PUTRAJAYA: Menyedari kepentingan industri minyak sawit kepada pembangunan ekonomi, Kerajaan Pusat kini memberi tumpuan dan perhatian kepada Sabah dan Sarawak untuk dibangunkan sebagai hab industri minyak sawit negara.
Berikutan itu, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu di Sabah serta Bintulu dan Tanjung Manis di Sarawak akan dimaju dan dipromosikan dengan industri berkaitan minyak sawit.
Bagi tujuan sama, sejumlah RM150 juta telah disediakan Kerajaan Persekutuan tahun lalu untuk pembangunan infrastruktur POIC Lahad Datu dan pembangunannya kini berjalan lancar.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, berkata apabila beroperasi sepenuh-nya kelak, POIC Lahad Datu diharap bukan saja menampung pemprosesan minyak sawit tempatan, tetapi juga mendapatkan sumber bahan mentah dari Kalimantan, Indonesia dan selatan Filipina.
“Apabila ia sudah dipopularkan sebagai hab, kita boleh memasarkan kelapa sawit dari Sabah, Sarawak dan barangkali juga dari Johor, terus ke pasaran dunia, sekali gus membantu menyelaraskan perbezaan harga komoditi ini di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
“Ini akan membolehkan pemasaran yang lebih efisien dan berdaya saing selain peningkatan dari segi perdagangan menerusi kerjasama dengan syarikat perkapalan dalam usaha memperluas pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temuramah eksklusif bersama Utusan Borneo, The Borneo Post dan Oriental Daily News di pejabatnya di sini, semalam.
Dompok berharap usaha menjadikan kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak sebagai hab minyak sawit dapat mewujudkan rangkaian perniagaan terus kepada pasaran global.
Sehubungan itu, katanya, POIC Lahad Datu sedang berbincang dengan Pelabuhan Rotterdam di Belanda bagi membantu mengendalikan perkhidmatan pelabuhan, seiring usaha mengangkatnya ke peringkat antarabangsa.
Katanya, dalam lawatannya ke POIC Lahad Datu baru-baru ini, beliau dimaklumkan bahawa hampir kesemua kawasan tanah di kawasan itu sudah di-meterai perjanjian pembelian dengan beberapa pelabur.
“Harapan saya dalam tempoh dua tiga bulan ini, pelan bangunan mereka akan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kerajaan sememangnya amat serius merealisasikan usaha pembangunan ini,” katanya.
Beliau berkata konsep pembangunan Pelabuhan Rotterdam boleh diaplikasi di Lahad Datu di mana kedalaman lautnya membolehkan kapal berlabuh hampir ke gudang pemprosesan.
Dompok berkata pembangunan industri sawit di Semenanjung tidak akan diketepi-kan, dan antara kawasan dimajukan termasuk di Johor.
Selain itu, katanya, kerajaan menggalakkan usaha penanaman semula kelapa sawit berikutan sejumlah 380,000 hektar dikenal pasti sebagai kelapa sawit tua di seluruh negara yang berumur mele-bihi 25 tahun.
Beliau berkata jumlah ke-luasan tanah yang boleh dimajukan dengan tanaman kelapa sawit di Semenanjung agak terhad, justeru tumpuan dan perhatian terarah kepada Sabah dan Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment