November 27, 2011

Parti-parti politik di negara ini perlu memberi laluan kepada muka baharu atau generasi pemimpin baharu

MIRI: Parti-parti politik di negara ini perlu memberi laluan kepada muka baharu atau generasi pemimpin baharu supaya suara atau pandangan golongan muda dapat disampaikan kepada kerajaan.

Aktivis sosial, Wan Zain Syed Mohdzar berkata, penglibatan generasi pemimpin muda dalam parti-parti veteran akan mendatangkan lebih banyak sokongan seterusnya memberi faedah kepada kerajaan.

“Pemimpin veteran perlu berundur dan beri peluang kepada muka baharu kerana jika tidak, rakyat pasti muak dan jemu dengan pentadbiran mereka seterusnya menyebabkan mereka berubah angin menyokong parti lain,” katanya.

Zain menjelaskan, sudah tiba masanya setiap parti-parti politik di negara ini mengubah stratagi pentadbiran jika parti berkenaan ingin terus kekal dalam kancah politik.

“Generasi sekarang sudah berani dan lantang menyuarakan pendapat mereka. Jika suara mereka tidak didengari, maka mereka akan memihak kepada parti politik yang menginginkan sokongan mereka,” katanya.

Wan Zain berkata demikian selepas bersetuju dengan pandangan sinis bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam siri soal jawab sebuah stesen swasta baru-baru ini.

Beliau bersetuju dengan pandangan Tun Mahathir bahawa setiap parti politik perlu melakukan perubahan besar dan memberi peluang kepada generasi pemimpin baharu untuk melibatkan diri dalam politik.

“Teguran perlu kerana jika parti politik itu keluar dari landasan perjuangan parti, maka generasi pemimpin baharu inilah yang akan memainkan peranan untuk mengukuhkan semula kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap parti berkenaan,” jelasnya.

Pada masa sama, pemilihan pemimpin baharu yang bakal menggantikan pucuk kepimpinan yang sedia ada perlulah dipilih berdasarkan mutu kerja yang berkualiti dan mesra mendekati rakyat.

“Wakil rakyat yang mudah mendapat sokongan rakyat ialah mereka sentiasa mempunyai masa untuk mendampangi rakyat dan bukannya hanya hadir pada majlis-majlis rasmi sahaja,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, peluang seharusnya diberikan kepada generasi pemimpin baharu yang berkaliber selain mereka perlu dibimbing oleh pemimpin veteran yang berpengalaman

No comments: