September 4, 2009

China lulus vaksin H1N1


BEIJING 3 Sept – China hari ini meluluskan permohonan vaksin selesema babi, vaksin pertama buatan tempatan yang dijamin berkesan oleh pengeluarnya Sinovac dengan hanya mengambil satu dos.

Keputusan itu mampu memberi kejutan kepada dunia yang sedang bergelut menangani wabak influenza A (H1N1) dengan kebanyakan pakar beranggapan setiap individu perlu mengambil dua dos vaksin bagi membendung jangkitan wabak itu.

“Vaksin H1N1 Sinovac secara rasminya telah diluluskan,” kata ketua jabatan pendaftaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Negara, Zhang Wei kepada pemberita.

“Percubaan untuk vaksin Sinovac yang telah siap menunjukkan vaksin ini adalah selamat digunakan,” kata agensi kawalan itu dalam kenyataan ringkas.

Zhang berkata, pihak SFDA sedang meneliti permohonan daripada sembilan buah syarikat pembuatan vaksin membunuh virus A (H1N1), dengan keputusan dijangka dikeluarkan pada pertengahan bulan ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sekurang-kurangnya 2,185 orang telah terkorban akibat selesema babi yang kini telah menjadi virus yang paling teruk merebak. – AFP

No comments: