July 31, 2009

SPR umum tarikh p'raya kecil selewat-lewat 10 Ogos

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) berkata pilihanraya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir itu dari Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

"Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini dan selepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihanraya kecil DUN berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal merupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini kerana sakit jantung.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.

Sementara itu Abdul Halim ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu sijil kematian Mohd Hamdan sebelum menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada SPR Pulau Pinang.

Beliau berkata Dewan Undangan Negeri akan bersidang selama dua hari mulai 10 Ogos ini dan Allahyarham sudah mengemukakan beberapa soalan bertulis untuk sesi kali ini.

Sumber : Malaysiakini

ADUN PAS meninggal dunia

ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pagi ini.

ADUN PAS itu meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Permatang Pasir dalam tempoh 60 hari.

Permatang Pasir - salah satu kerusi dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Dua bulan lalu, pilihanraya kecil diadakan bagi DUN Penanti - juga dalam parlimen Permatang Pauh - ekoran peletakan jawatan penyandangnya Mohamad Fairus Khairuddin.

Pilihanraya kecil itu dimenangi calon PKR Dr Mansor Othman dalam pilihanraya yang mencatatkan sejarah apabila jumlah pemilih yang keluar mengundi paling rendah ekoran Umno tidak meletakkan calonnya bertanding di situ.

Mohd Hamdan baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk pada 11 Julai lalu daripada kerajaan Pulau Pinang.

Allahyarham, pesuruhjaya PAS negeri hingga 2003, bertapak di Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999.

Sebelum menceburi politik sepenuh masa, beliau berkhidmat sebagai guru di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah pada 1965 hingga 1966, kemudian sebagai pegawai pentadbir kerajaan Kedah mulai tahun 1966 ehingga 1977.

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah sebagai pegawai pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia antara 1977 hingga 1983.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.



Sumber : Malaysiakini

July 29, 2009

Polis beri amaran batalkan perhimpunan ISA

Polis memberi amaran tegas terhadap pihak pro dan anti-ISA supaya membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini.

Ketika memberi amaran tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, , Datuk Muhammad Sabtu Osman (kiri) berkata, perhimpunan itu dikhuatiri menimbulkan ketegangan dan mengancam keselamatan awam.

Menurutnya, polis telah memanggil Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) semalam untuk memaklumkan mengenai arahan tersebut kepada mereka.

Manakala polis juga, katanya, akan bertemu dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) petang esok untuk memaklumkan perkara yang sama.

Polis juga, katanya, akan mengadakan sekatan jalanraya dua hari lebih awal dan akan menahan bas-bas disyaki membawa pesertai ke perhimpunan itu.

Sebelum ini, Pewaris dan sepuluh lagi NGO Melayu yang pro-ISA, merancang berdemonstrasi Sabtu ini di ibu negara, serentak dengan perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur petang ini, Datuk Muhammad Sabtu berkata polis mengkelaskannya sebagai satu perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Polis juga, tegasnya, akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan atau undang-undang lain sekiranya ada pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Menurutnya, pihak polis telah bersedia dengan kekuatannya untuk memfokuskan kepada perhimpunan itu jika diadakan juga.

"Polis akan mengambil tindakan berhemah, kecuali tidak ada cara lain. Polis tidak ingin melihat berlakunya kecederaan, luka atau dalam keadaan yang terdesak," tegas Datuk Muhammad Sabtu.

Ditanya sama ada polis akan membuat tangkapan awal bagi mengelak perhimpunan tersebut, beliau berkata:

"Sebagai langkah pencegahan, polis boleh mangambil tindakan awal mengikut Seksyen 105, Kanun Acara Jenayah, jika nampak niat, pergerakan walaupun sehari sebelumnya," katanya.


Sumber : Malaysiakini

Renungan Bersama : Perhimpunan haram ini bukan satu tindakan yang baik diamalkan oleh seorang rakyat Malaysia. Mereka seharusnya lebih matang dan jika ingin kerajaan memansuhkan Akta ini haruslah melalui cara yang betul dengan melalui Dewan Parlimen tetapi ini juga perlu dilihat melalui majoriti sokongan dan bantahan dan pihak yang majoritinya banyak tentunya akan menang.

July 27, 2009

Korban kedua H1N1 di Malaysia

Wabak selesema A (H1N1) memakan korban kedua - lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, 12.35 tengahari semalam.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi di hospital swasta di Subang Jaya.

Rakyat tempatan itu yang bekerja di Belgium pulang pada 4 Julai lalu mula mengalami demam serta batuk selepas bercuti bersama keluarga di Langkawi pada 13 Julai.


Si mati kemudian mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai dan pemeriksaan dada menunjukkan korban mengalami pneumonia, kata ketua pengarah kesihatan.

"Kes dirujuk ke hospital swasta yang lain di Subang Jaya pada 19 Julai untuk rawatan di unit rawatan rapi.

"Ujian sampel tekak buat pada 22 Julai dan sahkan positif influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 23 Julai," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail, daripada 49 kes terbaru hari ini, 29 kes daripadanya di sembilan gugusan penularan baru dan 13 lagi kes daripada empat gugusan sedia ada.

Tujuh kes selebihnya, termasuk satu kes kematian itu, dikelaskan sebagai kes terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) hingga kini 1,124 kes, termasuk 550 kes jangkitan tempatan.

Maklumat berkaitan kes terbaru di sembilan gugusan penyakit seakan-akan selesema (ILI) seperti berikut:

Lima kes di kalangan pelajar Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Kuala Sungai Baru, Melaka. Seramai 58 dari 1,477 orang pelatih dan kakitangan institut berkenaan dikesan mengalami gejala ILI sejak 23 Julai.

Kolej tersebut ditutup Sabtu lalu sehingga 1 Ogos.

Dua kes di SMK Batu Laut, Kuala Langat, Selangor. Terdapat 18 pelajar daripada keseluruhan 625 pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala ILI bermula dari 23 Julai.

Sekolah ini ditutup bermula Khamis lalu sehingga 30 Julai.

Empat kes melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Terdapat 282 pelajar bergejala ILI bermula 21 Julai. Universiti tersebut ditutup dengan memberikan cuti semester lebih awal sejak Sabtu lepas hingga 2 Ogos.

Tiga kes di SMK Bako, Kuching, Sarawak. Terdapat 41 orang daripada 1,549 warga sekolah mempunyai gejala ILI sejak 17 Julai. Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau kejadian ILI di sini.

Tiga kes positif di sebuah kelas di SMJK Cina Katholik, Petaling Jaya, Selangor. Terdapat empat daripada 49 pelajar mempunyai gejala ILI sejak 21 Julai.

Lima kes di SM Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor. Terdapat 59 daripada 994 pelajar dan guru mempunyai gejala ILI bermula 22 hb Julai.

Akibatnya, sekolah ini telah ditutup mulai Jumaat hingga 30 Julai.

Empat kes didapati positif di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat 23 daripada 240 pelajar asrama mempunyai gejala ILI sejak 25 Julai dan sekolah ini ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Satu kes didapati positif di SM Agama Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat enam daripada 470 warga sekolah mempunyai tanda ILI dari 25 Julai dan sekolah ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Dua kes di SM La Salle, Tanjung Aru, Sabah. Empat daripada 800 pelajar mempunyai gejala ILI dari 21 Julai.

Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau sekolah ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kementerian Pelajaran merancang mengedarkan alat mencegah jangkitan virus wabak itu ke semua sekolah, membabitkan peruntukan RM3.6 juta.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) bagi mengedarkan termometer, topeng muka dan hidung serta cecair penyahkuman.

"Ini langkah terbaik dalam usaha kementerian mencegah H1N1. Pemakaian topeng muka dan hidung serta bahan penyahkuman juga merupakan sebahagian latihan kebersihan di kalangan murid," beliau dipetik berkata selepas taklimat perkembangan H1N1 di Johor Bahru hari ini.

Sumber : Malaysiakini

Renungan Bersama : Kita hendaklah menjaga kesihatan diri pada setiap masa tidak kira kita berada di mana-mana dan sentiasa mengikuti perkembangan Virus A (H1N1) di Malaysia dan situasi global.

July 23, 2009

Kematian pertama berkaitan H1N1

Seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1) di Malaysia walaupun punca kematiannya bukan disebabkan oleh virus itu sendiri.

Pelajar itu yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mati akibat serangan jantung, kata menteri kesihatan hari ini.

Dalam kenyataan rasminya mengenai wabak tersebut, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata si mati telah pulang bercuti ke republik itu dan kembali ke negara ini pada 5 Julai lalu dan dilaporkan mengalami demam dan batuk sejak kembali bercuti tetapi simptom itu ringan.

Pada 20 Julai, pelajar itu mula demam panas, batuk serta letih, dan keesokannya mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Selepas menjalani pemeriksaan dan semasa menunggu mengambil ubat, kes tiba-tiba jatuh pengsan. Kes telah diberi bantuan kecemasan di pusat perubatan berkenaan, tetapi tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 11.50 pagi," katanya.

Liow berkata, pusat perubatan berkenaan merekodkan penyebab kematian sebagai "cardiac arrest due to ventricular fibrillation."

Bedah disiasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama mendapati si mati mempunyai badan yang gemuk, terdapat tanda-tanda radang paru-paru dan kelainan pada tisu jantung serta cairan seperti nanah pada bahagian bawah salur pernafasan.

"Ujian virologi dan bakteriologi mendapati spesimen daripada tisu paru-paru dan salurannya (si mari) adalah positif untuk virus influenza A (H1N1)," kata Liow.

"Oleh sebab keputusan-keputusan ujian bedah siasat belum diketahui sepenuhnya, penyebab kematian untuk kes ini belum dapat dimuktamadkan.

"Faktor kegemukan, tempoh sakit yang berlanjutan perlu diambil kira dalam perkara ini."

Sumber : Malaysiakini

Renungan Bersama : Jagalah kebersihan dan kesihatan diri pada setiap masa supaya kita dapat menghindari daripada dijangkiti Virus H1N1.

July 22, 2009

Perlu pertahankan peranan hakim yang bebas...

Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang dan dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Melainkan, titah baginda, terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik, titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Sultan Azlan titah demikian ketika merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, lapor Bernama.

Baginda bertitah ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau tidak berat sebelah terutama dari segi emosi dan kecenderungan.

Oleh itu, baginda mengingatkan bahawa peranan kehakiman yang profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak perlu dipertahankan.

Para hakim, titah baginda lagi, mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah.

"Dan jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut, akan berlakulah ketidakseimbangan. Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang," titah baginda.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, tidah Sultan Perak lagi, para hakim adalah terdedah kepada penilaian umum.

Menurut baginda, ini kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah yang lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai untuk menyemak sesuatu penghakiman yang dilakukan.

Sumber : Malaysiakini

Sultan Azlan: Peranan raja melebihi peruntukan perlembagaan


Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.

Peranan sebenar raja pemerintah, titah baginda, jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan.


Sultan Azlan titah demikian ketika merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, lapor Bernama.

Titah baginda, pengekalan institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa.

Sebaliknya, titah baginda, Raja mempunyai peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuh institusi demokrasi.

"Selaku ketua negara, Raja berperanan sebagi tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.

"(Ini merupakan) peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (dan) demikian juga Raja-raja Melayu yang digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.

Semangat penggubalan perlembagaan

"Ini bermakna Raja-raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang namun Beta pernah mengingkatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah perbezaan antara yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan, tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.

"Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan," titah baginda.

Baginda turut bertitah semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

"Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada orang yang memerintah mahu yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat," titah baginda.

Titah baginda telah tercapai kata muafakat bahawa setiap warga Malaysia itu terjamin diberikan perlindungan secara adil - secara saksama, terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak peribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran.

'Semangat rundingan'


Oleh itu, baginda bertitah bahawa kebimbangan peribumi perlu difahami dan untuk itu orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan.

"Pada masa yang sama orang bukan Melayu yang telah berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada Raja dan negara, yang mengamalkan sikap ,"di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung", diberikan perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, persefahaman, hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

Demi keamanan dan kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang berlandaskan kepada semangat Perlembagaan - semangat yang menghormati undang-undang serta institusi penguatkuasa undang-undang, titah baginda.

Baginda mengingatkan jika prinsip asas itu tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki.

"Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal sejarah," titah baginda.

Sumber : Malaysiakini