December 16, 2008

Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi dibentang

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Kerajaan hari ini membentang Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi 2008 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bertujuan mewujudkan satu program bagi perlindungan saksi dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Rang Undang-Undang itu yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akan mewujudkan Program Perlindungan Saksi yang disenggarakan oleh Ketua Pengarah Perlindungan Saksi dan dibantu timbalannya daripada kalangan anggota perkhidmatan awam.

Menerusi Program Perlindungan Saksi, mana-mana saksi boleh memohon kepada Ketua Pengarah untuk dimasukkan ke dalam program dan ia juga boleh dikemukakan oleh sesebuah agensi penguatkuasaan.

Jika saksi di bawah usia 18 tahun, ibu atau bapa atau penjaga boleh memohon bagi pihaknya untuk dimasukkan ke dalam program dan apabila diterima suatu permohonan, Ketua Pengarah boleh memberikan perlindungan interim serta bantuan kepada saksi.

Saksi membawa maksud seseorang yang telah memberikan atau yang telah bersetuju untuk memberikan keterangan bagi pihak kerajaan dalam sesuatu prosiding jenayah.

Saksi tersebut juga perlu bersedia memberikan apa-apa maklumat, pernyataan atau bantuan kepada seseorang pegawai awam atau pegawai pihak berkuasa awam berhubung sesuatu kesalahan dan dia mungkin mengkehendaki perlindungan atau bantuan di bawah Program.

Dalam sesuatu permohonan di bawah Seksyen 7, seseorang saksi hendaklah mendedahkan kepada Ketua Pengarah butir-butir mengenai semua obligasi di sisi undang-undang saksi itu yang belum selesai.

Saksi tersebut juga perlu mendedahkan kepada Ketua Pengarah butir-butir mengenai hutang dan cukai tertunggak, sejarah jenayah saksi termasuk prosiding sivil yang telah dimulakan oleh atau terhadap saksi.

Saksi turut diminta mendedahkan butir-butir mengenai prosiding kebankrapan, status imigresen, perintah reparasi yang sedang berkuatkuasa terhadap saksi, liabiliti kewangan, aset, status perubatan, penjagaan kanak-kanak dan urusan perniagaan.

Bagi saksi yang didapati memberikan maklumat palsu pula boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah juga boleh memutuskan sama ada seseorang saksi itu layak dimasukkan ke dalam program dengan menimbangkan rekod jenayah, keputusan pemeriksaan perubatan, psikologi, keseriusan kesalahan yang dilaporkan dan kepentingan keterangan yang bakal diberi.

Ketua Pengarah juga boleh memutuskan sama ada terdapat kaedah alternatif untuk melindungi saksi, jenis bahaya yang diandaikan saksi dan hubungan saksi dengan saksi lain.

Ketua Pengarah juga boleh membuat siasatan bagi menilai sama ada saksi itu hendak disyorkan bagi dimasukkan ke dalam program.

Tiap-tiap syor oleh Ketua Pengarah supaya seorang saksi dimasukkan ke dalam program hendaklah dibuat kepada Peguam Negara.

Peguam Negara apabila menerima syor tersebut perlu memutuskan sama ada hendak memasukkan seseorang saksi itu ke dalam program dan saksi juga boleh mengemukakan rayuan jika tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Pendaftar Perlindungan Saksi pula akan diwujudkan bagi mengendalikan urusan identiti saksi, identiti baru saksi, alamat, sabitan terdahulu, tarikh kemasukan dan tarikh diberhentikan ke dalam program.

Pendaftar juga perlu menyimpan dokumen termasuk sijil kelahiran, kad pengenalan, sijil perkahwinan dan lain-lain dokumen berhubung identiti asal saksi berkenaan.

Tidak ada seorang pun yang boleh mengakses dokumen tersebut kecuali menteri, Peguam Negara, Ketua Pengarah dan mana-mana orang lain yang dibenarkan secara bertulis oleh Ketua Pengarah.

Saksi yang diletakkan di bawah di program, akan disediakan tempat tinggal, identiti baru, pengangkutan bagi urusan pemindahan, pendapatan dibayar mengikut saraan yang diterima oleh saksi, jika saksi tidak bekerja bayaran sara hidup diberi, bantuan mendapatkan pekerjaan dan pendidikan.

Sumber - Utusan

No comments: