October 7, 2010

Muhyiddin Mahu Peruntukan Pendidikan Vokasional Ditambah


Dari kiri: Riordan, Muhyiddin mendengar penerangan Maggie Connors (kanan) mengenai latihan kemahiran yang ditawarkan di TAFE NSW, Sydney Institute. Foto: Shaifuldin Ahmad


SYDNEY, 7 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu permohonan jumlah peruntukan bagi pendidikan vokasional dalam Bajet 2011 ditambah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengarusperdanakan pendidikan vokasional di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau tidak berpuas hati dengan jumlah peruntukan yang dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran dalam cadangan bajet bagi kementerian itu.

"Saya telah diberi taklimat mengenai program kita untuk dua tahun akan datang dan saya telah mengarahkan kementerian supaya membuat pindaan yang besar.

"Saya kurang berpuas hati dengan apa yang mereka cadangkan dalam bajet kali ini kerana peruntukan untuk vokasional nampaknya tidak mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Institut TAFE NSW di sini Khamis.

Beliau kini dalam lawatan kerja lima hari ke Sydney dan Melbourne.

Muhyiddin berharap jumlah peruntukan untuk pendidikan adalah lebih banyak daripada yang biasa diperoleh memandangkan transfomasi dalam pendidikan vokasional adalah kritikal dan perlu dilakukan segera.

Timbalan Perdana Menteri berkata transformasi mengenai latihan vokasional perlu dibuat berdasarkan keperluan industri bagi memenuhi permintaan dalam pasaran kerja.

"Kita sekarang telah memulakan transformasi untuk bangunkan bidang vokasional tapi peratusan jumlah pelajarnya masih rendah iaitu lebih kurang 10 peratus sahaja dari jumlah keseluruhan pelajar kita. Ini tidak dapat menampung keperluan tenaga mahir.

"Disebabkan itu di peringkat kementerian kita telah mula mengorak langkah untuk memasuki bidang vokasional secara besar-besaran. Sasaran kita daripada 10 peratus yang kita ada sekarang ini kita nak tambahkan kepada 20 peratus," katanya.

Muhyiddin berkata beliau kini menunggu kementerian mengemukakan laporan lengkap mengenai rancangan menstrukturkan semula pendidikan vokasional yang dijangka diserahkan kepadanya bulan depan.

Mengenai kerjasama dengan institut TAFE, beliau berkata kementerian dan pengurusan institut itu akan memperhalusi bentuk kerjasama yang dapat dijalin.

"Kita berminat berkongsi kepakaran TAFE dalam melahirkan tenaga kerja mahir terutama kerjasama yang dijalankan dengan sektor swasta dalam merangka kurikulum dan memastikan graduan menepati keperluan industri," katanya.

Ditanya kemungkinan pendidikan vokasional dimulakan lebih awal termasuk di peringkat sekolah rendah, beliau berkata perkara itu akan dikaji dengan terperinci.

"Ada pandangan kata kita mulakan dari peringkat lebih awal...kita belum buat keputusan sama ada seawal UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah rendah)," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pelajaran diberi taklimat mengenai pendidikan teknikal dan vokasional di Institut TAFE Sydney oleh Pengarah TAFE NSW David Riordan.

-- BERNAMA

No comments: