November 27, 2011

Baucer buku RM200 boleh digunakan dalam pengajian 2012

KOTA BHARU 27 Nov. – Baucer buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), yang diumumkan dalam Bajet 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor.

Beliau berkata, mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucer dengan buku untuk dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin tidak lama lagi.

Kira-kira 1.2 juta pelajar akan menikmati kemudahan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam tadi.

Ab Rahim berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Dalam Bajet 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucer buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar tingkatan enam. – Bernama

No comments: