December 28, 2011

KWSP: Caruman majikan 13% tahun depan

KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menerima gaji bulanan sehingga RM5,000 akan menerima rangsangan dalam simpanan persaraan mereka apabila kadar caruman berkanun bahagian majikan dinaikkan kepada 13 peratus berkuat kuasa Januari 2012.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata kenaikan satu peratus daripada kadar semasa 12 peratus akan memberikan faedah kepada 5.3juta rakyat Malaysia yang bekerja, 92 peratus daripadanya adalah ahli aktifKWSP.

Bagaimanapun, caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus, katanya dalam kenyataan semalam.

Pekerja berumur 55 tahun dan ke atas yang menerima gaji tidak melebihi RM5,000 juga akan menikmati manfaat ini apabila majikan mereka diwajibkan mencarum 6.5 peratus atau tambahan 0.5 peratus daripada kadar semasa 6 peratus manakala pekerja terus mencarum pada kadar 5.5 peratus.

“Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kenaikan caruman majikan untuk pekerja dalam kumpulan pendapatan ini semasa Ucapan Bajet 2012 sebagai langkah untuk menangani masalah ketidakcukupan pendapatan semasa bersara yang dihadapi pesara kini,” katanya.

Kajian sebelum ini menunjukkan 70 peratus pesara akan menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun dari mula mereka bersara dan masalah ini akan bertambah serius kerana kadar inflasi semakin meningkat dan bertambahnya jangka hayat rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, katanya KWSP menghargai tindakan segera kerajaan dalam menangani masalah ini kerana tambahan satu peratus caruman berserta dengan dividen tahunan akan meningkatkan lagi simpanan persaraan rakyat Malaysia. — Bernama



Read more: http://www.theborneopost.com/2011/12/28/kwsp-caruman-majikan-13-tahun-depan/#ixzz1hs4W2BtI

Sarawak mula dilanda banjir

KUCHING: Sarawak mula dilanda banjir semalam apabila seramai 2,057 orang mangsa banjir telah dipindahkan melibatkan tiga bahagian iaitu Kuching, Samarahan dan Sibu.

Bahagian Samarahan men-catat rekod paling ramai mangsa banjir dipindahkan iaitu se-ramai 1,519 orang melibatkan empat pusat pemindahan.

Pegawai Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam memberitahu, empat pusat pemindahan mangsa banjir di bahagian Samarahan ialah Kompleks Sukan Asajaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Kelali Semera, SK Terasi dan Surau Kampung Rangawan, Sadong Jaya.

Katanya, seramai 576 orang mangsa dipindahkan di Kompleks Sukan Asajaya melibatkan 143 keluarga terdiri daripada penduduk sekitar Asajaya.

“Manakala seramai 751 orang mangsa melibatkan 203 keluarga dipindahkan ke SK Haji Kelali Semera,” katanya sambil menyatakan bahawa mangsa-mangsa terlibat adalah dari Kampung Semera.

Sementara itu, seramai 162 mangsa melibatkan 24 keluarga dipindahkan ke Surau Kampung Rangawan melibatkan penduduk dari kampung terbabit.

Manakala 30 mangsa ditempatkan di SK Terasi yang melibatkan sebanyak 12 keluarga dari kampung itu.

“Selain bahagian Samarahan, turut terjejas banjir semalam ialah beberapa kampung di sini (Kuching) melibatkan dua pusat pemindahan dengan 160 mangsa di-pindahkan,” katanya.

Kampung paling teruk terjejas banjir di sini semalam ialah Kampung Beradek dengan sejumlah 50 keluarga terlibat iaitu 100 mangsa dipindahkan di SK Beradek.

Sementara 60 mangsa melibatkan penduduk Kampung Tengah Sungai, Batu Kawa dipindahkan.

“Selain bahagian Kuching dan Samarahan, bahagian Sibu juga dilanda banjir kilat sema-lam dengan seramai 378 orang mangsa dipindahkan ke SK Bukit Arif, Sibu,” katanya.

Mangsa-mangsa terlibat itu adalah merangkumi 55 keluarga terdiri daripada penduduk sekitar kawasan terbabit.

Setakat jam 6.00 petang semalam, kesemua mangsa terlibat banjir masih berada di pusat-pusat pemindahan sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Semua mangsa yang terlibat banjir itu akan dibenarkan balik ke rumah masing-masing jika keadaan banjir terkawal dan rumah mereka dipastikan selamat,” katanya.

Sementara itu di Simunjan, ratusan orang dikatakan terkandas di Kilometer 20 Jalan Bukit Punda apabila kawasan itu dinaiki air setinggi dua meter.

Banyak kenderaan dikatakan tersadai di tepi jalan apabila gagal melalui kawasan terbabit.

Sementara itu terdapat la-poran menyatakan bahawa insiden tanah runtuh berlaku di Jalan Sangan, Tatau, manakala Jambatan Sungai Arip di Balingian ditenggelami air.

Dalam pada itu, air sungai yang semakin meningkat ekoran hujan berterusan dilepas-kan ke laut sekitar 7.30 malam kelmarin.

Jurucakap pengurusan baraj memberitahu pintu baraj di-buka sekitar 7.30 malam bagi pelepasan air sungai ke laut.

Menurutnya, setakat jam 6 petang semalam, paras air laut masih tinggi iaitu 10.8 meter berbanding paras air sungai, 10.1 meter.

“Sekarang paras air laut sedang menurun, kita kini bersedia untuk membuka baraj sekitar jam 7.30 malam ini (sema-lam) bagi pelepasan air sungai ke laut untuk mengurangkan paras air Sungai Sarawak,” kata-nya ketika dihubungi.

Tambahnya, paras air Sungai Sarawak masih dalam keadaan paras terkawal.

“Di Kuching, paras air sungai masih dalam keadaan normal dan kami sentiasa melakukan pemantuan dari segi paras air sungai di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat ke tahap jingga.

Hujan lebat di kawasan Kuching yang mula turun pada malam 24 Disember dijangka berterusan hingga hari ini.

Kawasan yang menerima hujan lebat ialah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Serian, Simunjan, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Sarikei, Bintangor, Pakan, Julau, Mukah, Dalat, Matu dan Daro.



Read more: http://www.theborneopost.com/2011/12/27/sarawak-mula-dilanda-banjir/#ixzz1hs4FAUCd

Lupa segala persengketaan

KUCHING: Hari Krismas merupakan platform untuk memaafkan dan melupakan segala persengketaan yang berlaku kata Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Menurutnya, keharmonian dan keamanan Malaysia walaupun mempunyai kepelbagaian kaum dan agama perlu dikekalkan dan dipelihara sebaik-baiknya.

“Masa untuk kita pandang ke hadapan, masa untuk memaafkan dan melupakan dan biarlah kita hidup bersama dalam perpaduan dan bersatu walaupun kita berbilang kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Krismas di kediamannya, Jalan Stapok di sini kelmarin.

Mawan yang juga ADUN Pakan memberitahu, sikap toleransi rakyat Malaysia juga kunci kepada perpaduan masyarakatnya selama ini.

“Kita sangat beruntung menjadi rakyat Malaysia, dalam masyarakat yang hidup bertoleransi…biarlah ini ber-terusan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati masyarakat menjaga sensitiviti antara satu sama lain agar hidup lebih bersatu.

“Kita juga saling menjaga satu sama lain, sensitif antara satu sama lain untuk hidup lebih bersatu padu,” katanya.

Selain itu, penganjuran rumah terbuka bagi menyambut perayaan Krismas juga sebagai platform untuk mengenali dan menjalinkan hubungan yang lebih erat.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakyat di negeri ini, biar kita maju ke hadapan, lebih bersatu,” ujarnya.



Read more: http://www.theborneopost.com/2011/12/27/lupa-segala-persengketaan/#ixzz1hs3uPRKtNYl

December 25, 2011

Beri bantuan kepada yang layak

KUCHING: Agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan kepada golongan miskin, termasuk e-Kasih diingatkan agar membuat pemeriksaan lapangan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia bagi memastikan hanya penerima yang betul-betul layak menerima bantuan.

“Walaupun nama mereka tersenarai dalam e-Kasih tetapi data dalam e-Kasih itu juga perlu diperjelaskan kesahihannya.

“Maka itu agensi bertangungjawab perlu membuat pemeriksaan lapangan,” katanya melalui sistem pesanan ringkas kepada Utusan Borneo di sini, baru-baru ini.

Fatimah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa penduduk rumah panjang yang mengadu bahawa pemohon yang sepatutnya tidak layak mendapat bantuan mendapat bantuan, termasuk guru.

Bagaimanapun kata Fatimah, isu berkenaan sedang diberi perhatian oleh Pejabat Pembangunan Sarawak(SDO).

Dengan itu kata beliau, pemohon yang benar-benar layak tidak akan ketinggalan untuk mendapat bantuan kerajaan itu.

Pelaksanaan e-Kasih yang diperkenalkan pada 2007 merupakan bantuan kerajaan yang disalurkan kepada rakyat miskin.

Semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 (bandar) atau RM1,000 (luar bandar) sebulan adalah layak dan digalakkan untuk mendaftar.

Capai objektif pembangunan: KM

KUCHING: Kerajaan akan terus bertindak dengan lebih dedikasi bagi memastikan rakyat negeri ini dapat mencapai objektif pembangunan mengikut perancangan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata sejak bertahun lalu, pendekatan pengurusan pragmatik dan fleksibel telah membolehkan negeri ini kekal berdaya saing dan menghadapi cabaran.

“Kita amat berbangga kerana negeri ini mampu mencapai pembangunan yang kini menjadi salah sebuah negeri yang paling aktif di negara ini.

“Bagaimanapun perjalanan di hadapan masih penuh dengan cabaran. Maka itu kita mesti mengekalkan momentum pertumbuhan supaya negeri boleh memulakan pembangunan ekonomi lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru.

Taib dalam pada itu mengingatkan rakyat agar tidak terusik dengan pertelingkahan politik serta isu remeh-temeh yang tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya sentiasa kekal bersatu.

Selain itu kata beliau, rakyat perlu mengambil kesempatan ke atas pembangunan sumber tenaga yang ditawarkan negeri ini termasuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), sebagai strategi untuk mempercepatkan pembangunan khasnya di luar bandar.

Beliau berkata, dalam jangka masa panjang pembangunan itu akan menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan yang lebih luas dan bermanfaat kepada rakyat.

“Ia adalah jelas dalam fikiran saya bahawa rakyat kita perlu menerima manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada usaha-usaha pembangunan kita.

“Bagaimanapun mereka yang menerima manfaat ini bukan lagi melalui pemberian tetapi melalui latihan serta disiplin, kerja gigih, ketekunan, integriti dan tabiat kesederhanaan,” tegas beliau.

Dengan itu rakyat akan dapat merebut peluang yang diwujudkan kerajaan melalui proses pembangunan dengan kebolehan serta kapasiti mereka sendiri, katanya.

Taib turut memberitahu bahawa pendidikan dan khidmat akan menjadi elemen penting kepada industri baharu di Sarawak untuk memperolehi kemahiran baharu yang dikehendaki industri pada masa akan datang.

Dari situ ujarnya, Sarawak kemudian bukan sahaja melahirkan modal insan untuk memenuhi keperluan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan di SCORE tetapi yang diperlukan di seluruh dunia terutama rakan-rakan negara membangun.

Berhubung sambutan Hari Krismas ini, beliau berkata sudah menjadi kebiasaan kepada Sarawak setiap kali perayaan menganjurkan rumah terbuka kepada sahabat-handai yang berlainan agama untuk berkongsi kegembiraan dan kesejahteraan.

“Agama sentiasa dilihat sebagai inspirasi terbaik kepada kita.

“Oleh itu kita mampu membina rumpunan muhibah semula jadi di kalangan kita tanpa mengira etnik dan agama,” kata beliau.



SBEU to usher in 2012 with anniversary dinner

MIRI: Sarawak Bank Employees’ Union (SBEU) is ushering the 2012 New Year celebration with the union’s 45th Anniversary Dinner at 7.30pm on Dec 31at Imperial Hotel.
Some 500 guests are expected to attend the dinner with the theme Night of Colours.
Various interesting programmes have been lined-up for the night such as live band, games, lucky draw, video presentation, dance and the countdown.
The organiser is offering a motorcycle as the grand prize for the lucky draw.
Others lucky prizes to be won include RM2,000 OCBC cash voucher, iPad and electrical items.

December 10, 2011

Proton tawar pemasangan percuma tali pinggang belakang

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Proton Holdings Bhd menawarkan pemasangan percuma tali pinggang belakang bagi model Saga LMST dan Gen.2 yang dikeluarkan antara tahun 2004 dan 2008, yang mana proses pemasangan hanya mengambil masa 30 minit bagi sebuah kenderaan.

Proton dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat itu menyediakan Mobile Team sebagai sebahagian daripada Kempen Tali Pinggang Belakang bagi membantu pemilik kereta mematuhi arahan kerajaan berkaitan alat keselamatan bermula tahun depan.

Bersempena dengan kempen selama sebulan itu, Mobile Team akan dihantar ke kedai kereta terpakai di Lembah Klang dan kemudiannya tentera dan balai polis di seluruh negara, pejabat kerajaan dan universiti awam lewat bulan ini.

Setakat ini, unit Mobile team itu yang terdiri daripada lapan pasukan dengan empat anggota, telah memasang tali pinggang belakang di lebih 700 kereta sejak dilancarkan pada 5 Disember.

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Beliau berkata, penyelidikan global menunjukkan penggunaan tali pinggang belakang mengurangkan risiko kecederaan kepala sebanyak 47 peratus dan abdomen 52 peratus sekiranya berlaku pelanggaran bahagian hadapan. – Bernama

Raptai istiadat lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-14 berjalan lancar

KUALA LUMPUR: Raptai bagi istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong serta Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang berlangsung di Istana Negara, Jalan Duta hari ini, berjalan lancar.

Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Azwan Effendy Zairakithnaini, berkata persiapan bagi istiadat yang akan berlangsung pada Selasa ini, dirancang sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata, lebih 700 tetamu kehormat akan hadir pada istiadat itu, antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar dan kerabat-kerabat Diraja.
"Kad jemputan sudah diedarkan sejak dua bulan yang lalu dan raptai terakhir akan diadakan pada Ahad ini," katanya di sini.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14; manakala Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ia adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Selain itu, tinjauan mendapati kawasan yang disediakan oleh pegawai istana untuk pengamal media juga memuaskan, di mana sebuah bilik media khas disediakan bagi membolehkan media membuat liputan dengan selesa.
Ruang khas bagi jurugambar dan jurukamera turut disediakan bagi memudahkan mereka mendapat gambaran dengan lebih jelas.

Istana Negara, Jalan Duta adalah tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang baru menggantikan Istana Negara di Jalan Istana. - BERNAMA

December 4, 2011

Ramai muka baru orang muda

Perubahan langkah pembaharuan memperkukuh barisan parti: Najib

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon muka baru di kalangan orang muda yang memenuhi kriteria calon boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO mengakui langkah itu adalah keperluan bagi mengukuhkan barisan parti dan meletakkan UMNO sebagai parti dinamik serta sedia membawa perubahan.
“Akan ada perubahan (calon) pada pilihan raya dan bagi sesetengah tempat memang perlu ada pembaharuan. Mungkin kali ini bilangan muka baru lebih ramai berbanding dulu sebab nak memperlihatkan UMNO ada muka baru dan orang muda.

“Kita sedang semak dan calon sedia ada, kita akan lihat prestasi sebagai wakil rakyat. Jika baik diberi peluang sebab bila kita anjurkan konsep winnable candidate, kita tidak letakkan tempoh penggal perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO Ke-62, semalam.

Perdana Menteri juga mengesahkan ada wakil rakyat sudah menemuinya untuk menyatakan hasrat berundur dan sanggup memberi laluan kepada muka baru.

“Saya harap calon lama akan menyokong calon baru seperti ketika mereka naik ada orang sokong dia... dia naik sebab ada orang beri laluan padanya. Jadi, bila tiba masanya dia berundur atas kepentingan parti dia akan sokong parti dan perlu terima hakikat dulu dia terima sokongan orang lain,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengumumkan calon lebih awal, Najib berkata: “Pengumuman calon tidak boleh terlalu awal atau lewat, kita sedang mencari masa yang sesuai kerana jika terlalu awal ada masalah lain,” katanya.

Sambil mengakui sudah mendapatkan sedikit bayangan mengenai bila pembubaran Parlimen dan DUN, Pengerusi BN itu berkata, persiapannya juga sudah dilaksanakan, malah beliau dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah beberapa kali turun padang.

“Kita mahu membentuk kerajaan yang kuat kerana majoriti dua pertiga adalah ideal, tetapi yang penting majoriti selesa atau kerajaan yang kuat,” katanya.

Mengenai keyakinan tidak akan berlaku sabotaj terhadap parti, beliau berkata, ikrar dan baiah oleh perwakilan menggambarkan kesediaan berkhidmat kepada parti.

Mengulas kebimbangan perwakilan mengenai kesukaran jentera membantu calon memenangi pilihan raya, Najib berkata, BN akan cuba membantu meleraikan kesangsian dan menjelaskan kepada pengundi mengenai isu semasa.

“Untuk itu, kita perlu masa untuk mengkaji lebih mendalam dan mengambil langkah terbaik bagi meyakinkan pengundi,” katanya.

Berhubung peluang BN menawan semula empat negeri, Najib berkata, parti yakin merampas semula negeri berkenaan, tetapi BN tidak pernah memandang mudah kekuatan pembangkang.

“Bila kita hendak mengambil alih sesebuah negeri, ia memerlukan strategi yang lebih hebat daripada biasa,” katanya.

Ditanya mengenai perjalanan perhimpunan agung kali ini, beliau melihat persidangan ini sebagai tanda pemulihan sepenuhnya dan kebangkitan semangat baru UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2008.

“Sudah ada satu kesedaran bahawa kita berhadapan cabaran besar, tetapi berkat perjuangan kita barisan yang ampuh dengan komitmen tinggi, insya-Allah kita mampu hadapi sebarang ujian,” katanya.

Kerajaan perlukan sokongan kaum Penan

MIRI 2 Dis. - Masyarakat Penan diingatkan supaya sentiasa bergerak dan menyokong rancangan kerajaan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan berbanding kaum lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau menegaskan, masyarakat Penan juga tidak sepatutnya terpengaruh dengan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya mahu menaik taraf kehidupan mereka.

Jelasnya, jika kaum Penan terpengaruh dengan hasutan dan agenda politik pihak terbabit, mereka akan berdepan pelbagai masalah.

"Kerajaan komited untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada setiap masyarakat dan bahagian negeri ini.

"Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah kekal bersatu, teruskan sokongan terhadap kerajaan dan bekerjasama dengan kaum lain memajukan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pecah tanah tapak baru rumah panjang masyarakat Penan di Long Lubang, Ulu Tinjar, dekat sini semalam.

Projek itu membabitkan pembinaan rumah panjang 50 pintu yang bakal dilengkapi dengan kemudahan asas serta boleh dihubungi menggunakan jalan balak menaiki kereta pacuan empat roda.

Dalam pada itu, Ngau turut mengucapkan tahniah kepada penduduk kawasan itu kerana mampu mengorak langkah ke arah kemajuan jika dibandingkan dengan masyarakat Penan di kawasan lain.

"Saya amat kagum dengan kejayaan penduduk di sini walaupun terpaksa berdepan dengan banyak kesukaran dan cabaran, anda semua tetap mahu maju dengan adanya hasrat untuk mempunyai tempat tinggal yang baik.

"Ini harus menjadi contoh kepada penempatan Penan lain dan bukannya mendengar dakyah individu atau kumpulan tertentu," tegasnya.

Terdahulu, Penghulu Long Lobang, Gabriel Keling yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Daerah Marudi melahirkan rasa gembira dengan lawatan Ngau yang disifatkan sebagai yang pertama dilakukan wakil rakyat kawasan berkenaan.

Beliau seterusnya memohon pertimbangan kerajaan untuk mewujudkan jawatan Penghulu bagi lebih 10 rumah panjang Penan di Tinjar di samping mewujudkan sebuah Pusat Perkhidmatan Penan.

Syarat ganti rumah panjang

PAKAN: Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, berkata penduduk yang bercadang menggantikan rumah panjang lama perlu mempunyai dana, pelan dan menyediakan kawasan tapak terlebih dulu.

"Ini bagi mengelak kelewatan dan masalah lain bagi memberi harapan baru, hala tuju serta kejayaan dalam kehidupan mereka," katanya pada sesi bertemu orang ramai di Rh.Sandai, Nanga Menggilas, Ulu Pedanum di sini, petang semalam.

Pada majlis itu, beliau juga menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM367,500 kepada 45 rumah panjang di daerah itu.
Beliau berkata, adalah satu kebiasaan bagi penduduk untuk menetap di kawasan yang mempunyai hubungan jalan yang baik daripada tinggal di kawasan pedalaman di mana sungai kekal menjadi satu-satunya jalan penghubung.

"Secara peribadi, ini adalah satu pilihan yang hebat kerana selain mudah dihubungi, jalan itu akan memudahkan usaha kerajaan untuk membawa masuk bekalan air dan elektrik selepas ini.

"Orang ramai juga boleh menikmati faedah teknologi komunikasi dan maklumat kerana terletak berdekatan dengan bandar atau mana-mana kawasan yang maju," katanya.

Salang berkata, pelan itu membolehkan pengubahsuaian dilakukan pada masa depan jika keadaan memerlukan dan menyediakan lebih banyak kawasan tempat letak kenderaan.
Sementara itu, semasa merasmikan majlis makan malam bagi mengumpul sumbangan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) bagi cawangan Pakan, beliau berharap badan induk yang berpangkalan di Kuching itu dapat membantu bagi memulihara tradisi dan budaya masyarakat Dayak.

Beliau berkata, banyak tradisi dan budaya itu dilupakan dan akhirnya pupus berikutan kurangnya usaha galakan di kalangan generasi muda.

"SDNU perlu menjadi jambatan penghubung antara masyarakat dan kerajaan dan berfungsi sebagai sebuah badan mesra kerajaan agar ia dapat membantu menyelesaikan masalah, aspirasi dan harapan yang dihadapi suku kaum berkenaan," katanya. - BERNAMA