Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, setakat ini kapasiti sumber air sedia ada dijangka hanya mampu menampung permintaan air mentah penduduk di bandar raya ini, Bakong dan Sibuti sehingga tahun depan.
Katanya, permintaan air terawat pada tahun hadapan di seluruh bahagian ini dijangka berada pada kadar 139 juta liter sehari dan ia melebihi kapasiti sumber air mentah sedia ada.
"Penduduk di Miri dianggarkan mencecah setengah juta orang dan permintaan air terawat bagi tahun 2030 dianggarkan pada kadar 300 juta liter sehari.
"Justeru projek bagi memastikan bekalan air bersih tidak berkurangan ini adalah detik penting bagi warga Miri yang pernah berhadapan dengan peristiwa kekurangan bekalan air sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Sumber Bekalan Air Miri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, projek berkenaan amat penting kerana kualiti air di Sungai Bakong yang merupakan satu daripada tiga sumber bekalan air bagi penduduk di bahagian ini semakin merosot.
"Justeru, cadangan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah sumber air di Miri adalah dengan memindahkan air mentah dari Batang Baram ke Loji Rawatan Air Lambir," katanya.
No comments:
Post a Comment