SEREMBAN, 8 Ogos (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu semua ketua kampung di Malaysia merekodkan sejarah asal-usul kampung mereka sebelum dikutip pegawai kerajaan untuk dijadikan buku.
Beliau berkata buku itu yang akan diterbitkan untuk tatapan ramai akan memuatkan sekurang-kurangnya tiga helai mengenai sejarah asal-usul sesuatu kampung.
"Kami bercadang demikian sebab ini menarik (terbit buku) dan tidak perlu panjang-panjang misalnya satu kampung tiga muka, bagaimana ia terasas macam di Johor macam mana orang Jawa datang ke kampung yang namanya Parit Jawa, Parit Borhan dan parit-parit yang lain," katanya kepada pemberita selepas Program Merakyatkan Seni Budaya serta kerja gotong-royong mengusung wakaf di Lenggeng.
Beliau mahu setiap kampung di Malaysia termasuk kampung baru memulakan satu projek yang akan membuka cerita supaya anak muda menyintai kampung mereka sendiri dengan mencari asal-usul, bagaimana kampung itu dijenamakan, kepimpinan dan ciri-ciri masyarakatnya.
"Di Lenggeng misalnya, kita ada mendengar peranan Aishah Ghani (bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno), Shamsiah Fakeh (pemimpin komunis wanita Melayu), Mustapha Kamil Yassin (sasterawan yang menulis novel Atap Rumbia Atap Genting)," katanya.
Rais berkata setelah mereka mengetahui sejarah kampungnya, masyarakat terutama anak-anak muda sudah pasti akan menyintai dan kagum dengan kampung mereka.
Beliau berkata kementerian akan membuat satu himpunan cerita-cerita kisah kampung di samping menentukan setiap kampung, di mana boleh diwujudkan seni budaya dan ia boleh dipertandingkan nanti.
-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment