KUALA LUMPUR 17 Mac - Sebelas tahun telah berlalu sejak negara merangkul Piala Thomas, masanya sudah tiba untuk saat gemilang itu amat dikembalikan.
Berdasarkan prestasi semasa pasukan badminton negara, ia tidak mustahil dicapai. Apatah lagi pemain nombor satu negara dan dunia, Datuk Lee Chong Wei telah membuktikannya dengan merangkul kejuaraan berprestij All England.
Bertepatan dengan masanya, Perdana Menteri hari ini memberi tugasan baru kepada Chong Wei untuk mengetuai misi membawa balik Piala Thomas yang kejuaraannya akan berlangsung di sini, Mei ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan terbaru Chong Wei itu perlu menjadi dorongan kepada badan induk sukan badminton negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk terus melakar kejayaan terutamanya pada Piala Thomas.
"Ini satu tugasan buat BAM, khas buat (Presidennya) Datuk Nadzmi Salleh), untuk bawa balik Piala Thomas ke Malaysia," katanya.
Beliau berucap pada majlis makan tengahari meraikan kejayaan Chong Wei meraih kejuaraan All England bersama-sama anggota Parlimen di Dewan Bankuet di bangunan Parlimen hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung BAM; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Nadzmi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan jurulatih badminton perseorangan negara Datuk Misbun Sidek.
Perdana Menteri memberi jaminan akan terus memberi sokongan kepada sukan ini kerana badminton menjanjikan peluang untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 2012 di London.
Mengenai kejayaan Chong Wei itu, Najib menyifatkannya sebagai sesuatu yang amat istimewa kerana menjuarai kejohanan yang disertai oleh pemain terbaik dunia.
"Saya nak nyatakan apa yang dilakukan oleh Chong Wei dan Misbun memberi makna kepada gagasan 1Malaysia kerana kita dapat lihat hubungan mereka yang terjalin tanpa mengira keturunan tetapi boleh bersatu dan berjaya atas nama 1Malaysia, 1people 1nation (1rakyat, 1negara).
"Untuk berada di tahap tersebut Chong Wei telah berdepan pelbagai dugaan seperti diperlekeh kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia tidak bermakna kerana beliau tidak pernah memenangi kejohanan utama dunia," katanya
Perdana Menteri berharap dengan kejayaan memenangi All England akan melenyapkan cakap-cakap tersebut dan terus mara memenangi pelbagai lagi kejuaraan buat negara.
"Saya harap Chong Wei tolong pertahankan (kejuaraan All England), kita tak mahu hanya menang sekali tapi kita mahu menang banyak kali," katanya.
No comments:
Post a Comment