June 13, 2010

Kementerian Pelancongan Akan Pertingkatkan Promosi Eko- Pelancongan

XUCHANG (China), 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan akan memberi fokus terhadap usaha mempromosikan eko-pelancongan di Malaysia sebagai rancangan pembangunan pelancongan negara untuk masa akan datang, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen di sini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai lebih 1,000 spesies tumbuhan-tumbuhan berbunga yang boleh dijadikan produk pelancongan menarik.

"Sebenarnya, eko-pelancongan yang kini belum dimajukan, mempunyai potensi untuk dipasarkan memandangkan ramai pelancong Eropah begitu berminat mengunjungi ekspo taman dan bunga, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyokong idea untuk mempromosikan eko-pelancongan di Malaysia.

"Malaysia telah memenangi pingat emas melalui penyertaan sulungnya pada Pameran Bunga Chelsea 2010 yang berprestij dan ini membuktikan bahawa tumbuh-tumbuhan tropika Malaysia boleh dijadikan produk pelancongan yang menarik," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar Majlis Perbandaran Xuchang Li Ya pada Sabtu.

Ng, yang sedang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke China, mengunjungi Guang Zhou dan Zhengzhou. Sempena lawatan ini, beliau telah mengadakan dialog dengan pengusaha pelancongan tempatan dan menghadiri Forum Datuk Bandar Antarabangsa mengenai Pelancongan (IMFT) di Henan pada Jumaat.

Ng berkata Kementerian Pelancongan akan mengkaji kemungkinan Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Xuchang bagi menganjurkan lawatan ke ekspo taman dan bunga.

"Kementerian ini akan mengadakan Perarakan Bunga Antarabangsa Malaysia di Putrajaya pada 10 Julai, manakala Xuchang pula akan mengadakan festival bunga antarabangsanya pada September tahun ini.

"Ini boleh dijadikan peluang bagi kedua-dua negara untuk menganjurkan lawatan dua hala ke acara berkenaan serta menggalakkan pelancong China melawat Malaysia dan sebaliknya," kata beliau.

Ng berkata Malaysia berminat mengambil bahagian dalam festival bunga antarabangsa Xuchang bagi memperkenalkan tumbuhan berbunga yang terdapat di Malaysia kepada penduduk China.

Beliau mencadangkan kepada Li agar Xuchang mengeksport produk tembikarnya yang unik, yang dikenali sebagai tembikar Jun, ke Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai pusat perdagangan produk tembikar bagi negara anggota Asean.

Terdahulu, pada perjumpaan beliau dengan gabenor Henan Guo Gengmao, Ng mencadangkan agar Henan mempromosikan tempat bersejarah di wilayah itu kepada pelancong Malaysia, manakala Malaysia pula akan mempromosikan kepelbagaian budaya penduduknya sebagai sesuatu yang unik kepada pelancong China.

"Pertukaran idea dan cadangan selalunya boleh membantu memajukan industri pelancongan, termasuk mengenai cadangan memperkenalkan produk berbeza kepada pelancong," katanya.

Ng berkata dalam usaha memajukan industri pelancongan, negara anggota Asean dan China perlu memberi fokus terhadap usaha membentuk kerjasama, bukan untuk bersaing.

-- BERNAMA

Negara mampu bersaing, hadapi cabaran global: PM

Rakyat diminta bersatu padu, bekerjasama sejajar Gagasan 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia mampu bersaing dan menghadapi segala cabaran yang ada pada peringkat global jika rakyat bersatu dan bekerjasama seperti diilhamkan melalui konsep Gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri berkata, apabila beliau mengambil alih pentadbiran dan dilantik sebagai Perdana Menteri pada April tahun lalu, beliau memutuskan untuk membina Malaysia Baru atas semangat 1Malaysia iaitu perpaduan menjadi asas utama untuk tujuan itu.

Katanya, beliau percaya konsep itu yang menggabungkan faktor cemerlang yang ada pada setiap komuniti mampu menjadikan Malaysia kuat dan membolehkan setiap warga tanpa mengira latar belakang etnik merealisasi potensi maksimum masing-masing sebagai rakyat Malaysia.
“Sebab itu kita mengambil peluang ini...transformasi, bergerak ke arah transformasi negara menjadikan Malaysia Baru yang kukuh dan lebih makmur. Kita mahu menjadikan Malaysia Baru yang bukan saja tertakluk kepada sempadan intelektual fizikal, tetapi mampu menempuhi cabaran global.

"Kita tidak perlu takut dan sebaliknya memiliki semangat keyakinan yang jitu untuk menjadi negara hebat. Ini boleh dilaksanakan jika kita bersatu padu," katanya berucap pada majlis perasmian program Sri Murugan Centre (SMC) di SMK Vivekananda, Brickfields di sini, semalam.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan 50 geran pendidikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM15,000 setiap seorang untuk 50 pelajar SMC melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.

Penerima geran itu adalah pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menerima bimbingan termasuk tuisyen daripada SMC.
Perdana Menteri berkata, pada masa sama Malaysia memerlukan sistem penyelarasan dan pelaksanaan cekap serta sesuai jika mahu bersaing pada peringkat global.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan kerajaan akan terus meningkatkan peruntukan untuk semua rakyat.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh yang saya bentangkan Khamis lalu, saya sudah umumkan beberapa perkara untuk rakyat termasuk kaum India di negara ini,” katanya.

Najib juga meminta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memastikan projek ‘Little India’ di bawah pembangunan Brickfields disiapkan mengikut jadual ditetapkan pada November ini.

June 6, 2010

Najib umum NKRA capai KPI

KUALA LUMPUR 5 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memaklumkan kesemua enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang diperkenalkan pada Julai tahun lepas bagi menjadi kayu ukur prestasi kerajaan, telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Dalam ucapannya pada majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini, Najib berkata, enam NKRA itu dikenal pasti setelah kerajaan merundingi rakyat dan mendengar keluh kesah serta pandangan mereka.

Enam NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambahbaik pengangkutan awam.

"Alhamdullilah, pucuk dicita ulam mendatang, kesemua enam bidang NKRA yang telah dikenal pasti telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI yang telah ditetapkan," katanya.

Najib berkata langkah-langkah yang diambil dan diperkenalkan adalah bersifat berani dan di luar kelaziman pemikiran biasa bagi merealisasikan matlamat pencapaian NKRA.

Katanya, anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) umpamanya telah ditugaskan bersama-sama anggota polis untuk melaksanakan tugas rondaan bagi membolehkan NKRA mengurangkan jenayah dicapai.

Selain itu, katanya, lebih 7,000 pegawai dan anggota polis yang melaksanakan tugas di pejabat telah 'kembali' kepada tugas hakiki mereka yakni dekat dengan orang ramai manakala tugas mereka di pejabat pula diganti oleh lebih 4,000 penjawat awam.

Di bawah NKRA mengurangkan jenayah, KPI yang ditetapkan adalah bagi menurunkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus serta jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun ini.

Ternyata hasil daripada langkah-langkah yang diambil amat memberangsangkan di mana pada suku pertama tahun ini, indeks jenayah telah turun sebanyak 15.1 peratus manakala jenayah jalanan sebanyak 39.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, katanya.

"Mudah-mudahan usaha untuk mewujudkan satu persekitaran hidup selamat, aman lagi tenteram kepada rakyat akan mencapai objektifnya," katanya.

Najib berkata, selain inisiatif berhubung peranan dan fungsi kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), kerajaan juga memperkenalkan inisiatif bersabit ekonomi melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), sebagai tujahan bagi memastikan wawasan nasional dapat direalisasikan mengikut jadualnya.

Di bawah inisiatif ETP, kerajaan telah menggubal model baru ekonomi sebagai hala tuju yang akan menunjangi dua Rancangan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11 di mana kedua-dua Rancangan Malaysia itu adalah jambatan terakhir yang perlu dilalui sebelum Malaysia tiba ke ambang 2020, katanya.

Katanya, kerajaan akan meneruskan langkah-langkah perlu untuk memastikan pertumbuhan yang memberangsangkan berterusan secara mapan serta telah pun memulakan inisiatif untuk memastikan asas kewangan kerajaan berada dalam keadaan yang lebih baik.

Beliau berkata hasil kerajaan perlu ditambah manakala perbelanjaan dibuat secara berhemah serta mampu mendatangkan impak yang paling maksimum kepada rakyat.

"Dalam hal ini, dua prinsip utama yang dipegang utuh oleh kerajaan Tuanku untuk merealisasikan matlamat tersebut ialah, kita tidak akan membebankan generasi akan datang serta akan terus merundingi dan menyelami denyut nadi rakyat apabila mengambil sesuatu keputusan sesuai dengan falsafah rakyat didahulukan," katanya.

Najib berkata, kerajaan tidak akan sekali-kali lari daripada tanggungjawab kepemimpinan dan tidak akan mengelak daripada membuat keputusan sukar sekiranya dikala perhitungan genting sesuatu itu dirasakan wajar bagi meletakkan Malaysia di trajektori yang betul.

"Moga-moga tercatit kemas dalam lipatan sejarah kelak bahawa barisan kepemimpinan hari ini adalah generasi yang bertanggungjawab, jauh sekali hendak mensia-siakan amanah yang terjunjung di jemala, apa lagi meninggalkan negara yang longlai kepada pewaris kepemimpinan yang akan datang.

"Pucuk pangkalnya, kita mahu mewariskan kepada generasi hari muka, sebuah Malaysia yang bermartabat dan bermaruah lagi disegani sahabat maupun pesaing. Insya-allah," katanya.

Najib berkata soal pengukuhan perpaduan nasional diberi perhatian oleh kerajaan kerana menyedari peri penting bahawa tanpa perpaduan nasional yang mantap, wawasan nasional seperti yang diimpikan bersama tidak mungkin akan tercapai.

"Sehubungan itulah, melalui falsafah induk 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang merentas dasar dan pelaksanaan sebagai panduan utama kerajaan Tuanku pelbagai inisiatif dan dasar telah, sedang dan akan dirangka demi kemaslahatan rakyat di bawah lembayung mahkota Tuanku," katanya. Najib berkata punca kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing adalah kerana ia sentiasa berusaha berada di hadapan keluk kontemporari dan kekinian dan kerajaan bertekad untuk meneruskan strategi yang telah terbukti berkesan tersebut.

"Bertolak dari satu titik di garisan ini, dalam memeta perjalanan seterusnya bagi mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kerajaan Tuanku berpendirian supaya tidak mengambil sikap dogmatik serta menolak pegangan bahawa hanya kerajaan tahu segala-galanya," katanya.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa usaha-usaha mencipta masa depan yang lebih baik untuk rakyat jelata telah mula menampakkan hasilnya.

Angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku pertama 2010 misalnya telah menunjukkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan yakni 10.1 peratus, katanya.

Tambahan lagi, katanya, daya saing negara di peringkat global turut mempamerkan peningkatan yang bersifat lonjakan berganda dan dalam "ranking" "World Competitiveness Report 2010", Malaysia telah meningkat naik prestasi daya saingnya dari tangga 18 pada tahun 2009 ke tangga 10 pada tahun ini.

Katanya kerajaan beriltizam mahu menyaksikan Malaysia naik kepada lima kedudukan teratas dalam senarai daya saing dunia pada masa mendatang.

"Apa yang penting, kita tidak boleh berpeluk tubuh, bersimpuh dan membiarkan peluang berlalu begitu sahaja. Kita harus bertungkus-lumus untuk mencapai sasaran," katanya. - BERNAMA.

Pemuda BN Dan NGP Anjur Rally 1Malaysia Jelas Dasar Kerajaan

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan Rally 1Malaysia bagi memperjelaskan dasar kerajaan dan mendapatkan maklumbalas terhadap pelaksanaan dasar daripada rakyat.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata program itu adalah sebagai terjemahan aspirasi dan sokongan Pemuda terhadap gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata program itu yang disasarkan mendapat penyertaan lebih 15,000 orang termasuk golongan belia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Jun ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

"Dalam program ini, kita akan turun ke bawah membawa mesej kerajaan serta untuk mendapatkan maklumbalas terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan apa yang akan dilaksanakan. Untuk program ini juga, kita menawarkan pengisian yang mampu menarik minat dan menzahirkan kreativiti rakyat khususnya orang muda.

"Jadi kita fikir ini adalah perkara baik yang perlu disertai oleh semua tidak kira bangsa dan agama. Ini bukan soal politik, tetapi kebangsaan. Yang penting kita nak tahu pemahaman dan harapan mereka mengenai gagasan 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Pemuda Umno di sini.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata program itu turut diselitkan dengan program bantahan terhadap kekejaman rejim Israel yang menyerang satu daripada sembilan kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Kita akan lancarkan satu program bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis menerusi SMS dan sumbangan menerusi SMS itu akan kita salurkan kepada Tabung Untuk Gaza yang dianjurkan Wisma Putra. Pada masa ini, kita masih berbincang dengan pihak telco.

"Kita harap semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa bersama-sama mendoakan keselamatan 12 rakyat Malaysia yang kini berada di Jordan serta kumpulan yang masih berada di perairan dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel itu," katanya yang menjangkakan SMS itu dapat dilancarkan Jumaat ini.

-- BERNAMA

Saingan Sengit Menanti SUPP Dalam Pilihan Raya Negeri Akan Datang - Dr Chan

KUCHING, 5 Jun (Bernama) -- Saingan sengit menanti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), terutama di kawasan pilihan raya yang dikuasai pengundi Cina, dalam pilihan raya negeri akan datang, kata Presiden parti Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri, bimbang dengan situasi politik semasa yang membabitkan SUPP.

"Kita akan berdepan waktu yang sukar. Saya yakin jika kita tidak bekerja keras, jika kita tidak berubah dan jika kita tidak berusaha melakukan apa yang rakyat inginkan, maka masa depan parti akan menjadi taruhan," katanya pada majlis jamuan sempena ulang tahun ke-51 SUPP di sini pada Jumaat.

SUPP, parti politik berasaskan kaum cina tertua di negeri ini, gagal mengekalkan kerusi Parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil 16 Mei selepas pendatang baru Robert Lau Hui Yew kalah tipis dengan 398 undi kepada Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng.

Pada pilihan raya negeri 2006, SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya. Kerusi terbabit ialah Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Engkilili, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong.

Sungguhpun saingan sengit sedang menanti, SUPP yakin parti itu dapat merampas semula kerusi yang kalah sekiranya anggota dan pemimpin parti bersatu padu serta berjuang demi parti dan rakyat.

Dr Chan menggesa pemimpin parti untuk turun padang, mendampingi rakyat dan mendengar pandangan mereka memandangkan SUPP perlu mendepani cabaran baru serta memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat.

"Hidup penuh dengan turun naik. Begitu juga dengan politik, Saya harap dalam pilihan raya negeri yang akan datang, SUPP akan bangkit semula.

"Semangat perjuangan anggota dan pemimpin parti akan memulihkan serta memperkukuhkan semula parti bagi menghadapi cabaran dalam pilihan raya negeri yang akan datang," katanya.

Dr Chan turut menggesa parti pembangkang dari Semenanjung agar berhenti daripada meracuni minda penduduk Sarawak dengan membawa budaya politik tidak sihat dan negatif yang dapat menjejaskan keharmonian di negeri ini.

"Landskap politik di Sarawak dan Semenanjung Malaysia berbeza. Kami tidak memerlukan mereka (pemimpin dari Semenanjung) untuk membawa racun ke negeri ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung SUPP Senator Datuk Sim Kheng Hui berkata parti itu akan memohon bayaran balik bagi pemilik tanah yang membayar premium pembaharuan tanah yang lebih tinggi sebelum semakan semula dasar dikuatkuasakan pada 1 Jun.

Beliau berkata lebih 800 pemilik rumah teres di Taman Kenyalang, satu daripada kawasan perumahan tertua di sini, telah pun memperbaharui pajakan tanah mereka dengan membayar premium kira-kira RM2,600 sebelum kadar purata baru diumumkan.

"SUPP akan membantu mereka untuk memohon bayaran balik purata kira-kira RM1,600. Kami akan mengusahakannya," katanya, sambil menambah kaunter akan dibuka di Pasar Kenyalang dan Pusat Komersil di sini untuk mengumpul maklumat daripada pemilik tanah yang terbabit.

Pada 14 Mei, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan semakan semula dasar tanah yang menggunakan kadar tetap dalam pengiraan premium bagi membaharui semula pajakan untuk tanah perumahan, komersial dan pertanian tanpa mengambil kira tempoh baki pajakan.

Berdasarkan kadar baru, untuk kegunaan perumahan, premium untuk memperbaharui semula pajakan tanah bagi sesebuah rumah teres ialah purata RM1,000 seunit, RM3,000 untuk rumah berkembar dan RM6,000 bagi rumah sebuah-sebuah.

-- BERNAMA