January 29, 2010

Landskap baru sosio ekonomi negara

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang digarap hasil daripada kehendak dan harapan rakyat bakal membawa satu perubahan besar terhadap landskap sosio ekonomi negara.

Dengan berpandukan kepada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PTK akan dilaksanakan secara telus, ikhlas, penuh tanggungjawab serta komitmen yang tinggi.

Najib mengakui dalam keadaan sekarang, rakyat amat memerlukan satu bentuk gagasan seperti PTK yang boleh dijadikan momentum ke arah meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Sebagai kerajaan yang telus dengan berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban kita tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan ini selagi rakyat tidak merasai, menyentuh dan mengalaminya sendiri.

“Namun, usaha ini sudah pasti akan dinilai oleh rakyat sama ada kita benar-benar menunaikan janji atau sebaliknya. Ada risikonya dan sebagai kerajaan bertanggungjawab kita reda ditentukan oleh rakyat apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program PTK di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dihadiri oleh 5,000 orang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala.

Hadir sama, menteri-menteri yang mengetuai NKRA antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Enam NKRA itu ialah meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam.

Najib berkata, dalam menerima penilaian rakyat, kerajaan tidak terlepas daripada dilihat pencapaiannya secara lebih menyeluruh.

“Kita telah memaklumkan kepada rakyat mengenai enam NKRA. Dalam hal ini, rakyat pasti akan melihat apa pencapaian kita. Berapa kilometer jalan telah dibuat, berapa jumlah murid prasekolah, berapa jumlah golongan miskin tegar yang berjaya kita bebaskan.

“Bagaimana dengan penurunan kadar jenayah, berapa orang yang menggunakan pengangkutan awam dan bagaimana pula dengan komitmen kita memerangi rasuah. Ini semua akan dinilai oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, PTK bukannya satu gagasan baru sebaliknya ia merupakan kesinambungan misi dan visi yang telah diasaskan oleh dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Tun Mahathir dengan Wawasan 2020 manakala Tun Abdullah dengan Misi Nasionalnya. Atas sebab itu, matlamat dan objektif PTK akhirnya mencapai Wawasan 2020.

“PTK merupakan sebahagian daripada agenda kita untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi dan ia sebenarnya merupakan kesimpulan daripada hasrat rakyat dan jangkaan rakyat.

“Kita melaksanakannya bukan secara rambang tetapi berdasarkan kepada penilaian secara objektif,” katanya.

Mengenai skop PTK, Najib berkata, ia merangkumi setiap kementerian dalam kerajaan dengan memberi tumpuan terhadap perkara-perkara utama yang amat penting bagi rakyat agar sejajar dengan konsep ‘Rakyat Didahulukan’.

“Kerajaan kemudian akan melakukan perubahan-perubahan yang penting demi mendatangkan hasil yang besar dan cepat selaras dengan konsep ‘Pencapaian Diutamakan’.

“Ia bagi memastikan setiap warga Malaysia sama ada kaya atau miskin, di bandar atau di kampung, berpelajaran atau tidak berpelajaran, berkuasa atau tidak berkuasa akan menikmati hasil pembangunan negara serta tinggal dalam masyarakat pelbagai dan bersatu,” katanya.

Kata Najib, apa yang dihasratkan itu sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Najib sedar bahawa mengubah kerajaan bukan perkara mudah dan antaranya terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan serta halangan seperti sasaran tidak tercapai, inisiatif tidak mendatangkan hasil selain penolakan daripada masyarakat.

“Malah kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan keadaan yang lebih merosot atau seolah-olah semakin merosot sebelum ia menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun ada cabaran-cabaran yang tidak dapat dielakkan, kerajaan akan tetap bertahan dan berusaha mencapai matlamat.

Ubah hidup rakyat

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Transformasi Kerajaan (PTK) berpandukan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang dilaksanakan secara telus, ikhlas, penuh tanggungjawab serta komitmen yang tinggi.
  • Ia berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban dan kerajaan tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan ini selagi rakyat tidak merasai, menyentuh dan mengalaminya sendiri.
  • Enam NKRA itu ialah meluaskan akses pendidikan berkualiti. Mengurangkan kadar jenayah. Memerangi rasuah. Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah. Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman. Menambah baik pengangkutan awam.
  • January 24, 2010

    Fikirkan tentang Malaysia

    CHENNAI 23 Jan. - Semua etnik di Malaysia mempunyai sumbangan masing-masing untuk membangunkan negara dan menjadi tanggungjawab setiap daripada mereka meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya, selari dengan gagasan 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Perdana Menteri berkata, sikap saling hormat menghormati di kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama dapat menjamin sebuah negara yang selamat kerana bagi warganegara Malaysia, itulah satu-satunya negara mereka walaupun pada asalnya datang daripada pelbagai negara.

    ''Kerajaan pula mempunyai komitmen untuk membantu setiap komuniti termasuk di kalangan masyarakat India," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama komuniti Malaysia termasuk pelajar-pelajar di sini malam tadi.

    Katanya, masyarakat India di Malaysia tidak dipinggirkan sebaliknya mendapat perhatian kerajaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perkhidmatan awam.

    Menurut Najib, perkara ini turut difahami oleh pemimpin pembangkang India serta Ketua Menteri Tamil Nadu yang turut menolak pelbagai tanggapan buruk yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai layanan Malaysia ke atas masyarakat keturunan India.

    ''Justeru saya meminta supaya setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memberi komitmen untuk bersama-sama kerajaan menyumbang bagi kejayaan negara, fikirkan tentang negara kita Malaysia," katanya.

    Perdana Menteri juga menjelaskan, lawatannya ke Chennai dalam rangka lawatan rasminya ke negara India bukan disengajakan malahan ada sebab beliau memilih ke negeri Tamil Nadu itu selepas menamatkan lawatan tiga hari di New Delhi.

    Menurut Perdana Menteri, faktor pertama yang mendorong beliau ke Chennai adalah kerana 85 peratus rakyat India di Malaysia adalah dari keturunan Tamil yang datangnya dari wilayah Tamil Nadu di samping bagi memberi pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

    ''Saya harap komuniti Tamil dan India akan terus memberi sumbangan yang lebih lagi untuk masa depan Malaysia dan inilah sebabnya sejak 52 tahun lalu, tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang melawat Chennai, saya adalah yang pertama," katanya.

    Sambil berseloroh, katanya, lawatan bersejarah itu juga mungkin menyebabkan banyak poster besar beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Chennai seolah-olah akan berlangsung pilihan raya.

    Najib yang menyingkatkan lawatannya ke Chennai dan berlepas pulang malam tadi bagi menghadiri istiadat pemakaman Almarhum Sultan Johor berkata, lawatannya ke India amat bermakna dan yakin hubungan kerjasama antara Malaysia-India dapat dipertingkatkan lagi.

    ''Berdasarkan rekod, dedikasi serta latar belakang Perdana Menteri, Dr. Manmohan Singh yang mampu membangunkan ekonomi India, saya boleh bekerjasama dengan pemimpin seperti ini bagi kepentingan kedua-dua buah negara," katanya.

    Sementara itu, bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air, Perdana Menteri yang diminta mengulas pertemuannya dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, Dr. Kalaignar M.Karunanidhi petang semalam menyifatkannya sebagai sangat positif.

    ''Ketua Menteri mengalu-ngalukan lawatan saya dan ahli-ahli rombongan di samping menyatakan hasratnya supaya Malaysia dan Tamil Nadu mempunyai hubungan yang lebih kukuh melalui beberapa projek pembangunan yang boleh dilaksanakan oleh syarikat Malaysia," katanya.

    Menurut Perdana Menteri, antara projek yang boleh disertai ialah pembinaan lebuh raya dan jalan, komponen automotif, pengangkutan awam dan pembangunan kawasan di negeri itu.

    Di samping itu, melalui siasatan sendiri, Ketua Menteri itu menganggap bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat Malaysia keturunan India adalah jauh lebih baik daripada apa yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

    ''Maka adalah lebih baik kalau kita, bukan sahaja saya tetapi rakan-rakan lain dapat mengadakan lawatan seperti ini bagi menerangkan perkembangan sebenarnya," katanya.

    Perdana Menteri berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 9 malam tadi (1.30 malam waktu Malaysia) selepas menghadiri majlis makan malam itu.

    Sementara itu, dua acara terakhir yang sepatutnya dihadiri oleh Perdana Menteri iaitu Sidang Kemuncak Perkongsian 2010 dan Pameran Hartanah Malaysia di Pusat Dagangan Chennai tengah hari ini diwakili oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed. - MINGGUAN

    SPR kaji perkenal sistem pengundian awal

    KUALA LUMPUR 24 Jan. - Sistem pengundian awal yang membolehkan pengundi berdaftar mengundi lebih awal, dan dua hari sebagai tempoh bertenang mungkin diperkenalkan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

    Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya sedang mengkaji kedua-dua sistem itu yang kini dilaksanakan di beberapa negara, termasuk Thailand dan Indonesia.

    Menurut beliau, fokus utama SPR adalah untuk menggantikan konsep undi pos, sambil menambah kata apa yang telah dilaksanakan selama ini melalui undi pos sebenarnya adalah pengundian awal.

    "Hakikatnya, pada hari pilihan raya diadakan, tidak semua pengundi berdaftar yang dapat membuang undi kerana terikat dengan komitmen lain seperti telah dijadualkan bertugas pada hari tersebut dan sebagainya,” katanya.

    Wan Ahmad berkata, mereka mempunyai hak di sisi Perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka mengundi.- Bernama

    January 14, 2010

    Malaysia tandatangani MoU keselamatan dengan Arab Saudi

    JEDDAH 13 Jan. – Malaysia dan Arab Saudi akan menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama dasar keselamatan semasa lawatan rasmi Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara ini selama empat hari mulai hari ini.
    Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Mohammed Al-Saggaf berkata, ia bagi meningkatkan kerjasama dalam usaha memerangi keganasan, pengedaran dadah, pemalsuan dokumen dan jenayah merentasi sempadan.
    “Perdana Menteri yang mengetuai delegasi termasuk empat menteri dan beberapa menteri besar juga akan menghadap Penjaga Dua Masjid Suci yang juga Raja Arab Saudi, Raja Abdullah AbdulAziz Al Saud pada Sabtu,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
    Empat menteri yang menyertai delegasi kali ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil.
    Ketika di Riyadh, kata Syed Omar, Perdana Menteri juga akan menemui Putera Mahkota yang juga Timbalan Perdana Menteri Pertama Arab Saudi, Sultan Abdul Aziz Al Saudi dan Timbalan Perdana Menteri Kedua merangkap Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef Abdul Aziz Al Saud.
    “Perbincangan pemimpin kedua-dua negara akan tertumpu kepada beberapa perkara termasuk rangka kerja Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), isu serantau dan antarabangsa berkaitan kepentingan bersama,” katanya.
    Syed Omar berkata, Malaysia juga berhasrat meningkatkan kerjasama dengan Arab Saudi dalam beberapa bidang lain termasuk ekonomi, perdagangan dan teknologi maklumat.
    “Lawatan itu juga isyarat bahawa Malaysia berhasrat merapatkan lagi hubungan ahli perniagaan kedua-dua negara,” katanya.
    Beliau menjelaskan, Malaysia turut ingin menekankan peranannya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan terutama bagi pelajar dari Arab Saudi dan Asia Barat.
    Sementara itu, Najib tiba di sini kira-kira pukul 10 malam waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia).
    Pesawat khas membawa beliau bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di sini.
    Ketibaan Najib disambut Syed Omar dan pegawai-pegawai kedutaan.
    Esok Perdana Menteri akan melawat Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah sebelum bertolak ke Mekah pada sebelah malam bagi menunaikan umrah.
    Pada Jumaat, selain menunaikan solat subuh dan solat Jumaat di Masjidil Haram, Najib akan mendengar taklimat mengenai pelaburan dalam projek Jabal Omar oleh Majlis Perniagaan Malaysia, sebelum bertolak ke Riyadh.

    Pemohon ke PLKN meningkat

    KUALA LUMPUR 13 Jan. - Bilangan permohonan kemasukan sukarela Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun ini meningkat kepada 1,916 orang iaitu jumlah tertinggi sejak ia diperkenalkan pada 2004.
    Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, ia membuktikan PLKN semakin diterima dan dipercayai ibu bapa, remaja berusia 18 tahun ke atas dan masyarakat negara ini.
    Beliau berkata, pihaknya hanya meluluskan 466 permohonan berikutan beberapa kekangan seperti faktor pengurusan.
    "Sebelum ini jumlah tertinggi permohonan masuk secara sukarela hanya 800 sehingga 1,000 orang.
    "Inilah bukti rakyat semakin menerima objektif penubuhan PLKN iaitu mengukuhkan keharmonian hubungan masyarakat berbilang kaum,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
    Abdul Hadi menambah, pihaknya masih meneliti jumlah remaja yang gagal mendaftar dengan PLKN tahun ini sebelum mendakwa mereka di mahkamah selari dengan Akta Latihan Khidmat Negara.
    Kata beliau, pihaknya perlu meneliti permohonan pengecualian, penangguhan dan bertukar kumpulan oleh peserta yang terpilih.
    "Daripada 120,000 peserta tahun ini, hanya 1,503 diberi pengecualian manakala 2,604 lagi mendapat penangguhan dan sebahagian permohonan masih diteliti," jelasnya.
    Hari ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, 30,903 peserta mendaftar mengikuti siri pertama PLKN tahun ini berbanding 38,000 yang dipanggil.
    Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid ketika dihubungi memberitahu, peserta yang gagal mendaftar PLKN akan dikenakan tindakan seperti berkhidmat di pelbagai pusat kebajikan dan perlindungan.
    Katanya, tempoh maksimum kerja amal selama 240 jam yang akan dikenakan ke atas pelatih itu bukan berniat mendera mereka.
    "Sebaliknya, mereka diharap menjadi lebih positif dalam mengharungi hidup seperti peka dan bertanggungjawab kepada keadaan sekeliling selepas menjalani tempoh hukuman itu," tegasnya.

    January 10, 2010

    Muhyiddin gesa utamakan pendidikan berkualiti

    JOHOR BAHRU 9 Jan. – Semua institusi pengajian tinggi (IPT) diminta meletakkan pendidikan berkualiti sebagai produk utama ke arah mencapai kecemerlangan pengajian tinggi di negara ini.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan berkualiti merupakan petunjuk utama indeks penentu tawaran pengajian yang disediakan.

    “Bagi merealisasikan amanah kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi mencorak dan membangunkan modal insan yang berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

    Beliau berucap melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 bertema Jom Masuk U anjuran kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

    Teks ucapan Muhyiddin dibacakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

    Karnival tiga hari bermula semalam dan berakhir esok itu memberi peluang kepada orang ramai khusus nya pelajar mengetahui kursus dan program di universiti dan kolej di negara ini.

    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, modal insan berkualiti merupakan prasyarat menyokong agenda pembangunan negara dan pembangunannya perlu dilaksanakan secara komprehensif meliputi usaha meningkatkan kemahiran serta pengetahuan.

    “Selain itu, langkah juga akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif,” katanya.

    Kerajaan, katanya, komited dalam memperluaskan akses dan meningkatkan ekuiti selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang telah digariskan.

    Beliau berkata, kementerian itu bersama Kementerian Pelajaran komited merealisasikan matlamat membangunkan modal insan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya, ia dilakukan melalui pelbagai program mulai tahun ini selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

    “Keutamaan adalah mewujudkan kesejahteraan rakyat yang pelbagai lapisan tanpa mengira agama, bangsa, negeri atau gender termasuk peluang pengajian tinggi kepada yang berkelayakan serta memenuhi pelbagai kehendak termasuk masyarakat industri dan pasaran dunia,” katanya.

    Menurutnya, kerajaan juga memperuntukkan lebih RM30 bilion kepada pendidikan rendah dan menengah menerusi Bajet 2010 bagi membangunkan modal insan berkualiti.

    Peruntukan itu, katanya, termasuk membina 80 sekolah baru, membuat tambahan blok serta mengubah suai dan menaik taraf sekolah-sekolah di seluruh negara.

    Lawatan untungkan ekonomi

    LONDON 9 Jan. – Lawatan rasmi pertama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke sini mulai esok hingga Rabu ini, dijangka membawa keuntungan kepada sektor pendidikan dan ekonomi negara.

    Dalam lawatan berkenaan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran akan menyampaikan ucaptama dalam Forum Pembelajaran dan Teknologi Dunia di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II (QEIICC) di sini.

    Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya di sini memberitahu, semasa lawatan itu, Muhyiddin akan meneliti peluang bagi membolehkan guru-guru dan pegawai Malaysia meningkatkan kelayakan, kemahiran dan pengalaman melalui latihan di institusi pengajian tinggi sesuai di United Kingdom (UK).

    “Beliau juga akan meninjau usaha-usaha transformasi dan inovasi dalam pendidikan di institusi-institusi pendidikan UK.

    “Ini termasuk melawat sekolah menengah komuniti, Sunbury Manor School di London dan menemui pakar yang menggunakan teknologi virtual dalam pembelajaran,” kata kenyataan itu.

    Ia bertujuan memantapkan secara berterusan sistem pendidikan di Malaysia termasuk memperkukuhkan aspek kepimpinan pendidikan dan penggunaan teknologi terkini bagi menambah baik kualiti pendidikan dan kemahiran.

    Dalam pada itu, Muhyiddin juga akan mengadakan perjumpaan dengan para pelajar serta komuniti Malaysia di negara ini.

    Selain itu, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan sesi pertemuan pelabur-pelabur berpotensi tinggi dari UK bersama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

    Pada hari terakhir lawatannya, Muhyiddin akan ke Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) dan berjumpa penuntut Malaysia di University Oxford serta melawat Auditorium Malaysia di sana. – Mingguan

    Majukan pelancongan

    PUTRAJAYA 9 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berjaya menarik sejumlah 23.5 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM51 bilion pada tahun lalu.

    Menurut Perdana Menteri, kemasukan pelancong yang ramai itu berlaku ketika senario kadar kedatangan pelancongan di seluruh dunia menunjukkan penurunan.

    Katanya, statistik itu menunjukkan industri pelancongan negara mampu bersaing meskipun Organisasi Pelancongan Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) menjangka kedatangan pelancong menurun sebanyak lima peratus pada tahun lalu.

    Justeru katanya, bagi menyemarakkan industri tersebut pada tahun ini kerajaan memperuntukkan sejumlah RM899 juta yang antara lainnya ialah untuk meningkatkan promosi program Malaysia Rumah Keduaku.

    Selain itu ia juga untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan dan melatih lebih ramai petugas barisan hadapan di kalangan warga tempatan.

    Beliau berkata, kerajaan juga akan menggunakan sepenuhnya promosi aktiviti pelancongan berasaskan Internet dan membangunkan lebih banyak produk dan acara pelancongan.

    “Langkah kerajaan meliberalisasikan subsektor perkhidmatan termasuk pelancongan akan menggalakkan suasana perniagaan lebih kondusif sekali gus menarik pelaburan dan teknologi serta peluang pekerjaan bernilai tinggi.

    “Usaha ini dijangka mengukuhkan tahap daya saing dalam sektor berkenaan terutama industri perhotelan, restoran dan pengendali agensi dan pengusaha produk pelancongan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Pelancongan 2008/2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

    Sasaran kunjungan 19 juta orang pelancong yang ditetapkan bagi 2009 berjaya dicapai pada Oktober lalu.

    January 3, 2010

    Persatuan pengguna prihatin kesihatan rakyat

    ALOR SETAR 2 Jan. - Pendirian persatuan pengguna yang tidak menentang kenaikan 20 sen sekilogram harga gula mulai semalam tidak harus disalah tafsir sebagai tidak memperjuangkan hak pengguna di negara ini.

    Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, orang ramai harus melihat daripada sudut yang lebih penting iaitu kesihatan mereka berbanding jumlah kenaikan yang masih tidak terlalu tinggi itu.

    Katanya, kenaikan harga bahan keperluan berkenaan membuatkan pengguna berfikir dua kali sebelum mengambil gula secara berlebihan dalam minuman atau makanan mereka.

    "Kenaikan harga ini mampu menyokong kempen menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula demi kesihatan mereka.

    "Ini yang rakyat perlu buka mata dengan melihat kepada kepentingan menjaga kesihatan dan bukannya berasa terbeban dengan kenaikan harga," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

    Utusan Malaysia semalam melaporkan keputusan kerajaan menaikkan harga gula tidak ditentang persatuan-persatuan pengguna yang melihat ia sebagai peluang kepada orang ramai untuk mengurangkan pengambilan gula.

    Kelmarin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga gula kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung manakala RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak bermula semalam.

    Yusoff berkata, jika tiada wujud kesedaran mengenai kepentingan mengurangkan pengambilan gula dalam kehidupan di kalangan rakyat kenaikan harga gula akan dilihat sebagai satu bebanan kepada mereka.

    Katanya, rakyat seharusnya lebih faham mengenai bahaya pengambilan gula secara berlebihan yang boleh membawa kepada penyakit seperti diabetes dan obesiti.

    Beliau memberikan contoh Kedah antara negeri mencatat jumlah tertinggi penghidap diabetes dengan 13.6 peratus daripada jumlah penduduk yang melebihi satu juta orang menghidap penyakit itu.

    "Lebih membimbangkan sesetengah pesakit diabetes tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit berkenaan," katanya.

    Tampung kenaikan kos

    KUANTAN 2 Jan. - Peniaga termasuk pengusaha kantin sekolah disaran mengurangkan kandungan gula dalam makanan kerana tindakan itu boleh mengimbangi kenaikan harga bahan tersebut.

    Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, langkah itu bukan saja membantu peniaga mengekalkan keuntungan.

    Katanya, malah pada masa sama ia membantu mengurangkan pengambilan gula di kalangan masyarakat terutama kanak-kanak.

    Kata beliau, ibu bapa boleh mendidik anak-anak bermula sekarang supaya mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman selain peniaga tidak menjadikan alasan kenaikan harga sebanyak 20 sen sekilogram berkuat kuasa semalam, untuk menaikkan harga makanan.

    "Peniaga kena prihatin dan menjaga pelanggan mereka dalam keadaan ekonomi sekarang. Mereka boleh mengurangkan dos gula dalam makanan untuk tampung kenaikan kos.

    "Bagi pengguna pula, mesti ada perubahan minda dalam pengambilan gula pada menu harian untuk masa hadapan yang lebih sihat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Beliau mengulas pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenai kenaikan harga gula sebanyak 20 sen iaitu daripada RM1.45 sen kepada RM1.65 sekilogram berkuat kuasa semalam.

    Mohd. Firdaus berkata, PPPM menyokong kenaikan harga gula itu kerana berpendapat ia memberi manfaat kepada orang ramai dalam mengawal gejala penyakit yang ada kaitan dengan pengambilan bahan itu secara berlebihan.

    Beliau bagaimanapun tidak bersetuju jika keputusan kerajaan menaikkan harga bahan tersebut bertujuan mengawal dan mengurangkan pengambilan gula di kalangan orang ramai.

    "Tidak praktikal kalau kita naikkan harga gula semata-mata untuk kawal pengambilan gula oleh orang ramai. Jalan penyelesaian terbaik adalah orang ramai kena berubah minda," katanya.

    Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di beberapa pasar raya mendapati bekalan gula dijual pada harga ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM1.65 sekilogram dan RM3.30 untuk kampit dua kilogram.

    Tinjauan juga mendapati, bekalan gula di pasar-pasar raya terbabit mencukupi manakala orang ramai pula hanya membeli pada kadar biasa.