July 31, 2010

Filem-Filem Patriotik Perlu Diperbanyakkan Untuk Anak Muda - Jins Samsuddin

SINTOK, 31 Julai (Bernama) -- Filem-filem sejarah bercorak patriotik yang berkaitan dengan perjuangan kemerdekaan, perpaduan kaum dan kontrak sosial perlu diperbanyakkan supaya anak-anak muda dapat memahami sejarah negara, kata pelakon veteran Senator Tan Sri Dr Jins Samsuddin.

Beliau berkata melalui filem, mereka akan mendapat gambaran sebenar tentang sesuatu kejadian dan perjuangan kemerdekaan orang-orang lama suatu masa dahulu.

"Pengusaha filem perlu ada rasa tanggungjawab terhadap negara terutamanya dalam menghasilkan filem yang mempunyai nilai sejarah, jangan sekadar mementingkan keuntungan," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Pahlawan dan Pelancaran Bulan Patriotisme 2010 Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Beliau berkata generasi muda perlu memahami sejarah negara kerana sejarah akan membawa kepada kemajuan negara.

"Setiap negeri seperti Perak, Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan mempunyai sejarah yang tersendiri dan saya sudah mencadangkan di Dewan Negara supaya memfilemkan sejarah negeri-negeri tersebut untuk tatapan umum," katanya.

Jins berkata beliau telah membuat filem, dokumentari dan teater mengenai kemerdekaan dan berharap agar karyanya itu dapat memberi gambaran kepada anak bangsa tentang perjuangan kemerdekaan.

Beliau berkata kemerdekaan bukan bersifat mutlak, jadi semua pihak mempunyai peranan mendidik anak muda bagi memahami sejarah kerana dalam mendapatkan kemerdekaan ramai orang termasuk pemimpin telah terkorban.

-- BERNAMA

No comments: