October 4, 2009

Malaysia hantar tiga bantuan ke Padang

PEKAN 3 Okt. - Malaysia menghantar tiga bentuk bantuan kemanusiaan kepada mangsa musibah gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera Barat yang sehingga kini mengorbankan hampir 1,000 nyawa dan memusnahkan harta benda.

P erdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan tersebut adalah penghantaran 39 anggota pasukan mencari dan menyelamat Malaysia SMART ke Padang pagi ini.

Kata beliau, bantuan kedua pula penghantaran pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

''Selain itu, bantuan berupa barangan keperluan harian dan kewangan akan disalurkan yang mana ia dihantar secara berperingkat,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 190 bakal haji dalam Parlimen Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Sehingga semalam, kira-kira 770 orang terkorban dan 295 parah akibat kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda Padang, Rabu lalu.

Menurut Najib, penyaluran bantuan tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menerusi perbualan telefon dengan beliau lewat malam tadi.

''Saya telah bercakap dengan Presiden SBY (Susilo) sambil menyampaikan rasa terharu dan sedih serta takziah rakyat dan kerajaan Malaysia terhadap tragedi serta musibah yang menimpa Indonesia.

''Saya juga menyatakan Malaysia menawarkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang dan SBY telah menyambut baik dan dengan spontan menyatakan bersedia menerima apa juga bantuan daripada Malaysia," katanya.

Najib memberitahu, beliau meminta ATM mewujudkan sebuah hospital sementara di kawasan gempa bumi itu bagi menempatkan satu unit pembedahan bagi membantu mangsa bencana alam tersebut.

''Saya minta ATM sediakan hospital sementara kerana difahamkan banyak pembedahan seperti memotong tangan, kaki dan sebagainya perlu dilakukan terhadap mangsa.

''Mungkin kita akan hantar pegawai dan kakitangan hospital sementara itu ke Padang esok," katanya.

Malaysia juga akan membekalkan air bersih dan vaksin yang amat diperlukan oleh mangsa bencana alam tersebut.

Sumber : Utusan Online

No comments: