September 18, 2009

RMK-10: Sarawak dapat peruntukan besar


KUCHING 17 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Perdana Menteri berkata, peruntukan yang besar itu bertujuan melaksanakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik supaya pembangunan di negeri ini selari dengan pembangunan di Semenanjung.

''Kita mahu lihat pembangunan prasarana yang lebih luas supaya jurang pembangunan di Sarawak dan Sabah dirapatkan dengan pembangunan prasarana di Semenanjung.

''Kita mahu lakukan pembaharuan yang lebih besar supaya negeri-negeri di Malaysia yang penduduknya Islam dan bukan Islam dapat menikmati kemajuan secara bersama-sama," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri Kabinet negeri, ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Najib berkata, kerajaan akan melaksanakan pembangunan yang lebih adil dan saksama kerana ajaran Islam menuntut keadilan kepada bukan sahaja umat Islam tetapi juga bukan Islam.

''Dalam surah al-Maidah, ayat kelapan, Allah memerintahkan kita berlaku adil pada semua sebab itulah ia merupakan landasan utama di bawah Konsep dan Gagasan 1Malaysia.

''1Malaysia merupakan konsep yang mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat ketika ini dan perpaduan inilah yang dapat kita zahirkan kepada satu impian, satu bangsa dan satu negara," tegas Perdana Menteri.

Beliau berkata, pada zaman ini kerajaan bukan hanya melihat kemiskinan pendapatan tetapi juga kemiskinan dari segi teknologi, ilmu, kemahiran dan semangat rohani serta jasmani.

Tambahnya, semua elemen tersebut akan terus diperjuang serta menjadi agenda kerajaan bagi memastikan rakyat di negara ini terus aman dan makmur.

''Sebab itulah sempena kita menyambut Hari Malaysia, maka sekali lagi saya sebagai ketua kerajaan ingin menyatakan bahawa kita akan membawa lebih banyak kemajuan di Sarawak ini, insya-Allah," katanya.

No comments: