August 14, 2011

Jangan naik harga barang sesuka hati

KUCHING: Persatuan dan peniaga di negeri ini diingatkan agar tidak menaikkan harga barang secara tidak munasabah meskipun Skim Kawalan Harga musim perayaan belum dikuatkuasakan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, peniaga yang meletakkan harga tidak munasabah boleh dikenakan tindakan tegas.

“Mungkin ada kalangan peniaga misalnya makanan, menaikkan harga barangan mereka disebabkan kos eksport dan sebagainya.

“Perkara seperti itu kita faham tetapi jangan sampai membebankan pengguna dan tidak munasabah, kalau naik sikit sahaja kita faham,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pemborong, peniaga dan pengeluar serta pasar raya di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, jabatan tidak boleh mengawal harga barang kerana ia ditentukan oleh persatuan dan peniaga kecuali barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

“Sekarang ini, jabatan tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya ada di kalangan peniaga meletakkan harga mereka sendiri sebab ia dikawal oleh mereka melainkan Skim Kawalan Harga digazetkan,” tegas beliau.

Wan Ahmad berkata, jika peniaga didapati menaikkan harga barangan secara tidak munasabah, mereka akan diambil tindakan tegas dengan memberikan Notis 21.

Dalam notis berkenaan ujar beliau, peniaga dikehendaki memberi penjelasan dalam masa tujuh hari.

“Jika mereka tidak beri jawapan yang konkrit dan maklumat yang mengelirukan, kami akan ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya.

Di bawah akta berkenaan mereka yang didapati melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau akui, jabatan menerima banyak aduan berkaitan kenaikan harga barang tetapi setakat ini ia masih tidak membebankan pengguna.

“Cuma kadangkala mereka yang membeli dalam kuantiti yang banyak mungkin terasa kenaikannya.

“Kebanyakan aduan yang kami terima adalah mengenai harga telur yang tinggi,” tegasnya sambil menambah ada peniaga yang cuba menaikkan harga telur sampai RM10

No comments: