PUTRAJAYA 19 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjanjikan kepada generasi muda azam kerajaan untuk 'meninggalkan' sebuah negara yang lebih baik daripada apa yang diwarisi mereka dari kepimpinan lepas.
Tegas Perdana Menteri, ia menjadi tanggungjawab kerajaannya dan sebab itu, beliau tidak putus-putus melaksanakan dasar-dasar dan pendekatan untuk melakukan perubahan demi manfaat golongan itu.
Menurutnya, apabila kerajaan merangka sesuatu program, apa yang difikirkan adalah 'anda semua sebab saudara sekalian mewarisi negara kita'.
''Saya tidak percaya kita perlu kekalkan status quo melainkan untuk kekalkan status quo lebih baik.
''Saya juga tidak percaya urusan seperti biasa melainkan sesuatu yang lazim dibuat untuk diteruskan.
''Saya (turut) percaya kita perlu kekal dalam persekitaran yang pantas ini (meskipun) pada hakikatnya kita terbelakang. Sebab itu dalam perubahan yang begitu dinamik dan meluas ini, kita perlu teruskan perubahan supaya kita bersedia di hadapan arus perubahan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada majlis berbuka puasa dengan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) di perkarangan kediaman Sri Perdana di sini, malam ini.
Seramai 1,000 pelajar termasuk kepimpinan mereka menyertai majlis itu yang turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Perdana Menteri berkata, atas sebab itulah kerajaan sedang memperjuangkan Program Transformasi Negara (GTP) yang diharap akan disertai sokongan generasi muda sekarang untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
''Itulah komitmen kerajaan yang kita buat semua ini (dasar-dasar dan pendekatan) untuk generasi masa depan.
''Semua ini dilakukan bukan untuk meraih keuntungan kasar jangka pendek. Sesetengah projek semestinya bersifat jangka pendek tetapi pada asasnya ia menjangkau tempoh masa 10 tahun akan datang hingga tahun 2020," kata beliau.
Dalam aspek ini, Najib turut bertekad untuk memberikan kuasa yang lebih kepada universiti secara berperingkat-peringkat.
Demikian juga janji kerajaan untuk memberikan kuasa yang lebih kepada pelajar.
''Ini supaya kuasa itu bukan sahaja dapat digunakan secara bertanggungjawab tetapi juga demi untuk memperkayakan diri kita dalam proses pembelajaran," katanya.
Kata Perdana Menteri: ''Sebab itu gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ini merupakan falsafah yang tidak boleh dianggap retorik atau slogan semata-mata sebaliknya merupakan falsafah boleh kita jadikan landasan untuk mengikat kukuh perpaduan nasional dan semangat jati diri."
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment