CYBERJAYA 25 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan para majikan menimbangkan pemberian tangga gaji permulaan yang sesuai untuk menarik minat pekerja tempatan terutama yang menganggur.
Perdana Menteri berkata, ini kerana salah satu aduan yang diterima kerajaan daripada pekerja warganegara ini adalah tahap gaji yang ditawarkan kepada mereka tidak menarik.
''Kalau boleh dipertimbangkan majikan, harap beri tangga gaji permulaan yang boleh memberi insentif atau tangga gaji yang sesuai untuk rakyat Malaysia yang tidak ada pekerjaan.
''Kalau beri gaji terlalu rendah, akhirnya tidak ada penawaran menyebabkan timbul desakan untuk meluluskan pekerja asing yang akan buat keputusan pilih tawaran (kerja itu) dan dengan itu tahap gaji sentiasa di tahap rendah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang video dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Jobs Malaysia (JMC) di sini hari ini.
Abdul Ghani berada di JMC Danga Bay di Iskandar Malaysia, Johor Bahru.
Perdana Menteri sebelum itu melancarkan secara serentak 11 JMC seluruh negara yang berfungsi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan mencari kerja secara online termasuk mengendalikan proses temuduga.
Menurut Najib, pendekatan JMC amat baik dalam membantu mengurangkan masalah pengangguran terutama ketika negara mengalami kegawatan ekonomi.
''Konsep ini menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang amat mesra pelanggan dan menggunakan online untuk menghubungkan pekerja dan majikan.
''Ini usaha yang amat baik tanda keprihatinan kerajaan untuk terus memperjuangkan nasib mereka yang tidak ada pekerjaan," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, hari ini sahaja seramai 2,800 orang mendaftarkan diri di JMC di Iskandar Malaysia.
''Ada 35 majikan yang turut serta dan menawarkan 700 peluang pekerjaan di peringkat universiti dan lebih 1,000 pekerjaan untuk peringkat lepasan sekolah.
''Dari segi ini, saya mengajak majikan supaya membaiki latihan sumber manusia mereka agar dapat menarik atau mengekalkan pekerja di tempat berkenaan," katanya.
Mengakhiri sidang video itu, Perdana Menteri berharap kemajuan amat pesat yang dijangkakan di Iskandar Malaysia akan memberi manfaat kepada sebahagian besar pekerja di situ yang rata-ratanya terdiri daripada rakyat Malaysia.
''Iskandar Malaysia adalah pusat pertumbuhan ekonomi yang berpotensi besar dengan pelbagai projek yang akan dilaksanakan.
''Harap ia dapat memberi contoh terbaik iaitu bukan sahaja sebagai tempat untuk menarik pelabur tetapi juga kepada kalangan pekerja rakyat Malaysia," kata beliau.
Sumber : utusan online
No comments:
Post a Comment