March 26, 2010

Empat Ahli Parlimen Bebas cabar Karpal

Pengerusi DAP diminta perjelas pendirian 6 perkara

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen Bebas semalam mencabar Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk menyatakan pendiriannya mengenai enam perkara termasuk kedudukan agama Islam di negara ini.

Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) yang menjadi jurucakap kepada tiga lagi Ahli Parlimen Bebas iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) membuat kenyataan itu menjawab cabaran Karpal yang meminta mereka mengosongkan kerusi masing-masing. Beliau menyatakan kesediaan akur dengan permintaan Karpal sekiranya Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjawab beberapa persoalan dibangkitkannya.

“Pertama, saya mencabar Karpal untuk menjawab kenyataan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) yang menuntut supaya beliau (Karpal) meminta maaf melalui laman webnya pada 8 Mac 2010 mendesak Karpal meminta maaf kerana kenyataannya 8 Februari 2009 mempertikaikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Kedua, adakah Karpal masih berpendirian bahawa kalau mahu laksanakan Islam, langkah mayat dia dulu, apa dah jadi dengan pendiriannya... adakah badan dia dah lembik ka apa ka, ataupun dia dah jadi mayat hidup, tidak mampu mempertahankan pendirian dia.

“Saya juga mahu tahu pandangannya mengenai kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya prinsip pertama Rukun Negara dipinda daripada 'Kepercayaan kepada Tuhan' kepada ‘Kepercayaan kepada Allah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam. Turut hadir Zahrain, Tan, Mohsin.
Zulkifli juga bertanya mengapa Karpal tidak bersuara semasa Ahli Parlimen Bota, Datuk Nasharudin Hashim meninggalkan Umno bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mempersoalkan kenapa tidak menggesa Lim Guan Eng mengambil alih jawatan ketua pembangkang daripada Anwar.

Semua mereka memenangi kerusi masing-masing atas tiket PKR, tetapi kini keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Sumber : Berita Harian

No comments: