MIRI 4 Julai - Menahan lapar dalam berjemur di bawah cuaca panas adalah antara latihan yang dijalani Junaidi Pauzan sebagai persediaan memulakan ekspedisi solo beliau merentasi negeri Sarawak sejauh 900 kilometer dari sini hingga ke Kuching dengan menggunakan kerusi roda, yang bermula hari ini.
Pesara Jabatan Perhutanan Sarawak yang kehilangan kaki kirinya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira 12 tahun lepas memberitahu Bernama bahawa latihan itu dibuat untuk mengukur ketahanan beliau semasa ekspedisi itu nanti.
Beliau yang yakin akan dapat menamatkan ekspedisi itu dalam tempoh 21 hari, bagaimanapun mengakui keadaan cuaca panas serta jalan raya yang akan dilaluinya itu bakal menjadi cabaran besar.
Beliau menjangka keadaan jalan raya di bahagian Sri Aman akan menjadi cabaran paling sulit baginya, namun beliau tetap yakin akan dapat mengatasi keadaan itu.
Junaidi, 57, memulakan ekspedisi itu dalam usahanya untuk mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records untuk kayuhan terpanjang secara solo menggunakan kerusi roda dalam negara.
Menyentuh kekurangan fizikalnya, Junaidi berkata, melalui ekspedisi itu beliau ingin membuktikan kepada golongan yang senasib dan peringkat umur yang sama dengannya bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang bermakna yang tidak dapat dicapai oleh semua orang.
"Yang penting saya mahu tiada lagi rasa putus asa dan sentiasa bersemangat untuk mencapai apa yang diinginkan," katanya.
Sebelum ekspedisi ini, Junaidi yang merupakan seorang perenang paralimpik kebangsaan berjaya membuat tiga renangan jarak jauh sepanjang antara 24 dan 30 kilometer di perairan Sarawak di antara tahun-tahun 2007 dan 2008.
Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin menyempurnakan majlis pelepasan rasmi ekspedisi itu yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi selaku pengerusi jawatankuasa program itu.
Lee dalam ucapannya berkata, cubaan Junaidi bukan hanya akan tercatat sebagai satu rekod Malaysia tetapi akan menjadi satu lagi kejayaan rakyat mengharumkan nama Sarawak.
- Bernama
No comments:
Post a Comment