Pengurus Besar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan PETRONAS, Datuk Mohammad Medan Abdullah, berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Miri, Sarawak pada Julai 2010 itu bertujuan membantu 5,000 keluarga miskin di seluruh negara.
Katanya, jumlah penerima sumbangan itu bagaimanapun ditambah kepada 3,000 keluarga lagi di kawasan operasi PETRONAS di Kedah dan Perlis.
“Sejak program itu dilaksanakan, penerima yang dikenal pasti mendapat sumbangan bulanan dalam bentuk makanan asas seperti beras, gula dan minyak masak.
Dapat bimbingan
“Di samping itu, ahli keluarga penerima diberi bimbingan mengenai pengurusan kewangan berhemah dan latihan kemahiran untuk memperbaiki taraf hidup masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran program peringkat Kedah, di Kompleks Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, di sini, semalam.
Menerusi program itu, perbelanjaan harian 1,500 keluarga miskin dan kurang berkemampuan di negeri ini dapat dikurangkan selepas terpilih menerima bantuan bulanan.
Pada majlis itu, Mohammad Medan menyampaikan hamper kepada 100 keluarga kurang berkemampuan di sini dan Gurun.
Ringankan beban
Seorang penerima sumbangan, Siti Aishah Lat, 64, dari Sungai Layar di sini gembira dan bersyukur kerana bantuan yang disampaikan PETRONAS dengan kerjasama Yayasan MyKasih dapat meringankan beban perbelanjaannya.
“Saya tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan. Bantuan meringankan perbelanjaan barangan dapur,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment