June 13, 2010

Kementerian Pelancongan Akan Pertingkatkan Promosi Eko- Pelancongan

XUCHANG (China), 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan akan memberi fokus terhadap usaha mempromosikan eko-pelancongan di Malaysia sebagai rancangan pembangunan pelancongan negara untuk masa akan datang, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen di sini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai lebih 1,000 spesies tumbuhan-tumbuhan berbunga yang boleh dijadikan produk pelancongan menarik.

"Sebenarnya, eko-pelancongan yang kini belum dimajukan, mempunyai potensi untuk dipasarkan memandangkan ramai pelancong Eropah begitu berminat mengunjungi ekspo taman dan bunga, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyokong idea untuk mempromosikan eko-pelancongan di Malaysia.

"Malaysia telah memenangi pingat emas melalui penyertaan sulungnya pada Pameran Bunga Chelsea 2010 yang berprestij dan ini membuktikan bahawa tumbuh-tumbuhan tropika Malaysia boleh dijadikan produk pelancongan yang menarik," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar Majlis Perbandaran Xuchang Li Ya pada Sabtu.

Ng, yang sedang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke China, mengunjungi Guang Zhou dan Zhengzhou. Sempena lawatan ini, beliau telah mengadakan dialog dengan pengusaha pelancongan tempatan dan menghadiri Forum Datuk Bandar Antarabangsa mengenai Pelancongan (IMFT) di Henan pada Jumaat.

Ng berkata Kementerian Pelancongan akan mengkaji kemungkinan Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Xuchang bagi menganjurkan lawatan ke ekspo taman dan bunga.

"Kementerian ini akan mengadakan Perarakan Bunga Antarabangsa Malaysia di Putrajaya pada 10 Julai, manakala Xuchang pula akan mengadakan festival bunga antarabangsanya pada September tahun ini.

"Ini boleh dijadikan peluang bagi kedua-dua negara untuk menganjurkan lawatan dua hala ke acara berkenaan serta menggalakkan pelancong China melawat Malaysia dan sebaliknya," kata beliau.

Ng berkata Malaysia berminat mengambil bahagian dalam festival bunga antarabangsa Xuchang bagi memperkenalkan tumbuhan berbunga yang terdapat di Malaysia kepada penduduk China.

Beliau mencadangkan kepada Li agar Xuchang mengeksport produk tembikarnya yang unik, yang dikenali sebagai tembikar Jun, ke Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai pusat perdagangan produk tembikar bagi negara anggota Asean.

Terdahulu, pada perjumpaan beliau dengan gabenor Henan Guo Gengmao, Ng mencadangkan agar Henan mempromosikan tempat bersejarah di wilayah itu kepada pelancong Malaysia, manakala Malaysia pula akan mempromosikan kepelbagaian budaya penduduknya sebagai sesuatu yang unik kepada pelancong China.

"Pertukaran idea dan cadangan selalunya boleh membantu memajukan industri pelancongan, termasuk mengenai cadangan memperkenalkan produk berbeza kepada pelancong," katanya.

Ng berkata dalam usaha memajukan industri pelancongan, negara anggota Asean dan China perlu memberi fokus terhadap usaha membentuk kerjasama, bukan untuk bersaing.

-- BERNAMA

No comments: