April 22, 2012

Kerajaan sentiasa kenang jasa bekas tentera: Wilson

KAPIT: Kerajaan sentiasa mengenang jasa bekas tentera dalam mempertahankan negara daripada terus dijajah serta membentuk Malaysia menjadi sebuah negara membangun seperti hari ini.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Wilson Nyabung Ijang berkata, di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak polisi serta dasar telah digubah bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat, termasuk bekas perajurit yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Kerajaan amat berterima kasih kepada golongan perajurit ini yang banyak berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan negara,” ujarnya ketika berucap pada  Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Kapit, di Dewan Suarah di sini, pagi semalam.
Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi pada majlis tersebut berkata, Alexander akan memperuntukkan RM5,000 kepada persatuan tersebut untuk menjalankan aktiviti serta bagi tujuan kebajikan ahli-ahlinya.
“Malah, saya dimaklumkan tahun lepas Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri James Masing turut memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada persatuan ini. Ini jelas membuktikan pemimpin dalam kerajaan sekarang amat menghargai jasa anda semua,” katanya.
Hadir sama Yang Dipertua PBTM Negeri Spencer Birai, Pengerusi PBTM Cawangan Kapit Wilfred Billy Panyau, Pemanca Tan Kian Hoo dan Penghulu Stewart Sawing.
Pemanca Tan Kian Hoo turut bermurah hati menderma RM1,000 kepada PBTM. Seramai enam orang ahli turut menerima bantuan kebajikan daripada PBTM pada majlis itu.
Mereka ialah Ambau Gerasi, John Rima, Lumpoh Berandah, Mancha Bajit, Siang Gada dan Sengalang Uyang. Manakala 20 yang lain menerima kad keahlian sebagai ahli PBTM.

Lebih 20,000 hadiri Kenduri Rakyat 1Malaysia

NIBONG TEBAL: Tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat dan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan lebih dekat, lebih 20,000 orang daripada pelbagai lapisan kaum dari merata kawasan di Pulau Pinang dan Perak menghadiri kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Simpang Tiga, Sungai Acheh di sini hari ini.

Kenduri Rakyat 1Malaysia, yang diadakan sempena lawatan kerja sehari pemimpin nombor satu negara di Pulau Pinang itu, berlangsung dengan meriah.
Najib ketika berucap berkata kehadiran orang ramai pada kenduri rakyat 1Malaysia itu adalah di luar jangkaan. "Ini kali pertama saya datang ke kawasan Sungai Acheh dan saya teruja dengan kehadiran orang ramai hari ini. Terima kasih atas sokongan semua walaupun cuaca yang sedikit panas, anda masih tetap tidak berganjak daripada majlis ini," katanya.

Kenduri Rakyat 1Malaysia itu dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, bekas Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman.

Turut hadir pada kenduri yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 2 petang itu Pengerusi Badan Perhubungan MCA negeri Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Pengerusi MIC negeri L. Krishnan.

Beberapa pengunjung yang ditemui begitu teruja dapat menghadiri kenduri itu untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
Mohd Fazil Dzulkifli, 40, berkata dia memang tidak sabar untuk datang ke kenduri rakyat 1Malaysia itu kerana ingin melihat Perdana Menteri dengan lebih dekat.

"Ini pertama kali Perdana Menteri datang ke kawasan Nibong Tebal, jadi saya mengambil peluang ini untuk datang kenduri rakyat," katanya, yang datang bersama keluarganya dan keluarga adiknya.

Mohd Fazil, yang tinggal di Sungai Bakap, di sini berkata: "Kami mai naik dua buah kereta, keluar dari rumah pukul 9 pagi tadi bagi mengelak kesesakan, rupa-rupanya ada yang lagi awal daripada kami."

Bagi Lee Min Nyuk, 31, yang tinggal di Part Buntar, Perak berkata dia dan empat rakannya datang sejak pagi tadi untuk bersama-sama meraikan Perdana Menteri di kenduri rakyat 1Malaysia itu.

"Saya dapat tahu Perdana Menteri nak datang Nibong Tebal minggu lepas selepas lihat kain rentang, jadi hari ini kami datang untuk lihat beliau di kenduri ini. Sangat gembira boleh tengok Datuk Seri Najib walaupun hanya dari jauh," kata Lee, yang bekerja sebagai peniaga.

Siti Zainab Hussein, 22, berkata dia dan beberapa rakannya yang menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur mengambil peluang sempena cuti semester menghadiri kenduri rakyat 1Malaysia di kampungnya itu.

"Dua rakan saya dari Kelantan ikut saya pulang ke kampung di Nibong Tebal sejak semalam dan bila dapat tahu ada majlis kenduri ini dihadiri Perdana Menteri, kami datang untuk melihat beliau," katanya. - BERNAMA

Pembangunan pendidikan diutamakan

SIBU: Pendidikan adalah proses mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran bagi mengembangkan potensi untuk memiliki kekuatan pengendalian diri, keperibadian dan kecerdasan.
Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, melalui transformasi pendidikan yang direncanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi tujuan pembangunan pendidikan.
“Bermula daripada zaman pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad), kemudian Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib, pendidikan antara sektor pembangunan negara yang diberi tumpuan secara terperinci.
“Buktinya apabila Najib telah meminta timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Kementerian Pelajaran Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Permuafakatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya di sini semalam.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Tengku Geruna, Timbalan Wali Kota Kapit Kaunselor Jefferyson Jamit, Pengerusi PIBG SMK Sibu Jaya Danggang Ugik dan Pengetua SMK Sibu Jaya Mohamed Nor Junoh.
Alexander berkata, dalam tempoh lima tahun lalu, banyak perubahan telah berlaku dalam sektor pendidikan negara.
Ia termasuk pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur sekolah khususnya di kawasan pedalaman.
“Mungkin ada benarnya perubahan yang berlaku dalam sektor pendidikan negara sedikit sebanyak merencatkan aktiviti pembelajaran.
“Namun apa yang cuba dilakukan kerajaan adalah bertujuan memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada perubahan yang dilakukan sekali gus mencapai objektif dasar pendidikan negara,” katanya.
Sambil mengambil contoh, penambahbaikan struktur gaji dan elaun golongan pendidik khasnya di kawasan pedelaman.
Menurut Alexander, apa yang diusahakan kerajaan adalah untuk meningkatkan inisiatif dan motivasi tenaga pengajar berkhidmat di kawasan luar bandar.
Bercakap lanjut, Alexander memuji usaha pihak sekolah SMK Jaya atas prestasi yang memberangsangkan dalam bidang akedemik dan kokurikulum.
Tambahnya, usaha seumpama itu perlu dikekalkan termasuk harus mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa pelajar sendiri.
Pada majlis yang sama, Alexander menyampaikan geran sebanyak RM10,000 kepada PIBG SMK Sibu Jaya

April 15, 2012

Pesara JASA perlu teruskan peranan perjelas dasar kerajaan, kata Kamaruddin

SEREMBAN: Bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)perlu meneruskan peranan mereka dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaankepada rakyat walaupun selepas bersara.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk SeriKamaruddin Siaraf berkata, walaupun tempoh perkhidmatan mereka dalamperkhidmatan awam sudah tamat, mereka masih boleh terus mendekati rakyat danmenerangkan tentang dasar-dasar kerajaan.

“Kita berharap bekas-bekas pegawai JASA harus memainkan peranan supaya terusberjuang supaya memastikan kesinambungan mereka dalam menjelaskan dasarkerajaan.

“Mereka juga boleh menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh partipembangkang kepada rakyat agar memahami hal sebenar dan memastikan rakyattidak tersisih daripada mendapat maklumat terkini,” katanya kepada pemberitapada majlis Jasamu Dikenang JASA Negeri Sembilan dan Melaka di sini, semalam.

Kamaruddin berkata, sebagai bekas pegawai JASA, mereka sudah pasti tidakmempunyai masalah untuk mendekati masyarakat setempat dan peluang ini seharusnyadigunakan untuk menerangkan hal-hal berkaitan kerajaan.

“Bekas-bekas pegawai JASA boleh bersama dengan masyarakat berborak dikedai-kedai kopi atau surau-surau sambil menerangkan dasar kerajaan. Objektifnyaagar masyarakat terutama di akar umbi faham mengenainya,” katanya.

Pada majlis itu, Kamaruddin turut menyampaikan sagu hati RM3,000 dan sijilpenghargaan kepada 69 bekas pegawai JASA dari Negeri Sembilan dan Melaka.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah JASA Datuk AbuTalib Harun dan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad yang juga wakil bekas pegawai JASA dari negeri tersebut. — Bernama

PR tidak mampu tandingi persefahaman BN

KUCHING: Pakatan Rakyat (PR) yang ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak mampu menandingi persefahaman yang terjalin dalam Barisan Nasional (BN).

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, biarpun menggunakan perkataan ‘pakatan’ untuk merujuk perpaduan, namun secara hakikatnya mereka tidak sebulu.

Menurutnya, semua parti komponen di bawah BN bekerjasama dan bersatu padu untuk merealiasikan matlamat perjuangan membantu rakyat secara menyeluruh.

“Walaupun BN terdiri daripada pelbagai parti, namun perjuangan semua adalah sama iaitu untuk membantu memajukan negara dan rakyat.

“Tidak seperti mereka (pembangkang) lain tempat lain cakap, malah perjuangan mereka juga tidak sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Jalan Tanjung Embang di sini, malam kelmarin.

Justeru, beliau mahu rakyat negeri ini tidak mendengar atau terpengaruh dengan janji manis pihak terbabit.

“Kita tidak cakap sahaja tetapi melaksanakan apa yang dijanji. Bukan macam mereka yang hanya tahu berkata-kata untuk menyedapkan telinga,” ujarnya.

Malah, katanya, perjuangan pihak terbabit boleh dianggap berbahaya kerana berhasrat untuk memporak peranda perpaduan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, menurut Daud, setiap kaum di negeri ini mempunyai hak sama rata kerana kerajaan mengutamakan perpaduan.

“Tidak ada kaum yang majoriti atau mendominasi kaum lain di negeri ini.

“Perkara ini yang menyebabkan kita (rakyat Sarawak) boleh hidup bersama tanpa sebarang masalah,” jelasnya

Rakyat S’wak tahu menilai pembangkang: Ismail Sabri

KUCHING: Rakyat Sarawak diyakini tahu menilai dan rasional dengan tidak mempercayai janji kosong pembangkang yang sudah mula datang ke negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pembangkang akan membuat janji yang mereka tidak pernah tepati.

“Saya percaya rakyat Sarawak amnya dan penduduk Petra Jaya khasnya tidak dipengaruhi janji-janji palsu mereka (pembangkang) yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan.

“Kami (kerajaan BN) tidak pernah ragu, bimbang kepada rakyat Sarawak kerana percaya, anda semua tahu menilai dan tetap memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Program Francais Komuniti Peringkat Negeri 2012 di Kampung Pinang Jawa di sini, semalam.

Beliau menegaskan, kerajaan juga percaya Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang amat penting kerana merupakan kubu kuat BN.

“Pembangkang akan berjanji apa sahaja tetapi kita kena lihat, mereka tepati janji atau tidak.

“Misalnya di Selangor enam perkara yang mereka janjikan kepada rakyatnya sehingga kini masih belum tertunai dan kosong sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof dalam ucapannya berkata, segelintir pihak kini sudah mula datang ke negeri ini dengan pelbagai janji.

“Mereka juga mengatakan bahawa kerajaan BN hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai menunaikan.

“Namun sebaliknya kerajaan BN telah mengadakan pelbagai program untuk manfaat serta kesejahteraan rakyat,” ujar Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.

Program Francais Komuniti yang merupakan pertama kalinya diadakan di negeri ini anjuran bersama KPDNKK dengan Persatuan Penduduk Petra Jaya bermula pada 13 hingga 15 April yang bertempat di Padang Semarak Kampung Pinang Jawa

April 8, 2012

Pengamal perubatan tradisional perlu patuh etika: Chin

MIRI: Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) diingatkan mengutamakan keselamatan pesakit dan mematuhi etika yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, setakat ini dianggarkan terdapat 15,000 pengamal TCM di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Saya menyeru TCM agar bersikap jujur dan profesional, dengan merujuk pesakit yang dirawat kepada doktor sekiranya penyakit yang dihidap bukan dalam bidang kemahiran mereka. Jangan memandang ringan keselamatan pesakit.

“Bagi yang menjadikan TCM ini sebagai kerjaya pula, mereka harus mengikuti kursus atau latihan yang dikendalikan oleh mereka yang arif dan pakar di samping latihan berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan,” katanya semasa berucap merasmikan sidang media Persidangan dan Pameran TCM RWO-SHR di Eastwood Valley Golf and Country Club semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Sebastian Ting. Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Ujar Chin, usaha itu bertujuan bagi memperluaskan perkhidmatan perubatan tradisonal dan komplementari di samping memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai perubatan tradisional.

“Majoriti daripada 28.2 juta penduduk di negara ini pernah menggunakan TCM. Tinjauan seluruh negara pada 2004 oleh Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan dan Institut Penyelidikan Perubatan melaporkan sebanyak 69.4 peratus daripada populasi Malaysia menggunakan TCM sekurang-kurangnya sekali dalam hidup,” jelasnya.

Justeru, sejajar dengan agenda ke arah negara berpendapatan tinggi, sistem penjagaan kesihatan perlu ditransformasikan untuk memenuhi keperluan yang meningkat, tambahnya.

“Justeru saya nasihati mereka berkepentingan dalam industri ini khususnya di Sarawak agar terus menerokai peluang yang ada.

“Usaha ini tidak mustahil kerana Sarawak dan Kepulauan Borneo kaya dengan pelbagai herba dan tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Chin gembira dan mengalu-alukan pemilihan Miri sebagai hos untuk Persidangan dan Pameran TCM RWO-SHR pada 7 hingga 9 Disember depan.

“Saya berharap, persidangan ini akan menyediakan landasan kepada pengamal, orang awam dan pakar perubatan untuk berjumpa, berbincang, berinteraksi dan membina jaringan khususnya dengan peserta dari luar negara,” katanya.

Rakyat paksi BN

BATU PAHAT: Datuk Seri Najib Razak menegaskan pentadbiran yang berpaksikan kepentingan rakyat akan terus menjadi pegangan dan keutamaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara. Perdana Menteri berkata, perjuangan yang sentiasa mengutamakan rakyat serta menunai segala janji yang dibuat selama ini sudah terbukti apabila rakyat terus memberikan sokongan kepada BN untuk mentadbir negara sejak 55 tahun lalu.
Justeru, beliau meminta rakyat terus memberi mandat kepada BN ketika pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Kita sudah lakukan banyak pencapaian dalam masa tiga tahun. Jadi, boleh bagi kita (BN) lima tahun lagi tak?” tanya beliau sebelum disahut dengan laungan jawapan ‘boleh’ oleh hampir 70,000 hadirin pada pelancaran program Jelajah Janji Ditepati (JJD) peringkat kebangsaan, di Stadium Batu Pahat, di sini semalam.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noraini Abdul Rahman dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman serta isteri, Prof Datin Dr Jamilah Ariffin.

Najib berkata, berbanding janji pembangkang, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan bukan janji kosong, sebaliknya sudah menjadi realiti dan kenyataan dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya.
“Sepanjang 55 tahun mentadbir negara, saya dapat simpulkan dua sebab besar mengapa hari ini lebih baik daripada semalam. Ingsya-Allah, esok lebih baik daripada hari ini, sebab kita (BN) tidak lari daripada berpaksikan rakyat dalam apa juga yang kita lakukan.

“Bermula dengan perjuangan menentang Malayan Union, menuntut kemerdekaan dan menentang komunis, kita mengutarakan konsep memenangi hati dan pemikiran rakyat termasuk dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar pembangunan nasional yang semuanya berpaksikan kepentingan rakyat yang sentiasa didahulukan.

“Kita buat segala-galanya berdasarkan kehendak rakyat, laksana dan tunaikan apa yang dijanjikan kepada mereka. Semua ini menjadi tonggak keyakinan rakyat untuk terus meletakkan amanah kepada BN kerana keyakinan yang semakin tinggi,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata pembangkang kini umpama kilang mengeluarkan pelbagai janji tetapi gagal memenuhinya termasuk janji terbaru menghapuskan pinjaman Pembiayaan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 12 lalu, berapa banyak janji yang mereka buat tetapi tak banyak yang ditunaikan. Di Selangor misalnya, berapa banyak janji tidak ditunaikan termasuk kepada setiap kelahiran bayi, anak-anak peringkat tadika, suri rumah, belia dan ibu tunggal,” katanya.

Berikutan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu buat kali kedua pada pilihan raya umum akan datang dengan pelbagai janji manis pembangkang.

“BN sentiasa menepati janji dan kita akan teruskan, tetapi jangan biarkan diri kena tipu buat kali kedua dan ditelan janji pembangkang yang kini ada janji baru,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap ringkas kepada media selepas jamuan tengah hari bersama rakyat, Perdana Menteri menyifatkan JJD sebagai satu program pengukuhan kepada imej kerajaan iaitu apabila berjanji, ia akan menunaikannya.

“Kita mahu dasar transformasi didukung setiap lapisan masyarakat dan rakyat, termasuk belia dan NGO sebagai kesepaduan dalam memajukan negara. Kita mahu ia memberi kesan sebenar dan faedah kepada rakyat. Kita berhasrat membawa jelajah ini ke seluruh negara mengikut wilayah, mungkin perluaskan ke Sabah dan Sarawak, Utara dan Pantai Timur,” katanya.

Jentera Pemuda BN sudah sedia hadapi PRU13, kata Fadillah

KUCHING: Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di semua kawasan termasuk kawasan majoriti pengundi Cina.

Ketua Pemudanya, Datuk Fadillah Yusuf berkata, semua komponen parti sudah bermesyuarat dan gerak kerja telahpun berjalan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memaklumkan jenis persiapan yang dimaksudkan kerana sebahagian daripada persiapan dan strategi BN adalah rahsia.

“Saya tidak tahu tarikh sebenar pilihan raya akan diadakan. Kita kena tanya Perdana Menteri sendiri. Beliau (Perdana Menteri) boleh cakap esok dan boleh juga tahun depan.

“Cuma yang pastinya, jentera parti telah bersiap sedia untuk pilihan raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Sri Keranji di Kampung No.3, Lorong Haji Lembong di sini, semalam.

Kejohanan tersebut merupakan anjuran Kelab Sri Keranji dan ia disertai oleh 40 regu dari beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini, termasuk Lundu dan Bau.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, salah satu cadangan pada mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya sebelum ini, pilihan raya tidak akan diadakan melainkan sudah sampai tempoh empat tahun. “Sekarang ini telah sampai tempoh empat tahun dan bila-bila masa PRU13 akan diadakan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian kejohanan itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, beliau akan berusaha untuk memenuhi tiga permintaan daripada penduduk kampung berkenaan untuk menaik taraf bumbung dan dinding gelanggang sepak takraw sedia ada termasuk pemasangan lampu di kawasan terbabit.

“Saya akan berusaha untuk memenuhi perkara ini kerana ia adalah sebahagian daripada keperluan penduduk demi kesejahteraan bersama.

“Bagaimanapun menjadi harapan saya agar penduduk mempelbagaikan aktiviti dalam kalangan belia di kawasan ini terutama dari segi pembangunan kemahiran,” katanya.

April 1, 2012

Bomba akan terus pantau hotel bajet di seluruh negeri

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak akan terus menjalankan pemantauan ke atas hotel-hotel bajet di seluruh negeri bagi memastikan semua pengusaha mematuhi Ordinan Bangunan Sarawak.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan sebelum ini, kira-kira 60 peratus daripada 68 hotel bajet di bandar raya ini mematuhi ordinan tersebut.

“Kita akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi tumpuan utama terhadap hotel bajet dan taman asukan kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Anggota Hazardous Material Team (Hazmat) di sini, semalam.

Menurutnya, satu perkara yang turut membimbangkan pada masa ini ialah kebakaran melibatkan perumahan lama yang dibina sekitar tahun 80-an.

“Jika berlaku kebakaran, api mesti merebak dengan cepat kerana setiap rumah tidak mempunyai dinding pemisah antara satu sama lain.

“Kebanyakan rumah ini (perumahan lama) dibina sebelum Sarawak Building Ordinance (Ordinan Bangunan Sarawak) diwujudkan kerana ia hanya bermula pada tahun 1996,” ujarnya.

Sementara itu, Nor Hisham menjelaskan, bermula 1 April ini, talian 994 akan ditamatkan di Sarawak kerana kerajaan hendak menyeragamkan panggilan kecemasan kepada 999.

“Kuching dan Bintulu merekodkan tiada panggilan menerusi 994, manakala Sibu dan Miri masing-masing 31 dan 55 panggilan.

“Talian ini tidak digunakan lagi, jika berlaku kecemasan orang ramai boleh menggunakan 999,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penyeragaman itu adalah untuk membolehkan setiap jabatan yang berkaitan merekodkan panggilan untuk rujukan.

“Kalau setiap jabatan ada nombor sendiri mungkin akan menyebabkan orang ramai keliru,” kata Nor Hisham

Calon BN kalangan profesional harus diterima rakyat: Wan Junaidi

KUCHING: Calon-calon Barisan Nasional (BN) kalangan para profesional yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang seharusnya dapat diterima rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, memang diakui dalam amalan demokrasi di negara kita boleh memilih mana-mana calon yang sesuai untuk diketengahkan pada pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, tidak semestinya calon profesional berpotensi untuk menang dalam pilihan raya jika mereka tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

“Populariti seseorang calon dari kalangan profesional bukan ukuran sebenar, tetapi calon terbabit perlu pandai berpolitik dan mestilah mampu bekerja dengan rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pemilihan calon BN PRU13 nanti dari kalangan profesional di luar parti, Wan Junaidi berkata: “Cadangan Tun (Mahathir) itu adalah baik dan kita perlu melihat daripada penerimaan rakyat.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata. memang ada kalangan wakil rakyat yang hanya duduk diam semasa persidangan Parlimen dan tidak mampu melakukan apa-apa terutama mengetengahkan masalah rakyat di kawasan mereka.

“Inilah masalahnya kita memilih calon yang bukan kalangan ahli politik meskipun mereka golongan profesional,” katanya ditemui ketika melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan surau di Kampung Gersik, Petra Jaya di sini semalam.

Wan Junaidi menarik perhatian bahawa rakyat akan memilih calon yang dapat menyesuaikan diri sendiri dan benar-benar mampu berjuang untuk membela nasib mereka.

“Kita percaya ramai golongan profesional yang mempunyai populariti berminat menjadi calon, tetapi mereka perlu mampu menyesuaikan diri dalam politik dan bersama rakyat,” katanya.

Mengenai projek surau kampung terbabit, beliau berharap pembinaannya berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurut Wan Junaidi, setakat ini surau itu telah pun disiapkan hampir 24 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini.

“Saya yakin surau itu dapat disiapkan sebelum Ogos depan, justeru dapat digunakan oleh penduduk Kampung Gersik untuk sambutan Hari Raya Puasa tahun ini,” katanya.

Kerajaan tarik pelaburan RM2b ke SCORE, Hab Halal

TANJUNG MANIS: Usaha bersepadu kerajaan negeri bagi menarik kehadiran pelabur baharu ke Koridor Te-naga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Hab Halal Tanjung Manis berjaya meraih nilai pelaburan tidak kurang daripada RM2 bilion.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Tek-nikal), Datu Len Talif Salleh berkata, jumlah tersebut dijangka terus me-ningkat sehingga RM10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, pelaburan tersebut melibatkan kemasukan pelaburan pelabur tempatan dan luar negara.

“Ketika ini, syarikat Sea Party dari Taiwan sudah beroperasi di Tanjung Manis dengan nilai pelaburan seba-nyak RM2 bilion.

“Selain itu, PUSAKA turut menerima beberapa permohonan pelabur Timur Tengah dan Jepun bagi mewujudkan industri berasaskan akuakultur, pemprosesan makanan dan industri berat seperti ‘metallic sillica’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hari Tanjung Manis 2012, di sini, semalam.

Justeru, Len yang juga Menteri Muda Alam Sekitar berharap, pelaksanaan Hab Halal mampu mengembangkan kewujudan industri baharu termasuk berasaskan kelapa sawit, petroleum, perikanan laut dalam dan industri pemprosesan makanan.

Dalam pada itu, katanya, sektor ekonomi berkaitan seperti penternakan organik ikan tilapia, ‘chorella’ (fasa 1), udang secara biotek dan kilang pemprosesan ikan (filet) di Tanjung Manis semakin berkembang.

“Dengan terlaksananya industri seumpama itu, dianggarkan tidak kurang daripada 10,000 peluang pekerjaan dan perniagaan diwujudkan di sekitar Tanjung Manis.

“Tidak cukup dengan itu, kerajaan negeri juga menyasarkan penjanaan pendapatan penduduk tempatan tidak kurang daripada RM1,000 sebulan,” ujar beliau lagi.

Tambah Len, kerajaan negeri juga mengambil pelbagai insiatif penting termasuk menubuhkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di samping membangunkan sumber manusia dan program keusahawanan melalui agensi seperti Unit Pembangunan Keusahawanan Jabatan Ketua Menteri, CIDB, PUSAKA, Jabatan Pertanian, MARDI dan Perbadanan Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS).

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman dan Pengurus Besar PUSAKA, Datu Serudu Hoklai