July 11, 2009

Jangan putar belit 1Malaysia

KAMPAR 10 Julai - Kerajaan akan menjelaskan konsep gagasan 1Malaysia di seluruh negara bagi mematahkan usaha pihak tertentu memutarbelitkan konsep tersebut demi kepentingan peribadi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep 1Malaysia merupakan pendekatan ideal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha membangunkan negara dengan lebih berkesan.

Dalam hubungan ini katanya, tidak ada nombor lebih kuat daripada satu dan tidak ada jenama yang terbaik di negara ini selain 1Malaysia.

"Yang baik jangan diputarbelitkan hingga menimbulkan salah faham, begitu juga konsep 1Malaysia, ia merupakan pendekatan ideal yang boleh diperluaskan dalam pelbagai bentuk.

"Tetapi bagi yang tidak mahu, mereka akan menafsirkan dengan tafsiran tidak betul,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Minda Malaysia Kelima di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, program Gerakan Literasi Mental Malaysia (GLMM) mungkin diperkenalkan di sekolah-sekolah bagi membantu pelajar memaksimumkan daya ingatan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembangunan negara ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat jika rakyat mampu meningkatkan kualiti pembelajaran menerusi teknik berkenaan.

Menurut beliau, buat permulaan kerajaan mungkin meminta kerjasama pihak terbabit untuk melaksanakan program itu di sekolah-sekolah terpilih.

"Ini akan dibincangkan lebih lanjut dengan GLMM supaya pelajar boleh menimba ilmu dengan lebih cekap, bukan sahaja segi skil pemikiran malah lebih daripada itu,'' katanya.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pengerusi UTAR, Tun Dr. Ling Liong Sik.


Sumber : Utusan Online

No comments: