November 27, 2011

Parti-parti politik di negara ini perlu memberi laluan kepada muka baharu atau generasi pemimpin baharu

MIRI: Parti-parti politik di negara ini perlu memberi laluan kepada muka baharu atau generasi pemimpin baharu supaya suara atau pandangan golongan muda dapat disampaikan kepada kerajaan.

Aktivis sosial, Wan Zain Syed Mohdzar berkata, penglibatan generasi pemimpin muda dalam parti-parti veteran akan mendatangkan lebih banyak sokongan seterusnya memberi faedah kepada kerajaan.

“Pemimpin veteran perlu berundur dan beri peluang kepada muka baharu kerana jika tidak, rakyat pasti muak dan jemu dengan pentadbiran mereka seterusnya menyebabkan mereka berubah angin menyokong parti lain,” katanya.

Zain menjelaskan, sudah tiba masanya setiap parti-parti politik di negara ini mengubah stratagi pentadbiran jika parti berkenaan ingin terus kekal dalam kancah politik.

“Generasi sekarang sudah berani dan lantang menyuarakan pendapat mereka. Jika suara mereka tidak didengari, maka mereka akan memihak kepada parti politik yang menginginkan sokongan mereka,” katanya.

Wan Zain berkata demikian selepas bersetuju dengan pandangan sinis bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam siri soal jawab sebuah stesen swasta baru-baru ini.

Beliau bersetuju dengan pandangan Tun Mahathir bahawa setiap parti politik perlu melakukan perubahan besar dan memberi peluang kepada generasi pemimpin baharu untuk melibatkan diri dalam politik.

“Teguran perlu kerana jika parti politik itu keluar dari landasan perjuangan parti, maka generasi pemimpin baharu inilah yang akan memainkan peranan untuk mengukuhkan semula kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap parti berkenaan,” jelasnya.

Pada masa sama, pemilihan pemimpin baharu yang bakal menggantikan pucuk kepimpinan yang sedia ada perlulah dipilih berdasarkan mutu kerja yang berkualiti dan mesra mendekati rakyat.

“Wakil rakyat yang mudah mendapat sokongan rakyat ialah mereka sentiasa mempunyai masa untuk mendampangi rakyat dan bukannya hanya hadir pada majlis-majlis rasmi sahaja,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, peluang seharusnya diberikan kepada generasi pemimpin baharu yang berkaliber selain mereka perlu dibimbing oleh pemimpin veteran yang berpengalaman

LIMA: Persatuan hotel jamin tiada kenaikan harga bilik

LANGKAWI 27 Nov. – Persatuan Hotel-hotel Kedah dan Perlis memberi jaminan harga sewa bilik semasa Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA 2011) yang bermula 6 Disember ini tidak akan dinaikkan.

Pengerusi persatuan itu, Rasli Sulaiman berkata, semua 25 anggota gabungannya yang mengusahakan hotel bertaraf empat bintang telah dimaklumkan mengenai keputusan tidak menaikkan kadar sewa.

"Mereka diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bilik,” katanya sambil menambah pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pertahanan mengenai kadar harga yang wajar semasa LIMA 2011 berlangsung.

Beliau berkata, tempahan yang diterima sepanjang LIMA 2011 berlangsung amat menggalakkan, manakala chalet-chalet di sepanjang Pantai Cenang juga mendapat tempahan yang tinggi.

LIMA 2011 edisi ke-11 berlangsung dari 6 Disember hingga 11 Disember, menyaksikan penyertaan lebih 400 syarikat dari 35 negara. – Bernama

Baucer buku RM200 boleh digunakan dalam pengajian 2012

KOTA BHARU 27 Nov. – Baucer buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), yang diumumkan dalam Bajet 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor.

Beliau berkata, mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucer dengan buku untuk dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin tidak lama lagi.

Kira-kira 1.2 juta pelajar akan menikmati kemudahan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam tadi.

Ab Rahim berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Dalam Bajet 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucer buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar tingkatan enam. – Bernama

November 19, 2011

Kerajaan rancak laksana projek impak tinggi: Jabu

KUCHING: Untuk mencapai Model Baru Ekonomi (MBE), kerajaan negeri telah merancakkan usaha menerusi pelaksaaan projek-projek berimpak tinggi di bawah SOCRE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak) dan NKEA (Bidang Utama Ekonomi Negara).

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, MBE merupakan tonggak utama yang akan melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju yang berpendapatan tinggi, keterangkuman dan mampan menjelang tahun 2020.

“Bagi memastikan penduduk khususnya bagi golongan belia dapat merebut peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan diwujudkan, maka kerajaan akan terus melaksanakan program latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan kapasiti modal insan penduduk di Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hazland Abang Hipni (BN-Demak Laut) mengenai perancangan kementerian untuk menyebarkan dan mempraktikkan MBE untuk para penduduk di negeri ini semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Jabu menambah, ia akan dicapai melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang melibatkan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan pelaksanaan dua belas Aktiviti Ekonomi Utama Nasional atau NKEA.

Jelasnya, pelaksanaan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional itu adalah berdasarkan kepada sumber dan faedah berbanding sesuatu kawasan.

“Sarawak mempunyai kekuatan dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional sektor Minyak, Gas dan Tenaga; Minyak Sawit; Pelancongan; Elektronik dan Elektrikal; Pemborongan dan Peruncitan; serta Pertanian.

“Pelaksanaan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional ini akan turut menyumbang kepada pembangunan SCORE iaitu jentera pertumbuhan utama Negeri untuk mencapai Model Baru Ekonomi,” kata Jabu


Read more: http://www.theborneopost.com/2011/11/19/kerajaan-rancak-laksana-projek-impak-tinggi-jabu/#ixzz1e9MIjbRc

BN tidak hanya bergantung kepada Sabah, Sarawak: TPM

LABUAN: Barisan Nasional (BN) tidak hanya bergantung kepada Sabah dan Sarawak untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi juga kepada negeri lain di Semenanjung, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun kedua-dua negeri dan juga Labuan disifatkan sebagai deposit tetap bagi BN, gabungan itu sepatutnya berupaya memenangi semula negeri lain yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
“Kita sepatutnya berupaya menawan semula negeri-negeri lain yang kini diperintah pembangkang pada pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan sehari ke Labuan hari ini.
Muhyiddin berkata, fokus dan perhatian samarata diberikan kepada semua negeri termasuk yang ditadbir pembangkang kerana kerajaan BN sentiasa mengamalkan sikap adil.

"Kami akan terus mengekalkan pendekatan 'touch point' dalam membantu rakyat. Kami mahu rakyat tahu yang kami prihatin dan ikhlas dalam membantu mereka,” katanya.

Mengenai keputusan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata langkah itu tidak akan menjejaskan undi kaum Cina pada pilihan raya.

“Kami (BN) menghargai keputusan itu. Ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan kepada kami dalam pilihan raya. Kami percaya beliau telah membincangkannya dengan anggota parti. Apa yang lebih penting ialah parti (Gerakan) akan terus bekerjasama dengan BN,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN mengadakan perjumpaan tertutup dengan UMNO Labuan dan parti komponen BN negeri dan diberikan taklimat mengenai persediaan pilihan raya oleh pemimpin UMNO.

“Saya berpuas hati dengan taklimat yang diberikan. Isu perpaduan yang pernah dibangkitkan sebelum ini tidak harus dipersoalkan lagi. Semuanya baik, saya tidak melihat sebarang masalah mengenai perpaduan di pulau ini," katanya. - BERNAMA

Borang bantuan khas diedar secara percuma mulai 1 Dis

IPOH 19 Nov. – Borang program bantuan khas kerajaan RM500 kepada rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2012 akan mula diedarkan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada umum secara percuma pada 1 Disember ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan menggunakan mekanisme itu bagi memastikan setiap isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan berhak menerima bantuan berkenaan.

"Dijangka 3.4 juta individu akan mendaftar melibatkan nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM2.6 bilion...untuk itu seramai 2,000 sukarelawan LHDN akan digerakkan ke seluruh negara bagi memudahkan proses pendaftaran,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan masjid dan penyampaian hadiah Tadika Firdaus, Rancangan Perumahan Tersusun Batu 4 di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian berkenaan juga menyediakan bilik gerakan sepanjang proses pendaftaran dan pengagihan wang berkenaan yang dijangka bermula Januari depan.

Katanya pendaftaran akan dibuat melalui LHDN, pejabat daerah atau agensi kerajaan terlibat serta kerajaan akan mengumumkan penerima yang layak melalui media massa.

Ahmad Husni berkata proses pendaftaran adalah sangat penting dan LHDN juga akan buka bilik gerakan dan kesemua sukarelawan akan membantu sepanjang proses pendaftaran termasuk di kawasan pedalaman.

Oleh yang demikian pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan sentiasa berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengedar borang permohonan palsu.

"Kita tidak mahu ada golongan tertentu yang cuba mengelirukan bakal penerima insentif ini dengan mengedarkan borang palsu bagi mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata proses pendaftaran haruslah melalui saluran yang betul dan tidak melalui orang tengah.

"Kita akan menghantar pasukan sukarelawan ini ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk proses pendaftaran,” katanya. - Bernama

November 6, 2011

Harga barang basah naik ekoran banjir di Thailand

ALOR SETAR: Harga barang keperluan harian terutamanya barang basah di negeri ini seperti ikan, cili merah dan sayuran naik mendadak ekoran banjir besar yang melanda Thailand.

Kebanyakan peniaga memberi alasan pemborong terpaksa menaikkan harga barang kerana Thailand adalah pengeksport utama barangan berkenaan ke negara ini.

Tinjauan Bernama di Pasar Besar Alor Setar mendapati harga cili merah dijual pada harga RM13 hingga RM15 sekilogram (kg) berbanding RM8 sebelum ini.

Seorang peniaga, Mohd Zakuan Nasir, 25, berkata, dia terpaksa menaikkan harga barangan walaupun menerima rungutan daripada pembeli.

“Kerana banjir di Thailand, harga cabai besar (cili merah) naik mendadak.

Kalau dulu untuk satu kg kami jual antara RM8 hingga RM10 tapi bila berlaku banjir, harga tu meningkat kepada RM15 sekg,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam.

Seorang lagi peniaga, Abdul Salim Sheikh Mohamand, 52, pula berkata, peniaga juga terpaksa menaikkan harga ikan kerana bekalan ikan semakin berkurangan disebabkan ketiadaan bekalan ikan dari Thailand.

“Keadaan sekarang ini sedikit gawat kerana bekalan ikan kurang, sebab itu harga naik. Kalau ikan banyak, harga akan murah,” kata Abdul Salim.

Harga sayuran di pasar berkenaan bagi setiap sekg ialah sawi RM3.50 (sebelum RM2.50), tomato RM5 (sebelum RM4), limau nipis RM5 (sebelum RM3), kacang bendi RM3 (sebelum RM1.50) dan timun RM3.50 (sebelum RM2).

Bagi harga ikan sekg pula ialah bawal dijual pada harga RM6 (sebelum RM5), bawal hitam RM25 (sebelum RM22), jenahak RM30 (sebelum RM25), siakap RM25 (sebelum RM22) dan selayang RM8 (sebelum RM6).

Sementara itu, seorang pengguna yang ditemui di pasar berkenaan, Siti Salmah Bakar, 44, berkata, kenaikan harga barangan basah itu agak membebankan suri rumah sepertinya.

“Jika harga barang ini berterusan naik, susah jugak nak bajet belanja sebab semua barang mahal,” katanya.

Seorang peniaga gerai makan, Hafiz Hashim, 35, pula berkata, dia mungkin terpaksa menaikkan harga makanan jika harga bahan mentah terlalu tinggi dan sekaligus akan turut membebankan pelanggannya. — Bernama

PPSMI: Pemansuhan dasar setelah kajian terperinci

Muhyiddin nafi kerajaan membuat keputusan sambil lewa

MENINJAU: Muhyiddin melihat lembu korban selepas menyerahkan lembu-lembu tersebut kepada wakil-wakil kawasan Parlimen Pagoh sempena ‘Korban Perdana 2011’ di Dataran Kompleks Sri Pekembar di Muar, semalam. — Gambar Bernama

MUAR: Timbalan Perdana Menteri menafikan kerajaan membuat keputusan sambil lewa berhubung pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan dasar itu dilaksanakan oleh kerajaan selepas melakukan kajian terperinci mengenai keberkesanan dasar itu.

“Semua anggota Parlimen termasuk daripada pembangkang menyokong apabila kita laksanakan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mengganti PPSMI,” katanya selepas menghadiri majlis korban perdana di Dewan Sri Pekembar di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil daripada kajian kementerian menunjukkan hanya di antara lima hingga tujuh peratus keseluruhan sekolah di bawah kementerian yang menggunakan bahasa Inggeris ketika melaksanakan PPSMI.

Majoriti daripada sekolah-sekolah yang lain, katanya, menggunakan dwibahasa atau bahasa Malaysia sepenuhnya di dalam PPSMI sejak dasar itu dilaksanakan pada 2003.

Mengenai saranan pemimpin pembangkang supaya kerajaan mengurangkan bilangan kakitangan awam, beliau meminta, banyak pihak supaya mencabar parti-parti pembangkang melaksanakannya di negeri-negeri yang diperintahnya terlebih dahulu.

“Jikalau pembangkang memerintah negara, kita tahulah bahawa mereka akan memberhentikan banyak kakitangan kerajaan,” katanya dan menambah, banyak pihak juga mencabar pembangkang supaya melaksanakan saranan itu di Pulau Pinang dan Selangor terlebih dahulu.

Penjawat awam yang sehingga ini berjumlah satu juta orang diperlukan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan licin bagi kemajuan negara, katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan sememangnya mahu memantapkan perkhidmatan awam negara kerana sumbangan mereka penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara berjalan lancar.

“Sumbangan kakitangan awam terhadap negara adalah amat besar dan mereka yang berkhidmat dengan cemerlang perlu diberikan ganjaran yang setimpal,” katanya. — Bernama

Terus bantu pelajar miskin: PTPTN disaran cari dana tambahan

JOHOR BAHRU 6 Nov. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran mencari dana tambahan bagi membolehkan pelajar miskin yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dapat dibantu dan beban mereka dikurangkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, dana tambahan itu yang juga boleh digunakan bagi menampung pembiayaan sedia ada boleh diperoleh dalam bentuk wakaf, pembiayaan dan sumbangan.

“PTPTN perlu memperkukuhkan aspek ini supaya pelajar miskin tidak perlu membuat pinjaman yang banyak kerana pengajian mereka ditampung oleh satu tabung yang akan diuruskan oleh PTPTN," katanya pada sidang akhbar selepas pertandingan bola keranjang Persatuan Persaudaraan Kristian Visi Johor Bahru di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Dalam pada itu katanya, PTPTN akan terus memberi pinjaman kepada mereka yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk menampung yuran pengajian dan sara hidup pelajar.

Beliau berkata, cadangan menghentikan pinjaman 100 peratus kepada pelajar bermula 2013 seperti dinyatakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said sebelum ini, akan dibawa ke kementerian dan dikaji dengan lebih teliti.

Ismail semalam memberitahu, PTPTN bercadang hanya akan membiayai yuran pengajian sahaja dan tidak lagi memberi pinjaman perbelanjaan harian untuk pelajar semasa menuntut di universiti.

Mohamed Khaled berkata, bagi meningkatkan dana pendidikan, orang ramai digalakkan memberi sumbangan kepada pembiayaan pengajian tinggi melalui pembiayaan dan wakaf dalam bidang itu.

"Dalam negara kita, wakaf bagi pendidikan belum mantap tetapi di sesetengah negara Islam, pelajar memasuki universiti secara percuma kerana dana wakaf. Yang terbaik adalah memberi sumbangan kepada tabung PTPTN yang akan mengagihkannya untuk membantu pelajar miskin yang meminjam PTPTN.

"PTPTN sedang berunding dengan banyak pihak mengenainya termasuk badan berkanun, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta," katanya.

Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai melanggar Perlembagaan, katanya, perkara itu telah dibawa ke Kabinet dan akan diputuskan tidak lama lagi. - Utusan