JOHOR BAHRU 6 Nov. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran mencari dana tambahan bagi membolehkan pelajar miskin yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dapat dibantu dan beban mereka dikurangkan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, dana tambahan itu yang juga boleh digunakan bagi menampung pembiayaan sedia ada boleh diperoleh dalam bentuk wakaf, pembiayaan dan sumbangan.
“PTPTN perlu memperkukuhkan aspek ini supaya pelajar miskin tidak perlu membuat pinjaman yang banyak kerana pengajian mereka ditampung oleh satu tabung yang akan diuruskan oleh PTPTN," katanya pada sidang akhbar selepas pertandingan bola keranjang Persatuan Persaudaraan Kristian Visi Johor Bahru di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk.
Dalam pada itu katanya, PTPTN akan terus memberi pinjaman kepada mereka yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk menampung yuran pengajian dan sara hidup pelajar.
Beliau berkata, cadangan menghentikan pinjaman 100 peratus kepada pelajar bermula 2013 seperti dinyatakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said sebelum ini, akan dibawa ke kementerian dan dikaji dengan lebih teliti.
Ismail semalam memberitahu, PTPTN bercadang hanya akan membiayai yuran pengajian sahaja dan tidak lagi memberi pinjaman perbelanjaan harian untuk pelajar semasa menuntut di universiti.
Mohamed Khaled berkata, bagi meningkatkan dana pendidikan, orang ramai digalakkan memberi sumbangan kepada pembiayaan pengajian tinggi melalui pembiayaan dan wakaf dalam bidang itu.
"Dalam negara kita, wakaf bagi pendidikan belum mantap tetapi di sesetengah negara Islam, pelajar memasuki universiti secara percuma kerana dana wakaf. Yang terbaik adalah memberi sumbangan kepada tabung PTPTN yang akan mengagihkannya untuk membantu pelajar miskin yang meminjam PTPTN.
"PTPTN sedang berunding dengan banyak pihak mengenainya termasuk badan berkanun, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta," katanya.
Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai melanggar Perlembagaan, katanya, perkara itu telah dibawa ke Kabinet dan akan diputuskan tidak lama lagi. - Utusan
No comments:
Post a Comment