July 16, 2010

Kurang subsidi jimatkan belanja

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkan perbelanjaan serta mengurangkan defisit fiskal supaya kekuatan ekonomi negara lebih diyakini oleh pasaran dunia dan dalaman.

Perdana Menteri berkata, lebihan daripada penjimatan itu dapat digunakan untuk memenuhi lebih banyak agenda pembangunan negara yang akan membawa faedah lebih besar dan menyeluruh kepada rakyat.

Beliau memberi jaminan dalam proses menyelaraskan subsidi, kerajaan akan menggunakan kaedah dan pertimbangan yang tidak membebankan rakyat.

Pertimbangan kita ialah menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan penjimatan itu akan memberi beberapa kebaikan, antaranya mengukuhkan kedudukan kewangan dan mengurangkan defisit fiskal dan dengan ini pasaran dunia dan dalaman akan lebih yakin kekuatan ekonomi negara.

Kita juga akan gunakan penjimatan perbelanjaan untuk memenuhi lebih banyak agenda seperti dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang bakal kita laksanakan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Kuala Kedah, di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua UMNO Kuala Kedah, Datuk Latt Shariman Abdullah.

Terdahulu, ketika berucap, Perdana Menteri berkata, penjimatan besar yang diperoleh kerajaan apabila subsidi dikurangkan memberi manfaat kepada rakyat luar bandar yang belum menikmati pelbagai kemudahan asas yang sempurna.
Sebagai contoh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memerlukan peruntukan RM18 bilion dalam tempoh dua tahun ini dan ia amat diperlukan bagi melengkapkan kawasan luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak dengan infrastruktur lebih baik demi keselesaan rakyat, katanya

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments: