July 31, 2009

SPR umum tarikh p'raya kecil selewat-lewat 10 Ogos

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) berkata pilihanraya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir itu dari Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

"Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini dan selepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihanraya kecil DUN berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal merupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini kerana sakit jantung.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.

Sementara itu Abdul Halim ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu sijil kematian Mohd Hamdan sebelum menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada SPR Pulau Pinang.

Beliau berkata Dewan Undangan Negeri akan bersidang selama dua hari mulai 10 Ogos ini dan Allahyarham sudah mengemukakan beberapa soalan bertulis untuk sesi kali ini.

Sumber : Malaysiakini

ADUN PAS meninggal dunia

ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pagi ini.

ADUN PAS itu meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Permatang Pasir dalam tempoh 60 hari.

Permatang Pasir - salah satu kerusi dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Dua bulan lalu, pilihanraya kecil diadakan bagi DUN Penanti - juga dalam parlimen Permatang Pauh - ekoran peletakan jawatan penyandangnya Mohamad Fairus Khairuddin.

Pilihanraya kecil itu dimenangi calon PKR Dr Mansor Othman dalam pilihanraya yang mencatatkan sejarah apabila jumlah pemilih yang keluar mengundi paling rendah ekoran Umno tidak meletakkan calonnya bertanding di situ.

Mohd Hamdan baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk pada 11 Julai lalu daripada kerajaan Pulau Pinang.

Allahyarham, pesuruhjaya PAS negeri hingga 2003, bertapak di Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999.

Sebelum menceburi politik sepenuh masa, beliau berkhidmat sebagai guru di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah pada 1965 hingga 1966, kemudian sebagai pegawai pentadbir kerajaan Kedah mulai tahun 1966 ehingga 1977.

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah sebagai pegawai pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia antara 1977 hingga 1983.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.



Sumber : Malaysiakini

July 29, 2009

Polis beri amaran batalkan perhimpunan ISA

Polis memberi amaran tegas terhadap pihak pro dan anti-ISA supaya membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini.

Ketika memberi amaran tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, , Datuk Muhammad Sabtu Osman (kiri) berkata, perhimpunan itu dikhuatiri menimbulkan ketegangan dan mengancam keselamatan awam.

Menurutnya, polis telah memanggil Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) semalam untuk memaklumkan mengenai arahan tersebut kepada mereka.

Manakala polis juga, katanya, akan bertemu dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) petang esok untuk memaklumkan perkara yang sama.

Polis juga, katanya, akan mengadakan sekatan jalanraya dua hari lebih awal dan akan menahan bas-bas disyaki membawa pesertai ke perhimpunan itu.

Sebelum ini, Pewaris dan sepuluh lagi NGO Melayu yang pro-ISA, merancang berdemonstrasi Sabtu ini di ibu negara, serentak dengan perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur petang ini, Datuk Muhammad Sabtu berkata polis mengkelaskannya sebagai satu perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Polis juga, tegasnya, akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan atau undang-undang lain sekiranya ada pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Menurutnya, pihak polis telah bersedia dengan kekuatannya untuk memfokuskan kepada perhimpunan itu jika diadakan juga.

"Polis akan mengambil tindakan berhemah, kecuali tidak ada cara lain. Polis tidak ingin melihat berlakunya kecederaan, luka atau dalam keadaan yang terdesak," tegas Datuk Muhammad Sabtu.

Ditanya sama ada polis akan membuat tangkapan awal bagi mengelak perhimpunan tersebut, beliau berkata:

"Sebagai langkah pencegahan, polis boleh mangambil tindakan awal mengikut Seksyen 105, Kanun Acara Jenayah, jika nampak niat, pergerakan walaupun sehari sebelumnya," katanya.


Sumber : Malaysiakini

Renungan Bersama : Perhimpunan haram ini bukan satu tindakan yang baik diamalkan oleh seorang rakyat Malaysia. Mereka seharusnya lebih matang dan jika ingin kerajaan memansuhkan Akta ini haruslah melalui cara yang betul dengan melalui Dewan Parlimen tetapi ini juga perlu dilihat melalui majoriti sokongan dan bantahan dan pihak yang majoritinya banyak tentunya akan menang.

July 27, 2009

Korban kedua H1N1 di Malaysia

Wabak selesema A (H1N1) memakan korban kedua - lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, 12.35 tengahari semalam.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi di hospital swasta di Subang Jaya.

Rakyat tempatan itu yang bekerja di Belgium pulang pada 4 Julai lalu mula mengalami demam serta batuk selepas bercuti bersama keluarga di Langkawi pada 13 Julai.


Si mati kemudian mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai dan pemeriksaan dada menunjukkan korban mengalami pneumonia, kata ketua pengarah kesihatan.

"Kes dirujuk ke hospital swasta yang lain di Subang Jaya pada 19 Julai untuk rawatan di unit rawatan rapi.

"Ujian sampel tekak buat pada 22 Julai dan sahkan positif influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 23 Julai," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail, daripada 49 kes terbaru hari ini, 29 kes daripadanya di sembilan gugusan penularan baru dan 13 lagi kes daripada empat gugusan sedia ada.

Tujuh kes selebihnya, termasuk satu kes kematian itu, dikelaskan sebagai kes terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) hingga kini 1,124 kes, termasuk 550 kes jangkitan tempatan.

Maklumat berkaitan kes terbaru di sembilan gugusan penyakit seakan-akan selesema (ILI) seperti berikut:

Lima kes di kalangan pelajar Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Kuala Sungai Baru, Melaka. Seramai 58 dari 1,477 orang pelatih dan kakitangan institut berkenaan dikesan mengalami gejala ILI sejak 23 Julai.

Kolej tersebut ditutup Sabtu lalu sehingga 1 Ogos.

Dua kes di SMK Batu Laut, Kuala Langat, Selangor. Terdapat 18 pelajar daripada keseluruhan 625 pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala ILI bermula dari 23 Julai.

Sekolah ini ditutup bermula Khamis lalu sehingga 30 Julai.

Empat kes melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Terdapat 282 pelajar bergejala ILI bermula 21 Julai. Universiti tersebut ditutup dengan memberikan cuti semester lebih awal sejak Sabtu lepas hingga 2 Ogos.

Tiga kes di SMK Bako, Kuching, Sarawak. Terdapat 41 orang daripada 1,549 warga sekolah mempunyai gejala ILI sejak 17 Julai. Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau kejadian ILI di sini.

Tiga kes positif di sebuah kelas di SMJK Cina Katholik, Petaling Jaya, Selangor. Terdapat empat daripada 49 pelajar mempunyai gejala ILI sejak 21 Julai.

Lima kes di SM Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor. Terdapat 59 daripada 994 pelajar dan guru mempunyai gejala ILI bermula 22 hb Julai.

Akibatnya, sekolah ini telah ditutup mulai Jumaat hingga 30 Julai.

Empat kes didapati positif di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat 23 daripada 240 pelajar asrama mempunyai gejala ILI sejak 25 Julai dan sekolah ini ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Satu kes didapati positif di SM Agama Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat enam daripada 470 warga sekolah mempunyai tanda ILI dari 25 Julai dan sekolah ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Dua kes di SM La Salle, Tanjung Aru, Sabah. Empat daripada 800 pelajar mempunyai gejala ILI dari 21 Julai.

Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau sekolah ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kementerian Pelajaran merancang mengedarkan alat mencegah jangkitan virus wabak itu ke semua sekolah, membabitkan peruntukan RM3.6 juta.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) bagi mengedarkan termometer, topeng muka dan hidung serta cecair penyahkuman.

"Ini langkah terbaik dalam usaha kementerian mencegah H1N1. Pemakaian topeng muka dan hidung serta bahan penyahkuman juga merupakan sebahagian latihan kebersihan di kalangan murid," beliau dipetik berkata selepas taklimat perkembangan H1N1 di Johor Bahru hari ini.

Sumber : Malaysiakini

Renungan Bersama : Kita hendaklah menjaga kesihatan diri pada setiap masa tidak kira kita berada di mana-mana dan sentiasa mengikuti perkembangan Virus A (H1N1) di Malaysia dan situasi global.

July 23, 2009

Kematian pertama berkaitan H1N1

Seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1) di Malaysia walaupun punca kematiannya bukan disebabkan oleh virus itu sendiri.

Pelajar itu yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mati akibat serangan jantung, kata menteri kesihatan hari ini.

Dalam kenyataan rasminya mengenai wabak tersebut, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata si mati telah pulang bercuti ke republik itu dan kembali ke negara ini pada 5 Julai lalu dan dilaporkan mengalami demam dan batuk sejak kembali bercuti tetapi simptom itu ringan.

Pada 20 Julai, pelajar itu mula demam panas, batuk serta letih, dan keesokannya mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Selepas menjalani pemeriksaan dan semasa menunggu mengambil ubat, kes tiba-tiba jatuh pengsan. Kes telah diberi bantuan kecemasan di pusat perubatan berkenaan, tetapi tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 11.50 pagi," katanya.

Liow berkata, pusat perubatan berkenaan merekodkan penyebab kematian sebagai "cardiac arrest due to ventricular fibrillation."

Bedah disiasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama mendapati si mati mempunyai badan yang gemuk, terdapat tanda-tanda radang paru-paru dan kelainan pada tisu jantung serta cairan seperti nanah pada bahagian bawah salur pernafasan.

"Ujian virologi dan bakteriologi mendapati spesimen daripada tisu paru-paru dan salurannya (si mari) adalah positif untuk virus influenza A (H1N1)," kata Liow.

"Oleh sebab keputusan-keputusan ujian bedah siasat belum diketahui sepenuhnya, penyebab kematian untuk kes ini belum dapat dimuktamadkan.

"Faktor kegemukan, tempoh sakit yang berlanjutan perlu diambil kira dalam perkara ini."

Sumber : Malaysiakini

Renungan Bersama : Jagalah kebersihan dan kesihatan diri pada setiap masa supaya kita dapat menghindari daripada dijangkiti Virus H1N1.

July 22, 2009

Perlu pertahankan peranan hakim yang bebas...

Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang dan dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Melainkan, titah baginda, terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik, titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Sultan Azlan titah demikian ketika merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, lapor Bernama.

Baginda bertitah ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau tidak berat sebelah terutama dari segi emosi dan kecenderungan.

Oleh itu, baginda mengingatkan bahawa peranan kehakiman yang profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak perlu dipertahankan.

Para hakim, titah baginda lagi, mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah.

"Dan jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut, akan berlakulah ketidakseimbangan. Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang," titah baginda.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, tidah Sultan Perak lagi, para hakim adalah terdedah kepada penilaian umum.

Menurut baginda, ini kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah yang lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai untuk menyemak sesuatu penghakiman yang dilakukan.

Sumber : Malaysiakini

Sultan Azlan: Peranan raja melebihi peruntukan perlembagaan


Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.

Peranan sebenar raja pemerintah, titah baginda, jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan.


Sultan Azlan titah demikian ketika merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, lapor Bernama.

Titah baginda, pengekalan institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa.

Sebaliknya, titah baginda, Raja mempunyai peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuh institusi demokrasi.

"Selaku ketua negara, Raja berperanan sebagi tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.

"(Ini merupakan) peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (dan) demikian juga Raja-raja Melayu yang digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.

Semangat penggubalan perlembagaan

"Ini bermakna Raja-raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang namun Beta pernah mengingkatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah perbezaan antara yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan, tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.

"Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan," titah baginda.

Baginda turut bertitah semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

"Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada orang yang memerintah mahu yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat," titah baginda.

Titah baginda telah tercapai kata muafakat bahawa setiap warga Malaysia itu terjamin diberikan perlindungan secara adil - secara saksama, terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak peribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran.

'Semangat rundingan'


Oleh itu, baginda bertitah bahawa kebimbangan peribumi perlu difahami dan untuk itu orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan.

"Pada masa yang sama orang bukan Melayu yang telah berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada Raja dan negara, yang mengamalkan sikap ,"di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung", diberikan perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, persefahaman, hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

Demi keamanan dan kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang berlandaskan kepada semangat Perlembagaan - semangat yang menghormati undang-undang serta institusi penguatkuasa undang-undang, titah baginda.

Baginda mengingatkan jika prinsip asas itu tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki.

"Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal sejarah," titah baginda.

Sumber : Malaysiakini

July 15, 2009

Keputusan Pilihan Raya Kecil Manek Urai Petanda Angin Perubahan Bagi BN kerana lebih banyak pengundi Manek Urai yang menyokong BN


Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil di DUN Manek Urai bahawa terdapat angin perubahan bagi pengundi di Manek Urai kerana banyak pengundi telah beralih kembali untuk mengundi BN. Dalam keputusan semalam BN hanya kalah tipis sahaja iaitu PAS mendapat 65 majoriti undi sahaja sedangkan terdapat Pemimpin PAS yang mengatakan bahawa PAS akan mendapat 2000 majoriti undi. Ini semua cakap besar dari PAS sedangkan keputusan yang keluar hanya 65 majoriti sahaja. Dari segi pandangan blogger ini bahawa terdapat banyak pengundi pada kali ini telah sedar bahawa kawasan Manek Urai yang jauh ketinggalan masih memerlukan pembangunan dari kerajaan BN kerana Cuma Wakil Rakyat BN sahaja yang akan terus membangunkan kawasan ini. Oleh itu, dalam keputusan yang keluar semalam telah mencerminkan bahawa banyak pengundi yang mengundi pembangkang dahulu telah kembali menyokong BN demi kebaikan genarasi muda mereka.
Pengundi di Manek Urai pada kali ini juga lebih matang kerana mereka percaya kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang baru ini dengan tema Satu Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Pengundi di Manek Urai tidak lagi dimakan oleh hasutan dan kata-kata pihak pembangkang lagi.
Walaubagaimanapun, Kerajaan BN akan terus bertungkus lumus berkhidmat untuk rakyat Malaysia dan mendapatkan kemenangan pada Pilihan Raya kelak.

July 14, 2009

Rakyat Manek Urai: Buatlah Pilihan yang Bijak pada Pilihan Raya Kecil yang berlangsung hari ini.


Proses mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai bermula tepat jam 8 pagi tadi di sembilan pusat mengundi.

Seramai 12,268 pemilih berdaftar berpeluang memilih wakil rakyat baru mereka.
Calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, ditentang calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Pilihan Raya kecil pada kali ini kelihatan begitu sengit kerana pemilihan ini hanya berlaku dua penjuru sahaja iaitu seorang calon dari BN dan seorang calon dari PAS. Selama beberapa hari berkempen tentu rakyat Manek Urai sudah mempunyai calon yang tersendiri untuk dipilih pada hari ini. Tetapi sebelum membuang undi, fikirlah terlebih dahulu dan masa depan generasi muda kita kerana jika tersalah pangkah undi maka masa depan akan hilang tanpa pembangunan di Manek Urai.

Sebagai seorang pengundi Manek Urai haruslah memikirkan pembangunan yang ada pada Manek Urai kerana kawasan ini masih mundur dan perlukan pembangunan. Negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Oleh itu, rakyat Manek Urai bebas mengundi tanpa sebarang paksaan dan deksaan. Biarlah rakyat Manek Urai menjadi bos pada hari ini dan kemudian hari apabila mana-mana calon telah menang pilihan raya, merekalah yang akan berkhidmat untuk rakyat Manek Urai dan memberi lebih banyak pembangunan kepada Kawasan Manek Urai.

Walaubagaimanapun, mana-mana calon yang menang pada pilihan raya Manek Urai pada malam ini, diharapkan dapat menunaikan janji yang dikotakan semasa kempen di kawasan Manek Urai. Akhir sekali, diharapkan rakyat Manek Urai dapat berfikir dua tiga kali sebelum membuang undi kerana ini akan menentukan masa depan kawasan Manek Urai.


July 11, 2009

Jangan putar belit 1Malaysia

KAMPAR 10 Julai - Kerajaan akan menjelaskan konsep gagasan 1Malaysia di seluruh negara bagi mematahkan usaha pihak tertentu memutarbelitkan konsep tersebut demi kepentingan peribadi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep 1Malaysia merupakan pendekatan ideal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha membangunkan negara dengan lebih berkesan.

Dalam hubungan ini katanya, tidak ada nombor lebih kuat daripada satu dan tidak ada jenama yang terbaik di negara ini selain 1Malaysia.

"Yang baik jangan diputarbelitkan hingga menimbulkan salah faham, begitu juga konsep 1Malaysia, ia merupakan pendekatan ideal yang boleh diperluaskan dalam pelbagai bentuk.

"Tetapi bagi yang tidak mahu, mereka akan menafsirkan dengan tafsiran tidak betul,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Minda Malaysia Kelima di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, program Gerakan Literasi Mental Malaysia (GLMM) mungkin diperkenalkan di sekolah-sekolah bagi membantu pelajar memaksimumkan daya ingatan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembangunan negara ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat jika rakyat mampu meningkatkan kualiti pembelajaran menerusi teknik berkenaan.

Menurut beliau, buat permulaan kerajaan mungkin meminta kerjasama pihak terbabit untuk melaksanakan program itu di sekolah-sekolah terpilih.

"Ini akan dibincangkan lebih lanjut dengan GLMM supaya pelajar boleh menimba ilmu dengan lebih cekap, bukan sahaja segi skil pemikiran malah lebih daripada itu,'' katanya.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pengerusi UTAR, Tun Dr. Ling Liong Sik.


Sumber : Utusan Online

100 hari jadi PM: Hadiah dari Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuat 11 pengumuman "mesra rakyat" sempena genap 100 hari beliau menjadi perdana menteri, antaranya pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal serta satu tabung unit amanah baru.

Berucap di majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibunegara, perdanamMenteri berkata, untuk meringankan beban pengguna lebuh raya yang menggunakan kad prabayar Smart Tag dan Touch 'n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun 20 peratus.

Najib berkata ini adalah satu keputusan atau penyelesaian sementara sahaja, sementara menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang menurutnya akan mengambil masa, lapor Bernama.

Katanya beliau pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dirinya terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan manakala gaji bulanannya RM3,000, yang menurut Perdana Menteri: "Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan sahaja setahun, kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (diskaun) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutamanya yang menggunakan jalan tol setiap hari," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.

Dalam ucapan hampir 50 minit yang dimulakan tepat 11.11 pagi yang menandakan 11 Julai, genap 100 hari menjadi perdana menteri selepas dilantik pada 3 April lalu, Najib juga mengumumkan penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan akan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah di bawah program tersebut.

Katanya sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Potongan 50 peratus

Satu lagi pengumuman melibatkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil, di mana mereka akan menikmati potongan 50 peratus bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

najib 100 day bash 110709 crowd outsideNajib berkata ia bagi memenuhi permohonan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia bagi pengurangan bayaran lesen yang dikemukakan kepada beliau pada satu majlis di Tanjung Karang, Selangor bulan lalu.

"Ini akan memberi banyak kelegaan...saya harap negeri-negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen-lesen lain juga akan dikurangkan," katanya.

Selain itu Najib turut mengumumkan kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang telah diberikan setakat ini.

Menurutnya, dasar membantu pemandu teksi dibuat memandangkan pada masa sekarang terdapat ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran seperti RM50 sehari, di samping kos lain seperti minyak.

Najib juga mengumumkan bahawa caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250 cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.

Menurutnya beliau mendapati ramai penunggang terutama anak-anak muda yang "ke hulu dan ke hilir dengan motosikal kapcai" tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan adalah tinggi, di antara RM500-RM700 seorang.

Amanah saham 1Malaysia


"Setelah berunding dengan sekolah-sekolah memandu, caj (kadar) bayaran latihan (belajar) dikurang kepada RM211. Dan berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan tadi," katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin sebaik sahaja beliau mengumumkan pengurangan itu.

Perdana menteri juga mengumumkan bahawa menjelang 2010, seramai 20,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi 10,000 unit Skim Amanah Saham Wawasan untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih dalam usaha memerangi kemiskinan bandar.

Najib juga berkata satu lagi tabung unit amanah baru dinamakan "Amanah Saham 1Malaysia" akan dilancarkan sedikit masa lagi dengan saiz sehingga 10 bilion unit.

Ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, katanya.

Najib juga mengumumkan peruntukan skim TEKUN ditambah RM150 juta lagi dan juga mengumumkan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.

Selain itu, beliau juga mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah-langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini, dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.

Pendaftaran kelahiran


Satu lagi pengumuman hari ini adalah berkaitan pendaftaran kelahiran, yang menurutnya ramai juga yang lambat mendaftarkan kelahiran dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

Najib berkata di Sabah, semenjak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan.

Di Sarawak pula, semenjak 2005, sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan dari jumlah itu, 80 peratus permohonan telah diluluskan.

Dalam pengumuman mengenai kewarganegaraan pula, Najib berkata, jumlah permohonan tertangguh pada 1 November 2008 adalah 34,000, dan sehingga bulan lalu, 46 peratus telah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Di majlis itu, Najib turut membuat pengumuman mengenai infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekarang kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.

Dalam konteks infrastruktur ini, Najib juga berkata liputan bekalan air
minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik, dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.

Najib yang menyifatkan majlis hari ini sebagai "perjumpaan yang sangat bersejarah" berkata keputusan yang dibuat itu adalah "keputusan istimewa untuk rakyat Malaysia".

"Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan," katanya.

Sumber : Malaysiakini

July 8, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012


Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012

Sumber : Malaysiakini

July 6, 2009

PAS-Umno berentap di Manek Urai


Pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Umno, Tuan Aziz Tuan Mat dengan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.

Calon Umno, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, adalah yang pertama menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Kuala Krai menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon di SMK Sultan Yahya Petra 1, sejurus selepas ia dibuka pada jam 9 pagi.,

Tuan Aziz adalah lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekas pengurus bahagian pemantauan projek Kesedar.

Sejurus kemudian, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan, pula menyerahkan borang pencalonannya.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu.

Apabila proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi, hanya Tuan Aziz dan Mohd Fauzi yang menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Ini diikuti dengan tempoh selama sejam sebelum pegawai pengurus pilihanraya kecil tersebut mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada 14 Julai ini.

Kempen akan bermula sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat.

Mohd Fauzi yang ditemui selepas wawancara dengan RTM dan ditanya mengenai peluangnya, berkata:

"Setakat ini, peluang kita cerah kerana kita rapat dengan rakyat kampng dan akar umbi lebih awal. Rakyat sudah lama mengenali saya."

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi menganggarkan penyokong PAS yang hadir seramai 7,000 dan 4,000 penyokong BN.

Sehingga jam 10.35 pagi tadi, katanya, polis belum menerima apa-apa laporan mengenai sebarang kejadian tidak diingini berlaku sehingga ini.

Beliau berharap penyokong kedua belah akan mematuhi undang-undang.

Abdul Rahim berkata 3,000 anggota polis ditugaskan di Manek Urai sepanjang kempen pilihanraya kecil berkenaan.

July 5, 2009

Pengayuh kerusi roda solo Miri-Kuching berlapar uji ketahanan


MIRI 4 Julai - Menahan lapar dalam berjemur di bawah cuaca panas adalah antara latihan yang dijalani Junaidi Pauzan sebagai persediaan memulakan ekspedisi solo beliau merentasi negeri Sarawak sejauh 900 kilometer dari sini hingga ke Kuching dengan menggunakan kerusi roda, yang bermula hari ini.

Pesara Jabatan Perhutanan Sarawak yang kehilangan kaki kirinya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira 12 tahun lepas memberitahu Bernama bahawa latihan itu dibuat untuk mengukur ketahanan beliau semasa ekspedisi itu nanti.

Beliau yang yakin akan dapat menamatkan ekspedisi itu dalam tempoh 21 hari, bagaimanapun mengakui keadaan cuaca panas serta jalan raya yang akan dilaluinya itu bakal menjadi cabaran besar.

Beliau menjangka keadaan jalan raya di bahagian Sri Aman akan menjadi cabaran paling sulit baginya, namun beliau tetap yakin akan dapat mengatasi keadaan itu.

Junaidi, 57, memulakan ekspedisi itu dalam usahanya untuk mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records untuk kayuhan terpanjang secara solo menggunakan kerusi roda dalam negara.

Menyentuh kekurangan fizikalnya, Junaidi berkata, melalui ekspedisi itu beliau ingin membuktikan kepada golongan yang senasib dan peringkat umur yang sama dengannya bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang bermakna yang tidak dapat dicapai oleh semua orang.

"Yang penting saya mahu tiada lagi rasa putus asa dan sentiasa bersemangat untuk mencapai apa yang diinginkan," katanya.

Sebelum ekspedisi ini, Junaidi yang merupakan seorang perenang paralimpik kebangsaan berjaya membuat tiga renangan jarak jauh sepanjang antara 24 dan 30 kilometer di perairan Sarawak di antara tahun-tahun 2007 dan 2008.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin menyempurnakan majlis pelepasan rasmi ekspedisi itu yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi selaku pengerusi jawatankuasa program itu.

Lee dalam ucapannya berkata, cubaan Junaidi bukan hanya akan tercatat sebagai satu rekod Malaysia tetapi akan menjadi satu lagi kejayaan rakyat mengharumkan nama Sarawak.

- Bernama