December 22, 2012

Skim pelaburan beras haram

KUCHING 20 Dis. - Syarikat tempatan, Dynamic Wira Marketing Sdn. Bhd., yang menganjurkan skim pelaburan beras melibatkan penduduk Kampung Menjau Batu 21, dekat sini sejak Mei lalu dipercayai telah menjalankan operasi berkenaan secara haram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun syarikat tersebut didapati berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), skim yang ditawarkannya tidak pernah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Untuk makluman, syarikat yang menganjurkan skim pelaburan melibatkan deposit perbankan perlu mendapat kelulusan BNM, manakala skim berkepentingan melibatkan barangan komoditi seperti ikan keli atau jual beli beras perlu mendapat kelulusan SSM.
"Setiap hasil pelaburan tersebut kemudiannya hendaklah dimasukkan ke dalam satu tabung amanah yang juga perlu mendapat kelulusan SSM.
"Oleh sebab itu, kita mengesyaki syarikat terbabit menjalankan operasi secara haram kerana siasatan awal mendapati kegiatannya selama ini yang melibatkan kedua-dua skim iaitu deposit perbankan serta barangan komoditi tidak melalui kesemua proses tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Isnin lalu, akhbar melaporkan seramai 20 penduduk Kampung Menjau Batu 21 mendakwa kerugian hampir RM2 juta akibat ditipu seorang lelaki yang menawarkan dividen lumayan dalam skim pelaburan beras.
Mangsa menyedari mereka ditipu lelaki yang beroperasi melalui sebuah syarikat dikenali sebagai Dynamic Wira Mar keting Sdn. Bhd., selepas tidak menerima dividen daripada pelaburan tambahan yang dibuat sejak dua bulan lalu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, pihak kementerian telah mengarahkan SSM menghantar pegawainya untuk menyiasat kes tersebut sebelum tindakan susulan dilakukan.
Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya yakin kes tersebut tidak menjejaskan reputasi produk jenama 1Malaysia kerana modus operandi suspek adalah melibatkan wang manakala beras sekadar digunakan sebagai umpan.

Penyeragaman harga barangan turut libatkan KR1M, COOP 1Malaysia, FAMA

KUCHING 22 Dis. - Penyeragaman harga barangan bersubsidi akan turut melibatkan barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Coop 1Malaysia dan produk yang diedarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.
Pada pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyeragaman harga barangan bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata penyeragaman harga barangan itu akan bermula Januari tahun depan. - BERNAMA

December 14, 2012

Projek RM198j atasi masalah air

PETER Chin Fah Kui memukul gong sebagai simbolik perasmian Projek Pembangunan Sumber Bekalan Air sambil disaksikan tetamu kehormat lain di Miri, semalam.
MIRI 11 Dis. - Projek pembangunan sumber air bernilai RM198 juta dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih dan terawat bagi bandar raya ini dan kawasan sekitarnya sehingga tahun 2030.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, setakat ini kapasiti sumber air sedia ada dijangka hanya mampu menampung permintaan air mentah penduduk di bandar raya ini, Bakong dan Sibuti sehingga tahun depan.
Katanya, permintaan air terawat pada tahun hadapan di seluruh bahagian ini dijangka berada pada kadar 139 juta liter sehari dan ia melebihi kapasiti sumber air mentah sedia ada.
"Penduduk di Miri dianggarkan mencecah setengah juta orang dan permintaan air terawat bagi tahun 2030 dianggarkan pada kadar 300 juta liter sehari.
"Justeru projek bagi memastikan bekalan air bersih tidak berkurangan ini adalah detik penting bagi warga Miri yang pernah berhadapan dengan peristiwa kekurangan bekalan air sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Sumber Bekalan Air Miri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, projek berkenaan amat penting kerana kualiti air di Sungai Bakong yang merupakan satu daripada tiga sumber bekalan air bagi penduduk di bahagian ini semakin merosot.
"Justeru, cadangan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah sumber air di Miri adalah dengan memindahkan air mentah dari Batang Baram ke Loji Rawatan Air Lambir," katanya.

105 terima Darjah Kebesaran Sarawak

Amar Abdul Hamed Sepawi (kiri) bersalaman dengan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng selepas majlis Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Besar, Astana Negeri di Petra Jaya, kelmarin.
KUCHING 12 Dis. - Seramai 105 orang dikurniakan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Dewan Besar, Astana Negeri, Petra Jaya semalam.
Mendahului senarai penerima ialah Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi yang dianugerahkan Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar.
Sementara itu, Uskup Agung Gereja Roman Katolik, John Ha Tiong Hock dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk
Sementara Johan Bintang Sarawak dianugerahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof. Mohd. Fadzil Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Ngumbang pula menerima anugerah Johan Bintang Kenyalang.
Seramai empat penerima dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang, tiga dianugerahkan Pegawai Bintang Sarawak, lapan penerima untuk Pegawai Bintang Kenyalang dan tujuh penerima bagi Pingat Perkhidmatan Bakti.
Bagi Ahli Bintang Sarawak seramai 24 penerima telah dianugerahkan, enam penerima untuk Ahli Bintang Kenyalang, 19 penerima Pingat Perkhidmatan Terpuji dan selebihnya 30 penerima dianugerahkan Bentara Bintang Sarawak.
Istiadat pengurniaan turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Norkiah Abdullah, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, ketua-ketua jabatan kerajaan, tetamu-tetamu kehormat dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

December 9, 2012

SPR jamin dakwat pengundi awal boleh tahan seminggu

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan dakwat kekal yang dicalitkan pada jari pengundi awal mampu bertahan seminggu bagi memastikan tiada penipuan di hari pembuangan undi.

Selain itu, ketahanan dakwat berkenaan juga sudah diuji SPR dan warna yang akan digunakan bagi pengundi luar berbeza berbanding dakwat kekal yang akan digunakan pada hari pengundian nanti.

 Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya juga menjemput mana-mana parti politik supaya menghadiri demonstrasi dan simulasi yang diadakan SPR bagi mendapat maklumat sebenar berhubung penggunaan dakwat kekal berkenaan.

Dakwaan bahawa dakwat itu boleh dihilangkan adalah tidak benar kerana kita sudah mengujinya," Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR

Dakwat tahan seminggu

“Dakwat yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum nanti sudah pun ditempah, kita bagi jaminan dakwat kekal bagi pengundi awal boleh bertahan selama seminggu dan tidak akan hilang walaupun cuba dibersihkan.

“Ia bertujuan mengelak penipuan. Dakwaan bahawa dakwat itu boleh dihilangkan adalah tidak benar kerana kita sudah mengujinya. Warnanya juga nanti sudah pasti berbeza dengan pengundi biasa.

Babit kos besar
“Pembelian dakwat ini membabitkan kos yang besar, sudah pasti kita akan memanfaatkannya sebaik mungkin kerana ia membabitkan proses pilihan raya untuk menentukan wakil rakyat dan juga kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 adalah salah satu daripada syor yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Wan Ahmad berkata, SPR sedang merancang rapi proses Pilihan Raya Umum akan datang, terutama membabitkan pembaharuan yang bakal dilaksanakan bagi memastikannya berjalan lancar serta rakyat memahaminya sebaik mungkin.

Sementara itu, mengulas mengenai kekecohan yang berlaku dalam beberapa siri ceramah beliau berkata, parti politik perlu lebih peka serta mematuhi segala peraturan dikeluarkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan terpelihara.

Katanya, parti politik juga perlu mengelak daripada mengadakan ceramah ataupun rapat umum berhampiran mana-mana bilik gerakan ataupun pusat operasi sesebuah parti politik kerana ia boleh mengundang ketegangan

8,000 dapat manfaat Sentuhan Kasih PETRONAS

Sungai Petani: Kira-kira 8,000 keluarga miskin di seluruh negara memperoleh manfaat menerusi Program Sentuhan Kasih PETRONAS sejak dua tahun lalu.

Pengurus Besar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan PETRONAS, Datuk Mohammad Medan Abdullah, berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Miri, Sarawak pada Julai 2010 itu bertujuan membantu 5,000 keluarga miskin di seluruh negara.

 Katanya, jumlah penerima sumbangan itu bagaimanapun ditambah kepada 3,000 keluarga lagi di kawasan operasi PETRONAS di Kedah dan Perlis.


“Sejak program itu dilaksanakan, penerima yang dikenal pasti mendapat sumbangan bulanan dalam bentuk makanan asas seperti beras, gula dan minyak masak.

Dapat bimbingan

“Di samping itu, ahli keluarga penerima diberi bimbingan mengenai pengurusan kewangan berhemah dan latihan kemahiran untuk memperbaiki taraf hidup masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran program peringkat Kedah, di Kompleks Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, di sini, semalam.

Menerusi program itu, perbelanjaan harian 1,500 keluarga miskin dan kurang berkemampuan di negeri ini dapat dikurangkan selepas terpilih menerima bantuan bulanan.
Pada majlis itu, Mohammad Medan menyampaikan hamper kepada 100 keluarga kurang berkemampuan di sini dan Gurun.

Ringankan beban

Seorang penerima sumbangan, Siti Aishah Lat, 64, dari Sungai Layar di sini gembira dan bersyukur kerana bantuan yang disampaikan PETRONAS dengan kerjasama Yayasan MyKasih dapat meringankan beban perbelanjaannya.

“Saya tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan. Bantuan meringankan perbelanjaan barangan dapur,” katanya. - BERNAMA

November 30, 2012

Dewan Rakyat: 'Mungkin sidang terakhir

Difahamkan, persidangan ini mungkin yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).


Sepanjang bersidang 36 hari, 14 Rang Undang-Undang dibahas dan diluluskan, termasuk Bajet 2013.

Persidangan kali ini turut membincangkan dan meluluskan dua usul tergempar iaitu mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan tayangan filem Innocence of Muslims.

Sementara itu, tiga usul pada hari terakhir persidangan yang dicadangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai juga diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ketika menangguhkan persidangan berkata, persidangan ini mungkin yang terakhir sebelum PRU13, sekiranya Perdana Menteri tidak memanggil dewan untuk bersidang sehingga awal April tahun depan.
“Seperti mana Yang Berhormat semua sedia maklum, sebagai Yang Dipertua Dewan, saya tidak mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat Parlimen.

“Sehubungan itu, sekiranya Ketua Majlis atau Perdana Menteri tidak memohon untuk Dewan Rakyat bermesyuarat dalam bulan Januari, Februari, Mac atau awal April, maka bagi saya persidangan ini adalah persidangan yang terakhir sebelum PRU13,” katanya.

Mohon maaf insiden 2008

Pandikar Amin turut memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh kerana insiden ketika sesi angkat sumpah Ahli Parlimen pada 2008.

“Sebenarnya saya tidak tahu dia (Karpal) tidak dapat angkat tangan. Dalam hati saya kata tidak ada, dia sakit dan saya tahu dia sakit tangan.

“Saya rasa tidak sedap hati dengan Bukit Gelugor walaupun dia tidak ada di sini,” katanya.

Dalam pada itu, wakil kerajaan dan pembangkang turut mengucapkan penghargaan kepada Pandikar Amin dan dua timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee yang berjaya mengendalikan dewan dengan penuh dedikasi sepanjang persidangan.

Najib perkenal buku hurai transformasi

Datuk Seri Najib Razak semalam, memperkenalkan buku hasil karyanya berjudul Transformasi Politik: Mendaulatkan Hak Asasi Serta Demokrasi Pemerintahan Rakyat untuk Rakyat.

Buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu diperkenalkan sejurus Perdana Menteri keluar dari Dewan Merdeka sebaik selesai menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, semalam.

Penjelasan kepada rakyat


Buku setebal 249 muka surat itu menjelaskan kepada rakyat perlunya anjakan politik menerusi transformasi undang-undang, gagasan dan aspirasi politik Perdana Menteri mewujudkan perlindungan paling relevan dengan keperluan semasa rakyat.

Dalam kenyataan ITBM, buku itu menjawab persoalan berkaitan bagi membolehkan rakyat memahami sebab kerajaan tidak boleh bertangguh dalam melaksanakannya.

Buku yang disunting Prof Datuk Khairil Annas Jusoh dan Datuk Mazri Muhammad itu dijual pada harga RM32 di Semenanjung, manakala RM37 di Sabah dan Sarawak.

November 25, 2012

2,100 golongan memerlukan harapkan hajat mereka dikabul sempena Krismas



KUCHING: Seramai 2,100 golongan memerlukan mengharapkan hajat mereka akan dikabulkan sempena Hari Krismas akan datang.
Menurut Kapten The Boys Brigade Malaysia Sim Tze Sian, pihaknya setakat ini hanya berjaya mengumpul lebih kurang 600 barangan hajat terbabit.
Bagaimanapun beliau menyatakan harapan agar orang ramai di sekitar kawasan Kuching dapat membantu menunaikan hajat kanak-kanak, orang tua dan keluarga yang memerlukan ini.
“Antara barangan yang menjadi hajat mereka adalah seperti barang permainan, alat tulis, seragam sekolah, buku cerita, pakaian bayi, buku latihan, buku mewarna, beg sekolah dan pakaian.
“Juga makanan kering seperti mi segera, beras, makanan dalam tin dan peralatan rumah,” katanya.
Kaunter BB Love Box dibuka setiap hari bermula 17 November hingga 15 Disember dari jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari di Crown Square, Pending.
Sim turut mengingatkan penderma agar datang ke kaunter terlebih dahulu untuk mengambil hajat yang ingin dipenuhi dan kembali semula bersama hadiah dan hajat terbabit.
Beliau memberitahu bahawa pada 22 Disember akan diadakan parti di Crowne Tower, Pending untuk 100 penerima yang kurang bernasib baik.
Majlis penyerahan akan diadakan pada hari tersebut manakala pada 8 dan 14 Disember akan diadakan persembahan koir dan pancaragam oleh para ahli yang mendendangkan lagu-lagu Krismas.
Turut hadir memberkati majlis adalah Rev Trinity Methodist Church Lau Hui Ming dan Wakil KTS Group William Ting.

100 orang terima Komputer Riba 1Malaysia

GEDONG: Seramai 100 orang yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan wakil persatuan dan pertubuhan bukan kerajan (NGO) di kawasan ini menerima Komputer Riba 1Malaysia bagi fasa ketiga 2012.
Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 1,005 unit komputer yang diperuntukkan untuk kawasan Parlimen Batang Sadong.
“Apa yang saya lihat usaha murni kerajaan ini ialah untuk mempersiapkan setiap lapisan rakyat di negara ini, tanpa mengira usia tahu menggunakan teknologi pada masa kini dalam usaha menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penyerahan Komputer Riba 1Malaysia di Dewan Serba Guna Kampung Gedong di sini kelmarin.
Nancy memberitahu terdahulu sebanyak 300 unit telah diagihkan kepada penduduk di Sadong Jaya pada bulan lepas manakala 605 unit lagi akan diagihkan kepada penduduk kawasan Simunjan yang terdiri daripada JKKK kampung, persatuan dan pelajar.
“Dengan adanya komputer tersebut, diharap mereka dapat menggunakan dengan sebaik mungkin untuk memajukan diri.
“Ini bukan sahaja memudahkan mereka untuk menjalankan tugas rasmi jawatankuasa tetapi membolehkan mereka berhubung secara dalam talian bersama pemimpin atau jabatan kerajaan menerusi laman sosial seperti facebook , twitter, blog mahupun laman sesawang rasmi kerajaan,” jelasnya lagi.
Selain itu, katanya tiga projek Kampung Tanpa Wayar telah dipasang di kawasan Kampung Gedong yang akan membolehkan penduduk kampung melayari Internet secara percuma 24 jam.
“Kerajaan sangat komited dan sangat prihatin dengan keperluan rakyat dan telah membelanjakan jutaan ringgit bagi menolong rakyat dan pemberian komputer kepada pelajar dan orang awam adalah salah satu daripada tujuan murni tersebut,” tambahnya.
Turut hadir adalah Pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sarawak Ahmad Nufairie Ramadan, Penghulu Kampung Gedong Sahara Enai dan Ketua PBB Zon Gedong Ali Bujang
GEDONG: Seramai 100 orang yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan wakil persatuan dan pertubuhan bukan kerajan (NGO) di kawasan ini menerima Komputer Riba 1Malaysia bagi fasa ketiga 2012.
Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 1,005 unit komputer yang diperuntukkan untuk kawasan Parlimen Batang Sadong.
“Apa yang saya lihat usaha murni kerajaan ini ialah untuk mempersiapkan setiap lapisan rakyat di negara ini, tanpa mengira usia tahu menggunakan teknologi pada masa kini dalam usaha menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penyerahan Komputer Riba 1Malaysia di Dewan Serba Guna Kampung Gedong di sini kelmarin.
Nancy memberitahu terdahulu sebanyak 300 unit telah diagihkan kepada penduduk di Sadong Jaya pada bulan lepas manakala 605 unit lagi akan diagihkan kepada penduduk kawasan Simunjan yang terdiri daripada JKKK kampung, persatuan dan pelajar.
“Dengan adanya komputer tersebut, diharap mereka dapat menggunakan dengan sebaik mungkin untuk memajukan diri.
“Ini bukan sahaja memudahkan mereka untuk menjalankan tugas rasmi jawatankuasa tetapi membolehkan mereka berhubung secara dalam talian bersama pemimpin atau jabatan kerajaan menerusi laman sosial seperti facebook , twitter, blog mahupun laman sesawang rasmi kerajaan,” jelasnya lagi.
Selain itu, katanya tiga projek Kampung Tanpa Wayar telah dipasang di kawasan Kampung Gedong yang akan membolehkan penduduk kampung melayari Internet secara percuma 24 jam.
“Kerajaan sangat komited dan sangat prihatin dengan keperluan rakyat dan telah membelanjakan jutaan ringgit bagi menolong rakyat dan pemberian komputer kepada pelajar dan orang awam adalah salah satu daripada tujuan murni tersebut,” tambahnya.
Turut hadir adalah Pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sarawak Ahmad Nufairie Ramadan, Penghulu Kampung Gedong Sahara Enai dan Ketua PBB Zon Gedong Ali Bujang


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/11/25/100-orang-terima-komputer-riba-1malaysia/#ixzz2DCwCiz2H

November 17, 2012

China kekal rakan dagang terbesar Malaysia



KUALA LUMPUR 16 Nov. - Hubungan dagangan Malaysia dan China dijangka kekal kukuh pada tahun ini, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Malah, beliau berkata, China juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.
"Sektor perniagaan di China akan terus kukuh untuk menjadi peneraju ekonomi di Asia,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga di sini hari ini.
Zeti diminta menjawab soalan pemberita mengenai China yang masih berwibawa untuk kekal menjadi pemimpin ekonomi Asia pada waktu ini.
Ketika ditanya sejauh mana garis panduan baharu BNM mengenai pinjaman membantu meletakkan paras hutang isi rumah pada paras sederhana, Zeti berkata, bank pusat itu turut memantau perkembangan tersebut.
Katanya, setakat ini, keadaan itu terkawal dan pihaknya memantau dengan hati-hati terhadap pembiayaan untuk kegunaan peribadi.
"Setakat ini, kadar hutang tidak berbayar (NPL) masih rendah dan ia terkawal.
"Kuasa layak kredit yang terkawal dan meningkat pada waktu ini juga memberi akses yang baik kepada pinjaman bank,'' ujarnya.
Tambah Zeti, sektor perbankan juga mempunyai Sistem Maklumat Pusat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mampu mengawal hutang isi rumah daripada terus meningkat.

KDNK suku ketiga 5.2 peratus



KUALA LUMPUR 16 Nov. - Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga berbanding 5.8 peratus pada suku yang sama tahun lalu walaupun negara menghadapi suasana ekonomi yang mencabar.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, seperti yang dijangkakan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku ketiga sedikit terjejas berikutan pasaran eksport yang menyusut.
Katanya, terdapat kelemahan dalam permintaan pasaran dari luar negara terutamanya dalam eksport barangan dan perkhidmatan.
Menurut beliau, eksport bersih negara menyusut tiga peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala import negara tumbuh dengan lebih pantas.
"Persekitaran ekonomi dunia kekal mencabar dalam suku ketiga tahun ini.
"Dalam tempoh yang sama, pertumbuhan dalam kalangan negara-negara maju juga tidak seimbang walaupun ekonomi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan manakala beberapa negara lain masih lemah,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada sewaktu membentangkan prestasi ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga di sini hari ini.
Permintaan domestik telah berkembang sebanyak 11.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala pada suku kedua pada 14 peratus.
Zeti berkata, BNM menyemak semula KDNK suku pertama kepada 5.1 peratus daripada 4.7 peratus dan kedua kepada 5.6 peratus daripada 5.2 peratus.
Ketika ditanya mengenai pertumbuhan ekonomi pada tahun ini, Zeti berkata, KDNK sepatutnya mencapai lima peratus atau lebih baik.
Katanya, permintaan domestik akan terus mengukuh sepanjang tahun ini dengan kadar penggunaan yang tinggi.
Malah, jelas beliau, KDNK pada suku keempat dijangka tumbuh sederhana seperti mana yang dicapai pada suku ketiga dengan domestik terus mengukuh.
"Aktiviti ekonomi di Asia juga didapati tumbuh pada paras sederhana,'' ujarnya.
Tambah Zeti, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian di negara ini menunjukkan pertumbuhan dan perluasan dengan baik pada suku ketiga berbanding perkilangan dan perlombongan yang menunjukkan penyusutan.
Katanya, pertumbuhan dalam sektor pembinaan dipacu oleh sub sektor kejuruteraan sivil.
"Sektor pembinaan dijangka kekal teguh pada tahun depan,'' jelasnya