November 18, 2008

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Mahu Harga Barangan Diturunkan

TASHKENT (Uzbekistan), 17 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu peniaga mengurangkan harga barangan agar pengguna boleh menikmati harga petrol dan diesel yang lebih murah di negara ini.

Perdana Menteri berkata masalahnya ialah harga kerana kebanyakan harga barang belum dikurangkan walaupun harga minyak di negara ini telah turun lima kali dengan yang terakhir bermula esok.

"Apabila harga minyak turun, harga barang tidak turun. Ini yang saya tidak suka dengar," kata Abdullah yang kini pada hari kedua lawatan rasmi empat hari ke negara ini memberitahu wartawan Malaysia di sini, Isnin.

Beliau berkata peniaga hanya berminat membuat keuntungan besar yang membebankan rakyat.

Harga petrol pam RM2 seliter mulai esok, kurang 15 sen sementara diesel ialah RM1.90.

Abdullah berkata kerajaan memenuhi janjinya dengan mengurangkan harga petrol pam berikutan dengan trend penurunan harga minyak global.

Bagaimanapun, kerajaan sentiasa kerugian kerana orang ramai marah dengan kerajaan apabila harga pam meningkat serta apabila pengurangan harga pam, kata beliau.

Ini, kata beliau, disebabkan harga barangan tidak kurang serentak dengan pengurangan harga pam itu.

Beliau berkata orang ramai jangan sentiasa menyalahkan kerajaan kerana sebagai pengguna, mereka juga mempunyai peranan untuk memeriksa harga barangan.

"Saya gembira mendengar bahawa sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merancang memulaukan sesetengah premis perniagaan kerana tidak mengurangkan harga barangan mereka," kata beliau.

Abdullah berharap bahawa persatuan pengguna boleh membincangkan nasib orang ramai dengan persatuan peniaga bagi meringankan beban rakyat.

Sumber-- BERNAMA

No comments: