February 25, 2010

Peralihan Ke Sektor Swasta Baik Untuk Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Peralihan dalam pertumbuhan daripada sektor awam kepada sektor swasta semakin menjadi jelas dan ia baik untuk ekonomi Malaysia jika dilihat dari segi pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2009.

"Pertumbuhan suku keempat menyaksikan peningkatan sumbangan daripada sektor swasta dan ia merupakan penunjuk penting peningkatankan keyakinan orang ramai terhadap ekonomi," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) Datuk S. K. Devamany.

Beliau memberitahu Bernama melalui interbiu telefon pada Rabu bahawa peningkatan dalam kuasa membeli serta pemulihan keyakinan orang ramai telah menggalakkan trend positif dalam ekonomi.

"Usaha yang diambil setakat ini menunjukkan ekonomi bergerak ke arah pemulihan sepenuhnya dan ini menggembirakan.

"Negara ini mempunyai masa depan yang cerah apabila model ekonomi baharu yang akan dilancarkan bulan depan, yang memberi fokus kepada sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan.

"Ini penting kerana Malaysia akan menjadi lebih kompetitif dan meletakkan negara pada asas yang betul," katanya.

Devamany juga berkata semua langkah yang diambil ke arah melaksanakan pengukuhan pelan transformasi negara kerajaan dapat dijayakan mengikut pendekatan holistik ke arah memperkasakan sektor swasta, ekonomi pendapatan tinggi, kreativiti dan inovasi serta memperkukuhkan modal insan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia Datuk Syed Hussien Al Habshee berkata perusahaan kecil dan sederhana perlu memberi fokus pada pembangunan pasaran eksport baharu untuk produk mereka.

"Daripada memfokus kepada pasaran tradisional, kita sekarang perlu meneroka pasaran bukan tradisional.

"Diharapkan pada suku ketiga atau keempat tahun ini, kita boleh mencapai lagi dua peratus pertumbuhan pada KDNK," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif mTouche Technology Berhad Eugene Goh berkata walaupun sektor telekomunikasi bukan peneraju utama dalam pertumbuhan tahun lepas, sektor itu diunjurkan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK tahun ini.

Contohnya, beliau berkata rantau Asia menyaksikan pertumbuhan hebat dari segi pemintaan telefon pintar.

"Dua puluh peratus daripada jumlah penghantaran mudah alih ke Malaysia adalah telefon pintar.

Ini satu penunjuk bahawa kemelesetan ekonomi tidak mendatangkan kesan buruk kepada negara," kata Goh.

Sumber-- BERNAMA

Beri maklum balas Klinik 1Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dengan kejayaan mewujudkan Klinik 1Malaysia yang kini dilihat menjadi begitu popular di kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata, keberkesanan klinik-klinik tersebut akan terus dipantau bagi memastikan keperluan rakyat dapat diuruskan secukupnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat yang pernah mendapatkan perkhidmatan di Klinik 1Malaysia berkongsi pendapat dan pengalaman berhubung bagaimana kerajaan dapat terus menambah baik lagi konsep Klinik 1Malaysia itu.

''Sekiranya anda sendiri pernah mendapatkan perkhidmatan ini, marilah berkongsi pendapat anda berhubung pengalaman anda dan bagaimana pada pendapat anda kami dapat menambah baik lagi konsep Klinik 1Malaysia ini dengan mengemukakan komen anda di sini," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my

Beliau berkata, setakat ini lebih daripada 100,000 orang dengan purata 80 hingga 200 pesakit setiap hari telah mengunjungi klinik-klinik yang diwujudkan itu untuk mendapatkan rawatan mudah bagi penyakit-penyakit seperti sakit kepala dan selesema.

''Sejak 28 Disember 2009 dan pembukaan perkhidmatan pertama di Lembah Pantai, 50 Klinik 1Malaysia telah dimulakan di kawasan-kawasan perbandaran yang terpilih.

''Di pembukaan Klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi dan PPRT Lembah Taman Putra Damai pada awal Januari, saya telah melihat sendiri bagaimana perkhidmatan dapat diberikan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat," katanya.

Najib berkata, beliau berharap klinik-klinik tersebut mudah didatangi dan mampu dibiayai oleh penduduk- penduduk yang memerlukan perkhidmatan itu.

Katanya, penduduk- penduduk yang tidak berupaya mendapat rawatan di klinik swasta sama ada kerana jauh dari tempat tinggal atau terlalu mahal, kini telah mempunyai alternatif yang praktikal di Klinik 1Malaysia.

Tambahnya, Klinik 1Malaysia merupakan klinik masyarakat yang ditempatkan dengan strategik dan dibuka setiap hari selama 12 jam dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam,'' katanya.

''Jururawat-jururawat dan pembantu-pembantu kesihatan yang berkelayakan dengan pengalaman bekerja yang tidak kurang dari lima tahun menyediakan rawatan yang berkualiti untuk hanya RM1 sementara penduduk bukan rakyat Malaysia dikenakan bayaran sebanyak RM15,'' katanya.

Beras segera berkhasiat

Makanan berasaskan isi ikan, ayam, jagung dan sayur-sayuran ciptaan Wan Abu Bakar Wan Omar siap dimasak dalam masa lima minit

MALAYSIA sememangnya diketahui kaya hasil berasnya yang bertumpu di utara tanah air biar pun hakikatnya ia terbukti tidak cukup bagi menampung keperluan rakyat tempatan. Namun kini, sekurang-kurangnya ada pilihan lain iaitu beras optik atau gentian yang dihasilkan anak tempatan.

Lebih istimewa lagi, beras ‘tiruan’ hasil campuran bahan mentah seperti isi ikan, ayam, jagung, sayur-sayuran dan ubi kentang itu turut meraih minat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang mahu menjadikannya bekalan bagi menampung keperluan penduduk dunia yang berdepan masalah kekurangan makanan.


Minat badan dunia itu sudah pasti memberi kepuasan tersendiri bagi pencipta beras dan mesin pengeluarnya, Wan Abu Bakar Wan Omar, 32, yang berasal dari Kelantan. Siapa sangka bapa dua anak ini mampu tampil dengan idea menghasilkan beras dikenali BVita Asas itu apatah lagi latar belakangnya bukanlah graduan bidang kejuruteraan mahu pun sains.

Namun berkat kegigihannya berbekalkan idea logik, semangat, titik peluh serta sokongan pihak berkaitan yang sudi membantu, mampu merealisasikan impian yang terpendam sejak sekian lamanya.

Menariknya, rasa BVita Asas yang dihasilkan menggunakan mesin ciptaan Wan Abu Bakar sendiri menerusi syarikatnya, WAB Warnasari Mekar Ent (M) Sdn Bhd (WAB Warnasari), tiada bezanya dengan beras biasa, malah lebih lembut. Dengan ciri fizikalnya persis beras biasa, beras optik ini juga siap dimasak seawal lima minit. Ia juga boleh dinikmati dengan ditambah air panas - sekali gus menjadikannya sesuai bagi kegunaan anggota tentera dan polis yang bertugas selain pihak hospital.

MESIN menghasilkan makanan ikan antara ciptaan Wan Abu Bakar (kiri).

Selain penghasilannya menepati syariat Islam, beras gentian ini juga menyihatkan. Pada masa sama, ia juga mampu menambah hasil pendapatan petani dan peladang menerusi pembelian bahan mentah yang diperlukan. Bagaimanakah beliau boleh mendapat idea menghasilkan makanan ini?

“Semua ini timbul pada 1998 ketika rantau Asia dilanda krisis ekonomi meruncing. Saya tiba-tiba terfikir apa akan terjadi sekiranya dunia tidak lagi mampu mengeluarkan beras terutama jika tanah sawah terbatas.

“Dari situ saya cuba menghasilkan beras gentian daripada campuran isi ikan, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya. Menggunakan mesin yang saya cipta, ia berjaya,” katanya yang berkelulusan Sijil Pengajian Perniagaan selain pengalaman sebagai tukang masak dan berkemahiran dalam bidang teknikal, pemasaran dan teknologi maklumat.

Ironinya, beras BVita asas yang diinginkan UNHCR itu adalah produk sama yang pernah dipersembahkan Wan Abu Bakar kepada seorang pegawai tinggi kerajaan bergelar profesor. Ketika PBB memintanya menghasilkan lebih banyak beras seumpama itu, pegawai berkenaan menempelaknya dengan alasan bagaimana seseorang yang tiada asas pertanian boleh menghasilkan beras gentian sedangkan dia yang bergelar profesor tidak mampu berbuat demikian.

PEKERJA melakukan pemeriksaan pada mesin kisar habuk kelapa.

Ini tidak mematah semangatnya yang sanggup berkelana ke China selepas seorang usahawan negara itu tertarik dengan ideanya menghasilkan mesin pengeluaran bagi menghasilkan produk mengikut keperluan.

Kilang pertama hasil buah fikirannya didirikan di Shandong, China dan selepas lebih 10 tahun, barulah kilang pertama dapat dibina di Pangkalan Chepa, Kelantan.

Kini, beliau memberi tumpuan kepada penghasilan mesin dan beras gentian yang sudah mendapat minat pihak yang mahu memasarkannya ke Jepun kerana ciri-cirinya yang menyamai beras bagi menghasilkan sushi.

Lebih membanggakannya, PBB turut menunjukkan minat terhadap beras Bvita Asas berkenaan. Malangnya, permintaan PBB yang mahukannya menyediakan bekalan sehingga dua tan sehari atau bersamaan 10,000 beg yang setiap satunya seberat 50 kilogram, tidak mampu ditunaikan.

“Apa daya saya yang cuma ada satu mesin yang boleh mengeluarkan cuma 250 kilogram beras sejam. Bagi memenuhi keperluan UNHCR, saya memerlukan sekurang-kurangnya 12 mesin yang kos untuk menghasilkannya berjumlah kira-kira RM3 juta. Saya tidak mempunyai modal sebanyak itu untuk menghasilkan mesin berkenaan dan usaha mendapatkan pinjaman juga boleh saya katakan amat sukar kerana kelayakan saya mencipta mesin itu dipertikaikan.

“Memang berat hati saya menolak permintaan itu kerana ia datangnya dari badan dunia, satu pengiktirafan yang cukup besar tetapi apa boleh buat kerana saya memang tidak mampu menyediakannya,” katanya.



'Pernah dicemuh dan dilabel gila'

BELIAU pernah dilabel gila. Bukan sekali malah dua kali menjadi bahan ketawa pegawai yang kononnya lebih berkelayakan. Namun itu tidak mematah semangatnya yang terus menebalkan muka menjaja produknya.

Bagi Wan Abu Bakar Wan Omar, beliau bukannya mahukan nama apatah lagi gelaran. Sekadar pengiktirafan kepada mesin untuk industri makanan yang diciptanya. Sayangnya itu pun belum mampu diperoleh kerana tidak mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan - dosa yang terlalu kecil dibandingkan dengan apa yang sudah berjaya diketengahkan sehingga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keadaan itu menyebabkan Wan Abu Bakar sukar membuat pendaftaran mendapatkan hak cipta kerana ia tidak diiktiraf agensi berkaitan. Jauh di sudut hati, Wan Abu Bakar terkilan dengan kerenah birokrasi di negara ini yang didakwanya menyukarkan usahanya mendaftarkan ciptaannya.

“Saya pernah membawa ciptaan saya kepada beberapa agensi tetapi kelulusan tidak boleh diberi dengan alasan saya tidak mempunyai kelayakan kejuruteraan,” katanya.

Keluhan Wan Abu Bakar tidak boleh dipandang sipi kerana bukan mudah anak Melayu menembusi pasaran antarabangsa. Cuma agak menghairankan jika PBB sendiri sudah mengiktiraf, mengapa pula beliau menjadi anak tiri di negara sendiri.

Namun semua itu bukan satu halangan besar kepada anak muda yang berminat dalam bidang penciptaan sejak masih bergelar kanak-kanak. Dilahirkan sebagai anak kepada seorang pengamal perubatan tradisional yang kerap menggunakan mesin pengisar untuk menghasilkan ubat-ubatan, Wan Abu Bakar sering menjadi sasaran kemarahan kerana bertindak memandai-mandai mengubah suai mesin ayahnya.

“Dari situ saya dapat idea untuk menghasilkan mesin untuk industri makanan. Namun saya tidak sangka ciptaan saya sama sekali tidak mendapat pengiktirafan kerana saya bukan jurutera bertauliah. Sekadar seorang lelaki yang berminat dalam ciptaan mesin.

“Saya berterima kasih kepada rakan perniagaan saya di China yang membuka peluang kepada saya menjual kepakaran. Saya mengambil masa lama mendirikan kilang di sini kerana tiada modal. Saya tidak ambil sedikit pun keuntungan daripada syarikat di China sebaliknya membuat perjanjian mereka memberi tumpuan kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah manakala saya akan menguasai seluruh Asia.

“Saya amat bersyukur kerana pelbagai mesin ciptaan saya yang menghasilkan produk makanan ikan, ternakan dan haiwan peliharaan serta makanan ringan sudah menembusi pasaran India, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Thailand, Singapura dan Arab Saudi,” katanya yang memulakan kerjayanya dengan membuka bengkel di rumah.

Walaupun tidak mendapat pengiktirafan, Wan Abu Bakar sudah boleh berbangga berikutan ciptaannya mendapat tempat di kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana kerana mesinnya yang lebih jimat elektrik, pelbagai guna, lebih mudah dikendalikan dan paling penting ia jauh lebih murah berbanding harga mesin di pasaran.

Pun begitu, Wan Abu Bakar, tidak tamak untuk menguasai industri pembuatan mesin kerana beliau cuma berminat menghasilkan mesin yang belum ada di pasaran.

“Pelanggan cuma perlu datang jumpa saya dan menerangkan jenis mesin yang mereka kehendaki untuk industri yang diusahakan. Saya akan hasilkan mesin yang dikehendaki mengikut kemahuan dengan sedikit cadangan daripada pihak saya mengenai apa yang perlu dan tidak perlu pada mesin itu.

“Saya menjual kepakaran. Saya tidak menghasilkan mesin dan menjualnya. Itu bukan cara saya. Saya lebih kepada menawarkan perkhidmatan mengikut apa yang industri mahukan,” katanya.

Pelanggan Wan Abu Bakar bukan hanya industri besar dan agensi kerajaan sebaliknya orang perseorangan yang mengusahakan restoran malah spa.

Dengan harga mesin antara RM2,000 dan RM1 juta mengikut spesifikasi dan fungsi yang dimahukan, ciptaan Wan Abu Bakar sebenarnya sudah cukup matang untuk diperkenalkan di peringkat antarabangsa.



Info

Beras gentian


  • Beras tiruan boleh dihasilkan dengan menggunakan pelbagai sumber kanji atau menggantikan kanji.

  • Kaedah ini membolehkan bahan sampingan lebih berkhasiat dicampurkan yang tidak terdapat dalam beras biasa.

  • Beras Bvita Asas menggunakan bahan asas seperti campuran isi ikan, kentang, isi ayam dan jagung.

  • Memiliki ciri fizikal sama seperti beras biasa dan ada usaha menjadikan ia seperti saiz beras siam.

  • Boleh dimasak dan siap dalam tempoh seawal lima minit.

  • Beras segera ini lebih lembut dan berkhasiat dan mudah disediakan, termasuk cuma menambah air panas.

  • Paling sesuai digunakan untuk membuat sushi.

  • Penghasilan BVita Asas menepati syariat Islam.

  • Sesuai dijadikan pengganti beras biasa ketika krisis makanan meruncing.
  • Malaysia pulih lebih cepat

    KUALA LUMPUR 24 Feb. - Krisis ekonomi global yang melanda Malaysia semakin hampir ke penghujungnya berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat di luar jangkaan.

    Pakar dan para penganalisis ekonomi berkata, perkembangan positif itu dijangka mampu membantu peningkatan pertumbuhan ekonomi pada 2010.

    Sebelum ini kerajaan menganjurkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak tiga hingga empat peratus. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula membuat sasaran peribadi sebanyak lima peratus.

    Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, berdasarkan keputusan terbaru itu, kerajaan dijangka meningkatkan unjurkan KDNK negara.

    ''Dengan keputusan positif ini, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat berbanding jangkaan awal.

    ''Petunjuk ini sekali gus menunjukkan sentimen keyakinan pengguna semakin pulih, selain pasaran kerja yang semakin stabil dapat membantu pengukuhan ekonomi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Kim Leng turut menyambut baik terhadap bayangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Tegas beliau, kadar faedah yang rendah adalah sangat berisiko dan akan hanya menyebabkan gelembung aset.

    ''Perubahan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat supaya tidak memberi kesan kepada kadar pinjaman yang akan dibuat oleh pengguna,'' jelasnya.

    Malaysia mencatatkan KDNK sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2009, kenaikan 1.1 peratus daripada sasaran awal kerajaan 3.4 peratus.

    Secara keseluruhannya, KDNK hanya mencatatkan penguncupan 1.7 peratus pada tahun lalu, iaitu lebih rendah daripada sasaran awal -3.0 peratus sebelum ini.

    Ekonomi Malaysia menguncup pada suku pertama kepada -6.2 peratus, suku kedua -3.9 peratus dan suku ketiga -1.2 peratus.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin pula menyifatkan prestasi ekonomi negara itu memang sudah dijangkakan.

    Malah, jelas beliau, prestasi itu seiring dengan kedudukan ekonomi di negara-negara serantau seperti Singapura, Korea dan China, meskipun berlaku kebimbangan dengan ketidakstabilan pasaran di Eropah.

    Bagaimanapun, katanya, ia tidak menganggu keseluruhan pemulihan ekonomi global.

    Beliau berkata, pengukuhan ekonomi tersebut banyak disumbangkan oleh pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang berjalan lancar dan pantas.

    Ditanya sama ada kerajaan perlu meneruskan pakej rangsangan ekonomi, beliau berkata: ''Ia tidak perlu kerana negara tidak boleh bergantung secara berterusan kepada program tersebut''.

    Dr. Mahani menyifatkan langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan Bajet 2010 adalah baik kerana membolehkan kerajaan berbelanja dengan cekap dalam setiap ringgit yang dibelanjakan.

    Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berpendapat, sasaran yang dibuat Perdana Menteri sebanyak lima peratus hanya boleh dicapai pada separuh pertama tahun ini tetapi dalam keadaan berhati-hati.

    ''Keadaan ekonomi global masih lagi belum pulih sepenuhnya kerana situasi ekonomi di negara-negara membangun masih lagi membimbangkan terutama Amerika Syarikat (AS) yang mengalami masalah pengangguran tinggi.

    ''Sesetengah pakar ekonomi masih tidak menolak risiko kemungkinan AS akan mengalami kemelesetan ekonomi berganda. Risiko tersebut berada pada kadar 30 peratus hingga 60 peratus,'' jelasnya.

    Azrul berkata, prestasi ekonomi pada tahun lalu itu secara keseluruhan dibantu oleh pakej rangsangan ekonomi tetapi apabila kesan itu semakin berkurangan, ia dikhuatiri akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

    ''Negara perlu berhati-hati dalam menghadapi kehilangan kesan pakej rangsangan dan perlu bersedia berhadapan dengannya,'' jelasnya.

    February 20, 2010

    KADA Akan Laksana Projek Berkelompok Untuk Golongan Miskin Jun Ini

    KOTA BAHARU, 20 Feb (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) akan melaksanakan projek berkelompok di empat daerah iaitu Bachok, Ketereh, Pasir Mas dan Tumpat mulai Jun ini bagi membantu golongan miskin tegar.

    Pengerusi Kada Tan Sri Annuar Musa berkata disasarkan 400 orang akan mendapat manfaat daripada projek itu.

    Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi membiayai projek itu dan mengarahkan Kada mengendalikan projek berkenaan di empat kawasan iaitu Bachok, Ketereh, Pasir Mas dan Tumpat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Kada di sini, pada Sabtu.

    Tawaran untuk menyertai projek itu dibuat sehingga akhir bulan ini dengan syarat peserta mestilah ahli E-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri, katanya.

    Katanya beliau sendiri akan memantau kemajuan projek itu kelak dengan melaporkannya kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar setiap dua minggu.

    "Saya sendiri akan membuat laporan kepada kementerian setiap dua minggu sekali bagi menentukan perjalanan projek lancar mengikut yang dirancang," katanya.

    Selain itu, katanya bagi membantu golongan belia, mereka akan ditawarkan untuk menjalankan aktiviti menanam sayur-sayuran di kawasan tanah tinggi mulai tahun depan.

    Katanya berkata kira-kira 30 individu berumur bawah 40 tahun akan ditawarkan bagi program itu dan mereka yang terpilih juga akan diberi latihan selama enam bulan dengan bayaran elaun RM1,000 sebulan.

    -- BERNAMA

    Konvensyen Bagi Pinda Perlembagaan BN Akhir Tahun Ini - Najib

    KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk mengadakan satu konvensyen bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu pada akhir tahun ini.

    Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pindaan perlembagaan itu adalah antara usaha untuk memantapkan parti di samping menjadikan parti BN lebih bersifat terbuka dan inklusif.

    Beliau berkata satu jawatankuasa khusus telah ditubuhkan untuk mengkaji cadangan pindaan perlembagaan itu yang akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    "Cadangan oleh jawatankuasa khusus itu akan diperhalusi oleh jawatankuasa pengurusan sebelum diluluskan oleh Dewan Tertinggi dan kemudian dibentangkan pada konvensyen nanti", katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN pertama tahun ini di sini Jumaat malam.

    Najib berkata pada konvensyen itu juga, satu dasar formal akan dibentuk bagi memberi pengiktirafan kepada tiga kumpulan yang cenderung menyokong kerajaan. Tiga kumpulan tersebut adalah individu yang hendak menyertai BN, parti-parti politik yang berminat untuk menyokong BN serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) mesra BN, katanya.

    "Kita belum ada dasar yang formal terhadap tiga kumpulan ini. Jadi, amat penting bagi kita untuk menentukan apakah dasar formal yang perlu diwujudkan supaya kumpulan yang amat minat dan menyokong BN ini dapat kita beri pengiktirafan yang sewajarnya nanti," katanya.

    Mengenai permintaan Bendahari Agung Parti Progresif Rakyat (PPP) T. Muthulingam yang mahu Perdana Menteri membantu menyelesaikan krisis dalaman parti itu, Najib menegaskan untuk tidak campur tangan dalam urusan mana-mana parti komponen BN.

    "Itu antara saya dengan Presiden PPP (Datuk M.Kayveas). Kita akan bincang apa yang patut tapi biasanya kita tidak akan campur tangan dalam urusan mana-mana parti komponen.

    "Kita harap mereka boleh selesaikan masalah mereka sendiri," katanya. Najib berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

    Katanya parti komponen lain akan berusaha membantu memantapkan BN di Sarawak dan melaksanakan program yang memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat.

    "Kita mengambil kira Sarawak perlu mengadakan pilihan raya peringkat negeri pada satu tarikh yang akan diumumkan nanti dan seperti biasa kita semua akan bantu dalam usaha memantapkan lagi kedudukan BN di Sarawak," katanya.

    Najib berkata di bawah pembangunan prasarana, satu peruntukan tambahan akan diberikan untuk melaksanakan agenda pembangunan di negeri itu dan juga di Sabah.

    Mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyelar tindakan 50 anggota Parlimen Australia untuk campur tangan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib berkata: "Nampaknya Presiden PAS amat memahami akan keadaan yang sebenarnya bahawa sebagai sebuah negara berdaulat, maka apa yang kita lakukan adalah hak kita.

    "Dan mereka dari negara lain perlu mematuhi proses perundangan dan juga peruntukan perlembagaan di mana keluhuran perlembagaan dan keadilan untuk semua serta pengasingan kuasa adalah merupakan tonggak dalam sistem perlembagaan negara dan semua negara mesti menghormatinya tanpa memperlekehkan kita dengan membuat sendaan yang tidak berasas sama sekali."

    Abdul Hadi pada Jumaat menyelar tindakan anggota parlimen Australia itu serta mahu perbicaraan kes liwat Anwar diselesaikan mengikut sistem kehakiman negara ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana anasir luar.

    Najib berkata kenyataan Hadi itu menunjukkan beliau tidak bersetuju dengan pendapat anggota Parlimen Australia itu yang mendakwa bahawa pendakwaan kes liwat terhadap Anwar adalah satu tindakan politik ataupun perbicaraan politik.

    "Kita tidak pernah bersikap sedemikian dan kita akan tentukan prinsip adil akan berlaku bagi kesemua yang terlibat termasuk dalam kes yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    "Kita akan dapat perbicaraan yang adil...itu yang akan kita boleh bagi jaminan," katanya.

    -- BERNAMA

    Projek Belum Siap Diteruskan Dalam RMK-10 - Awang Adek

    KOTA BAHARU, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua projek yang dijanjikan di Kelantan tetapi tidak sempat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihaknya tidak akan mengabaikan projek yang dijanjikan meskipun menerima projek baru dalam RMK-10.

    "Sebagai contoh di Bachok di mana kerajaan telah menjanjikan pembinaan Hospital Bachok dan Kolej Kemahiran Mara. Ia sudah diluluskan dan tanah pun sudah diambil, jadi kerajaan tidak akan membiarkan projek ini terbengkalai dan akan menyiapkannya sebagai janji kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar MYJ Basic Project di sini pada Sabtu.

    Tanpa menyebut jumlah projek yang belum dilaksanakan sepenuhnya dalam RMK-9, beliau berkata projek-projek terbabit kebanyakannya merupakan projek besar yang perlu dilaksanakan secara berperingkat dan memakan tempoh yang agak lama.

    Mengenai pemberian wang ihsan dari hasil minyak kepada rakyat Kelantan, beliau berkata ia kini dalam peringkat perincian sebelum disalurkan kepada rakyat.

    Sambil menyifatkan pemberian wang ihsan itu akan menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul sebelum ini, beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak lagi bercakap banyak sebaliknya menunggu wang itu diberikan.

    "Saya berpendapat tidak perlu cakap banyak sangat pasal wang ihsan. Kita pun sudah beri penerangan kepada rakyat, yang penting duit itu akan disalurkan secara telus kepada rakyat bagi memastikan golongan yang tidak berkemampuan di negeri ini menerima wang itu selayaknya," katanya.

    GST: Manfaat serta-merta

    PUTRAJAYA 19 Feb. - Rakyat dapat merasakan manfaat serta-merta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan menikmati harga lebih murah untuk pelbagai jenis barang.

    Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, antaranya rakyat hanya perlu membayar GST empat peratus ketika menjamu selera di restoran makanan segera berbanding cukai perkhidmatan lebih tinggi dikenakan sekarang.

    "Kos perniagaan lain juga berkurangan selepas GST menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana restoran berkenaan tidak lagi perlu membayar cukai jualan atas pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain.

    "Dengan pelaksanaan GST, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Kamariah berkata, pelaksanaan GST memberi kesan kepada penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekali gus menurunkan perbelanjaan isi rumah.

    "GST akan menurunkan IHP tetapi ini tidak bermakna IHP mesti turun selepas GST dilaksanakan kerana jatuh naik IHP turut dipengaruhi faktor lain," katanya.

    Beliau memberitahu, bukan semua harga barang akan menurun selepas GST diperkenalkan dan terdapat barang tertentu yang akan mengalami kenaikan atau kekal pada harga asal.

    Menurutnya, panduan pengguna akan diterbitkan supaya orang ramai mengetahui impak pelaksanaan GST kepada 350 jenis barang supaya peniaga menurunkan harga barang tersebut pada kadar yang sesuai.

    "Harga untuk minuman berkarbonat umpamanya akan menurun selepas GST menggantikan SST dan kami mahu peniaga menyelaraskan harga secara berpatutan," katanya.

    Kamariah berkata, kerajaan pada masa sama juga akan berbincang dan memujuk pasar raya besar di negara ini supaya mengekalkan harga lama jika harga barang berkenaan meningkat selepas GST diperkenalkan.

    "Kami meminta pasar raya menyerap perubahan harga yang disebabkan oleh pelaksanaan GST.

    "Adalah penting supaya pasar raya besar tidak menaikkan harga kerana terdapat juga peruncit yang membeli barang secara pukal daripada mereka untuk dijual semula di tempat lain," katanya.

    Kamariah berkata, pendapatan cukai kerajaan melalui GST pada kadar empat peratus adalah kurang berbanding perolehan SST lalu mendorong kerajaan mengambil langkah lain untuk menampung kekurangan yang bakal berlaku.

    Beliau menegaskan, dasar kerajaan untuk melaksanakan GST bukan bertujuan mengatasi defisit fiskal negara tetapi menyelesaikan kelemahan dalam cukai jualan dan perkhidmatan serta mempelbagai sumber pendapatan negara.

    February 11, 2010

    SPRM bantu ahli perniagaan jauhi rasuah

    KUALA LUMPUR 10 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan lebih banyak interaksi dengan masyarakat yang terlibat dalam dunia perniagaan, dalam usaha memerangi gejala rasuah di kalangan usahawan dan ahli perniagaan.

    Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, langkah itu penting bagi menyedarkan komuniti usahawan supaya mereka dapat memahami struktur perniagaan yang bersih bagi mengelak daripada terjebak dengan amalan rasuah.

    Katanya, SPRM bertanggungjawab untuk memberi sokongan serta mendidik komuniti perniagaan bagi menjalankan perniagaan secara telus, amanah dan bebas daripada budaya rasuah.

    "Sebagai contoh, jika pihak terbabit tidak memahami syarat-syarat lesen perniagaan yang telah ditetapkan, kemungkinan akan wujud pula amalan memberi dan menerima rasuah.

    "Maklum balas daripada komuniti perniagaan, khususnya kaum Cina amat penting. SPRM mahu semua pihak bersama-sama memerangi rasuah," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog dengan gabungan pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di sini hari ini.

    Turut hadir Presiden Hua Zong, Tan Sri Datuk Pheng Yin Huah serta 13 wakil Dewan Perniagaan Cina di setiap negeri.

    Antara perkara yang dibincangkan dalam dialog itu termasuk bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak, selain cadangan untuk menambah baik suruhanjaya terbabit.

    Menurut Abu Kassim, SPRM sentiasa bebas dalam prosedur operasinya yang berbeza daripada agensi sebelum ini, Badan Pencegahan Rasuah (BPR).

    "SPRM kini dalam proses menubuhkan unit khas untuk memfokuskan siasatan kes berprofil tinggi. Kes-kes tersebut biasanya berkaitan dengan sektor awam, yang mesti diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

    "Pihak suruhanjaya masih menjalankan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan BPR sebelum ini. Semua laporan berhubung rasuah yang dikemukakan kepada SPRM oleh mana-mana individu akan diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya," jelasnya.

    Sementara itu, Hua Zong berharap agar wakilnya dilantik sebagai pemerhati dalam pelbagai jawatankuasa SPRM.

    Yin Huah memberitahu, pihaknya turut memohon SPRM melantik lebih ramai kaum Cina dan India sebagai pegawai-pegawai pentadbiran, undang-undang dan tugas-tugas penterjemahan.

    Selain itu, beliau turut bimbang ekoran semakin ramai komuniti Cina dalam perniagaan terlibat dengan amalan rasuah terutama apabila ia melibatkan projek kerajaan.

    Tidak Perlu Syarat Untuk Bantu BN Majukan Perak : Muhyiddin

    KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pakatan pembangkang tidak sepatutnya mengenakan sebarang syarat untuk membantu kerajaan Barisan Nasional di Perak melaksanakan pembangunan di negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu tidak perlu kerana ianya akan menyulitkan pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.

    Malahan, katanya, amalan mengenakan syarat itu juga adalah tidak baik.

    "Usahlah kenakan apa-apa syarat. Bekerjasamalah sebagai petanda keikhlasan membantu memajukan negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bersama dengan petugas kumpulan Felda di Dewan Felda di sini pada Khamis.

    Muhyiddin berkata Perak tidak mungkin boleh maju tanpa penglibatan kedua-dua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan yang memainkan peranan masing-masing di negeri itu.

    Beliau menyeru agar semua pihak di Perak membantu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pentadbirannya meneruskan rancangan pembangunan yang telah disediakan.

    "Saya fikir, pastinya, kalau pakatan pembangkang melihat itu (rancangan pembangunan) adalah baik, harus mereka sokong. Jangan buat sesuatu yang boleh merugikan rakyat.

    "Dengan ini menunjukkan satu perubahan yang baik. Jadi, kita tidak ada banyak sangat hendak politiking'dan tumpukan pada usaha untuk nak membela rakyat di Perak," katanya.

    Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak dengan mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.

    Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pakatan pembangkang sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri BN demi kepentingan rakyat sekiranya beberapa syarat dipenuhi.

    Antara syarat yang dikenakan ialah pembangkang dibenarkan menggunakan dewan orang ramai untuk menjalankan aktiviti mereka, tidak disekat menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input dan meminta supaya wakil rakyat pembangkang diberi peruntukan untuk kerja berkaitan kebajikan rakyat.

    Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin meminta semua petugas kumpulan Felda mengambil pendekatan secara kreatif dan inovatif dalam usaha menjadikan negara lebih kompetitif dan mampu bersaing dengan negara-negara lain khususnya dalam sektor perladangan dan industri makanan.

    Katanya ini adalah selaras dengan misi Felda untuk menjadikan pengurusan Felda mencapai tahap dunia dan menjadi pelaku global di samping menjadi pengeluar hasil sawit dan getah terbaik dunia.

    "Kita menghadapi persaingan yang lebih sengit, kita berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih besar dan melihat perubahan-perubahan yang berlaku agak drastik yang memerlukan kita bukan saja peka dan prihatin tetapi juga harus mampu bertindak secepat mungkin supaya kita tidak terbawa atau dibawa oleh arus yang mungkin tidak dapat meletakkan kita pada arah tuju yang dikehendaki," kata Muhyiddin.

    -- BERNAMA

    Setuju daftar pengundi secara automatik

    KUALA LUMPUR 10 Feb. - Cadangan mendaftarkan rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun secara automatik sebagai pengundi mendapat sambutan baik daripada beberapa pertubuhan.

    Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas (Mafrel) misalnya antara mereka yang bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan pemilih secara automatik jika memenuhi syarat.

    Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jika sistem itu terbukti berkesan, pelaksanaannya akan disambut baik oleh rakyat.

    "Namun, kesahihan maklumat senarai pemilih yang didaftarkan itu mesti diutamakan agar tidak menimbulkan keraguan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengenai cadangan untuk mendaftarkan secara automatik rakyat yang berusia 21 tahun sebagai pemilih.

    Syed Ibrahim menambah, data yang diperoleh SPR dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu disaring oleh SPR termasuk parti-parti politik, badan bebas dan institut kajian pilihan raya.

    Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Azril Mohd. Amin, turut bersetuju jika sistem automatik pendaftaran pemilih diaplikasikan di negara ini.

    "Amerika Syarikat sudah lama menggunakan jalur lebar bagi urusan pendaftaran dan tidak ada masalah malah proses pengundian berjalan lancar," ujarnya.

    BN yakin mampu pertahan Perak

    KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak yakin dapat mempertahankan kedudukannya daripada undi tidak percaya yang mungkin dibawa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

    Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan, kerajaan BN yakin akan dapat mempertahankan diri walaupun majoriti hanya tiga undi.

    “Undi tidak percaya termaktub dalam perlembagaan atau undang-undang negara yang mengamalkan demokrasi di dunia ini dan ia merupakan amalan biasa.

    “Kerajaan BN yakin akan terus kekal memerintah kerana percaya kesetiaan wakil-wakil rakyat dan rakyat berdasarkan kepada apa yang dilakukan sekarang untuk memastikan Perak terus maju,” katanya.

    Zambry bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

    Mesyuarat itu diadakan di ibu negara kerana beliau mengiringi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mempengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-220 di Istana Negara.

    Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Mohammad Nizar membawa undi tidak percaya kepada beliau sekiranya mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa depan.

    Semalam, pergolakan politik di Perak yang berlarutan sejak setahun lalu ekoran perebutan jawatan Menteri Besar berakhir setelah Mahkamah Persekutuan memuktamadkan ia milik Zambry.

    Keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang menolak rayuan Mohammad Nizar.

    Katanya, pada masa ini beliau tidak ingin lagi memikirkan apa yang akan dilakukan oleh pembangkang tetapi bekerja kuat dan memberi yang terbaik kepada rakyat.

    “Saya telah buat pendirian apabila diberi tanggungjawab sebagai Menteri Besar maka akan merancang yang terbaik untuk negeri dan rakyat dengan prinsip apabila diberi amanah perlu dilaksanakan sebaik-baiknya,” kata beliau.

    Mengenai kesediaan Mohammad Nizar bekerjasama dengan beliau dengan syarat kerajaan BN Perak menyediakan peruntukan antara RM150,000 hingga RM200,000 kepada setiap ahli DUN dari pembangkang, Zambry berkata:

    “Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan pembangkang tetapi mengapa mereka hendak meletakkan syarat tertentu bagi mengadakan kerjasama?”

    Katanya, kalau hendak bekerjasama ia perlu dilakukan secara jujur tanpa perlu meletakkan pelbagai syarat.

    “Saya juga ingin menegaskan bahawa BN tidak pernah menganaktirikan kawasan yang dikuasai pembangkang.

    “Setiap kawasan menerima peruntukan sewajarnya daripada kerajaan dan akan menerima bantuan sekiranya berlaku malapetaka ataupun bencana alam.

    “Saya dan Exco kerajaan negeri sentiasa turun ke bawah memastikan rakyat mendapat bantuan sewajarnya jika berlaku bencana. Kerajaan tidak pernah menyisihkan kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang,” tegasnya.

    Berkaitan dengan beberapa kes di mahkamah yang dibawa oleh pembangkang bagi mencabar kesahihan kerajaan BN Perak, beliau memberitahu ia tidak akan menjejaskan fokus kerajaan bagi membangunkan negeri.

    Tegasnya, kes-kes itu akan dihadapi seperti mana kes bagi menentukan siapa Menteri Besar yang sah di Perak dan telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    “Kerajaan BN yakin kes-kes itu tidak akan menjejaskan kerajaan negeri sebaliknya ia akan mengukuhkan lagi kedudukan BN di Perak,” katanya.

    February 6, 2010

    Sekolah latihan nelayan di Tanjung Manis dalam RMK-10

    SIBU: Sebuah sekolah latihan nelayan akan diwujudkan di Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

    Beliau berkata, ia bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang kepada remaja di kawasan itu dan Sarawak pada keseluruhannya agar mereka dapat dilatih sebagai nelayan moden yang progresif.

    Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Sibu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur malam tadi, Noh berkata Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) di bawah kementeriannya akan membantu merangka silibus, syarat kemasukan dan maklumat lain.
    Kami akan memulakannya dalam skala kecil, kemungkinan buat permulaan melatih 80 pelajar agar dapat mengambil lebih ramai pelajar pada masa depan.

    "Objektif asasnya ialah untuk melatih remaja kita untuk menjadi nelayan yang lebih baik, berkemahiran tetapi bukan sahaja untuk meneroka laut dalam untuk menangkap tetapi kami berharap mereka akan membabitkan diri dalam kegiatan berkaitan seperti dalam industri hiliran.

    Mengenai pelabuhan laut dalam yang menelan belanja RM300 juta di Tanjung Manis yang dilawatinya sebelum itu, Noh berkata ia kurang digunakan.
    Beliau berkata, kemudahannya termasuk kawasan dermaga 400 meter, kilang pengeluaran ais, pusat penyejukan ikan dan kawasan memproses produk marin.

    Katanya, pembabitan sektor swasta amat diperlukan untuk pelabuhan itu digunakan sepenuhnya.

    "Saya telah bertemu dengan anggota dua pertubuhan nelayan iaitu Persatuan Usahawan Industri Nelayan dan Persatuan Nelayan Sarawak. Jika mereka dan sektor swasta yang lain boleh membantu, ia satu perkara yang baik," katanya. - Bernama

    Sabtu, Genap Setahun Zambry Terajui Kerajaan Perak

    IPOH, 5 Feb (Bernama) --- Selepas mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan, Sabtu genaplah setahun Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai pimpinan negeri Perak sebagai Menteri Besar.

    Bagaimanapun bagi beliau tempoh setahun itu bukan untuk diraikan atau dirayakan kerana apa yang penting bagi barisan exco yang dibentuknya adalah untuk terus memberi perkhidmatan kepada rakyat dan menguruskan pentadbiran negeri dengan sebaik-baiknya.

    "Mungkin dalam setahun ini ada perkara yang perlu diperbaiki dan ada kelemahan yang perlu diperelokkan. Ia memberi iltizam kepada kami untuk teruskan khidmat bakti kepada rakyat.

    "Itulah komitmen kami sebagai sebuah kerajaan di sebalik pelbagai perkara yang timbul, dengan tentangan yang ada, ia tidak sedikitpun menjejaskan komitmen kami untuk terus berbakti kepada negeri Perak serta memastikan pentadbiran dan pengurusan yang baik," katanya ketika dalam temubual 'Setahun Melayari Arus' dan makan malam bersama-sama pelbagai pertubuhan media di kediaman rasminya di sini baru-baru ini.

    Ketika ditanya mengenai impak terbesar yang berjaya dicapai dalam tempoh setahun memimpin kerajaan negeri, Zambry berkata beliau tidak mahu melihat impak itu hanya dari satu perspektif sahaja kerana perhatian diberikan kepada seluruh aspek kehidupan rakyat dan banyak lagi yang perlu diperbaiki.

    Zambry berkata impak yang berjaya dirasai oleh rakyat kini adalah usaha mengemaskini pentadbiran negeri supaya ia menjadi benar-benar berkesan termasuk mempercepatkan urusan berkaitan tanah seperti proses penukaran nama yang mengambil masa hanya dua jam berbanding 31 hari sebelum ini.

    "Dalam soal ekonomi pula, kita dapat merasai arus pelaburan yang pantas dan deras mengalir datang ke Perak meskipun ia dipertikaikan tetapi fakta pelaburan tidak boleh dipertikaikan. Kita tidak boleh berbohong dalam soal pelaburan ini. Kerajaan negeri telah menerima pelbagai petunjuk daripada pelabur dalam dan luar negara," katanya.

    Beliau berkata ketika menyertai lawatan Perdana Menteri ke India baru-baru ini, empat perjanjian telah ditandatangani yang melibatkan pelaburan di Perak serta lawatan misi perdagangan dan pelaburan kerajaan negeri ke Amerika Syarikat turut berjaya.

    Zambry menyifatkan pengurusan dalam menangani 'hentakan' daripada golongan yang berkepentingan politik semata-mata adalah impak yang terbesar dan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) dapat menangani krisis itu dengan sebaik mungkin untuk memastikan keamanan serta kemakmuran dapat dipelihara.

    "Bagi saya, harga yang paling besar dalam tempoh setahun ini adalah kemampuan untuk kita bersama-sama memastikan keamanan dan kemakmuran dapat terus berkekalan," katanya.

    Zambry, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, berkata bahawa sebaik sahaja diperkenankan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah sebagai Menteri Besar, beliau terus membawa pendekatan 3P -- padang, perasaan dan pengisian -- dalam konteks hubungan pemimpin dengan rakyat.

    Menerusi pendekatan 3P atau 3F (field, feel dan fill) itu, rakyat kini lebih rasa dihargai, perasaan mereka 'disantuni' dan setiap masalah yang dihadapi mereka juga semakin dipedulikan, katanya.

    Beliau berkata kerajaan negeri tidak ada masa untuk menggunakan pendekatan yang perlahan ditambah pula barisan exconya terdiri pemimpin yang berpengalaman luas dalam pentadbiran.

    "Tidak banyak masalah yang dihadapi. Dalam konteks mentadbir dalam suasana yang berlainan daripada era pentadbiran sebelum ini, ia memerlukan satu pendekatan yang lain yang perlu dipacu bersama-sama rakan yang lain," katanya.

    Mengenai penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan diberi kepada barisan exconya, Zambry berkata penilaian itu seharusnya dibuat secara objektif dan ia turut bergantung kepada rakyat yang menilai kerja mereka.

    "Mungkin saya tidak boleh beri (markah penilaian) 100 peratus kerana semua yang ada ini sedang memperbaiki. Tempoh setahun ini belum cukup mampu untuk membuat analisis yang terbaik kepada exco dan pentadbiran yang ada," katanya.

    Ketika ditanya mengenai kekuatan beliau menerajui pentadbiran negeri dalam keadaan penuh pelbagai 'drama politik' yang dimainkan oleh pembangkang serta kononnya terjadi krisis perlembagaan setelah BN dapat menerajui semula kerajaan dengan kejatuhan pakatan DAP, PKR dan PAS, Zambry berkata: "Barangkali senyuman saya".

    "Saya percaya apabila diberi amanah, saya mesti melaksanakan sebaik-baiknya kerana saya hanya ingin berkhidmat dengan sebaiknya walaupun saya tahu terpaksa berhadapan dengan cabaran yang menggunung.

    "Tetapi saya yakin jika kita mempunyai niat yang baik, kita akan laksanakan tugas itu dengan baik. Itu sahaja ramuan saya, barangkali juga saya sudah ditakdirkan berada dalam kehidupan seperti ini," katanya.

    Mengenai fokus beliau untuk masa depan negeri dan politik, Zambry berkata beliau akan memberi perkhidmatan yang terbaik dengan agenda yang telah disusun dan terus bekerja keras dengan memantapkan matlamat serta visi pembangunan negeri seperti mewujudkan institut pemikir, Institut Darul Ridzuan.

    Katanya kerajaan negeri telah mengemukakan pelan induk pembangunan negeri yang besar iaitu Perak Amanjaya yang mengandungi tujuh pendekatan utama, dan ia bukti bahawa kerajaan yang dipimpinnya tidak bermain politik.

    "Saya tidak bermain dengan retorik politik semata-mata bagi memenangi hati pengundi. Sebenarnya sebagai ahli politik kita juga berperanan dengan melihat apa yang kita mampu lakukan untuk membangunkan negeri," katanya.

    Pada 6 Feb 2009, Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11, mengambil alih daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang memegang jawatan Menteri Besar ke-10 hanya kira-kira 11 bulan.

    Sultan Azlan Shah telah menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan kerana pakatan DAP, PAS dan PKR tidak lagi mempunyai majoriti dalam dewan setelah dua wakil rakyat PKR dan seorang daripada DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN.

    -- BERNAMA

    Agensi Kerajaan Diminta Kenalpasti Golongan Berkeperluan

    KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) -- Agensi kerajaan di peringkat akar umbi di Sabah diminta mengenalpasti golongan yang berkeperluan bagi membolehkan bantuan disalur kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

    Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun berkata kerjasama daripada petugas pelbagai agensi itu terutama di peringkat akar umbi diperlukan bagi membantu usaha kerajaan memperjuangkan nasib rakyat.

    Langkah itu akan memudahkan Pejabat Kebajikan Daerah mengambil tindakan secepat mungkin bagi meringankan beban kehidupan rakyat yang kurang berkemampuan, katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Parlimen Kota Kinabalu sempena Tahun Baru Cina di sini, pada hari Sabtu.

    Azizah berkata bantuan yang diberi adalah untuk meringankan beban rakyat terutama pada masa-masa tertentu seperti musim perayaan.

    Pada majlis itu, seramai 220 orang menerima bantuan khas itu yang berjumlah lebih RM40,000.

    -- BERNAMA

    Semua 50 Klinik 1Malaysia Sudah Dibuka

    BANGI, 5 Feb (Bernama) -- Kesemua 50 klinik 1Malaysia di seluruh negara telahpun dibuka sepenuhnya 26 Jan lalu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berkata ia merupakan bukti kerajaan tidak memandang konsep 1Malaysia hanya sebagai konsep semata-mata, sebaliknya mengambil langkah-langkah proaktif untuk merealisasikannya.

    "Ini menunjukkan komitmen kerajaan kerana walaupun kita kekurangan doktor namun kita masih berusaha memberikan perkhidmatan sepenuhnya kepada rakyat," katanya pada majlis makan malam Pesta Ang Pow sempena Tahun Baru Cina di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Jumaat malam.

    Turut hadir Naib Canselor UKM Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

    Liow, yang juga alumni UKM, berkata sempena tahun baru Cina ini semua pihak diharap dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang.

    Beliau berkata rakyat perlu memahami hala tuju yang telah ditetapkan kerajaan dalam menjadikan negara sebagai negara maju dan sama-sama memberi sokongan untuk pastikan ia dicapai.

    -- BERNAMA