December 22, 2012

Skim pelaburan beras haram

KUCHING 20 Dis. - Syarikat tempatan, Dynamic Wira Marketing Sdn. Bhd., yang menganjurkan skim pelaburan beras melibatkan penduduk Kampung Menjau Batu 21, dekat sini sejak Mei lalu dipercayai telah menjalankan operasi berkenaan secara haram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun syarikat tersebut didapati berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), skim yang ditawarkannya tidak pernah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Untuk makluman, syarikat yang menganjurkan skim pelaburan melibatkan deposit perbankan perlu mendapat kelulusan BNM, manakala skim berkepentingan melibatkan barangan komoditi seperti ikan keli atau jual beli beras perlu mendapat kelulusan SSM.
"Setiap hasil pelaburan tersebut kemudiannya hendaklah dimasukkan ke dalam satu tabung amanah yang juga perlu mendapat kelulusan SSM.
"Oleh sebab itu, kita mengesyaki syarikat terbabit menjalankan operasi secara haram kerana siasatan awal mendapati kegiatannya selama ini yang melibatkan kedua-dua skim iaitu deposit perbankan serta barangan komoditi tidak melalui kesemua proses tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Isnin lalu, akhbar melaporkan seramai 20 penduduk Kampung Menjau Batu 21 mendakwa kerugian hampir RM2 juta akibat ditipu seorang lelaki yang menawarkan dividen lumayan dalam skim pelaburan beras.
Mangsa menyedari mereka ditipu lelaki yang beroperasi melalui sebuah syarikat dikenali sebagai Dynamic Wira Mar keting Sdn. Bhd., selepas tidak menerima dividen daripada pelaburan tambahan yang dibuat sejak dua bulan lalu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, pihak kementerian telah mengarahkan SSM menghantar pegawainya untuk menyiasat kes tersebut sebelum tindakan susulan dilakukan.
Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya yakin kes tersebut tidak menjejaskan reputasi produk jenama 1Malaysia kerana modus operandi suspek adalah melibatkan wang manakala beras sekadar digunakan sebagai umpan.

Penyeragaman harga barangan turut libatkan KR1M, COOP 1Malaysia, FAMA

KUCHING 22 Dis. - Penyeragaman harga barangan bersubsidi akan turut melibatkan barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Coop 1Malaysia dan produk yang diedarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.
Pada pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyeragaman harga barangan bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata penyeragaman harga barangan itu akan bermula Januari tahun depan. - BERNAMA

December 14, 2012

Projek RM198j atasi masalah air

PETER Chin Fah Kui memukul gong sebagai simbolik perasmian Projek Pembangunan Sumber Bekalan Air sambil disaksikan tetamu kehormat lain di Miri, semalam.
MIRI 11 Dis. - Projek pembangunan sumber air bernilai RM198 juta dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih dan terawat bagi bandar raya ini dan kawasan sekitarnya sehingga tahun 2030.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, setakat ini kapasiti sumber air sedia ada dijangka hanya mampu menampung permintaan air mentah penduduk di bandar raya ini, Bakong dan Sibuti sehingga tahun depan.
Katanya, permintaan air terawat pada tahun hadapan di seluruh bahagian ini dijangka berada pada kadar 139 juta liter sehari dan ia melebihi kapasiti sumber air mentah sedia ada.
"Penduduk di Miri dianggarkan mencecah setengah juta orang dan permintaan air terawat bagi tahun 2030 dianggarkan pada kadar 300 juta liter sehari.
"Justeru projek bagi memastikan bekalan air bersih tidak berkurangan ini adalah detik penting bagi warga Miri yang pernah berhadapan dengan peristiwa kekurangan bekalan air sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Sumber Bekalan Air Miri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, projek berkenaan amat penting kerana kualiti air di Sungai Bakong yang merupakan satu daripada tiga sumber bekalan air bagi penduduk di bahagian ini semakin merosot.
"Justeru, cadangan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah sumber air di Miri adalah dengan memindahkan air mentah dari Batang Baram ke Loji Rawatan Air Lambir," katanya.

105 terima Darjah Kebesaran Sarawak

Amar Abdul Hamed Sepawi (kiri) bersalaman dengan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng selepas majlis Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Besar, Astana Negeri di Petra Jaya, kelmarin.
KUCHING 12 Dis. - Seramai 105 orang dikurniakan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Dewan Besar, Astana Negeri, Petra Jaya semalam.
Mendahului senarai penerima ialah Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi yang dianugerahkan Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar.
Sementara itu, Uskup Agung Gereja Roman Katolik, John Ha Tiong Hock dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk
Sementara Johan Bintang Sarawak dianugerahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof. Mohd. Fadzil Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Ngumbang pula menerima anugerah Johan Bintang Kenyalang.
Seramai empat penerima dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang, tiga dianugerahkan Pegawai Bintang Sarawak, lapan penerima untuk Pegawai Bintang Kenyalang dan tujuh penerima bagi Pingat Perkhidmatan Bakti.
Bagi Ahli Bintang Sarawak seramai 24 penerima telah dianugerahkan, enam penerima untuk Ahli Bintang Kenyalang, 19 penerima Pingat Perkhidmatan Terpuji dan selebihnya 30 penerima dianugerahkan Bentara Bintang Sarawak.
Istiadat pengurniaan turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Norkiah Abdullah, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, ketua-ketua jabatan kerajaan, tetamu-tetamu kehormat dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

December 9, 2012

SPR jamin dakwat pengundi awal boleh tahan seminggu

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan dakwat kekal yang dicalitkan pada jari pengundi awal mampu bertahan seminggu bagi memastikan tiada penipuan di hari pembuangan undi.

Selain itu, ketahanan dakwat berkenaan juga sudah diuji SPR dan warna yang akan digunakan bagi pengundi luar berbeza berbanding dakwat kekal yang akan digunakan pada hari pengundian nanti.

 Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya juga menjemput mana-mana parti politik supaya menghadiri demonstrasi dan simulasi yang diadakan SPR bagi mendapat maklumat sebenar berhubung penggunaan dakwat kekal berkenaan.

Dakwaan bahawa dakwat itu boleh dihilangkan adalah tidak benar kerana kita sudah mengujinya," Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR

Dakwat tahan seminggu

“Dakwat yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum nanti sudah pun ditempah, kita bagi jaminan dakwat kekal bagi pengundi awal boleh bertahan selama seminggu dan tidak akan hilang walaupun cuba dibersihkan.

“Ia bertujuan mengelak penipuan. Dakwaan bahawa dakwat itu boleh dihilangkan adalah tidak benar kerana kita sudah mengujinya. Warnanya juga nanti sudah pasti berbeza dengan pengundi biasa.

Babit kos besar
“Pembelian dakwat ini membabitkan kos yang besar, sudah pasti kita akan memanfaatkannya sebaik mungkin kerana ia membabitkan proses pilihan raya untuk menentukan wakil rakyat dan juga kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 adalah salah satu daripada syor yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Wan Ahmad berkata, SPR sedang merancang rapi proses Pilihan Raya Umum akan datang, terutama membabitkan pembaharuan yang bakal dilaksanakan bagi memastikannya berjalan lancar serta rakyat memahaminya sebaik mungkin.

Sementara itu, mengulas mengenai kekecohan yang berlaku dalam beberapa siri ceramah beliau berkata, parti politik perlu lebih peka serta mematuhi segala peraturan dikeluarkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan terpelihara.

Katanya, parti politik juga perlu mengelak daripada mengadakan ceramah ataupun rapat umum berhampiran mana-mana bilik gerakan ataupun pusat operasi sesebuah parti politik kerana ia boleh mengundang ketegangan

8,000 dapat manfaat Sentuhan Kasih PETRONAS

Sungai Petani: Kira-kira 8,000 keluarga miskin di seluruh negara memperoleh manfaat menerusi Program Sentuhan Kasih PETRONAS sejak dua tahun lalu.

Pengurus Besar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan PETRONAS, Datuk Mohammad Medan Abdullah, berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Miri, Sarawak pada Julai 2010 itu bertujuan membantu 5,000 keluarga miskin di seluruh negara.

 Katanya, jumlah penerima sumbangan itu bagaimanapun ditambah kepada 3,000 keluarga lagi di kawasan operasi PETRONAS di Kedah dan Perlis.


“Sejak program itu dilaksanakan, penerima yang dikenal pasti mendapat sumbangan bulanan dalam bentuk makanan asas seperti beras, gula dan minyak masak.

Dapat bimbingan

“Di samping itu, ahli keluarga penerima diberi bimbingan mengenai pengurusan kewangan berhemah dan latihan kemahiran untuk memperbaiki taraf hidup masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran program peringkat Kedah, di Kompleks Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, di sini, semalam.

Menerusi program itu, perbelanjaan harian 1,500 keluarga miskin dan kurang berkemampuan di negeri ini dapat dikurangkan selepas terpilih menerima bantuan bulanan.
Pada majlis itu, Mohammad Medan menyampaikan hamper kepada 100 keluarga kurang berkemampuan di sini dan Gurun.

Ringankan beban

Seorang penerima sumbangan, Siti Aishah Lat, 64, dari Sungai Layar di sini gembira dan bersyukur kerana bantuan yang disampaikan PETRONAS dengan kerjasama Yayasan MyKasih dapat meringankan beban perbelanjaannya.

“Saya tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan. Bantuan meringankan perbelanjaan barangan dapur,” katanya. - BERNAMA