August 28, 2011

Masalah MyKad perlu disegerakan

SERIAN: Masalah MyKad di kalangan penduduk tempatan perlu diselesaikan dengan segera sebelum ia dipolitikkan oleh pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan berkata, perkara seperti ini bukan satu isu yang besar.

Ia katanya, boleh diselesaikan oleh pihak yang berkaitan dengan adanya budi bicara mengikut prosedur dan polisi yang sewajarnya.

Snowdan berkata demikian sebagai mengulas mengenai masalah MyKad yang membelenggu Grace Flavianus, 18, dari Kampung Ensebang Pelaie dan tiga ahli keluarganya yang lain.

Menurut Snowdan, kerajaan dan jabatan yang berkaitan boleh membantu menyelesaikan masalah seperti ini dalam tempoh yang lebih singkat.

“Justeru sebelum ia menjadi isu yang lebih besar dan diambil kesempatan oleh pihak pembangkang adalah lebih baik jika ia diselesaikan dengan segera,” ujarnya.

Terdahulu, Snowdan mengadakan kunjungan ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Serian bersama Grace dan ahli keluarganya termasuk ketua masyarakat dari kampungnya untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung perkara itu.

Hasil daripada perbincangan singkat itu, difahamkan terdapat percanggahan maklumat yang dinyatakan antara ahli keluarga mengenai asal usul serta latar belakang keluarga ini.

Berikutan itu, proses permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan dikatakan menjadi rumit dan menemui kebuntuan sehingga kini.

Bagaimanapun, pihak JPN difahamkan telah mengambil tindakan sewajarnya ke atas masalah ini dan memberi tempoh selama sebulan untuk Grace mendapat MyKad setelah 18 tahun hidup tanpa dokumen penting itu

No comments: