February 24, 2013

Hospital k’jaan di S’wak masih kurang jururawat

KOTA SAMARAHAN: Walaupun Sarawak mempunyai ramai jururawat terlatih namun hospital kerajaan di negeri ini masih lagi mengalami masalah kekurangan jururawat.
Menteri Muda Kesihatan Dr Jerip Susil berkata berdasarkan perangkaan pada dua tahun lalu, terdapat 1,200 kekosongan jawatan berkenaan.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun sehingga kini separuh daripada jumlah kekosongan itu sudah diisi hasil temu duga intensif yang dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Kita bukan kekurangan jururawat terlatih kerana universiti yang ada di negeri ini cukup untuk menyediakan tenaga kerja mahir, namun kemasukan jururawat untuk menjadi penjawat awam agak rendah dan perangkaan terakhir yang saya ada dua tahun lalu adalah 1,200 jawatan jururawat yang tidak diisi di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Bengkel Kejururawatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.
Dr Jerip memberitahu, ia bermakna semua hospital, pusat kesihatan dan klinik yang ada di negeri ini masih lagi memerlukan jururawat terlatih bagi mengisi kekosongan itu.
“Nisbah doktor dengan pesakit, 1:1600 berbanding Semenanjung Malaysia 1:500 manakala bagi nisbah jururawat dengan pesakit: 1:400 kerana jururawat lebih ramai,” tambahnya.
Pada masa yang sama beliau menasihati jururawat terlatih agar tidak memilih tawaran pekerjaan sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.
“Apa yang penting mereka mendapat pekerjaan kerana mereka disediakan untuk kedua-dua tempat, gaji sektor swasta mungkin lebih tinggi namun apa yang penting adalah kebolehpasaran untuk diserapkan ke dalam pasaran pekerjaan,” katanya.
Tegasnya, untuk itu pelajar yang mengambil kursus kejururawatan di UNIMAS perlu memiliki kemahiran tinggi dan boleh berkomunikasi dengan baik.
“Kebanyakan jururawat terlatih dari Sarawak diserap ke Singapura, Timur Tengah dan Jepun, United Kingdom dan Australia yang membuktikan permintaan tinggi bagi jururawat Sarawak kerana standard kejururawatan di sini agak tinggi dan komitmen mereka,” jelasnya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh berkata, masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, hipertensi dan sebagainya kini amat membimbangkan.
Beliau memberitahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2008, sebanyak 67 peratus rakyat Malaysia menghidapi penyakit tidak berjangkit ini.
“Kita amat khuatir masalah ini kerana semakin ramai orang menghidap kencing manis, hipertensi, kerosakan renal kronik bukan saja di bandar tetapi corak sama sudah mula ditunjukkan di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Justeru, beliau menyarankan setiap individu komited menjaga diri sendiri bukannya menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pakar kesihatan bagi menghindari diri daripada menghidap penyakit tersebut.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS Prof Dr Peter Songan, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS Prof Dr Ahmad Hatta Rasit, Ketua Jabatan Kejururawatan UNIMAS Dr Zabidah Putit dan Pengerusi Penganjur Norheiza Mohd Benedict

Read more: http://www.theborneopost.com/2013/02/24/hospital-kjaan-di-swak-masih-kurang-jururawat/#ixzz2Lnc9jf2n

Ho Leng tidak bertanding

SIBU: Selepas pelbagai spekulasi, Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng akhirnya mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Wong berkata, beliau telah menyerahkan keputusannya kepada Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Kebangsaan Lim Guan Eng dan mereka telah menerima keputusan beliau.
“Saya telah dinasihati oleh doktor saya untuk berehat dan bukannya memburukkan lagi kesihatan saya.
“Oleh itu, saya telah memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU13.
“Bagaimanapun, saya kekal sebagai pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Sarawak dan masih memantau semasa Pilihan Raya Umum nanti,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP Sibu, semalam.
Hadir sama isterinya, Irene Chang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong, Pembantu Khasnya Oscar Ling dan Timbalan Setiausaha Penganjur DAP Kebangsaan DAP Alice Lau.
Bagi calon yang akan dipilih untuk menggantikan beliau, Wong enggan mendedahkan nama dan memberitahu bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas DAP akan membuat pengumuman rasmi di Kuching hari ini (Ahad).
“Saya sudah memberikan calon pilihan saya kepada Lim Guan Eng dan keputusan muktamad adalah terpulang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang terdiri daripada Lim, Chong Siew Chiang, Chong Chien Ren, David Wong, Ting Tze Hui, Chew Chiu Sing dan Fong Po Teck untuk membuat keputusan,” jelasnya.
Wong berkata, beliau telah selesai menjalani rawatan radioterapi selama enam minggu dan tujuh kursus rawatan kemoterapi di Hospital Mount Elizabeth di Singapura sejak awal tahun ini.
Katanya beliau kini dalam tempoh berehat dan sentiasa mengambil steroid untuk memulihkan keadaannya.
“Pada mulanya, saya mengambil kira-kira lapan miligram steroid tetapi pengambilan telah dikurangkan sebanyak 50 peratus sekarang.
“Mudah-mudahan, saya dapat beransur- ansur menghentikan pengambilan steroid dan mampu berdiri dengan baik,” katanya.
Disebabkan tempoh pemulihan bertepatan dengan masa PRU13, Wong berkata ia adalah menjadi sebab utama mengapa beliau memilih untuk tidak bertanding pada PRU13 kelak.
“Doktor telah menasihati saya agar berehat dan tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri,” tambahnya.
Sehubungan itu, Wong menyeru penyokongnya agar menyokong calon yang dipilih untuk menggantikan beliau.
“Calon yang dipilih untuk menggantikan saya akan menjadi calon yang lebih baik dan dia pasti akan bekerja untuk kebaikan rakyat,” tegasnya.
Wong juga mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya yang sentiasa menyokongnya sejak tiga tahun lalu.
“Saya mungkin tidak dapat memberikan perkhidmatan yang sempurna kepada rakyat tetapi saya telah melakukan yang terbaik,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek, Wong berkata, masih terlalu awal menjawab soalan tersebut dan beliau yakin dirinya akan sihat sepenuhnya pada waktu Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri nanti.
“Bila tiba masa itu nanti, kita tunggu dan lihat,” tambahnya.
Sementara itu, Wong turut mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sibu menerusi Twitter miliknya @wongholeng dan dikongsi menerusi laman sosial Facebook.
Keputusan beliau itu mengejutkan ramai pihak terutama wakil rakyat DAP yang lain dan penyokongnya serta menerima banyak komen.
Antara petikan penyokongnya termasuk yang terharu dengan keputusan beliau untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sibu dan berharap beliau sentiasa bersemangat dalam meneruskan perjuangan politiknya.
Selain itu, terdapat komen yang turut berharap beliau dapat berehat dengan lebih baik dan pulih sepenuhnya serta dapat menjalankan tugasnya dengan lebih baik dan bersemangat.
Pada 20 Disember lalu, pakar bedah saraf telah menjumpai glioma di dalam otak Wong yang masih pada peringkat awal dan tidak akan merebak ke bahagian lain.
Selepas mendapatkan pandangan kali kedua daripada pakar saraf tempatan, beliau telah mendapatkan rawatan radioterapi dan kemoterapi di Singapura bermula 8 Januari bagi tempoh enam minggu

Read more: http://www.theborneopost.com/2013/02/24/ho-leng-tidak-bertanding/#ixzz2LnbmeWra

February 17, 2013

Rakyat perlu teguh di belakang BN

KOTA SAMARAHAN: Penduduk di Parlimen Samarahan diseru berdiri teguh di belakang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali Mahmud berkata, penduduk di situ perlu memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan agenda murni kerajaan dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Kita semua sedia maklum PRU13 tidak lama lagi jadi sama-samalah kita memberi sokongan yang padu ke atas kepimpinan kerajaan yang sedia ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 836 penerima terdiri golongan bujang di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam.
“Jika kepercayaan dan mandat terus diberikan kepada kerajaan BN, saya percaya BR1M 3.0 dan BR1M 4.0 akan diteruskan seperti mana yang telah diumumkan PM baru-baru ini,” tambahnya.
Malah, Mohammad Ali memberitahu bantuan itu dapat meringankan beban kepada kira-kira 2.7 juta belia bujang berumur 21 ke atas di seluruh negara yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,000.
“Bagi fasa pertama untuk Daerah Samarahan sahaja, seramai 4,475 belia bujang menerima BR1M 2.0 ini,” katanya sambil menambah pelbagai jenis bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan BN untuk meringankan beban rakyat antaranya Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), bantuan pelajar sekolah dan universiti dan banyak lagi.
Justeru, beliau menegaskan segala bantuan itu dapat diteruskan jika rakyat memberi mandat kepada kerajaan BN untuk memerintah semula selepas PRU13 kelak.
Sementara itu, menyentuh mengenai seminar kesihatan khas kepada golongan belia bujang yang dijalankan sebelum pengagihan BR1M 2.0 itu, Mohammad Ali berkata, penganjuran seminar itu disambut baik bagi memberi ilmu pengetahuan kepada para belia.
“Penyertaan Jabatan Kesihatan dalam program hari ini (semalam) memberi kesan positif terutamanya berkaitan penyakit jangkitan kelamin di kalangan belia yang amat membimbangkan kita semua.
“Seminar sebegini dapat memberi kesedaran dan dilihat langkah terbaik mengurangkan gejala masalah sosial di kawasan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi, jabatan mahupun pertubuhan kerajaan lain di situ mengambil inisiatif yang sama untuk bersama-sama memerangi masalah sosial di kawasan berkenaan.
“Tugas ini adalah tanggungjawab kita bersama agar masalah sosial yang membelenggu belia pada masa kini dapat dikurangkan sekali gus dibendung,” ujarnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Wahab, Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan Dr Julaidah Sharif, Temenggung Chek Bujang dan tetamu kehormat lain.

PM serah kunci rumah PPSK

PEKAN 16 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan upacara penyerahan kunci kepada 160 penerima perumahan Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Sri Makmur, di sini.
Biarpun hujan, majlis itu tetap berlangsung meriah dan dihadiri kira-kira 15,000 orang yang kebanyakannya peserta Felcra dari negeri ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Ibrahim Muhamad, Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.
Perumahan PPSK itu merupakan bukti janji ditepati kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat termasuk peserta Felcra.
Selain penyerahan kunci, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan replika cek RM10,000 sebagai sumbangan kepada Masjid Al-Fatah Sri Makmur.
Turut disampaikan simbolik penyerahan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada ketua isi rumah dan individu bujang perkampungan Felcra Sri Makmur.
Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, perumahan peserta Felcra itu membuktikan usaha kerajaan melaksanakan proses urbanisasi kawasan luar bandar di negara ini.
"Saya masih ingat idea ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak untuk proses urbanisasi ini dan hasratnya kini menjadi kenyataan. Inilah ciri-ciri bandar moden yang dapat kita kecapi," katanya.
Najib berkata, peserta Felcra seharusnya bersyukur menerima rumah itu yang kosnya hanya RM50,000 sebuah tetapi peserta hanya perlu membayar satu per tiga sahaja kosnya manakala selebihnya ditanggung oleh Felcra.
"Jika dibangunkan oleh pihak swasta, harga rumah ini tidak kurang RM150,000 dan selepas mengira keuntungan boleh mencecah RM180,000," katanya.

February 9, 2013

Malaysia akan menjadi lebih hijau menjelang 2020

MIRI: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, Malaysia bakal menjadi lebih hijau menjelang tahun 2020 dengan menyasarkan 11 peratus penghasilan jumlah kapasiti tenaga daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Pengurangan sebanyak 40 peratus atau bersamaan dengan sebanyak 42.2 juta tan pelepasan gas karbon dapat dikurangkan pada tahun berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Kempen Sekolah Hijau di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang (KTDTHB) di sini, petang kelmarin.
Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada polisi tenaga kelima iaitu elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, kesedaran untuk menggantikan tenaga berasaskan fosil seperti minyak, gas dan arang batu untuk penjanaan elektrik kini semakin tinggi.
“Semua sumber ini memerlukan kos yang tinggi untuk diperolehi dan akan habis dalam tempoh beberapa dekad akan datang,” ujarnya.
Justeru, katanya, kerajaan berharap penghasilan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui terutamanya tenaga suria akan menjadi pilihan kepada pihak industri dan orang ramai pada masa akan datang.
Walaupun pemasangan panel suria masih mahal terutamanya untuk rumah-rumah individu, namun kemasukan pelabur untuk membuka kilang panel suria diharap dapat mengurangkan kos dan ia menjadi lebih murah serta mampu dipasang dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
Selain itu, Chin memberitahu kewujudan kilang-kilang pembuatan panel suria bakal mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam negara.
KTDTHB merupakan salah sebuah sekolah terpilih untuk menjayakan kempen Sekolah Hijau daripada 30 buah sekolah seluruh Malaysia.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri turut dipilih selain SMK St Joseph, Kuching untuk projek yang sama iaitu pemasangan sistem solar.
Pada majlis itu, Chin turut menyampaikan sebanyak 200 biji lampu yang dijana daripada elektrik tenaga solar kepada penghuni sekitar Miri yang belum mempunyai elektrik disambungkan ke rumah mereka.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Tenaga, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Badaruddin Mahyudin dan Pengetua KTDTHB Hasimah Abang Zen.

K’jaan akan bantu mangsa kebakaran: Awg Tengah

GUNA SEBAIKNYA: Tengah (kiri) ketika menyerahkan geran kepada mangsa kebakaran di surau Kampung Pemukat, Limbang.
GUNA SEBAIKNYA: Tengah (kiri) ketika menyerahkan geran kepada mangsa kebakaran di surau Kampung Pemukat, Limbang.
LIMBANG: Kerajaan Ba­risan Nasional (BN) sen­tiasa menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada mangsa kebakaran untuk meringankan beban dan membantu membina semula kediaman mereka.
Menteri Perancangan Sum­ber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mangsa kebakaran tidak akan pernah keseorangan ketika ditimpa kesusahan.
“Anda tidak akan pernah keseorangan dalam men­empuhi kesusahan kerana kerajaan akan bantu dari semua segi termasuk bantuan bencana, skim perumahan dan banyak lagi melalui wakil rakyat yang dilantik,” katanya pada majlis penyera­han geran daripada kerajaan negeri, Lembaga Kebajikan Amanah Islam Limbang (LAKIL) dan derma peribadi kepada mangsa kebakaran di Kampung Pemukat di Lim­bang, kelmarin.
Pada 31 Januari lalu, 50 mangsa daripada 11 buah keluarga kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran yang turut memusnahkan sebuah rumah panjang Iban sebanyak 43 pintu.
Kerajaan negeri meng­hulurkan bantuan sebanyak RM40,000 berupa geran ke­pada 11 keluarga berkenaan, se­mentara LAKIL menyumbang RM3,000 setiap seorang kepada lima wakil ketua keluarga.
Pada masa sama, Awang Tengah menyerahkan kepada para mangsa kebakaran untuk menentukan sama ada mereka ingin membina rumah baharu di tapak lama atau di penem­patan baharu di Limbang.
Antara pilihan bagi lot penempatan semula ialah di Kampung Buangsiol, Kam­pung Seberang Kedai dan Kampung Batu Bakarang yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Terdahulu, Awang Tengah turut melawat tapak kebaka­ran di Kampung Pemukat bersama Ahli Dewan Undan­gan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Kampung Ahamad Md Salem, Pegawai Daerah Limbang Anyi Lah dan beberapa ketua masyar­akat tempatan.

February 2, 2013

61,691 terima BR1M 2.0 di Kuching

KUCHING: Seramai 61,691 peneri­ma Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 di Bahagian Kuching akan memperolehi baucar tunai masing-masing dari 4 hingga 17 Februari ini.
Residen Kuching Abdul Rah­man Sebli Senusi berkata, semua penerima yang dimaklumkan melalui pos diharap telah menerima surat berkenaan dan hadir ke lokasi majlis pengagihan seperti yang ditetapkan.
Peringkat pertama agihan di Bandar Kuching pada 4 dan 5 Feb­ruari melibatkan 10,879 penerima di Stadium MBKS, Jalan Pending.
Parlimen Stampin pula dijadual­kan dari 6 hingga 8 Februari dengan jumlah penerima seramai 15,597 juga di Stadium MBKS, manakala dari 8 hingga 16 Februari bagi Parli­men Petra Jaya melibatkan 16,779 penerima di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.
Bagi Parlimen Santubong dari 7 hingga 17 Februari, 10,625 penerima akan menerima baucar masing-masing di Dewan Masyar­akat Lundu dan DUN lama, Petra Jaya.
Bagi Parlimen Mas Gading yang mempunyai 7,710 penerima, lokasi majlis pengagihan pada 17 Februari akan dimaklumkan kemudian.
“Untuk memeriksa maklumat terperinci, orang ramai boleh men­ghubungi talian ‘hotline’ Pejabat Residen 082-246991 pada waktu pejabat untuk menyemak kedudu­kan permohonan mereka.
“Untuk tujuan ini, pejabat kami juga beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad sepanjang Februari kecuali pada 11 dan 12 Februari kerana cuti Tahun Baharu Cina,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Penerima BR1M juga boleh mendapatkan maklumat di pejabat-pejabat kawasan Parlimen masing-masing, jelasnya.
“Perlu diingatkan, semua peneri­ma perlu datang sendiri dengan membawa kad pengenalan untuk mengambil baucar. Wakil tidak akan dibenarkan.
“Penerima juga boleh menun­aikan terus barcar tersebut dengan pihak bank yang akan turut ditem­patkan di sana,” katanya.

Pengundi wanita penting

KUCHING: Sebanyak 19 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertand­ingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti mempunyai bilangan pengundi wanita yang lebih ramai berbanding lelaki.
Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan rekod Suruhanjaya Pi­lihan Raya (SPR), 534,516 pengundi di negeri ini merupakan wanita, manakala 535,138 lelaki.
Menurut beliau, walaupun jumlah pengundi lelaki masih mendahului pengundi wanita, namun peranan kaum hawa di negeri ini tidak boleh diperlekehkan dalam membentuk kerajaan.
“Bilangannya (pengundi) hampir sama, namun terdapat beberapa kawasan Parlimen mempunyai bi­langan pengundi wanita lebih ramai daripada lelaki.
“Ini menunjukkan peranan wanita di Sarawak amat besar. Kita mem­bantu dalam membentuk kesin­ambungan pembangunan negeri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau yang juga Menteri Keba­jikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, antara kawasan Parlimen yang mempunyai bilan­gan pengundi wanita ramai ialah Sri Aman dengan anggaran 14,000 orang, Batang Lupar (13,000), Bandar Kuching (27,000), San­tubong (18,000), Miri (33,000), Kota Samarahan (17,000) dan Petra Jaya (25,000).
Tambahnya, wanita merupakan golongan yang setia kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, ke­bajikan serta keluarga.
Justeru, beliau berharap pengundi wanita di negeri ini tidak mudah terpedaya dengan janji manis pem­bangkang.
“Berhati-hati dengan apa yang mereka janjikan. Fikir dengan waras sebelum percaya… ini kerana sebarang keputusan yang salah akan memberi kesan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Ditanya sama ada Pergerakan Wanita BN Negeri ada mengemu­kakan nama calon untuk PRU13, Fatimah berkata, biarlah ia menjadi rahsia dan tunggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak men­gumumkannya.
“Kita memang berharap lebih ramai calon wanita akan bertanding pada PRU13 nanti. Namun, kita perlu menunggu keputusan daripada Perdana Menteri,” jelasnya.
Fatimah turut berkata, Pergerakan Wanita BN Negeri sudah berse­dia sepenuhnya bagi menghadapi PRU13.
Beliau menjelaskan, antara langkah awal diambil pihaknya ialah melan­carkan Jentera Wanita BN Negeri oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Februari di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama.
“Pelbagai program dirangka sepa­njang pelancaran ini nanti termasuk taklimat SPR.
“Semua sayap wanita dari empat parti komponen BN negeri merang­kumi PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Pro­gresif Sarawak (SPDP) akan turut serta,” katanya.
Beliau menambah, dengan adanya jentera itu nanti, peranan wanita akan lebih dig­erakkan untuk memastikan kemenangan kepada BN di Sarawak.
“Peranan wanita di Sarawak amat be­sar dalam semua bidang tugas termasuk membantu dalam memajukan negeri ini,” ujarnya.
Sementara itu, menurutnya, peranan golongan wanita akan terus dihargai dengan penganjuran Program Gagasan Aspirasi Negara di sebuah hotel terkemuka di sini pada 5 Februari.
“Program ini akan membolehkan keinginan setiap wanita dikumpul dan kemudian dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ‘1 Million Women Purple Walk 2013’ yang akan berlangsung di Putrajaya pada 10 Mac.
“Semua senarai permintaan mereka (wanita) akan dikemukakan kepada Per­dana Menteri untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.