November 30, 2012

Dewan Rakyat: 'Mungkin sidang terakhir

Difahamkan, persidangan ini mungkin yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).


Sepanjang bersidang 36 hari, 14 Rang Undang-Undang dibahas dan diluluskan, termasuk Bajet 2013.

Persidangan kali ini turut membincangkan dan meluluskan dua usul tergempar iaitu mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan tayangan filem Innocence of Muslims.

Sementara itu, tiga usul pada hari terakhir persidangan yang dicadangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai juga diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ketika menangguhkan persidangan berkata, persidangan ini mungkin yang terakhir sebelum PRU13, sekiranya Perdana Menteri tidak memanggil dewan untuk bersidang sehingga awal April tahun depan.
“Seperti mana Yang Berhormat semua sedia maklum, sebagai Yang Dipertua Dewan, saya tidak mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat Parlimen.

“Sehubungan itu, sekiranya Ketua Majlis atau Perdana Menteri tidak memohon untuk Dewan Rakyat bermesyuarat dalam bulan Januari, Februari, Mac atau awal April, maka bagi saya persidangan ini adalah persidangan yang terakhir sebelum PRU13,” katanya.

Mohon maaf insiden 2008

Pandikar Amin turut memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh kerana insiden ketika sesi angkat sumpah Ahli Parlimen pada 2008.

“Sebenarnya saya tidak tahu dia (Karpal) tidak dapat angkat tangan. Dalam hati saya kata tidak ada, dia sakit dan saya tahu dia sakit tangan.

“Saya rasa tidak sedap hati dengan Bukit Gelugor walaupun dia tidak ada di sini,” katanya.

Dalam pada itu, wakil kerajaan dan pembangkang turut mengucapkan penghargaan kepada Pandikar Amin dan dua timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee yang berjaya mengendalikan dewan dengan penuh dedikasi sepanjang persidangan.

No comments: