November 19, 2011

Kerajaan rancak laksana projek impak tinggi: Jabu

KUCHING: Untuk mencapai Model Baru Ekonomi (MBE), kerajaan negeri telah merancakkan usaha menerusi pelaksaaan projek-projek berimpak tinggi di bawah SOCRE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak) dan NKEA (Bidang Utama Ekonomi Negara).

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, MBE merupakan tonggak utama yang akan melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju yang berpendapatan tinggi, keterangkuman dan mampan menjelang tahun 2020.

“Bagi memastikan penduduk khususnya bagi golongan belia dapat merebut peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan diwujudkan, maka kerajaan akan terus melaksanakan program latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan kapasiti modal insan penduduk di Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hazland Abang Hipni (BN-Demak Laut) mengenai perancangan kementerian untuk menyebarkan dan mempraktikkan MBE untuk para penduduk di negeri ini semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Jabu menambah, ia akan dicapai melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang melibatkan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan pelaksanaan dua belas Aktiviti Ekonomi Utama Nasional atau NKEA.

Jelasnya, pelaksanaan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional itu adalah berdasarkan kepada sumber dan faedah berbanding sesuatu kawasan.

“Sarawak mempunyai kekuatan dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional sektor Minyak, Gas dan Tenaga; Minyak Sawit; Pelancongan; Elektronik dan Elektrikal; Pemborongan dan Peruncitan; serta Pertanian.

“Pelaksanaan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional ini akan turut menyumbang kepada pembangunan SCORE iaitu jentera pertumbuhan utama Negeri untuk mencapai Model Baru Ekonomi,” kata Jabu


Read more: http://www.theborneopost.com/2011/11/19/kerajaan-rancak-laksana-projek-impak-tinggi-jabu/#ixzz1e9MIjbRc

No comments: