August 27, 2010

Lebih ramai menteri wanita

KM bayangkan untuk memberi peluang wanita isi jawatan tertinggi negeri

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayang akan terus melantik lebih ramai golongan wanita bagi mengisi jawatan tertinggi atau menteri di Sarawak.

TEKNOLOGI: Taib berkomunikasi dengan Najib pada telesidang, semalam. Turut kelihatan dari kanan Jabu, Fatimah, Hashidah dan Rosey.

TEKNOLOGI: Taib berkomunikasi dengan Najib pada telesidang, semalam. Turut kelihatan dari kanan Jabu, Fatimah, Hashidah dan Rosey.

Menurutnya, wanita di Sarawak telah banyak menyumbang terhadap perjuangan politik dan pembangunan negeri ini.

Beliau mengambil contoh mengenai pelantikan Datin Fatimah Abdullah sebagai menteri penuh, yang dibuat atas sumbangan yang diberikan.

“Sekarang ini kita dapat menunjukkan penghargaan kita menerusi pelantikan Datin Fatimah untuk menjadi menteri penuh (di Pejabat saya),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘telepersidangan’ secara langsung bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum berbuka puasa sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 1Malaysia 2010 di kediaman rasminya di Demak Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

Taib berkata, dalam masa lima tahun sahaja, Fatimah banyak menyumbang terhadap pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, katanya Fatimah juga berjaya menggalakkan ramai wanita khasnya di luar bandar untuk membangunkan industri desa.

Hasil daripada itu, katanya ramai wanita mula berkecimpung dalam industri tersebut dan menghasilkan banyak produk-produk tempatan berjenama Sarawak seperti kek lapis.

“Inilah yang mendorong saya tidak menahan hati (menunggu) pilihan raya baru untuk melantik wanita sebagai menteri,” katanya.

Najib umum duit raya RM500 bagi petugas awam dan pesara

KUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan semalam mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan. — Bernama

PM Kecewa Serangan Ke Atas Kedutaan Besar Malaysia Di Jakarta

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut melahirkan rasa kecewa atas tindakan penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melempar najis manusia ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Perdana Menteri menzahirkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet semalam, setelah beliau memberi penjelasan terhadap apa yang berlaku.

"Sudah tentu beliau amat kecewa. Perdana Menteri berpendapat adalah salah bagi mereka bertindak sedemikian. Namun beliau mempunyai keyakinan dengan pihak berkuasa Indonesia, beliau yakin terhadap Presiden (Susilo Bambang Yudhoyono) bahawa perkara ini akan diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di sini Khamis.

Anifah berkata mesyuarat Kabinet semalam sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelakkan kejadian yang sama di negara ini.

Anifah berkata Kementerian Dalam Negeri juga diminta untuk memastikan keselamatan warga Indonesia di negara ini tidak terjejas berhubung insiden itu.

Katanya Malaysia berharap Indonesia dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan "perlakuan keji" tersebut memandangkan tanah Kedutaan Besar Malaysia itu mempunyai keistimewaan dan kekebalannya sendiri sepertimana yang tertakluk mengikut Artikel 22 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Beliau berkata lebih-lebih lagi apabila Ketua Bendera itu sendiri mengakui melakukan perbuatan berkenaan dalam blognya, yang boleh dijadikan bahan bukti.

"Jika ia salah di sisi undang-undang Indonesia, saya harap tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat. Tetapi saya bukannya mahu mengajar Indonesia mengenai apa yang mereka harus lakukan mengikut undang-undang mereka. Kita menghormati," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, penunjuk perasaan daripada kumpulan Bendera dipercayai bertindak sedemikian bagi menandakan kemarahan terhadap Malaysia terutama berhubung penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malaysia baru-baru ini.

Anifah berkata Malaysia bagaimanapun tidak mengharapkan Indonesia memohon maaf terhadap kejadian yang berlaku itu, memandangkan ia hanya perbuatan segelintir pihak dan bukannya mewakili seluruh rakyat dan kerajaan Indonesia.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia juga tidak akan meminta maaf atas insiden penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia itu, walaupun benar mereka telah digari dan dipakaikan baju banduan.

"Kalau betul mereka digari dan sebagainya kita tidak meminta maaf kepada sesiapapun sebab itu adalah undang-undang negara kita, dan sesiapapun yang masuk ke negara Malaysia haruslah menghormati undang-undang Malaysia," katanya ketika diminta mengulas permintaan Parlimen Indonesia agar Malaysia meminta maaf kerana menggari dan memakaikan baju banduan kepada tiga petugas KKP itu.

Bagaimanapun, Anifah berkata beliau sedia berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak semula prosedur berkenaan sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak, memandangkan pencerobohan kawasan itu bukanlah jenayah yang berbahaya.

Dalam perkembangan lain Anifah berkata pihak media, dari kedua-dua Malaysia dan Indonesia juga harus bertanggungjawab dengan laporan masing-masing, dengan memberi laporan yang tepat berdasarkan fakta dan menjaga sensitiviti antara negara.

"Saya menyokong kebebasan media, tapi janganlah kebebasan media itu sehingga mengundang masalah yang lain. Janganlah kebebasan media itu digunakan oleh orang yang punya agenda yang lain," katanya.



-- BERNAMA

August 20, 2010

YPM Akan Terus Bantu Pelajar Miskin Dan Orang Asli Lanjut Pelajaran - Shafie Apdal

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan terus memberi biasiswa kepada pelajar bumiputera yang miskin dan Orang Asli di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran mereka di luar negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia selaras dengan komitmen YPM yang mahu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan berkenaan.

"Bantuan biasiswa pendidikan YPM ini secara langsung dapat meringankan beban dan tanggungjawab keluarga mereka yang berpendapatan rendah dan saya berharap apabila pelajar-pelajar menamatkan pengajian mereka di IPT kelak mereka akan membantu ahli keluarga untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, Orang Asli dan golongan ibu tunggal anjuran YPM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pada majlis itu, Shafie menyerahkan replika cek berjumlah RM25 juta kepada 69 pelajar yang menerima biasiswa menerusi Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi YPM untuk melanjutkan pengajian mereka.

Jumlah itu adalah bagi menanggung kos pengajian kesemua mereka selama lima tahun iaitu tiga tahun di Malaysia dan dua tahun di Jepun.

-- BERNAMA

PM janji tinggalkan negara lebih baik buat generasi muda

PUTRAJAYA 19 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjanjikan kepada generasi muda azam kerajaan untuk 'meninggalkan' sebuah negara yang lebih baik daripada apa yang diwarisi mereka dari kepimpinan lepas.

Tegas Perdana Menteri, ia menjadi tanggungjawab kerajaannya dan sebab itu, beliau tidak putus-putus melaksanakan dasar-dasar dan pendekatan untuk melakukan perubahan demi manfaat golongan itu.

Menurutnya, apabila kerajaan merangka sesuatu program, apa yang difikirkan adalah 'anda semua sebab saudara sekalian mewarisi negara kita'.

''Saya tidak percaya kita perlu kekalkan status quo melainkan untuk kekalkan status quo lebih baik.

''Saya juga tidak percaya urusan seperti biasa melainkan sesuatu yang lazim dibuat untuk diteruskan.

''Saya (turut) percaya kita perlu kekal dalam persekitaran yang pantas ini (meskipun) pada hakikatnya kita terbelakang. Sebab itu dalam perubahan yang begitu dinamik dan meluas ini, kita perlu teruskan perubahan supaya kita bersedia di hadapan arus perubahan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis berbuka puasa dengan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) di perkarangan kediaman Sri Perdana di sini, malam ini.

Seramai 1,000 pelajar termasuk kepimpinan mereka menyertai majlis itu yang turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perdana Menteri berkata, atas sebab itulah kerajaan sedang memperjuangkan Program Transformasi Negara (GTP) yang diharap akan disertai sokongan generasi muda sekarang untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

''Itulah komitmen kerajaan yang kita buat semua ini (dasar-dasar dan pendekatan) untuk generasi masa depan.

''Semua ini dilakukan bukan untuk meraih keuntungan kasar jangka pendek. Sesetengah projek semestinya bersifat jangka pendek tetapi pada asasnya ia menjangkau tempoh masa 10 tahun akan datang hingga tahun 2020," kata beliau.

Dalam aspek ini, Najib turut bertekad untuk memberikan kuasa yang lebih kepada universiti secara berperingkat-peringkat.

Demikian juga janji kerajaan untuk memberikan kuasa yang lebih kepada pelajar.

''Ini supaya kuasa itu bukan sahaja dapat digunakan secara bertanggungjawab tetapi juga demi untuk memperkayakan diri kita dalam proses pembelajaran," katanya.

Kata Perdana Menteri: ''Sebab itu gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ini merupakan falsafah yang tidak boleh dianggap retorik atau slogan semata-mata sebaliknya merupakan falsafah boleh kita jadikan landasan untuk mengikat kukuh perpaduan nasional dan semangat jati diri."

Sumber : Utusan Malaysia Online

Kerajaan Persekutuan Akan Terus Runding Dengan Selangor Mengenai Isu Air

PETALING JAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Selangor dan syarikat konsesi bagi menyelesaikan isu industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawal Selia Perkhidmatan Air, Sektor Air, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Sutekno Ahmad Belon berkata kerajaan pusat akan cuba mengusahakan agar semua pihak terbabit mendapat manfaat sewajarnya.

Masalah berpunca daripada keengganan kerajaan Selangor untuk menerima cadangan penyusunan semula oleh kerajaan pusat dan pada masa yang sama mahu cadangan mereka diterima, katanya semasa taklimat bersama penulis blog mengenai isu tersebut, di sini.

Katanya antara cadangan kerajaan pusat ialah perjanjian konsesi yang sedia ada dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dimansuh dan diganti dengan lesen.

"Turut dicadangkan agar perjanjian konsesi Splash, Puncak Niaga dan Abass dirundingkan semula dan semua operator air dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span)," katanya.

Bagaimanapun, Sutekno berkata cadangan tersebut ditolak Selangor yang mahu memastikan bekalan air negeri itu terus dikuasai kerajaan negeri seperti mana negeri-negeri lain.

Namun masalah timbul kerana Selangor tidak mempunyai kemampuan daripada segi kewangan untuk mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi air terbabit, katanya.

Sutekno berkata bagi menyelesaikan masalah kewangan mereka, kerajaan Selangor bercadang menjual aset kerajaan negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), iaitu syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan pada nilai yang tinggi dan mahu syarikat air menerima tawaran mereka.

-- BERNAMA

August 13, 2010

Tren elektrik tumpuan warga kota balik raya

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang bergerak dengan kelajuan 160 kilometer (km) sejam dan mengambil masa dua jam perjalanan Kuala Lumpur-Ipoh sekali gus menjadi pilihan terbaik kepada warga kota untuk pulang berhari raya nanti.

Selain itu, sepanjang tempoh promosi sehingga Februari tahun depan, tambang perjalanan sehala antara Kuala Lumpur dan Ipoh, RM30 seorang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata rakyat akan menikmati perkhidmatan diberikan pada masa promosi meliputi sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina akan datang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata rakyat akan menikmati perkhidmatan diberikan pada masa promosi meliputi sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina akan datang.

Selepas tempoh itu, tambang yang akan dikenakan RM45.40 seorang sehala. Kita juga mengenakan tambang istimewa kepada kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan. Bagaimanapun jumlah tambang masih dalam perbincangan dan akan diumumkan tidak lama lagi, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, menaiki tren berkenaan selepas melancarkan perkhidmatan terbaru itu di Stesen Kuala Lumpur, semalam.

Terdapat empat perkhidmatan tren disediakan setiap hari dengan dua daripadanya bermula di Stesen Kuala Lumpur Sentral manakala dua lagi memulakan perkhidmatan di Stesen Ipoh dengan keupayaan membawa 350 penumpang setiap perjalanan.

Perkhidmatan ini adalah yang terpantas yang pernah disediakan oleh KTMB. Dua jenis perkhidmatan tren ETS yang beroperasi iaitu Transit dan Ekspres. Transit yang akan berhenti di sembilan stesen manakala Ekspres akan berhenti di enam stesen, katanya.

Sumber : Berita Harian

Sarawak, Sabah hab minyak sawit S’wak, Sabah hab minyak sawit

PUTRAJAYA: Menyedari kepentingan industri minyak sawit kepada pembangunan ekonomi, Kerajaan Pusat kini memberi tumpuan dan perhatian kepada Sabah dan Sarawak untuk dibangunkan sebagai hab industri minyak sawit negara.

Berikutan itu, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu di Sabah serta Bintulu dan Tanjung Manis di Sarawak akan dimaju dan dipromosikan dengan industri berkaitan minyak sawit.

Bagi tujuan sama, sejumlah RM150 juta telah disediakan Kerajaan Persekutuan tahun lalu untuk pembangunan infrastruktur POIC Lahad Datu dan pembangunannya kini berjalan lancar.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, berkata apabila beroperasi sepenuh-nya kelak, POIC Lahad Datu diharap bukan saja menampung pemprosesan minyak sawit tempatan, tetapi juga mendapatkan sumber bahan mentah dari Kalimantan, Indonesia dan selatan Filipina.

“Apabila ia sudah dipopularkan sebagai hab, kita boleh memasarkan kelapa sawit dari Sabah, Sarawak dan barangkali juga dari Johor, terus ke pasaran dunia, sekali gus membantu menyelaraskan perbezaan harga komoditi ini di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

“Ini akan membolehkan pemasaran yang lebih efisien dan berdaya saing selain peningkatan dari segi perdagangan menerusi kerjasama dengan syarikat perkapalan dalam usaha memperluas pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temuramah eksklusif bersama Utusan Borneo, The Borneo Post dan Oriental Daily News di pejabatnya di sini, semalam.

Dompok berharap usaha menjadikan kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak sebagai hab minyak sawit dapat mewujudkan rangkaian perniagaan terus kepada pasaran global.

Sehubungan itu, katanya, POIC Lahad Datu sedang berbincang dengan Pelabuhan Rotterdam di Belanda bagi membantu mengendalikan perkhidmatan pelabuhan, seiring usaha mengangkatnya ke peringkat antarabangsa.

Katanya, dalam lawatannya ke POIC Lahad Datu baru-baru ini, beliau dimaklumkan bahawa hampir kesemua kawasan tanah di kawasan itu sudah di-meterai perjanjian pembelian dengan beberapa pelabur.

“Harapan saya dalam tempoh dua tiga bulan ini, pelan bangunan mereka akan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kerajaan sememangnya amat serius merealisasikan usaha pembangunan ini,” katanya.

Beliau berkata konsep pembangunan Pelabuhan Rotterdam boleh diaplikasi di Lahad Datu di mana kedalaman lautnya membolehkan kapal berlabuh hampir ke gudang pemprosesan.

Dompok berkata pembangunan industri sawit di Semenanjung tidak akan diketepi-kan, dan antara kawasan dimajukan termasuk di Johor.

Selain itu, katanya, kerajaan menggalakkan usaha penanaman semula kelapa sawit berikutan sejumlah 380,000 hektar dikenal pasti sebagai kelapa sawit tua di seluruh negara yang berumur mele-bihi 25 tahun.

Beliau berkata jumlah ke-luasan tanah yang boleh dimajukan dengan tanaman kelapa sawit di Semenanjung agak terhad, justeru tumpuan dan perhatian terarah kepada Sabah dan Sarawak.

Sumber : Utusan Borneo

KBS Jalin Kerjasama Dengan Locog Babitkan Pertukaran Guru Sukan - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan akan menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik London (Locog) dalam program 'International Inspiration' anjuran jawatankuasa itu.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata program itu bermatlamat memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menyertai bidang sukan.

Katanya, antara kerjasama yang akan diadakan ialah pertukaran guru-guru sukan antara kedua negara.

"Kita juga berharap dapat berkerjasama dengan Locog untuk membolehkan pelajar-pelajar kita di London menjadi sukarelawan pada Sukan Olimpik di London nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Locog Colin Moynihan di pejabatnya di sini hari Khamis.

Mengenai latihan pemain badminton negara di Pusat Latihan Prestasi Tinggi (PLPT) di Universiti of Bath, England pada 23-28 Ogos, Ahmad Shabery berkata latihan itu untuk menyesuaikan pemain dengan zon masa yang berbeza dan sebarang keadaan yang tidak dijangka.

-- BERNAMA

August 8, 2010

Rais Mahu Ketua Kampung Cari Dan Rekod Sejarah Kampung

SEREMBAN, 8 Ogos (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu semua ketua kampung di Malaysia merekodkan sejarah asal-usul kampung mereka sebelum dikutip pegawai kerajaan untuk dijadikan buku.

Beliau berkata buku itu yang akan diterbitkan untuk tatapan ramai akan memuatkan sekurang-kurangnya tiga helai mengenai sejarah asal-usul sesuatu kampung.

"Kami bercadang demikian sebab ini menarik (terbit buku) dan tidak perlu panjang-panjang misalnya satu kampung tiga muka, bagaimana ia terasas macam di Johor macam mana orang Jawa datang ke kampung yang namanya Parit Jawa, Parit Borhan dan parit-parit yang lain," katanya kepada pemberita selepas Program Merakyatkan Seni Budaya serta kerja gotong-royong mengusung wakaf di Lenggeng.

Beliau mahu setiap kampung di Malaysia termasuk kampung baru memulakan satu projek yang akan membuka cerita supaya anak muda menyintai kampung mereka sendiri dengan mencari asal-usul, bagaimana kampung itu dijenamakan, kepimpinan dan ciri-ciri masyarakatnya.

"Di Lenggeng misalnya, kita ada mendengar peranan Aishah Ghani (bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno), Shamsiah Fakeh (pemimpin komunis wanita Melayu), Mustapha Kamil Yassin (sasterawan yang menulis novel Atap Rumbia Atap Genting)," katanya.

Rais berkata setelah mereka mengetahui sejarah kampungnya, masyarakat terutama anak-anak muda sudah pasti akan menyintai dan kagum dengan kampung mereka.

Beliau berkata kementerian akan membuat satu himpunan cerita-cerita kisah kampung di samping menentukan setiap kampung, di mana boleh diwujudkan seni budaya dan ia boleh dipertandingkan nanti.

-- BERNAMA

MAS tawar 55 penerbangan tambahan ketika Hari Raya Aidilfitri, cuti sekolah

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan 55 penerbangan tambahan bermula 4 hingga 19 September ini bagi memenuhi keperluan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah.

Pengurus Besar Kanan (Strategi Komersial) MAS, Dr Amin Khan, berkata ianya termasuk empat laluan di Malaysia Barat iaitu Kota Bharu (16 penerbangan), Kuala Terengganu (3), Alor Setar (2) dan Pulau Pinang (satu penerbangan).

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan 55 penerbangan tambahan bermula 4 hingga 19 September ini bagi memenuhi keperluan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah.

Pengurus Besar Kanan (Strategi Komersial) MAS, Dr Amin Khan, berkata ianya termasuk empat laluan di Malaysia Barat iaitu Kota Bharu (16 penerbangan), Kuala Terengganu (3), Alor Setar (2) dan Pulau Pinang (satu penerbangan).
Laluan lain ialah ke Kota Kinabalu (12 penerbangan), Kuching (10), Tawau (3), Miri (3) dan Sibu (satu penerbangan).

Selain itu, MAS juga menambah dua penerbangan bagi laluan Kuching-Johor Bahru.

"Kita akan memantau permintaan dan akan menambah jumlah penerbangan jika perlu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Penumpang juga dinasihatkan membeli tiket lebih awal dan kesemua tiket bagi penerbangan tambahan tersebut boleh ditempah menerusi www.malaysiaairlines.com dan www.flymas.mobi. - Bernama

ADUN Galas semakin sihat dan sudah dibenar pulang

GUA MUSANG 8 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Che Hashim Sulaima yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu sejak 26 Julai lalu telah dibenarkan pulang.

Pegawai khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata, Che Hashim telah dibenarkan pulang ke rumahnya di sini tengah hari semalam.

"Alhamdulillah keadaan YB sudah semakin sihat dan telah dibenarkan pulang ke rumahnya di Kampung Kerinting semalam menggunakan ambulans hospital.

"YB sendiri yang memohon untuk pulang bagi berehat di rumah. Tekanan darah dan jantung YB sudah stabil dan doktor telah membenarkan YB pulang,” katanya.

Tuan Hassan berkata, mereka akan sentiasa berhubung dengan pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Pakar Perdana jika berlaku sebarang masalah selepas ini.

Che Hashim yang menghidap barah usus dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kimoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People’s Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan. – Bernama