April 21, 2013

Pertandingan di semua kerusi

SOKONGAN PADU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Dato Sri Muhammad Leo Toyad (dua kiri) ke Pusat Penamaan Calon Parlimen P.213 Mukah di Dewan Suarah Mesra, Mukah semalam. BN Sarawak bertanding di kesemua 31 kawasan Parlimen pada PRU13 ini.
KUCHING: Semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini akan menyaksikan pertandingan apabila pada hari penamaan calon semalam, tidak ada calon yang diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Pada PRU12 2008, sejumlah lima kerusi dimenangi tanpa bertanding oleh Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada Parlimen Igan, Kanowit, Selangau, Tanjong Manis dan Kapit.
Lebih menarik, kali ini wujud tiga kawasan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu Parlimen Mas Gading, Santubong dan Sri Aman.
Pada PRU12, semua kerusi, selain yang menang tanpa bertanding, menyaksikan pertandingan satu lawan satu di 26 kawasan Parlimen.
Pertandingan satu lawan satu kali ini berlaku di 14 kawasan iaitu Parlimen Petra Jaya, Bandar Kuching, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjong Manis, Igan, Sarikei, Lanang, Bintulu, Sibuti, Kapit dan Limbang.
Sejumlah 14 kawasan yang lain menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu Parlimen Stampin, Mambong, Serian, Lubok Antu, Saratok, Julau, Kanowit, Sibu, Mukah, Se- langau, Hulu Rajang, Miri, Baram dan Lawas.
Pusat penamaan calon dibuka mulai jam 9 pagi dan ditutup pada 10 pagi semalam dengan pengumuman senarai calon dibuat di semua pusat pe-namaan sejurus itu.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Datu Takun Sunggah berkata, proses penamaan calon semalam berjalan lancar dan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Sepanjang proses penamaan calon, katanya, SPR tidak menerima sebarang aduan yang berkaitan dengan kesalahan semasa tempoh berkenaan.
“Malah, kita menerima semua keputusan daripada Pe-gawai-pegawai Pengurus (RO) yang bertugas di semua pusat penamaan calon pada jam 12 tengah hari.
“Kita sehingga kini tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Memandangkan tempoh berkempen sudah bermula, Takun menasihati semua pihak yang terlibat termasuk para penyokong calon agar mematuhi semua arahan semasa berkempen.
“SPR dengan ini juga meng-ajak semua pengundi untuk turun bersama-sama mengundi pada hari mengundi kelak,” katanya.
Barisan Nasional (BN) Sarawak yang terdiri daripada empat parti komponen, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bertanding di kesemua 31 kawasan Parlimen.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di 15 kerusi membabitkan Parlimen Santubong, Petra Jaya, Mambong, Batang Lupar, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Julau, Kano-wit, Selangau, Hulu Rajang, Miri, Baram dan Limbang.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula meletakkan calon di 11 kerusi, terdiri daripada Parlimen Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Lanang, Sibu, Mukah, Bintulu dan Lawas.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertanding di lima kerusi — Parlimen Kota Samarahan, Batang Sadong, Tanjong Manis, Igan dan Sibuti.
Parti Reformasi Negeri (STAR) meletakkan calon bertanding di Parlimen Mas Gading, Santubong, Stampin, Mambong, Serian, Miri dan Lawas.
Sejumlah enam kerusi pula ditandingi oleh Parti Pekerja Sarawak (SWP) merangkumi Lubok Antu, Sri Aman, Julau, Kanowit, Selangau dan Hulu Rajang.
Calon-calon yang bertanding sebagai calon Bebas, bertan-ding di Parlimen Mas Gading, Santubong, Sri Aman, Saratok, Sibu, Mukah dan Baram.
PRU13 juga menyaksikan tidak wujud pertembungan antara PKR, DAP dan PAS.
SPR menetapkan pada 5 Mei ini sebagai hari mengundi di seluruh negara.
Pada penggal Dewan Rakyat yang lepas, BN mempu-nyai 29 kerusi Parlimen di Sarawak, manakala dua lagi dimenangi DAP.

No comments: