Beliau berkata polis telah menyiasat semua berita itu secara terperinci dan mendapati semua maklumat dalam berita itu adalah tidak benar.
"Perbuatan ini salah dari segi undang-undang dan memberi gambaran yang tidak tepat yang boleh mengeruhkan ketenteraman awam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh.
Beliau berkata mereka yang melakukan perbuatan itu mempunyai motif untuk mengganggu pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan esok.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.
"Kami akan terus memantau keadaan ini bagi tempoh 24 jam yang akan datang ini untuk menentukan supaya perkara ini tidak terus berlaku," kata Ismail.
Timbalan ketua polis negara itu juga memberi jaminan bahawa pasukan polis sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi apa juga keadaan pada hari pengundian esok.
Semua anggota polis yang berada di Bagan Pinang telah diberi tugasan tertentu dari sudut kawalan lalu lintas dan keselamatan di tempat mengundi dan tempat-tempat lain di mana orang ramai akan berkumpul.
"Saya dapati elemen polis telah disusun atur untuk menentukan keadaan terkawal, aman dan saya ingin memaklumkan bahawa keadaan adalah baik untuk pilihan raya kecil dijalankan dengan kerjasama semua pihak yang berkenaan," katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang luar yang tidak terlibat dalam proses pengundian supaya tidak mengambil kesempatan untuk mengganggu proses pengundian esok dan polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang engkar.
"Kita sedar kawasan Bagan Pinang ini jalan rayanya agak sempit. Oleh itu saya meminta kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan polis untuk menentukan supaya mereka yang layak mengundi saja dapat keluar melaksanakan tanggunjawab mereka untuk memilih calon mereka.
"Saya mohon kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan polis. Kita kena bekerjasama, bukan saja pihak berkuasa undang-undang tapi rakyat juga bertanggungjawab untuk menentukan proses pilihan raya kecil ini berjalan lancar," katanya.
Sumber - Bernama
No comments:
Post a Comment