Mohd. Isa tiba pada di dewan penamaan calon dan menyerahkan borang pada pukul 9.02 pagi. Beliau dicadangkan oleh Kandiah Narayasamy, 63, dari MIC dan disokong oleh Kaw Yoh Se, 70, dari MCA.

Zulkefly pula menyerahkan borang pada pukul 9.06 pagi bersama pencadang, Sarif Kassim, 64, dan penyokong, Baharom Bujang.

Terdahulu, Mohd. Isa tiba sambil diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masuk ke perkarangan dewan pada pukul 8.40 pagi.

Turut mengiringi calon BN itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Keyveas.

Turut sama mengiringi Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaludin.

Zulkefly pula diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali; Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Shahruddin pula yang mengisytiharkan keluar daripada PKR semalam, memasuki dewan yang sama bersendirian pada pukul 9.15 pagi.

Beliau yang ditahan polis buat seketika sebelum dibenarkan masuk, tidak lama kemudian dilihat bergegas keluar kerana gagal menyediakan penyokong dari kalangan pengundi berdaftar di Bagan Pinang.

Sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi, bekas ahli jawatankuasa PKR bahagian Teluk Kemang itu tidak kelihatan.

Dalam pada itu hujan lebat sebelum proses penamaan calon itu tidak menjejaskan hampir 10,000 penyokong kedua-dua parti yang bertanding untuk berarak memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Sumber : Malaysia kini

SPR minta penyokong BN, PAS jangan terlalu emosional

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihati penyokong BN dan PAS supaya saling hormat menghormati sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang - yang bermula selepas penamaan calon hari ini. Hari pengundian ditetapkan pada 11 Oktober depan.

"Masa kempen janganlah keluarkan perkataan yang sangat menyakitkan hati pihak yang lain....mereka kenal satu yang lain. Masa kempen itu juga jangan burukkan peribadi, memalukan seseorang, menjatuhkan maruah orang.....tak elok dan saya harap perkara itu tidak terus dibawa semasa hari pengundian.

"Saya harap pemimpin parti berkenaan, ingatkan pengikut masing-masing... jangan sampai hilang ingatan, jangan terlalu emosional. Kita mesti berfikir secara rasional," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, lapor Bernama

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad, berdepan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor, yang mewakili BN, meninggal dunia pada 4 September lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Azman menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Sejumlah 13,664 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos, layak mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Abdul Aziz juga gembira kerana proses penamaan calon pilihan raya kecil itu berjalan dengan baik.

Katanya penyokong parti yang bertanding diletakkan di dua kawasan berasingan dan berjauhan antara satu dengan lain mengikut laluan berbeza.

"Cuma sebelum mereka mula berhimpun pagi tadi, hujan lebat menyebabkan ramai mereka yang dalam keadaan basah kuyup. Saya dimaklumkan penyokong BN sebanyak 4,000 manakala 5,000 PAS," katanya.

Beliau berkata SPR menerima tiga bantahan iaitu dua bantahan daripada PAS berhubung pekerjaan Mohd Isa dan saksi calon BN tidak berdaftar sebagai pemilih manakala bantahan BN terhadap calon PAS pula adalah kerana ada kes mahkamah.

Bagaimanapun, katanya setelah disemak, ketiga-tiga bantahan itu ditolak dan kedua-dua calon daripada BN dan PAS sah bertanding.

Sumber : MalaysiaKini