April 17, 2011

Kemenangan Majoriti Dua Pertiga Bermakna Kestabilan Dan Kesinambungan Untuk Sektor Perniagaan

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kemenangan majoriti dua pertiga diperoleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 semalam, bermakna kestabilan dan kesinambungan bagi sektor perniagaan dan sektor lain di negeri itu untuk lima tahun akan datang.

Ini juga bermakna kerajaan boleh meneruskan program pembangunan ekonomi demi kebaikan rakyat, khususnya insiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE) yang bakal membawa lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Di bawah SCORE, bandar seperti Tanjung Manis, Mukah, Samalaju, Baram dan Tunoh telah dipilih sebagai antara lima pusat pertumbuhan baru di Sarawak.

Mukah akan dibangunkan sebagai Bandaraya Pintar, dan akan berperanan sebagai nadi untuk SCORE, manakala Tanjung Manis akan dibangunkan sebagai Bandaraya Pelabuhan Perindustrian dan Hab Halal.

Pada masa yang sama, Samalaju akan dibangunkan sebagai Pusat Industri Berat manakala Baram dan Tunoh akan menumpukan pada pelancongan dan industri berasaskan sumber.

Sinergi antara kelima-lima pusat pertumbuhan baru itu akan memacu pembangunan dan pertumbuhan kawasan tengah Sarawak serta seluruh negeri ini secara menyeluruh.

Bagi pusat-pusat pertumbuhan sekunder untuk SCORE, kawasan seperti Semop, Balingian, Selangau, Samarakan, Bakun dan Ng Merit dekat Kapit juga akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan pusat pertumbuhan baru itu.

Sejak beberapa bulan lepas, Sarawak telah menarik banyak perhatian daripada para pelabur.

Setakat Januari 2011, dua projek dengan pelaburan berjumlah RM187.7 juta telah diluluskan, termasuk produk berasaskan logam serta industri produk berasaskan kayu.

Beberapa industri utama yang telah dikenal pasti sebagai pelaburan berpotensi di Sarawak ialah kaca, besi dan keluli, kelapa sawit, perikanan dan akuakultur, ternakan, pelancongan, kejuruteraan marin, industri berasaskan kayu, aluminium dan industri berasaskan minyak.

Menurut perunding perniagaan, Oxford Business Group, Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia, mempunyai tanah yang luas untuk pembangunan serta kaya dengan sumber asli seperti gas asli dan petroleum.

"Tetapi kerajaan malahan melihat lebih banyak potensi bagi pelaburan di negeri ini di luar kawasan tradisional ini," menurutnya.

Pada 2010, Sarawak menarik RM3.9 bilion pelaburan langsung asing dan domestik, menduduki ranking keempat di negara ini.

Antara 2006 dan 2010, Sarawak terus menduduki ranking antara lima negeri teratas di Malaysia daripada segi pelaburan, menarik sejumlah RM29.4 bilion sepanjang tempoh itu.

Pada 2010, 43 projek diluluskan di negeri ini dengan pelaburan swasta berjumlah RM3.95 bilion, dengan RM3.55 bilion atau 90.1 peratus daripadanya ialah pelaburan langsung asing (FDI) dan RM400 juta atau 9.9 peratus ialah pelaburan langsung domestik (DDI). Projek ini dijangka mewujudkan sebanyak 7,083 peluang kerja.

Mengenai FDI pada 2010, pelabur tertarik kepada produk berasaskan logam (RM2.5 bilion), produk elektronik dan elektrik (RM726 juta) produk petroleum (RM274.3 juta), pembuatan jentera (RM9.5 juta) dan peralatan pengangkutan (RM7.1 juta).

Pada pada masa yang sama, DDI menumpukan pada peralatan pengangkutan (RM94.5 juta), pengeluaran makanan (RM80.9 juta, kimia dan produk kimia (RM76.7 juta), kayu dan produk kayu (RM55.1 juta) dan produk petroleum (RM44.7 juta).

Sarawak juga sedang berkembang menjadi pusat industri teknologi tinggi. Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, di pinggir bandaraya Kuching, telah menarik beberapa syarikat pembuatan teknologi daripada rekaan semikonduktor litar sehingga ke kilang wafer silikon.

Oxford Business Group juga yakin pelbagai langkah sedang diambil untuk mempromosikan, antara lain industri berasaskan kuasa solar di kawasan perindustrian itu.

Kawasan itu direka khas untuk menempatkan industri-industri berintensif tenaga yang akan mendapat bekalan tenaga daripada empangan projek hidroelektrik Bakun di hulu Lembangan Rajang di kawasan tengah Sarawak, yang akan menyalurkan 2400-MW tenaga . Empangan Bakun dijangka menyalurkan tenaga pertamanya berjumlah 300 MW dalam tempoh dua bulan ini.

Kawasan perindustrian seluas 8,000 hektar itu akan menarik FDI dan juga DDI. Setakat ini, 10 syarikat telah diluluskan untuk melabur di Samalaju, dengan pelaburan RM6.6 bilion bagi pembuatan polisilikon, yang akan menyokong pembangunan sektor industri solar Sarawak.

Tatkala rakyat Sarawak mengimpikan masa depan lebih cerah, mereka akan mendapat rahmat daripada begitu banyak aktiviti perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan yang menanti mereka.

-- BERNAMA

BN masih jadi pilihan rakyat: Muhyiddin

 MUHYIDDIN bersalaman dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Rakyat ketika meninjau proses pengundian semalam sambil diperhati isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan calon BN kawasan Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
MUHYIDDIN bersalaman dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Rakyat ketika meninjau proses pengundian semalam sambil diperhati isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan calon BN kawasan Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
KUCHING: Barisan Nasional (BN) masih menjadi pilihan rakyat Sarawak walaupun pembangkang memberikan tentangan hebat pada pilihan raya negeri ke-10 ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas kejayaan BN memenangi dengan majoriti lebih dua pertiga, Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan itu boleh dianggap sebagai kejayaan yang cemerlang walaupun BN tewas beberapa kerusi di bandar.
“Tahniah kepada BN Sarawak dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku Pengarah Pilihan Raya BN Negeri. Kepada calon-calon yang menang, saya ucapkan selamat maju jaya. Mereka perlu menunaikan tanggungjawab yang diberikan oleh BN dan rakyat.
“Pasti ini satu manifestasi sokongan besar yang diberikan semua pengundi sehingga mereka terpilih,” katanya sambil meminta semua wakil rakyat BN yang dipilih supaya menunaikan amanah yang diberikan sebaik mungkin.
Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman Ketua Menteri Sarawak di Demak Jaya dekat sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, rakyat Sarawak membuat keputusan bijak membolehkan BN menubuhkan kerajaan dan seterusnya meningkatkan lagi taraf hidup mereka.
“Saya berpendapat dengan kemenangan ini, kerajaan negeri akan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan selari dengan usaha Kerajaan Pusat menerusi program transformasi yang kita laksanakan,” katanya.

Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, katanya, BN akan menunaikan segala janji yang dibuat di semua kawasan pada kempen pilihan raya ini selain menubuhkan jawatankuasa diketuai Ketua Menteri untuk meneliti semua keputusan dan pengumuman dipersetujui kerajaan negeri dan Pusat supaya tiada projek yang akan tertinggal.
Beliau berpendapat dengan kemenangan BN Sarawak, kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti akan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan dan bidang lain, selari dengan usaha yang dilakukan pimpinan Pusat.

Mengenai kekalahan lebih besar Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada kali ini, Muhyiddin berkata, adalah jelas trend pengundi Cina bandar yang berlaku di Semenanjung menular ke Sarawak dan BN menerima keputusan itu.

BN kembali memerintah

DETIK MANIS: Taib meraikan kejayaan BN mengekalkan kuasa setelah menang majoriti dua pertiga selepas pengumuman keputusan pilihan raya di Kuching malam tadi. Turut bersama meraikan kejayaan itu (dari kiri) Masing, Jabu, Muhyiddin dan Dr Jerip (tiga kanan).

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak memenangi pilihan raya negeri ke-10 dan berjaya membentuk kerajaan negeri dengan mengekalkan majoriti dua pertiga, sekali gus mengenepikan hasrat pakatan pembangkang yang berangan-angan ingin membentuk kerajaan negeri.

Sekali lagi pembangkang kecundang dalam usaha membentuk kerajaan yang pada awal-awal lagi telah menamakan Baru Bian sebagai calon Ketua Menteri, meskipun Baru menang di kerusi Ba’Kelalan.

Susulan kemenangan itu, kira-kira pada jam 10.30 malam tadi, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Astana.

Ini adalah penggal kelapan Taib yang juga pengerusi BN Sarawak memegang tampuk pemerintahan negeri sejak 1981.

Beliau mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan dua pencabarnya, iaitu calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin dan calon PKR Suriati Abdullah dengan majoriti 5,154 undi.

BN Sarawak yang terdiri daripada parti komponen PBB bertanding di 35 kerusi, SUPP (19), PRS (9) dan SPDP (8) menang di 55 kerusi berbanding DAP 12 kerusi, PKR 3 kerusi dan Bebas 1 kerusi. Manakala PAS tewas di lima kerusi ditandingi.

PBB di bawah pimpinan Ketua Menteri sendiri memenangi semua 35 kerusi, mengekalkan prestasi pada 2006, SUPP menang enam kerusi (12 kerusi 2006), PRS menang lapan kerusi (8 kerusi 2006) dan SPDP menang enam kerusi (8 kerusi 2006).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan gagal mempertahankan kerusi Piasau apabila tewas di tangan Ling Sie Kiong (DAP) dengan majoriti 1,590 undi.

Begitu juga Timbalan Presiden SPDP yang juga Menteri Muda Pertanian Datuk Peter Nyarok Entrie, tewas di tangan Ali Biju (PKR) dengan majoriti 2,090 undi.

Presiden SPDP Dato Sri William Mawan Ikom berjaya mempertahankan kerusi Pakan dan Presiden PRS Dato Sri Dr James Masing mengekalkan kerusi Balleh.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN masih menjadi pilihan rakyat Sarawak walaupun pembangkang memberikan tentangan hebat pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

Mengulas kejayaan BN memenangi pilihan raya negeri Sarawak dengan majoriti lebih dua pertiga, Muhyiddin berkata kejayaan itu boleh dianggap sebagai kejayaan yang cemerlang walaupun BN tewas beberapa kerusi di bandar.

“Tahniah kepada BN Sarawak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku Pengarah Pilihan Raya BN Negeri.

“Kepada calon-calon yang menang, saya ucapkan selamat maju jaya. Mereka perlu menunaikan tanggungjawab yang diberikan oleh BN dan rakyat,” katanya dalam sidang media di kediaman Ketua Menteri di sini, malam tadi.

Sementara itu, Taib dalam sidang videonya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan BN Sarawak dalam pilihan raya ini membuktikan bahawa rakyat negeri ini masih mahu kerajaan yang sedia ada untuk meneruskan kesinambungan pembangunan.

“Rakyat telah memberi mandat baru kepada BN Sarawak untuk meneruskan kesinambungan pembangunan seluruh negeri, justeru meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Pilihan raya negeri yang disifatkan orang ramai paling sengit dalam sejarah Sarawak menyaksikan penamaan calon pada 6 April, susulan DUN dibubarkan pada 21 Mac.

Keputusan rasmi terawal diumumkan SPR pada jam 6.15 petang ialah Bukit Saban yang menyaksikan kemenangan BN menerusi calonnya, Robert Lawson Chuat dari PBB, menewaskan Dayrell Walter Entrie dari SNAP dengan (641 undi) dan Jerah Engkiong Edward dari PKR (1,125 undi) dengan majoriti 2,774 undi.

Majoriti tertinggi diperolehi Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dengan 8,827 undi. Penyandang kerusi Bukit Assek menewaskan Chieng Huong Toon (BN) dan Hii Tiong Huat (Bebas) dengan memperolehi 13,527 undi.

Majoriti terendah diperolehi Datuk Lee Kim Shin (SUPP) iaitu 58 undi dengan menewaskan Michael Teo Yu Keng dari PKR.

Dalam pada itu, peratusan turun mengundi pada pilihan raya kali ini ialah 70 peratus, sebaik 1,748 pusat pengundian ditutup tepat jam 5 petang semalam.

April 10, 2011

Lawatan TPM disambut meriah

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan lawatan ke Pusat Komersil Farley di Jalan Salim, petang semalam.

Sebaik sahaja tiba dari Lapangan Terbang Sibu sekitar jam 4.25 petang, beliau terus ke Pusat Komersil Farley dan tiba di situ hampir jam 5 petang.

Ketibaan beliau disambut oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong Datuk Tiong Thai King, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee.

Beliau turut mendapat tepukan serta sorakan bergemuruh daripada masyarakat setempat yang secara kebetulan membeli-belah di pasar raya Farley.

Muhyiddin sempat bersalaman dengan orang ramai di bahagian kaki lima Farley dan meneruskan ‘walk about’ di sekitar bangunan pusat komersil tersebut.

Selepas itu, Muhyiddin sambil ditemani Tiong dan beberapa kenamaan lain turut singgah di Farley Food Court yang merupakan medan selera yang paling popular di Pusat Komersil Farley.

Di situ, beliau sempat beramah mesra dengan para pelanggan dan orang ramai yang menjamu selera di medan selera tersebut.

Beliau sempat menjamu selera di situ sambil menikmati hidangan roti canai serta beberapa hidang lain.

Muhyiddin dan para rombongannya meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk ‘walk about’ di Pusat Komersil Farley.

Selepas itu, beliau akan menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Muhajirin, Kampung Sentosa, Salim di sini sebelum menghadiri jamuan Makan Malam 1Malaysia yang diadakan di RH Hotel.

Pusat Komersil Farley dan Masjid Muhajirin di Kampung Sentosa Salim merupakan kawasan yang terletak di konsituensi Dudong.SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan lawatan ke Pusat Komersil Farley di Jalan Salim, petang semalam.

Sebaik sahaja tiba dari Lapangan Terbang Sibu sekitar jam 4.25 petang, beliau terus ke Pusat Komersil Farley dan tiba di situ hampir jam 5 petang.

Ketibaan beliau disambut oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong Datuk Tiong Thai King, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee.

Beliau turut mendapat tepukan serta sorakan bergemuruh daripada masyarakat setempat yang secara kebetulan membeli-belah di pasar raya Farley.

Muhyiddin sempat bersalaman dengan orang ramai di bahagian kaki lima Farley dan meneruskan ‘walk about’ di sekitar bangunan pusat komersil tersebut.

Selepas itu, Muhyiddin sambil ditemani Tiong dan beberapa kenamaan lain turut singgah di Farley Food Court yang merupakan medan selera yang paling popular di Pusat Komersil Farley.

Beliau beramah mesra dengan para pelanggan dan orang ramai yang menjamu selera di medan selera tersebut.

Beliau sempat menjamu selera di situ sambil menikmati hidangan roti canai serta beberapa hidangan lain.

Muhyiddin dan para rombongannya meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk ‘walk about’ di Pusat Komersil Farley.

Selepas itu, beliau akan menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Muhajirin, Kampung Sentosa, Salim di sini sebelum menghadiri jamuan Makan Malam 1Malaysia yang diadakan di RH Hotel.

Pusat Komersil Farley dan Masjid Muhajirin di Kampung Sentosa Salim merupakan kawasan yang terletak di konsituensi Dudong.

Rancangan besar satu generasi untuk S’wak: Taib

MUKAH: Rancangan besar selama satu generasi akan dilaksanakan di Sarawak kerana negeri ini mempunyai lebih 20,000 megawat elektrik yang berpotensi dihasilkan oleh beberapa loji jana kuasa hidro baharu.

Selain itu, pemilikan lebih setengah bilion stok arang batu membolehkan penjanaan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menampung keperluan semua sektor industri berat di negeri ini dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mendedahkan perkara itu semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Kampus Mukah, di sini pagi semalam.

“Kita di negeri ini merancang pembangunan sepanjang 20 tahun akan datang adalah bersandarkan kepada kebolehan mengeksploitasi potensi tenaga elektrik sehingga ke tahap maksimum.

“Oleh sebab itu, kita bina loji jana kuasa hidro Murum. Pada masa sama, kita sedang melakukan kajian kemungkinan dan teknikal terhadap dua lagi sungai berpotensi di Ulu Baram dan Pelagus,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sokongan loji jana kuasa arang batu di Matadeng, di sini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran elektrik domestik untuk sekurang-kurangnya 6,000 megawat menjelang tahun 2020.

Menyedari hakikat itu, beliau menyifatkan pembinaan UiTM Mukah sebagai persediaan terbaik dalam melahirkan lebih ramai profesional untuk memenuhi pasaran guna tenaga kerja di negeri ini pada masa depan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Balingian itu kemudian menyempurnakan pelancaran Program Mengubah Destini Anak Bangsa melibatkan 21 pelajar UiTM Mukah untuk pengambilan sesi Mei depan.

UiTM Mukah memiliki tapak seluas 500 ekar, namun hanya 63 ekar yang dimajukan untuk blok pentadbiran, akademik, perpustakaan, dewan serba guna, kuarters dan ke-mudahan sokongan dengan kos RM291 juta.

Hadir sama, isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad serta Naib Kanselor UiTM Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Berucap merasmikan bangunan baharu Gereja Sts Peter & Paul di sini, petang semalam pula Ketua Menteri meminta penduduk negeri ini menolak golongan pelampau agama yang boleh merosakkan per- paduan.

“Kehidupan bertoleransi, harmoni dan bersatu padu yang dipraktikkan penduduk negeri ini sejak sekian lama perlu dipertahankan. Jangan benarkan pelampau agama merosakkannya,” katanya.

Taib menambah, terdapat pihak tertentu yang memang suka menyaksikan penduduk negeri ini berpecah-belah untuk memudahkan mereka merealisasikan agenda berkepentingan peribadi

Undi Pos: Polis Rabu ini, tentera Rabu dan Khamis

KUCHING: Proses pengundian pos bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 akan dijalankan pada Rabu ini untuk polis, manakala tentera selama dua hari iaitu Rabu dan Khamis.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Datuk Takun Sunggah, berkata undi pos bagi pilihan raya negeri kali ini adalah bagi pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis serta pasangan mereka, pelajar di luar negara dan petugas SPR, yang semuanya berjumlah 18,363 orang.
"Undi pos akan dikeluarkan esok (ke kem-kem dan balai polis), sementara bagi pelajar di luar negara yang seramai 34 orang, kertas undi akan dihantar melalui Pos Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Buku Undi Pos di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Kuching di sini hari ini.

KUCHING: Proses pengundian pos bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 akan dijalankan pada Rabu ini untuk polis, manakala tentera selama dua hari iaitu Rabu dan Khamis.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Datuk Takun Sunggah, berkata undi pos bagi pilihan raya negeri kali ini adalah bagi pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis serta pasangan mereka, pelajar di luar negara dan petugas SPR, yang semuanya berjumlah 18,363 orang.
"Undi pos akan dikeluarkan esok (ke kem-kem dan balai polis), sementara bagi pelajar di luar negara yang seramai 34 orang, kertas undi akan dihantar melalui Pos Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Buku Undi Pos di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Kuching di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pada hari pengundian Sabtu ini, semua kertas undi akan dikira di 1,739 pusat mengundi, manakala 10 lagi pusat mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, proses mengira kertas undi akan dilakukan secara berkelompok di Balai Raya Song. "Ini kerana 10 pusat mengundi tu jauh ke dalam...jadi untuk membawa keluar mengambil masa yang lama. Jadi kita kumpulkan di satu tempat untuk memudahkan urusan mengira undi," katanya. Takun berkata jika semuanya berjalan lancar, keputusan pengundian di semua kawasan DUN akan dapat dilakukan sebelum 11 malam.
Beliau berkata setakat ini kempen pilihan raya berjalan dengan lancar, walaupun ada aduan tetapi ianya tidak serius dan telah dapat diselesaikan dengan baik.
Mengenai aduan pembangkang mengenai poster Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipasang di negeri itu sedangkan mereka bukan pemimpin parti yang bertanding, katanya walaupun mereka tidak bertanding, Najib dan Muhyiddin adalah pemimpin tertinggi parti BN yang bertanding di kesemua 71 kerusi DUN di negeri itu dan ia tidak menyalahi peraturan.
"Ia bukan satu kesalahan kerana mereka adalah pemimpin BN, yang berdaftar dengan SPR sebagai gabungan parti. Jadi poster pemimpin BN boleh dipasang di semua 71 kawasan pilihan raya.
"Ini berbeza dengan Pakatan Rakyat, mereka bukanlah satu gabungan parti yang berdaftar dengan SPR.
"Seperti DAP, mereka bertanding di 15 kawasan dan poster pemimpin mereka hanya boleh dipasang di kawasan yang mereka tandingi. Kawasan lain tidak boleh. Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun poster pemimpin mereka hanya terhad di kawasan mereka bertanding," katanya. - BERNAMA

April 3, 2011

Tindakan tegas jika ungkit isu kaum, agama ketika berceramah

KUCHING: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang mengungkit isu-isu perkauman dan keagamaan ketika menyampaikan ceramah politik sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-10 diadakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah berkata tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang ingkar selepas diberi nasihat dengan mereka boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

Justeru katanya, pasukan penguat kuasa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak akan menubuhkan pasukan bagi memantau setiap ceramah politik yang akan diadakan sepanjang tempoh berkenaan terutamanya di kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan ‘hitam’ dan ‘kelabu’.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kawasan ‘hitam’ dan ‘kelabu’ yang dimaksudkan dengan alasan mahu memudahkan kerja-kerja pemantauan.

Pasukan penguat kuasa JPNIN itu katanya, akan dibantu oleh 383 ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Sarawak.

“Walaupun tahap perpaduan di Sarawak adalah yang terbaik berbanding di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga kami akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di pejabat JPNIN Negeri di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat dengan pegawai dan kakitangan JPNIN Negeri berhubung persiapan jabatan itu menjelang pilihan raya pada 16 April ini.

Murugiah berkata semua pengerusi KRT di seluruh negeri diberi tanggungjawab untuk membuat laporan polis jika penceramah terus menyampaikan ceramah yang mengandungi sentimen perkauman dan agama selepas ditegur oleh pegawai penguat kuasa JPNIN.

Beliau berkata tindakan seumpama itu bukan bertujuan menakut-nakutkan mana-mana pihak tetapi untuk menjaga perpaduan rakyat walaupun berdasarkan pengalaman daripada beberapa pilihan raya kecil di Sarawak, suasana kempen lebih aman dan tertib berbanding di Semenanjung Malaysia yang lebih tegang serta panas.

Murugiah turut tidak menolak kemungkinan pilihan raya kali ini sedikit sengit berbanding sebelum ini dengan banyak unsur-unsur serta orang luar akan hadir seterusnya mencetuskan bermacam-macam masalah yang boleh menggugat perpaduan rakyat negeri ini khasnya dan negara amnya.

“Kami mahu membantu memastikan pilihan raya Sarawak kali ini berjalan lancar tanpa berlakunya sebarang insiden tidak diingini, dengan itu kami akan menghantar pegawai kami sebagai perisik ke lokasi-lokasi ceramah dan merekodkan setiap ceramah yang disampaikan,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa bilik gerakan di peringkat negeri, bahagian dan daerah akan dibuka bagi membolehkan maklumat pemantauan dapat disalurkan terus kepada JPNIN.

“Kami juga membekukan semua cuti kakitangan JPNIN Negeri sehingga 16 April 2011 dan semua pegawai JPNIN dan ahli-ahli KRT turun padang, sentiasa berwaspada serta sedia membantu agensi-agensi lain bagi memastikan pilihan raya negeri kali ini berjalan dengan lancar.

“Saya sendiri akan berada di Sarawak sepanjang tempoh pilihan raya ini bagi memantau situasi bersama warga JPNIN dan ahli KRT,” tambahnya.

Kepimpinan adil pasti diterima

SEJIWA SENADA: Abang Johari (tengah) ketika menghadiri Forum Perdana malam kelmarin. Turut kelihatan adalah Jumaini (dua kanan), Atei (dua kiri) dan Sharifah Hasidah (kanan).

Piagam Madinah sebagai model untuk mentadbir negeri yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, kata Abang Johari

KUCHING: Pemimpin Islam di negeri ini perlu menjadikan Piagam Madinah sebagai model untuk mentadbir negeri yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Katanya, disebabkan corak kepimpinan Rasulullah SAW yang adil dan saksama ketika itu, masyarakat Islam dan bukan Islam dapat hidup secara harmonis.

“Islam menuntut corak pemerintahan dan urus tadbir negeri yang adil.

“Seperti kita lihat Piagam Madinah semasa pemerintahan Rasulullah SAW yang patut kita jadikan model di mana masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam dapat hidup dalam suasana harmoni disebabkan kepimpinan yang adil dan efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Perdana Sejiwa Senada malam kelmarin sempena Program Sejiwa Senada yang berlangsung di Taman Sukma bermula 31 Mac dan 3 April.

Forum tersebut dipengerusikan oleh Ketua Penolong Mufti Sarawak Ustaz Mual Suaud dan terdiri daripada tiga ahli panel iaitu Datu Dr Adi Badiozaman Tuah, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dan Dr Robiah K Hamzah.

Menurutnya juga, setakat ini kepimpinan pemimpin Islam di negeri ini diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.

“Walaupun jumlah masyarakat Islam di negeri ini tidak ramai, kepimpinan pemimpin Islam dapat diterima oleh semua masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam disebabkan sistem pemerintahan yang adil,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai inti pati Sejiwa Senada, Abang Johari berkata, ia merupakan tiang untuk urus tadbir negeri yang baik.

Katanya, Sejiwa Senada bukan sahaja berkenaan hubungan sesama manusia tetapi yang lebih penting adalah hubungan dengan Tuhan.

“Sejiwa Senada adalah selari dengan tuntutan agama Islam terutama daripada segi urus tadbir negeri dan ia bukan sahaja melibatkan hubungan di antara sesama manusia tetapi hubungan manusia dengan Tuhan yang perlu senada,” katanya.

Hadir sama semalam adalah isteri Abang Johari Datin Amar Jumaini Tuanku Bujang, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Mohd Atei Abang Medaan dan penyandang kerusi Dewan Undangan negeri Semariang Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali

Kedai jual pada harga diskaun dalam kajian: Najib

Pembukaan kedai itu akan bantu rakyat hadapi inflasi dengan menjual makanan pada harga diskaun

UALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan pembukaan kedai yang menjual bahan makanan pada harga diskaun untuk dijual kepada rakyat bagi membantu rakyat menghadapi inflasi.

Perdana Menteri berkata langkah itu, untuk membantu rakyat menghadapi inflasi itu di segi bekalan di dalam negara.

Sebagai contoh, langkah meningkatkan bekalan ayam sedang diambil bagi menurunkan harga, yang dikatakan kemungkinan menurun pada bulan depan, katanya dalam satu temu bual dengan rangkaian televisyen Bloomberg di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, katanya inflasi yang diimport atau peningkatan harga makanan yang diimport akan menjadi cabaran bagi Malaysia.

“Kami juga sedang mengkaji sama ada kami boleh memperkenalkan kedai yang menjual pada harga diskaun kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Najib mengingatkan bahawa inflasi harga komoditi merupakan kebimbangan yang dihadapi di seluruh dunia, yang bermakna Malaysia “perlu mengekalkan sabsidi pada paras yang agak tinggi, yang termasuk subsidi petrol.”

“Saya juga sedang mengkaji satu inisiatif baharu untuk membantu rakyat yang berhadapan bebanan berikutan peningkatan harga.”

“Kita masih belum mencecah paras maksimum “threshold” tetapi terdapat tanda-tanda rakyat sedang merasai bebanan peningkatan harga makanan.”

“Kami perlu melihat pada pakej kerajaan serta cuba merangsang bekalan,” kata Najib.

Menyentuh mengenai kemunculan Yuan China sebagai mata wang rezab dan mata wang sebagai penyelesaian perdagangan, katanya: “Kita perlu mengekalkan dolar AS sebagai satu mata wang rezab antarabangsa paling penting. Euro juga adalah mata wang rezab yang penting walau apa pun yang berlaku di Eropah (dan) kami berkeyakinan di segi kestabilan jangka panjang mata wang euro.”

Najib menekankan bahawa Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan China, khususnya di segi hubungan ekonomi, sambil menyatakan “kami kini boleh menyelesaikan perdagangan antara kedua-dua negara kami di dalam mata wang tempatan.”

Mengenai sama ada perdagangan Malaysia menggunakan Yuan boleh digandakan, katanya ia “kemungkinan besar (boleh dilaksanakan sedemikian). Saya rasa ia merupakan langkah positif.”

Menjawab soalan mengenai usaha mengekang aliran masuk dan keluar wang panas dari negara ini, Najib berkata kerajaan sedang “memantau perkara itu dengan teliti.”

“Kami tidak mahu berlaku turun naik yang berlebihan, sama ada di dalam pasaran saham atau di segi mata wang kami. Asalkan terdapat pertumbuhan kukuh berdasarkan fundamental yang kukuh, itulah yang kami cuba capai.”

“Jadi, ia akan menjadi kombinasi pemantauan yang sangat ketat mengenai apa yang berlaku (dan) jika ia menjadi terlalu panas, saya merasakan kami akan mengambil langkah yang perlu,” katanya. — Bernama